Anda di halaman 1dari 5

CONTOH2 CERITA UNTUK PERTANDINGAN BERCERITA

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.
        Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor daripada arnab-arnab itu
sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan putih melepak. Giginya pula tersusun rapi dan
putih berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain di dalam hutan itu selalu memuji
kecantikan gigi arnab ini.
        Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi semakin sombong. Ia
mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik di dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-haiwan
lain mula menjauhkan diri daripadanya. Oleh kerana tiada sesiapa lagi yang suka berbual
dengannya, arnab itu selalu berjalan sendirian.
        Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak seekor buaya sedang
berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak berani mendekati buaya itu.
        “Hai Arnab, cantik sungguh gigi  ! Kalau gigi aku juga begitu cantik, sudah pasti aku
boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu kepada arnab. Arnab berasa sungguh gembira
kerana sudah lama dia tidak mendengar pujian begitu.
“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu lagi. Arnab berasa
bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, “Engkau mesti banyak makan
sayur-sayuran dan jangan makan daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau tolong periksa
gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya lagi. Tanpa berfikir panjang, arnab pun
menghampiri buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi satu. Tanpa berlengah-lengah lagi,
buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu. Maka tamatlah riwayat arnab yang
mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya
cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

        Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Penebang Kayu Dengan Anaknya.
        Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang miskin . Penebang kayu
itu mempunyai seorang bapa yang telah tua lagi uzur dan seorang anak. Pada suatu hari,
penebang kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya ke dalam hutan dan membiarkannya
tinggal di situ.
        “Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya tentang ayah?” tanya isteri
penebang kayu.
        “Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk menghabiskan sisa-sisa
hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang kayu dan isterinya tidak sedar bahawa
percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.
        Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pecan untuk membeli sebuah bakul yang
besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu pun memasukkan bapanya ke dalam
bakul tersebut.
        “Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.
        “Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan sentiasa sibuk.Kami
ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di sana, ayah akan dijaga dengan baik,” kata
penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut. Orang tua itu berasa sedih dan mengerti
maksud anaknya. Penebang kayu itu pun memikul ayahnya berjalan kearah hutan.
        Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan, anak penebang kayu itu
menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”
        “Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.
        “Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua kelak, saya
akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
        Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia tunduk sambil berfikir.
Selepas beberapa ketika, dia pun berkata kepada anaknya. “Marilah kita pulang ke
rumah.”     
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.
                                                  

         

          Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Puteri Sulung Dan Puteri Bongsu.
        Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar yang amat cantik.
Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan berdarah putih dan amat disayangi oleh raja.
        Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai kepengetahuan Raja Tinggi.
Raja Tinggi pun menghantar rombongan untuk meminang Puteri Bongsu. Raja Ambun
menjadi serba salah. Kalau pinangan itu ditolak, tentu akan berlaku peperangan. Tetapi, kalau
pinangan itu diterima, baginda akan dukacita sepanjang hayat kerana baginda amat kasih
kepada Puteri Bongsu.
        Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan Puteri
Sulung.  “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar. “Raja Tinggi tidak pernah
melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri Sulung mengaku yang dia bernama Puteri
Bongsu,” Akhirnya pinangan Raja Tinggi itu pun di terima.
        Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang disangkanya Puteri Bongsu
itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung telah terluka akibat terkena pisau. Luka itu berdarah
dan darahnya berwarna merah. Raja Tinggi berasa terkejut kerana darah itu tidak berwarna
putih. 
         “Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya Raja Tinggi sambil
menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar. “ Adinda ialah kakak kepada Puteri
Bongsu,”
        Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita akan serang negeri
Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.
        Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk menundukkan negeri Ambun.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Ampai-ampai Dan Puteri Laut.
        Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat setia kepada rajanya.
Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah ditugaskan oleh raja untuk menjaga puteri
baginda yang sangat cantik.
        Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai bersama beberapa orang
dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar yang dimiliki oleh seorang putera raja yang kacak
telah berlabuh di tepi pantai itu. Putera raja terpesona melihat kecantikan puteri Raja Laut.
Puteri Raja Laut pun demikian juga apabila terlihat putera raja yang gagah perkasa dan kacak
itu.
        Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki kapalnya yang sedang
berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada dayang-dayangnya, puteri itu pun naik ke kapal
putera raja. Putera raja mengerahkan kelasi-kelasinya supaya menaikkan layar  dan segera
belayar meninggalkan pantai itu.
        Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju ke pantai tetapi kapal itu
sudah pun  meninggalkan pantai. Ampai-ampai pun pulang ke istana lalu menceritakan
kejadian itu kepada Raja Laut.
        Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu lalu memukul tubuh
Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya. Setelah itu Raja Laut menbuangkan
Ampai-ampai ke tepi laut.
        “Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada beta,” titah baginda.
        Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut pada ranting-ranting
kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-ampai tidak bertulang hingga sekarang ini dan
sepanjang masa tersidai pada ranting-ranting kayu di gigi air. Kononnya, dia akan menunggu
di tempat begitu sehingga Puteri Raja Laut itu lalu di situ dan pulang kepada ayahandanya.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.
 Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Perempuan Muda Yang Berani.
        Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua. Baginda telah menyuruh
rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar. Setelah perahu itu siap, baginda pun telah
mengadakan upacara untuk melancarkan perahu itu ke laut. Rakyat negeri itu telah
dikerahkan untuk menolak perahu ke laut tetapi anehnya perahu itu sedikit pun tidak bergerak
dari tempatnya. Raja Tua sangat hairan lalu memanggil anak angkatnya Balun yang tahu akan
bermacam-macam ilmu.
        Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi dibaca dan seluruh
perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini tidak akan dapat diturunkan jika tidak
digalang dengan tubuh manusia. Tetapi yang menjadi galangan itu mestilah anak atau saudara
tuanku. Orang lain tidak boleh!”
        Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar. Tidak ada seorang pun
anak kerabat raja yang hendak mengorbankan nyawanya untuk pelancaran perahu tersebut.
        Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang sedang mengandung
tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara kepada Raja Tua. Perempuan muda itu
berbaring di atas tilam dan bantal yang dibentangkan di haluan perahu. Semua rakyat dan
kerabat diraja menangis melihatkan perempuan muda yang begitu berani mengorbankan
nyawanya demi kepentingan Raja Tua.
        Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh batang lidi dan rapat ke
perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu pun ditolak ke laut. Sekali lagi telah berlaku
keanehan. Dengan mudah, perahu itu dapat ditolak ke dalam air.
        Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua berlari-lari mendapatkan
anak saudaranya dan mendapati anak saudaranya itu tidak mendapat apa-apa kecederaan.
Oleh kerana keberaniannya, Raja Tua telah menurunkan semua harta pusaka kepada anak
saudara perempuannya itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.
       Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang Tamak.
        Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni rimba bahawa
mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada baginda. Binatang-binatang
dalam hutan itu pun mengadap Maharaja Singa. Masing-masing membawa permintaan. Tiap-
tiap permintaan itu dikabulkan oleh baginda.
        Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa tamak di hati
harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada sekarang. Aku tidak
mahu makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari. Kalau aku dapat
makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada Singa.”
        Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja Singa.
        “Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah kehendak engkau?”
Harimau terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya berdebar-debar.
        “Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-gagap.
        “Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
        “Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
        “Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan permintaan
engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh haru sekali,” kata Singa.
        Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak mengatakan tujuh kali
sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali. “ Tuanku…Patik…Patik…”
        “Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh mengemukakan satu
permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta kabulkan.
        Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah sebabnya perut
Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya
cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai