Anda di halaman 1dari 12

PENGENALAN

Perbahasan mengenai prinsip perundangan tanah air selama ini mengabaikan konsep
kedaulatan watan yang dijunjung oleh Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya pelbagai
dakwaan dilontarkan termasuklah bahawa Malaysia adalah sebuah negara bukan Islam dan
kedaulatan Raja-raja Melayu sudah terhapus. Justeru, kajian ini adalah bertujuan untuk
menghuraikan konsep kedaulatan watan dari sudut legasi dan legitimasi dalam kerangka
Perlembagaan Persekutuan. Kajian menumpukan konsep kedaulatan Rajaraja Melayu dan
implikasinya berasaskan kerangka watan. Kajian ini menggunakan metod kualitatif sejarah
perundangan. Data terkumpul terdiri daripada sumber primer, sekunder dan temubual.
Data-data tersebut dianalisis dengan memberi penekanan kepada pemeriksaan sejarah
kedaulatan watan, kelangsungan legitimasinya merentasi tempoh campur tangan kuasa-
kuasa asing dan kesahannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Hasil kajian mendapati
kedaulatan Raja-raja Melayu pada hari ini dipusakai daripada Kesultanan Melayu Melaka
yang berteraskan ajaran Islam dan ia tidak pernah terungkai. Justeru, kedaulatan
bersumberkan Islam merupakan kaedah pentafsiran paling sahih kedaulatan watan. Melalui
pentafsiran tersebut, ia dapat menghuraikan kedudukan sebenar kedaulatan Raja-raja
Melayu, prinsip kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan pemakaian undang-undang
dalam kerangka prinsip keluhuran perlembagaan. Pentafsiran sedemikian mengharmonikan
antara kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan undang-undang Islam dengan
peruntukan-peruntukan lain Perlembagaan Persekutuan. Dapatan di atas dapat
membimbing ahli-ahli politik dan perundangan untuk memberi tafsiran Perlembagaan
Persekutuan dalam kerangka watan dan ia didapati mampu menjawab secara tuntas isu-isu
sensitif terutamanya kedudukan kedaulatan Raja-raja Melayu dan pemakaian prinsip
perundangan Islam. Hasil kajian ini juga dapat dijadikan premis untuk menjustifikasikan
penerusan unsur-unsur watan sebagai teras jatidiri negara dan bagi perpaduan nasional.
Justeru, prinsip perundangan dan pelaksanaan sistem politik negara kita hendaklah selaras
dengan konsep kedaulatan yang diwarisi itu.
1. DIFINISI KEDAULATAN
Kedaulatan secara umumnya adalah satu tajuk yang popular dan sering dibahaskan dari
pelbagai sudut. Kedaulatan (sovereignty) diterjemahkan sebagai, “possessing supreme
power or dominion”. Takrifan ‘kedaulatan’ menurut Curzon,”political and legal concept
relating to ultimate authority in a state” menjelaskan bahawa kedaulatan itu adalah konsep
politik dan konsep perundangan bertaraf agung dalam sebuah negeri. Konsep, menurut
Muhammad Abu Bakar, adalah suatu kerangka pemikiran berbingkai besar, apabila disebut
konsep kedaulatan maka ia membicarakan bingkai besar mengenai kerangka yang membina
konsep politik dan perundangan agung dalam sesebuah negara. Pada sudut implikasinya,
konsep itu adalah kerangka pemikiran yang menentukan prinsip perlembagaan sesebuah
negara. Kedaulatan dalam kes Govindrao lawan Negeri M.P, pula ditakrifkan seperti berikut:

“Supremacy in respect of power, dominion or rank; Supreme dominion, authority or


rule. Sovereignty is the right to govern. The term ‘sovereignty’ as applied to States
implies ‘supreme, absolute, uncontrolable power by which any State is governed, and
which resides within itself, whether residing in a single individual or a number of
individuals or in the whole body of the people.’ Thus sovereignty according to its normal
legal connotation is the supreme power which governs the body politic, or society which
constitutes the State and the power is independent of the particular form of
Government whether monarchical, autocratic or democratic”

Keputusan mahkamah di atas mentafsirkan kedaulatan sebagai kuasa paling agung yang
mengawal politik atau masyarakat. Kedudukan ini membolehkan ia berfungsi sebagai
kuasa agung dan berada pada kedudukan yang bebas (independent) dan tidak boleh
dikawal. Kedaulatan inilah yang mendirikan sesebuah negeri, kuasanya bebas dan tidak
terhad dalam mana-mana sistem, sama ada monarki, autokratik mahupun demokrasi.

Kenyataan di atas selari dengan pandangan John Austin yang menyatakan analisis
undang-undang dalam sesebuah negeri perlu dikenal pasti melalui pihak atasan yang
lazimnya diberikan ketaatan. Pihak atasan yang dimaksudkan merujuk pada satu entiti
yang tidak mempunyai kuasa lain di atasnya dalam konteks aliran kuasa arahan. Kedua-
dua penanda iaitu lazim ditaati dan tidak mempunyai kuasa lain di atasnya merupakan
faham konsep kedaulatan menurut John Austin. Kedaulatan juga bersifat penentu dan
mutlak dalam sebuah komuniti politik yang bebas. Entiti yang bersifat atasan juga tidak
boleh dihadkan dan dikekang daripada bertindak kerana ia bersalahan dengan sifat
agung. Kewujudan had dan kekangan akan menunjukkan bahawa entiti itu tertakluk
pada kuasa yang membataskannya, lantaran itu menafikan sifat keagungan. Justeru,
kedaulatan itu adalah kuasa agung dalam politik, penggubalan undang-undang dan
pentadbiran keadilan yang bersifat mutlak, bebas dan tidak boleh dikawal.
Kesemua tafsiran di atas, termasuk kenyataan Austin merupakan panduan untuk
mengenal pasti ciri-ciri kedaulatan yang dijunjung oleh mana-mana kerajaan moden
pada hari ini. Ciri-ciri kedaulatan dalam konteks Malaysia memakai konsep yang sama
kerana ia juga berkait rapat dengan kuasa agung dalam politik, penggubalan undang-
undang dan pentadbiran keadilan. Kedaulatan yang dilembagakan dalam Perlembagaan
Persekutuan dimaktubkan secara khusus dalam Perkara 181. Teks asal Perkara 181(1)
bahagian XIV di bawah topik Menjaga Kedaulatan Raja2 Dll Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu 1957 merekodkan:

181 (1) Dengan tertaluk kepada syarat-syarat Perlembagaan ini, maka kedaulatan,
keutamaan, kuasa-kuasa, dan kekuasaan Raja-Raja dan keutamaan, kuasa-kuasa dan
kekuasaan Undang-undang dan Orang Besar Negeri Sembilan di- dalam negeri-negeri
atau daerah-dearah masing-masing sebagaimana pada masa yang sudah-sudah itu
hendaklah kekal tidak disentuh.

2. KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU

Kedaulatan pada paras umum adalah penguasa agung yang memiliki hak mutlak
untuk menetapkan undang-undang dan sistem politik. Penguasa agung boleh
mendelegat hak penggubalan undang-undang kepada pihak lain tanpa
memperejudiskan posisi agungnya. Kadaulatan dalam Perlembagaan Perseketuan
termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu kedaulatan Raja-
raja Melayu. Analisis dibuat secara mendalam dari sudut sejarah undang-undang
untuk menjelaskan kedaulatan yang dimiliki oleh raja-raja pada 1 Disember 1941
seperti terkandung dalam setiap Perjanjian Negeri 1948. Takrifan kedaulatan seperti
pada 1 Disember 1941 adalah mustahak kerana ia mentafsirkan kedaulatan pada sisi
Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Kepentingan Perkara 181(1)
Perlembagaan Persekutuan amat terserlah kerana peruntukan itu menjelaskan
konsep sebenar kedaulatan negara Malaysia. Dari sisi undang-undang sama ada sivil
atau Islam, kedaulatan itu menentukan keabsahan prinsip-prinsip perlembagaan dan
perundangan sesebuah kerajaan atau negara kerana di situlah letaknya kedaulatan
undang-undang dan keluhuran perlembagaan.
3. KAJIAN

Perlu ditekankan bahawa peruntukan di atas mengenai Perlembagaan Persekutuan yang


masih diguna pakai sehingga kini. Ia menjelaskan bahawa kedaulatan negara Malaysia
adalah berpaksi pada kedudukan Raja-raja Melayu. Tafsiran-tafsiran di atas dijadikan
landasan penghujahan bagi kajian ini. Kedaulatan Raja-raja Melayu perlu diberi tafsiran
yang betul kerana ia mempunyai implikasi undang-undang ke atas prinsip perlembagaan
yang didukung oleh Malaysia. Kesilapan pemakaian konsep kedaulatan boleh
mengakibatkan pembinaan prinsip perlembagaan Malaysia tergelincir daripada kerangka
undang-undang sebenar yang sepatutnya menegakkan ‘rule of law’. Pentafsiran sebenar
kedaulatan Raja-raja Melayu menjadi semakin kritikal kerana pada masa ini timbul
pelbagai tanggapan yang dibuat tentang kedudukan raja-raja dan pemakaian undang-
undang Islam. Ada antaranya mencabar legitimasi unsur-unsur yang selama ini
terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan. Unsur-unsur yang dimaksudkan adalah
Islam, institusi raja, bahasa Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu.

Berbalik kepada Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan, ia menjelaskan bahawa


kedaulatan Raja-raja Melayu adalah, “sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga
kini adalah tetap dan tidak terjejas.” Berdasarkan peruntukan Perkara 181 (1) di atas,
secara harfiah kedaulatan Raja-raja Melayu bersifat ‘telah ada, tetap dan tidak terjejas’
dari sisi berperlembagaan (constitutionally) adalah bermaksud kedaulatan seperti
diwarisi (inherited). Kedaulatan seperti diwarisi itu dinamakan sebagai kedaulatan watan
(indigenous sovereignty) kerana watan itu adalah berakar daripada tanah air dan tanah
air itu bersifat telah ada dan diwarisi. Justeru kedaulatan Raja-raja Melayu itu bukan
sesuatu yang asing, tetapi bercirikan warisan watan.

Sebelum pindaan Perlembagaan 1993, imuniti peribadi dianggap salah satu ciri
kedaulatan Raja-raja Melayu kerana peruntukan itu diletakkan di bawah Perkara 181 (2)
Perlembagaan Persekutuan. Berikutan dengan pindaan ke atas Perkara 181 (2)
Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1993, Raja-raja Melayu boleh dibicarakan dalam
prosiding Mahkamah Khas. Kajian ini menghujahkan bahawa penghapusan imuniti
peribadi itu tidak melucutkan kedaulatan Raja-raja Melayu di bawah Perkara 181
Perlembagaan Persekutuan. Perkara 181 (2) selepas pindaan 1993 berbunyi, “Tiada apa-
apa jua prosiding pun boleh dibawa di dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja
sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan
di bawah Bahagian XV”.
Justeru, ia memerlukan kajian sejarah perundangan untuk mentafsirkan konsep
kedaulatan watan yang menjadi premis kepada kedaulatan Raja-raja Melayu seperti
tersimpul dalam ayat, “sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah
tetap dan tidak terjejas.” Hal ini kerana, seperti dinyatakan oleh Curzon, kedaulatan itu
berasaskan konsep politik dan undang-undang berkaitan dengan kekuasaan agung
dalam sesebuah negeri, pada sisi lain menurut Hinsley, ia bukanlah satu fakta tetapi
konsep yang diguna pakai bagi pelaksanaan kuasa politik. Begitu juga kuasa dan
pengaruh sebenar raja-raja itu terletak pada diri dan institusi, bukan pada peruntukan
perlembagaan dan undang-undang sahaja. Dalam erti kata lain, Raja-raja Melayu masih
memiliki kuasa tersimpan (reserve powers).

Ayat “sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak
terjejas” di bawah Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan juga merupakan
penjelasan bagi kedaulatan Yang di-Pertuan Agong kerana baginda adalah Kepala Utama
Persekutuan (‘supreme head of the Federation’) yang dipilih dalam kalangan sembilan
orang Raja-raja Melayu. Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan
jaminan pengekalan kedaulatan Raja-raja Melayu. Kenyataan itu diakui oleh Mohd Salleh
Abas yang menyatakan, apabila Semenanjung Tanah Melayu merdeka, institusi
pemerintahan beraja diteruskan dan disesuaikan dengan konsep demokrasi
berparlimen.

Pada permulaan Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan itu mengabsahkan


kedudukan kedaulatan watan dalam Perlembagaan Persekutuan dan konsep itu tidak
bercanggah dengan mana-mana peruntukan lain di dalamnya. Ini adalah kerana Perkara
3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan,
Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebagai ketuaketua agama dalam wilayah
masing-masing. Kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan diperkukuhkan lagi
dengan lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual 4 di bawah Perkara 37,
Perkara 11 dan Perkara 150 (5) yang menjamin pengamalan, penyebaran dan
pengekalan ajaran Islam, seterusnya Perkara 32 mengenai kedudukan Yang di-Pertuan
Agong sebagai kepala utama negara dan Perkara 39 yang mengesahkan Yang di-Pertuan
Agong sebagai pemegang kuasa eksekutif Persekutuan. Peruntukan-peruntukan tersebut
bukan sahaja mengesahkan malah mengukuhkan lagi konsep kedaulatan Raja-raja
Melayu bersumberkan watan iaitu seperti pada 1 Disember 1941. Peruntukan-
peruntukan lain seperti berikut:
a. Perkara 38: berkaitan Majlis Raja-Raja
b. Perkara 40: berkaitan pelaksanaan doktrin nasihat dan kuasa budi bicara,
c. Perkara 41: berkaitan pangkat sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera,
d. Perkara 44: berkaitan dengan keanggotaan dalam Parlimen,
e. Perkara 66: berkaitan perjalanan kuasa perundangan,
f. Perkara 70: berkaitan keutamaan protokol dalam Persekutuan,
g. Perkara 122B: berkaitan lantikan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan
hakim- hakim kanan lain,
h. Perkara 150: berkaitan proklamasi darurat, dan
i. Perkara 182: berkaitan dengan Mahkamah Khas

adalah tatacara dalam pelaksanaan konsep kedaulatan Raja-raja Melayu di bawah


Perlembagaan Persekutuan.

HASIL KAJIAN

1. SEJARAH PERUNDANGAN

Undang-undang bertulis pada zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah Hukum Kanun
Melaka yang juga merupakan perlembagaan bertulis pertama. Sebelum digubal Hukum
Kanun Melaka, perundangan Kesultanan Melayu Melaka adalah bersumberkan adat
Melayu, wa’adat Sang sapurba dan titah di-Raja. Apabila Raja Melaka pertama memeluk
agama Islam, al-Qur’an dan al-Sunnah telah mengambil tempat sebagai sumber
perundangan tertinggi Kesultanan Melayu Melaka. Implikasi daripada itu terlihat,
apabila sumber perundangan utama Islam itu mempengaruhi kesinambungan adat
Melayu, termasuklah penggubalan Hukum Kanun Melaka dan undang-undang yang
dikeluarkan secara titah di-Raja.

Perundangan Melaka Tua adalah bersumberkan Adat Melayu dan wa‘adat Sang Sapurba.
Ada pandangan mendakwa bahawa sistem kepercayaan Melayu Tua dipengaruhi oleh
Hindu berdasarkan antaranya mitos-mitos yang disebut dalam Sejarah Melayu, seperti,
nama-nama putera Raja Suran, tempat turun Sang Sapurba tiga bersaudara di Bukit
Siguntang, unsur lembu putih sebagai kenderaan, pemilihan warna-warna emas, perak
dan suasa apabila perubahan warna pada tanaman berlaku dan juga kemunculan batala
daripada muntah lembu. Satu perkara yang jelas, sumber daripada Sejarah Melayu
menafikan konsep deva-raja dalam politik Kerajaan Melayu Tua Melaka. Terdapat
pengakuan Sang Sapurba tiga bersaudara bahawa mereka bukanlah dewa atau daripada
jelmaan jin seperti mana yang membina konsep raja dalam kepercayaan Hindu.

Sarjana British-Malaya seperti Wilkinson pula mendakwa prinsip perundangan Tanah


Melayu dipengaruhi oleh dua buah adat tua dari Sumatera iaitu adat Perpatih dan adat
Temenggung. Adat Temenggung dikatakan berkembang di Tanah Melayu hasil warisan
Palembang yang dipengaruhi tamadun Hindu Tua di Pulau Jawa sehingga menghapuskan
prinsip adat Minangkabau. Ia hadir bersama Parameswara dan dilestarikan oleh baginda
dalam pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Menurut Wilkinson, orang-orang Melayu
di Semenanjung Tanah Melayu berasal dari Minangkabau, Sumatera. Adat Perpatih
dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu apabila mereka berhijrah ke sini. Beliau
berpendapat adat Perpatih adalah adat asli orang-orang Melayu dan bersifat
demokratik.

Pandangan Wilkinson bagaimanapun disanggah oleh Jelani Harun. Menurut beliau,


pembahagian adat Perpatih dan adat Temenggung yang dibuat oleh Wilkinson hanya
untuk membezakan secara mudah antara undang-undang adat Melayu dengan undang-
undang dari Minangkabau. Kajian Jelani Harun menunjukkan tidak ada naskhah Melayu
yang menyebut undang-undang adat Melayu berasal daripada adat Temenggung,
sebaliknya dua-dua adat tadi adalah undang-undang bagi masyarakat Minangkabau.
Jelani Harun menyatakan lebih wajar genre undang-undang Melayu dikenali sebagai
“adat Melayu” kerana ia berasal-usul daripada masyarakat yang zaman berzaman
mendiami Tanah Melayu atau Alam Melayu. Undang-Undang Melaka dan Undang-
Undang Laut Melaka adalah dua buah adat Melayu yang awal, dan ia tiada kaitan
dengan adat Datuk Ketemenggongan dari Minangkabau.

Berasaskan hujah di atas, genre undang-undang Melayu wajarnya dibahagikan seperti


berikut:

a. Undang-undang adat Melayu

Semua naskhah yang lahir daripada adat budaya hidup masyarakat Melayu di Alam
Melayu, termasuk Acheh, Bugis dan lain-lain masyarakat mengamalkan adat Melayu.

b. Undang-undang adat Minangkabau

Semua naskhah adat budaya masyarakat Minangkabau yang diasaskan oleh Datuk
Perpateh dan Datuk Ketemenggongan sama ada ditulis di Minangkabau atau di
luarnya. Termasuk dalam kumpulan ini adat Perpatih dan adat Temenggung yang
menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan dan lain-lain negeri yang
mengamalkan adat Minangkabau di Sumatera.

Selepas campur tangan British dalam Kerajaan-kerajaan Melayu bermula dengan


Perjanjian Pangkor 1874, sehingga kini teori Barat dan prinsip perundangan sivil
dijadikan kerangka untuk mentafsirkan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja
Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini, selain kupasan Wan Ahmad Fauzi
dalam Konsep Kedaulatan Watan Suatu Pengenalan, kajian berkenaan konsep
kedaulatan bersumber undang-undang bertulis dan tidak bertulis pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka masih belum dijadikan kerangka pemikiran untuk
mentafsirkan kedaulatan Raja-raja Melayu. Seperti dijelaskan, Hukum Kanun Melaka
adalah perlembagaan bertulis pertama Kesultanan Melayu Melaka, sebuah empayar
Islam terkemuka pada abad ke-15 yang mempunyai wilayah pemerintahan merangkumi
seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian Sumatera.

Konsep yang dibawa oleh Islam iaitu raja sebagai khalifah (bayangan Allah SWT di bumi)
meletakkan raja sebagai ketua agama, lantas, pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan
menjadi identiti baharu kepada masyarakat Melayu. Bahkan, Islam dikembangkan ke
negeri-negeri naungan Melaka sejak zaman Parameswara lagi. Ciri-ciri Hukum Kanun
Melaka sebagai sebuah perlembagaan pada kaca mata watan, begitu juga pada sudut
tafsiran Barat.

Unsur-unsur tradisi Kesultanan Melayu Melaka yang disebut oleh Mohd Salleh Abas,
Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak keistimewaan orang-orang Melayu, jelas
melambangkan ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, selain daripada
Abdul Aziz Bari, keberadaan unsur-unsur tradisi itu sekadar dirakam sebagai perkara-
perkara yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan Mohd Salleh
Abas dan Aishah Bidin, Abdul Aziz Bari berpendapat bahawa Raja-raja Melayu masih
memiliki kuasa tersimpan (reserve powers) melalui Perkara 181 (1) Perlembagaan
Persekutuan. Namun begitu, Abdul Aziz Bari tidak menjelaskan sifat-sifat atau ciri-ciri
kuasa tersimpan itu juga implikasinya dalam prinsip perlembagaan Malaysia.

Sebelum kedatangan British, kedudukan raja-raja Melayu sebagai bayangan Allah di atas
muka bumi adalah diakui. Dalam konsep tersebut, raja diamanahkan kuasa untuk
melaksanakan pemerintahan berdasarkan undangundang yang diwahyukan Allah SWT
dan menguatkuasakan undang-undang tersebut. Bermula dengan Triti Pangkor, doktrin
nasihat dan lain-lain triti berikutnya, ajaran Islam dipisahkan kepada aspek awam dan
persendirian. British memindahkan kedaulatan pada diri raja, akibatnya konsep
bayangan Allah di atas bumi terhapus. Raja dianggap berdaulat di dalam wilayah
kekuasaannya.

Perbahasan akademik tentang kedaulatan Raja-raja Melayu sejak dahulu sehingga ke


hari ini masih didominasi oleh kerangka undang-undang Barat (western legal
framework). Contoh-contohnya bukan sahaja boleh dilihat pada penulisan sarjana asing,
malah ahli akademik tempatan. Misalnya Mark R. Gillen, meskipun beliau menaratifkan
Perlembagaan Persekutuan sebagai, “the Constitution continued the existing position of
the Rulers by providing that sovereignty, prerogatives, powers and jurisdiction of the
Rulers… as hitherto had and enjoyed shall remain unaffected,” namun, kedaulatan,
keistimewaan, kuasa dan bidang kuasa yang dibincangkan hanya meliputi kekebalan
daripada prosiding undang-undang, jaminan pengekalan keistimewaan, kedudukan,
kemuliaan dan kehormatan, kuasa pengampunan dan syarat-syarat pindaan beberapa
peruntukan fundamental perlembagaan sahaja. Beliau membahaskan kekuasaan Raja-
raja Melayu hanya dari sudut sikap budaya (cultural attitudes) orang-orang Melayu.
Kenyataan-kenyataan di atas dibuat tanpa meneliti dengan mendalam ciri-ciri sebenar
kedaulatan Raja-raja Melayu berdasarkan konsep kedaulatan watan (indigenous
sovereignty). Isu utama bagi mereka untuk menilai kedaulatan raja-raja adalah doktrin
nasihat dan imuniti Raja-raja Melayu. Sekiranya diteliti dari sudut sejarah Kesultanan
Melayu Melaka, doktrin nasihat itu bukan sesuatu yang baru, dan imuniti itu pula tidak
menjadi ciri hakiki Raja-raja Melayu kerana dalam beberapa perlembagaan negeri,
terdapat peruntukan bahawa seorang raja itu boleh dilucutkan jawatan apabila sabit
melakukan kesalahan tertentu.

Sebagai satu contoh Fasal 10 (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959
memperuntukkan, “Jika sekiranya selepas diadakan sepenuh-penuh dan secukup-cukup
penyiasatan adalah difikirkan dan ditetapkan oleh Undang yang Empat bahawa Yang di-
Pertuan Besar selepas baginda naik takhta kerajaan baginda telah mendapat keuzuran
yang amat parah sehingga mencacatkan kelayakan baginda sebagai Yang di-Pertuan
Besar seperti gila, buta, bisu atau mempunyai sifat yang hina yang boleh menyebabkan
baginda tertegah oleh hukum Syarak menjadi Yang di-Pertuan Besar atau pun Yang
Maha Mulia dengan sahihnya telah melakukan perbuatan yang keji atas kesucian,
kehormatan dan kebesaran seorang Yang di-Pertuan Besar atau dengan sengaja tidak
mengendahkan syarat-syarat Perlembagaan ini, maka Undang yang Empat bolehlah
memohonkan supaya baginda: (i) menarikdiri daripada menjalankan kewajipan-
kewajipan baginda selama yang akan ditetapkan oleh Undang yang Empat, atau (ii)
turun daripada takhta kerajaan dan melucutkan kedaulatan-kedaulatan, hak-hak, kuasa-
kuasa dan keutamaan baginda.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, Kuasa eksekutif Persekutuan


hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan
mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah
dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi
kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang,
memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Perkara 39 di atas menjelaskan Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa eksekutif


Persekutuan. Peruntukan itu dari sudut perundangan dan politik meletakkan Yang di-
Pertuan Agong sebagai kuasa tertinggi dalam Persekutuan. Menurut Mohd Salleh Abas,
“sebagai seorang ketua negara, Yang di-Pertuan Agong adalah punca segala kuasa di
Malaysia, baik kuasa membuat undang-undang, kuasa memerintah dan kuasa
kehakiman.” Perkara 39 di atas juga memperuntukkan bahawa, tertakluk pada mana-
mana peruntukan undang-undang dan peruntukan Jadual Kedua, fungsi kuasa eksekutif
boleh dijalankan oleh baginda sendiri, Jemaah Menteri atau oleh mana-mana menteri
yang diberi kuasa oleh badan tersebut. Selain daripada itu, Parlimen juga melalui
undang-undang boleh memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain. Sebagai seorang
raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki melaksanakan kuasa
eksekutif baginda atas nasihat Jemaah Menteri atau oleh menteri yang diberi kuasa oleh
institusi berkenaan. Bagaimanapun, Fasal-fasal (2) dan (3) Perkara 40 mentakrifkan
kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong berada di bawah peruntukan Perlembagaan
Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Negeri pula, Sultan adalah Ketua Negeri yang memegang kuasa
eksekutif negeri. Namun kuasa-kuasa itu perlu dilaksanakan atas nasihat majlis
mesyuarat kerajaan atau menteri besar. Bagaimanapun, nasihat tidak terikat bagi kuasa-
kuasa yang jatuh dalam budi bicara seorang sultan. Akibatnya, prinsip perundangan
Islam terpinggir walaupun Hukum Kanun Melaka dan akidah raja-raja itu sendiri
sebenarnya mendaulatkan Islam sebagai undang-undang watan (Law of the Land).
Antara contoh kekeliruan yang ketara akibat pengabaian konsep kedaulatan watan
adalah tafsiran mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Konsep raja berperlembagaan (‘constitutional monarchy’) walaupun sudah ada


percubaan menghubungkannya dengan warisan watan tetapi belum tuntas untuk
menjustifikasi implikasi kedaulatan Raja-raja Melayu par excellence dalam sistem politik
dan perundangan Malaysia. Akibatnya timbul persepsi popular masa kini bahawa
keagungan atau kedaulatan sistem beraja hanya simbolik kepada warisan Melayu
semata-mata.

Ringkasnya, kedaulatan dalam Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan perlu ditafsirkan


dengan menggunakan kerangka baharu, iaitu mengikut konsep kedaulatan watan kerana
ia diperuntukkan “sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap
dan tidak terjejas.” Dalam Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dan implikasinya
kepada prinsip perlembagaan negara dari sudut pelaksanaan prinsip kuasa eksekutif
Yang di-Pertuan Agong dan pemakaian prinsip perundangan Islam.
KESIMPULAN

Kedaulatan Raja-raja Melayu sehingga hari ini ditafsirkan menurut kerangka pemikiran
Barat. Justeru, apabila imuniti Raja-raja Melayu dihapuskan dan doktrin nasihat dikuat
kuasakan melalui beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan, pandangan popular
berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong kini hanya berkedudukan sebagai payung
rakyat dan lambang perpaduan negara. Manakala bidang kuasa Raja-raja Melayu
dianggap masih berbaki hanya dalam hal ehwal agama Islam yang terletak di bawah
kuasa Negeri. Walau bagaimanapun, pakar perlembagaan seperti Abdul Aziz Bari
berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu masih memiliki
kuasa-kuasa tersimpan (reserve powers) berlandaskan Perkara-perkara 181(1) dan 39
Perlembagaan Persekutuan.

Perbezaan tafsiran, kefahaman dan kesamaran yang timbul dalam memahami prinsip
utama Perlembagaan Persekutuan itu muncul daripada pelbagai faktor. Pengabaian
sejarah perundangan sebagai salah satu kaedah untuk memahami peruntukan
Perlembagaan Persekutuan merupakan satu daripada faktor kemunculan kontradiksi.
Selain itu, kefahaman yang berbeza juga menunjukkan keperluan untuk menerapkan
satu kefahaman sebenar khususnya tentang konsep kedaulatan Raja-raja Melayu di
bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan. Pemerhatian ke atas Perkara 181 (1)
Perlembagaan Persekutuan membuka pintu penyelesaian apabila peruntukan,
“sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas”
berjaya menemukan konsep kedaulatan Raja-raja Melayu bersumberkan watan. Konsep
kedaulatan bersumberkan watan ini didapati tuntas untuk dikemukakan sebagai
kerangka baru bagi menghuraikan kedaulatan Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan
Persekutuan.
RUJUKAN

A. Samad Ahmad (pngr.). 2015. Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. Abdul Aziz Bari & Farid Sufian Shuaib. 2009. Constitution of Malaysia; Text and
Commentary. Ed. ke-3. Selangor: Prentice Hall. Abdul Aziz Bari. 1996. Perlembagaan
sebagai Pernyataan Sejarah dan Nilai-Nilai Asal Negara. Kertas Kerja Kongres Sejarah
Malaysia II. Anjuran Persatuan Sejarah Malaysia dan Jabatan Sejarah UKM. Bangi,
Selangor. 26-28 November 1996. Abdul Monir Yaacob. 2005. Kuasa perundangan dalam
sebuah negara Islam: Kes Malaysia. Dlm. Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, hlm.
523-548. Kuala Lumpur: IKIM. Aiyar, K.J. 1995. Judicial Dictionary. Allahabad: The law
Book Company (P) Ltd. Allen, J. de, Stockwell, A.J. & Wright, L.R. (Ed.). 1981. A Collection
of Treaties and Other Documents Affecting the States of Malaysia. Jil. 2. London: Oceana
Publications. 340 Andaya, B.W. & Andaya, L.Y. 1984. A History of Malaysia. Hong Kong:
Macmillan Press. Andaya, B.W. 2008. Leaves on The Same Tree: Trade a. Anderson, B.
1991. Imagined Communities. London: Verso.

Anda mungkin juga menyukai