Anda di halaman 1dari 7

TAJUK : ARNAB DENGAN BUAYA

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini
ialah Arnab Dengan Buaya.
        Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor
daripada arnab-arnab itu sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan
putih melepak. Giginya pula tersusun rapi dan putih berseri. Sahabat
handai dan binatang-binatang lain di dalam hutan itu selalu memuji
kecantikan gigi arnab ini.
        Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi
semakin sombong. Ia mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik
di dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-haiwan lain mula menjauhkan diri
daripadanya. Oleh kerana tiada sesiapa lagi yang suka berbual
dengannya, arnab itu selalu berjalan sendirian.
        Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak
seekor buaya sedang berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan
tidak berani mendekati buaya itu.
        “Hai Arnab, cantik sungguh gigi  ! Kalau gigi aku juga begitu
cantik, sudah pasti aku boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu
kepada arnab. Arnab berasa sungguh gembira kerana sudah lama dia
tidak mendengar pujian begitu.
“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu
lagi. Arnab berasa bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab
berkata, “Engkau mesti banyak makan sayur-sayuran dan jangan
makan daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau
tolong periksa gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya
lagi. Tanpa berfikir panjang, arnab pun menghampiri buaya lalu
memeriksa gigi buaya satu demi satu. Tanpa berlengah-lengah lagi,
buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu. Maka tamatlah
riwayat arnab yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.
Sekian, terima kasih.
TAJUK : PENEBANG KAYU DENGAN ANAKNYA

        Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan
sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Penebang Kayu
Dengan Anaknya.
        Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang miskin .
Penebang kayu itu mempunyai seorang bapa yang telah tua lagi uzur dan seorang
anak. Pada suatu hari, penebang kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya
ke dalam hutan dan membiarkannya tinggal di situ.
        “Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya tentang ayah?” tanya
isteri penebang kayu.
        “Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk menghabiskan
sisa-sisa hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang kayu dan isterinya tidak
sedar bahawa percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.
        Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pecan untuk membeli sebuah
bakul yang besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu pun memasukkan
bapanya ke dalam bakul tersebut.
        “Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.
        “Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan sentiasa
sibuk.Kami ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di sana, ayah akan
dijaga dengan baik,” kata penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut.
Orang tua itu berasa sedih dan mengerti maksud anaknya. Penebang kayu itu pun
memikul ayahnya berjalan kearah hutan.
        Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan, anak
penebang kayu itu menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”
        “Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.
        “Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua
kelak, saya akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
        Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia tunduk
sambil berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun berkata kepada anaknya.
“Marilah kita pulang ke rumah.”     
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,
terima kasih.
                                                  

         
TAJUK : PUTERI SULUNG DAN PUTERI BONGSU

          Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi


majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi
serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan
pada hari ini ialah Puteri Sulung Dan Puteri Bongsu.
        Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar
yang amat cantik. Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan
berdarah putih dan amat disayangi oleh raja.
        Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai
kepengetahuan Raja Tinggi. Raja Tinggi pun menghantar rombongan
untuk meminang Puteri Bongsu. Raja Ambun menjadi serba salah.
Kalau pinangan itu ditolak, tentu akan berlaku peperangan. Tetapi,
kalau pinangan itu diterima, baginda akan dukacita sepanjang hayat
kerana baginda amat kasih kepada Puteri Bongsu.
        Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan
Puteri Sulung. “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar.
“Raja Tinggi tidak pernah melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri
Sulung mengaku yang dia bernama Puteri Bongsu,” Akhirnya pinangan
Raja Tinggi itu pun di terima.
        Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang
disangkanya Puteri Bongsu itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung
telah terluka akibat terkena pisau. Luka itu berdarah dan darahnya
berwarna merah. Raja Tinggi berasa terkejut kerana darah itu tidak
berwarna putih. 
         “Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya
Raja Tinggi sambil menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar. “
Adinda ialah kakak kepada Puteri Bongsu,”
        Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita
akan serang negeri Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.
        Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk
menundukkan negeri Ambun.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.
Sekian, terima kasih.
TAJUK : AMPAI-AMPAI DAN PUTERI LAUT

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang
arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Ampai-ampai Dan Puteri Laut.
        Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat setia kepada
rajanya. Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah ditugaskan oleh raja untuk
menjaga puteri baginda yang sangat cantik.
        Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai bersama
beberapa orang dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar yang dimiliki oleh
seorang putera raja yang kacak telah berlabuh di tepi pantai itu. Putera raja
terpesona melihat kecantikan puteri Raja Laut. Puteri Raja Laut pun demikian
juga apabila terlihat putera raja yang gagah perkasa dan kacak itu.
        Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki kapalnya yang
sedang berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada dayang-dayangnya, puteri
itu pun naik ke kapal putera raja. Putera raja mengerahkan kelasi-kelasinya
supaya menaikkan layar  dan segera belayar meninggalkan pantai itu.
        Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju ke pantai
tetapi kapal itu sudah pun  meninggalkan pantai. Ampai-ampai pun pulang ke
istana lalu menceritakan kejadian itu kepada Raja Laut.
        Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu lalu
memukul tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya. Setelah itu
Raja Laut menbuangkan Ampai-ampai ke tepi laut.
        “Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada beta,”
titah baginda.
        Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut pada
ranting-ranting kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-ampai tidak bertulang
hingga sekarang ini dan sepanjang masa tersidai pada ranting-ranting kayu di gigi
air. Kononnya, dia akan menunggu di tempat begitu sehingga Puteri Raja Laut itu
lalu di situ dan pulang kepada ayahandanya. Demikianlah kawan-kawan
berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.
TAJUK : PEREMPUAN MUDA YANG BERANI

 Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang
arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Perempuan Muda Yang Berani.
        Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua. Baginda telah
menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar. Setelah perahu itu
siap, baginda pun telah mengadakan upacara untuk melancarkan perahu itu ke
laut. Rakyat negeri itu telah dikerahkan untuk menolak perahu ke laut tetapi
anehnya perahu itu sedikit pun tidak bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat
hairan lalu memanggil anak angkatnya Balun yang tahu akan bermacam-macam
ilmu.
        Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi dibaca
dan seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini tidak akan dapat
diturunkan jika tidak digalang dengan tubuh manusia. Tetapi yang menjadi
galangan itu mestilah anak atau saudara tuanku. Orang lain tidak boleh!”
        Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar. Tidak ada
seorang pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan nyawanya untuk
pelancaran perahu tersebut.
        Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang sedang
mengandung tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara kepada Raja Tua.
Perempuan muda itu berbaring di atas tilam dan bantal yang dibentangkan di
haluan perahu. Semua rakyat dan kerabat diraja menangis melihatkan perempuan
muda yang begitu berani mengorbankan nyawanya demi kepentingan Raja Tua.
        Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh batang lidi dan
rapat ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu pun ditolak ke laut.
Sekali lagi telah berlaku keanehan. Dengan mudah, perahu itu dapat ditolak ke
dalam air.
        Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua berlari-lari
mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak saudaranya itu tidak
mendapat apa-apa kecederaan. Oleh kerana keberaniannya, Raja Tua telah
menurunkan semua harta pusaka kepada anak saudara perempuannya itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima
kasih.
TAJUK : HARIMAU YANG TAMAK

       Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim
yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian.
Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang Tamak.
        Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni
rimba bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada
baginda. Binatang-binatang dalam hutan itu pun mengadap Maharaja Singa.
Masing-masing membawa permintaan. Tiap-tiap permintaan itu dikabulkan oleh
baginda.
        Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa
tamak di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada
sekarang. Aku tidak mahu makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan
tujuh kali sehari. Kalau aku dapat makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan
lebih kuat daripada Singa.”
        Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja
Singa.
        “Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah kehendak
engkau?” Harimau terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya
berdebar-debar.
        “Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-gagap.
        “Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
        “Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
        “Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan
permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh haru sekali,”
kata Singa.
        Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak
mengatakan tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali. “
Tuanku…Patik…Patik…”
        “Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh
mengemukakan satu permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta
kabulkan.
        Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah
sebabnya perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya. Demikianlah
kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai