Anda di halaman 1dari 13

TEKS PERTANDINGAN BERCERITA BM TAHAP 1

Tajuk : ARNAB DENGAN BUAYA

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,

para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta

rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada

hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.

Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor

daripada arnab-arnab itu sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan

putih melepak. Giginya pula tersusun rapi dan putih berseri. Sahabat

handai dan binatang-binatang lain di dalam hutan itu selalu memuji

kecantikan gigi arnab ini.

Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi

semakin sombong. Ia mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik

di dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-haiwan lain mula menjauhkan diri

daripadanya. Oleh kerana tiada sesiapa lagi yang suka berbual

dengannya, arnab itu selalu berjalan sendirian.

Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak

seekor buaya sedang berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan

tidak berani mendekati buaya itu.

“Hai Arnab, cantik sungguh gigi ! Kalau gigi aku juga begitu

cantik, sudah pasti aku boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu

kepada arnab. Arnab berasa sungguh gembira kerana sudah lama dia
tidak mendengar pujian begitu. “Bagaimana engkau menjaga

kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu lagi. Arnab berasa bangga

dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, “Engkau mesti

banyak makan sayur-sayuran dan jangan makan daging.”

Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau

tolong periksa gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya

lagi. Tanpa berfikir panjang, arnab pun menghampiri buaya lalu

memeriksa gigi buaya satu demi satu. Tanpa berlengah-lengah lagi,

buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu. Maka tamatlah

riwayat arnab yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.

Sekian, terima kasih.


TAJUK: PENEBANG KAYU DENGAN ANAKNYA

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,

para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta

rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada

hari ini ialah Penebang Kayu Dengan Anaknya.

Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang

miskin . Penebang kayu itu mempunyai seorang bapa yang telah tua

lagi uzur dan seorang anak. Pada suatu hari, penebang kayu itu

bercadang untuk menghantar bapanya ke dalam hutan dan

membiarkannya tinggal di situ.

“Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya tentang

ayah?” tanya isteri penebang kayu.

“Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk

menghabiskan sisa-sisa hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang

kayu dan isterinya tidak sedar bahawa percakapan mereka telah

didengari oleh anak mereka.

Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pecan untuk membeli

sebuah bakul yang besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu

itu pun memasukkan bapanya ke dalam bakul tersebut.

“Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.

“Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan

sentiasa sibuk.Kami ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di

sana, ayah akan dijaga dengan baik,” kata penebang kayu itu sambil
memikul bakul tersebut. Orang tua itu berasa sedih dan mengerti

maksud anaknya. Penebang kayu itu pun memikul ayahnya berjalan

kearah hutan.

Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan,

anak penebang kayu itu menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul

itu semula!”

“Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan. “Ayah,” kata

anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua kelak, saya

akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”

Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia

tunduk sambil berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun berkata

kepada anaknya. “Marilah kita pulang ke rumah.”

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.

Sekian, terima kasih.


TAJUK : PUTERI SULUNG DAN PUTERI BONGSU

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,

para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta

rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada

hari ini ialah Puteri Sulung Dan Puteri Bongsu.

Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar

yang amat cantik. Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan

berdarah putih dan amat disayangi oleh raja.

Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai

kepengetahuan Raja Tinggi. Raja Tinggi pun menghantar rombongan

untuk meminang Puteri Bongsu. Raja Ambun menjadi serba salah.

Kalau pinangan itu ditolak, tentu akan berlaku peperangan. Tetapi,

kalau pinangan itu diterima, baginda akan dukacita sepanjang hayat

kerana baginda amat kasih kepada Puteri Bongsu.

Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan

Puteri Sulung. “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar.

“Raja Tinggi tidak pernah melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri

Sulung mengaku yang dia bernama Puteri Bongsu,” Akhirnya pinangan

Raja Tinggi itu pun di terima.

Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang

disangkanya Puteri Bongsu itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung

telah terluka akibat terkena pisau. Luka itu berdarah dan darahnya
berwarna merah. Raja Tinggi berasa terkejut kerana darah itu tidak

berwarna putih.

“Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya

Raja Tinggi sambil menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar.

“ Adinda ialah kakak kepada Puteri Bongsu,”

Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita

akan serang negeri Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.

Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk

menundukkan negeri Ambun.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.

Sekian, terima kasih.


TAJUK : AMPAI-AMPAI DAN PUTERI LAUT

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,

para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta

rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada

hari ini ialah Ampai-ampai Dan Puteri Laut.

Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat

setia kepada rajanya. Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah

ditugaskan oleh raja untuk menjaga puteri baginda yang sangat cantik.

Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai

bersama beberapa orang dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar

yang dimiliki oleh seorang putera raja yang kacak telah berlabuh di

tepi pantai itu. Putera raja terpesona melihat kecantikan puteri Raja

Laut. Puteri Raja Laut pun demikian juga apabila terlihat putera raja

yang gagah perkasa dan kacak itu.

Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki

kapalnya yang sedang berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada

dayang-dayangnya, puteri itu pun naik ke kapal putera raja. Putera


raja mengerahkan kelasi-kelasinya supaya menaikkan layar dan

segera belayar meninggalkan pantai itu.

Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju

ke pantai tetapi kapal itu sudah pun meninggalkan pantai. Ampai-

ampai pun pulang ke istana lalu menceritakan kejadian itu kepada Raja

Laut.

Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu lalu

memukul tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya.

Setelah itu Raja Laut menbuangkan Ampai-ampai ke tepi laut.

“Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada

beta,” titah baginda.

Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut

pada ranting-ranting kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-

ampai tidak bertulang hingga sekarang ini dan sepanjang masa

tersidai pada ranting-ranting kayu di gigi air. Kononnya, dia akan

menunggu di tempat begitu sehingga Puteri Raja Laut itu lalu di situ

dan pulang kepada ayahandanya.


Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.

Sekian, terima kasih.


TAJUK : PEREMPUAN MUDA BERANI

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,

para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta

rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada

hari ini ialah Perempuan Muda Yang Berani.

Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua.

Baginda telah menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang

besar. Setelah perahu itu siap, baginda pun telah mengadakan

upacara untuk melancarkan perahu itu ke laut. Rakyat negeri itu telah

dikerahkan untuk menolak perahu ke laut tetapi anehnya perahu itu

sedikit pun tidak bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat hairan

lalu memanggil anak angkatnya Balun yang tahu akan bermacam-

macam ilmu.

Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah

jampi dibaca dan seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata

“ Perahu ini tidak akan dapat diturunkan jika tidak digalang dengan

tubuh manusia. Tetapi yang menjadi galangan itu mestilah anak atau

saudara tuanku. Orang lain tidak boleh!”

Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar.

Tidak ada seorang pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan

nyawanya untuk pelancaran perahu tersebut.


Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang

sedang mengandung tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara

kepada Raja Tua. Perempuan muda itu berbaring di atas tilam dan

bantal yang dibentangkan di haluan perahu. Semua rakyat dan

kerabat diraja menangis melihatkan perempuan muda yang begitu

berani mengorbankan nyawanya demi kepentingan Raja Tua.

Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh

batang lidi dan rapat ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu

itu pun ditolak ke laut. Sekali lagi telah berlaku keanehan. Dengan

mudah, perahu itu dapat ditolak ke dalam air.

Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua

berlari-lari mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak

saudaranya itu tidak mendapat apa-apa kecederaan. Oleh kerana

keberaniannya, Raja Tua telah menurunkan semua harta pusaka

kepada anak saudara perempuannya itu.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.

Sekian, terima kasih.


TAJUK :HARIMAU YANG TAMAK

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,

para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta

rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada

hari ini ialah

Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada

penghuni rimba bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak

mereka kepada baginda. Binatang-binatang dalam hutan itu pun

mengadap Maharaja Singa. Masing-masing membawa permintaan.

Tiap-tiap permintaan itu dikabulkan oleh baginda.

Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu,

timbullah rasa tamak di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki

aku lebih murah daripada sekarang. Aku tidak mahu makan tiga kali

sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari. Kalau aku dapat

makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada Singa.”

Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap

Maharaja Singa.

“Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah

kehendak engkau?” Harimau terkejut mendengar suara Singa yang

bengis itu. Hatinya berdebar-debar.

“Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau

tergagap-gagap.

“Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.


“Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.

“Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan

kabulkan permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki

tujuh haru sekali,” kata Singa.

Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia

hendak mengatakan tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan

tujuh hari sekali. “ Tuanku…Patik…Patik…”

“Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya

boleh mengemukakan satu permohonan sahaja. Permohonan engkau

tadi telah pun beta kabulkan.

Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali.

Itulah sebabnya perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak

bermaya.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai