Anda di halaman 1dari 2

 

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Perempuan Muda Yang Berani.
        Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua.
Baginda telah menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar.
Setelah perahu itu siap, baginda pun telah mengadakan upacara untuk
melancarkan perahu itu ke laut. Rakyat negeri itu telah dikerahkan
untuk menolak perahu ke laut tetapi anehnya perahu itu sedikit pun
tidak bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat hairan lalu memanggil
anak angkatnya Balun yang tahu akan bermacam-macam ilmu.
        Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi
dibaca dan seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini
tidak akan dapat diturunkan jika tidak digalang dengan tubuh manusia.
Tetapi yang menjadi galangan itu mestilah anak atau saudara tuanku.
Orang lain tidak boleh!”
        Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar.
Tidak ada seorang pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan
nyawanya untuk pelancaran perahu tersebut.
        Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang
sedang mengandung tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara
kepada Raja Tua. Perempuan muda itu berbaring di atas tilam dan bantal
yang dibentangkan di haluan perahu. Semua rakyat dan kerabat diraja
menangis melihatkan perempuan muda yang begitu berani mengorbankan
nyawanya demi kepentingan Raja Tua.
        Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh
batang lidi dan rapat ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu
pun ditolak ke laut. Sekali lagi telah berlaku keanehan. Dengan mudah,
perahu itu dapat ditolak ke dalam air.
        Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua
berlari-lari mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak
saudaranya itu tidak mendapat apa-apa kecederaan. Oleh kerana
keberaniannya, Raja Tua telah menurunkan semua harta pusaka kepada
anak saudara perempuannya itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,
terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai