Anda di halaman 1dari 14

TAJUK 

                  : SINGA YANG SOMBONG


 Assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh dan
Salam Sejahtera.
Terima kasih Pengerusi Majlis
Yang saya hormati para hakim, guru-guru dan rakan-
rakan sekalian.
 Saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk “
Singa yang Sombong”.
Yang terlena, sedar-sedarkan.
Yang tersedar, dengar-dengarkan
Yang terdengar fikir-fikirkan.
          Dalam sebuah hutan, tinggal seekor singa yang
sombong. Badannya yang besar dan kuat menyebabkan
semua haiwan takut kepadanya. Banyak haiwan yang
telah menjadi mangsanya.
          Suatu hari, semua haiwan di rimba telah
mengadakan satu  perjumpaan. Mereka berbincang
bagaimana untuk menewaskan singa yang ganas lagi
sombong itu.  Tiba-tiba Sang Kancil bangun dan
bersuara.
          “ Wahai kawan-kawan, kehidupan kita sekarang
semakin terancam. Semakin lama, semakin ramai kawan
kita yang menjadi mangsa singa yang zalim itu. Oleh itu
marilah kita  sama-sama berfikir, bagaimana hendak
menewaskan singa itu.
          “ Ya, kami sedia membantu” jawab haiwan yang
lain.
          “ Siapa  ada cadangan, silakan” kata Sang Kancil
          Semua terdiam. Tiba-tiba tebuan bersuara, “
Wahai kawan-kawan, biarlah saya cuba menewaskan
singa itu.”
          Haiwan lain ketawa sambil memperkecilkan
kebolehan Tebuan.
          “Selain saya, siapakah yang berani menawarkan
diri, silakan.” Tebuan mencabar kawan-kawannya.
Masing-masing tunduk diam.

          “Oleh kerana tidak ada haiwan lain yang berani


menentang Singa, marilah kita sama-sama menyokong
Sang Tebuan sebagai wira kita.” Kata Sang Kancil  dan
disambut dengan tepukan yang gemuruh oleh penghuni
rimba itu.
          Pada keesokan harinya, semua penghuni rimba
keluar untuk menyaksikan pertarungan antara Singa dan
Tebuan.  Tiba di suatu tempat, mereka tenampak Singa
masih tidur di bawah pokok. Lalu Tebuan pun terbang
menghampiri Singa.
          “ Hai Singa yang zalim. Hari ini aku mencabar
engkau untuk berlawan denganku.” Kata Tebuan dengan
berani.
“ Engkau nak berlawan dengan aku?” Tanya Singa itu
sambil ketawa.
“ Belum cuba, belum tahu.Walaupun aku kecil, tapi
dengan azam yang kuat, aku akan dapat menewaskan
kemalasanmu yang besar.” Jawab Tebuan penuh
semangat.
          “ Baiklah, kalau engkau berani, marilah.” Kata
Singa.
          Dengan pantas, Tebuan terbang mengelilingi
Singa itu. Singa itu berpusing-pusing untuk menampar
Tebuan tetapi tidak berjaya. Lama kelamaan Singa itu
menjadi letih. Tebuan  mengambil kesempatan ini.
Dengan pantas ia masuk ke dalam lubang hidung singa
yang luas itu. Lalu menyengat Singa itu dari lubang
hidungnya.
          Singa itu meraung kesakitan. Ia bersin beberapa
kali tetapi tidak berjaya mengeluarkan Tebuan. Semakin
lama, semakin kuat gigitan Tebuan itu.
          Tidak lama kemudian, Singa itupun mati kesakitan
yang amat sangat. Semua binatang bersorak
kegembiraan. Mereka menyanjung keberanian tebuan
itu.
          Ingat kawan-kawan,
1.   Orang yang besar tidak semestinya kuat dan orang
yang kecil tidak semestinya lemah.
2.     Kita tidak boleh bersikap malas berusahalah
3.   Kita mesti berusaha jika ingin Berjaya

Sebelum mengundur diri mari kita fikirkan.... kecik


jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa... akal
yang cerdik dan semangat kental dapat mengalahkan
kekuatan fizikal..
          Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi
majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang
dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.
        Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah
seekor daripada arnab-arnab itu sungguh cantik. Bulunya lebat,
lembut dan putih melepak. Giginya pula tersusun rapi dan putih
berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain di dalam
hutan itu selalu memuji kecantikan gigi arnab ini.
        Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu
menjadi semakin sombong. Ia mula berlagak seolah-olah ialah
yang tercantik di dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-haiwan lain
mula menjauhkan diri daripadanya. Oleh kerana tiada sesiapa
lagi yang suka berbual dengannya, arnab itu selalu berjalan
sendirian.
        Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia
ternampak seekor buaya sedang berjemur di tebing. Arnab
berasa takut dan tidak berani mendekati buaya itu.
        “Hai Arnab, cantik sungguh gigi  ! Kalau gigi aku juga
begitu cantik, sudah pasti aku boleh menjadi raja di laut.” Kata
buaya itu kepada arnab. Arnab berasa sungguh gembira kerana
sudah lama dia tidak mendengar pujian begitu.
“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya
buaya itu lagi. Arnab berasa bangga dengan pujian itu. Sambil
tersenyum, arnab berkata, “Engkau mesti banyak makan sayur-
sayuran dan jangan makan daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah
engkau tolong periksa gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,”
kata buaya lagi. Tanpa berfikir panjang, arnab pun menghampiri
buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi satu. Tanpa
berlengah-lengah lagi, buaya terus menutup mulutnya dan
menelan arnab itu. Maka tamatlah riwayat arnab yang
mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu. Demikianlah
kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,
terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi
majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang
dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Penebang Kayu Dengan
Anaknya.
        Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu
yang miskin . Penebang kayu itu mempunyai seorang bapa yang
telah tua lagi uzur dan seorang anak. Pada suatu hari, penebang
kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya ke dalam hutan
dan membiarkannya tinggal di situ.
        “Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya
tentang ayah?” tanya isteri penebang kayu.
        “Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong
untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya,” kata penebang kayu
itu. Penebang kayu dan isterinya tidak sedar bahawa
percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.
        Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pecan untuk
membeli sebuah bakul yang besar. Sebaik sahaja waktu senja,
penebang kayu itu pun memasukkan bapanya ke dalam bakul
tersebut.
        “Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.
        “Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami
miskin dan sentiasa sibuk.Kami ingin membawa ayah ke tempat
yang selamat. Di sana, ayah akan dijaga dengan baik,” kata
penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut. Orang tua
itu berasa sedih dan mengerti maksud anaknya. Penebang kayu
itu pun memikul ayahnya berjalan kearah hutan.
        Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada
pandangan, anak penebang kayu itu menjerit, “ Ayah, jangan
lupa bawa balik bakul itu semula!”
        “Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.
        “Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut,
“Apabila ayah tua kelak, saya akan gunakan bakul itu untuk
memikul ayah pula.”
        Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh
bergerak. Dia tunduk sambil berfikir. Selepas beberapa ketika,
dia pun berkata kepada anaknya. “Marilah kita pulang ke
rumah.”     
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada
kali ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Puteri Sulung Dan Puteri Bongsu.
        Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar
yang amat cantik. Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan berdarah
putih dan amat disayangi oleh raja.
        Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai
kepengetahuan Raja Tinggi. Raja Tinggi pun menghantar rombongan
untuk meminang Puteri Bongsu. Raja Ambun menjadi serba salah. Kalau
pinangan itu ditolak, tentu akan berlaku peperangan. Tetapi, kalau
pinangan itu diterima, baginda akan dukacita sepanjang hayat kerana
baginda amat kasih kepada Puteri Bongsu.
        Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan
Puteri Sulung. “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar.
“Raja Tinggi tidak pernah melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri
Sulung mengaku yang dia bernama Puteri Bongsu,” Akhirnya pinangan
Raja Tinggi itu pun di terima.
        Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang
disangkanya Puteri Bongsu itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung telah
terluka akibat terkena pisau. Luka itu berdarah dan darahnya berwarna
merah. Raja Tinggi berasa terkejut kerana darah itu tidak berwarna
putih. 
         “Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya
Raja Tinggi sambil menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar. “
Adinda ialah kakak kepada Puteri Bongsu,”
        Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita akan
serang negeri Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.
        Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk menundukkan
negeri Ambun.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.
Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Ampai-ampai Dan Puteri Laut.
        Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat setia
kepada rajanya. Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah ditugaskan
oleh raja untuk menjaga puteri baginda yang sangat cantik.
        Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai
bersama beberapa orang dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar
yang dimiliki oleh seorang putera raja yang kacak telah berlabuh di tepi
pantai itu. Putera raja terpesona melihat kecantikan puteri Raja Laut.
Puteri Raja Laut pun demikian juga apabila terlihat putera raja yang
gagah perkasa dan kacak itu.
        Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki
kapalnya yang sedang berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada
dayang-dayangnya, puteri itu pun naik ke kapal putera raja. Putera raja
mengerahkan kelasi-kelasinya supaya menaikkan layar  dan segera
belayar meninggalkan pantai itu.
        Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju ke
pantai tetapi kapal itu sudah pun  meninggalkan pantai. Ampai-ampai pun
pulang ke istana lalu menceritakan kejadian itu kepada Raja Laut.
        Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu
lalu memukul tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya.
Setelah itu Raja Laut menbuangkan Ampai-ampai ke tepi laut.
        “Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada
beta,” titah baginda.
        Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut
pada ranting-ranting kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-ampai
tidak bertulang hingga sekarang ini dan sepanjang masa tersidai pada
ranting-ranting kayu di gigi air. Kononnya, dia akan menunggu di tempat
begitu sehingga Puteri Raja Laut itu lalu di situ dan pulang kepada
ayahandanya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada
kali ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Perempuan Muda Yang Berani.
        Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua.
Baginda telah menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar.
Setelah perahu itu siap, baginda pun telah mengadakan upacara untuk
melancarkan perahu itu ke laut. Rakyat negeri itu telah dikerahkan
untuk menolak perahu ke laut tetapi anehnya perahu itu sedikit pun
tidak bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat hairan lalu memanggil
anak angkatnya Balun yang tahu akan bermacam-macam ilmu.
        Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi
dibaca dan seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini
tidak akan dapat diturunkan jika tidak digalang dengan tubuh manusia.
Tetapi yang menjadi galangan itu mestilah anak atau saudara tuanku.
Orang lain tidak boleh!”
        Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar.
Tidak ada seorang pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan
nyawanya untuk pelancaran perahu tersebut.
        Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang
sedang mengandung tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara
kepada Raja Tua. Perempuan muda itu berbaring di atas tilam dan bantal
yang dibentangkan di haluan perahu. Semua rakyat dan kerabat diraja
menangis melihatkan perempuan muda yang begitu berani mengorbankan
nyawanya demi kepentingan Raja Tua.
        Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh
batang lidi dan rapat ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu
pun ditolak ke laut. Sekali lagi telah berlaku keanehan. Dengan mudah,
perahu itu dapat ditolak ke dalam air.
        Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua
berlari-lari mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak
saudaranya itu tidak mendapat apa-apa kecederaan. Oleh kerana
keberaniannya, Raja Tua telah menurunkan semua harta pusaka kepada
anak saudara perempuannya itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,
terima kasih.

      
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Harimau Yang Tamak.
        Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada
penghuni rimba bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak
mereka kepada baginda. Binatang-binatang dalam hutan itu pun
mengadap Maharaja Singa. Masing-masing membawa permintaan. Tiap-
tiap permintaan itu dikabulkan oleh baginda.
        Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu,
timbullah rasa tamak di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki
aku lebih murah daripada sekarang. Aku tidak mahu makan tiga kali
sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari. Kalau aku dapat
makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada Singa.”
        Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap
Maharaja Singa.
        “Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah
kehendak engkau?” Harimau terkejut mendengar suara Singa yang
bengis itu. Hatinya berdebar-debar.
        “Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-
gagap.
        “Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
        “Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
        “Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan
kabulkan permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki
tujuh haru sekali,” kata Singa.
        Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak
mengatakan tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari
sekali. “ Tuanku…Patik…Patik…”
        “Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh
mengemukakan satu permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah
pun beta kabulkan.
        Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali.
Itulah sebabnya perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak
bermaya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali
ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai