Anda di halaman 1dari 4

1. Apakah PBD?

 Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan,
kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif;
sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.

2. Bila PBD bermula?


 PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011. Pada
tahun 2016, PS mula dikenali sebagai PBD.

3. Apakah perbezaan PBD dan PBS?


 PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu
menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen dalam
PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum
(PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

 PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua
mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang
murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan
murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

4. Apakah mata pelajaran yang terlibat dengan PBD?


 Semua mata pelajaran KSSR dan KSSM.

 Pelaksanaan konsep PBD berlaku secara berterusan dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah
rendah dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.

5. Mengapakah PBD penting?


 PBD dapat membantu guru dalam:

i. Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh


ii. Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
iii. Mengetahui keberkesanan pengajaran
iv. Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
v. Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta
6. Bagaimanakah PBD dilaksanakan?
 PBD dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses PdP sepanjang tahun. PBD
dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti:

i. Pemerhatian
ii. Penulisan
iii. Lisan

 Melalui kerja projek, kuiz, pembentangan dan-lain- lain aktiviti pembelajaran, berdasarkan
Standard Prestasi dan pertimbangan profesional guru.

7. Apakah pertimbangan profesional?


 Pertimbangan profesional merupakan satu bentuk keputusan berkaitan pembelajaran murid
yang dibuat oleh guru secara beretika menggunakan pengetahuan, kemahiran dan
pengalaman berdasarkan Standard Prestasi dan data perkembangan penguasaan murid
dalam pembelajarannya.

8. Bagaimanakah PBD dilaporkan?


 Tahap penguasaan murid dalam PBD dilaporkan menggunakan templat pelaporan dalam
fail Excel yang digunakan secara luar talian. Laporan ini digunakan pada peringkat sekolah,
serta dilaporkan kepada murid dan ibu bapa.

9. Bagaimanakah memastikan kualiti pentaksiran bilik darjah yang


dilaksanakan?
 Pihak pentadbir sekolah melakukan pemantauan, manakala guru-guru dalam panitia semua
mata pelajaran melakukan perbincangan dan penyelarasan berkaitan kaedah dan instrumen
pentaksiran yang digunakan. Guru dalam panitia yang sama juga melakukan moderasi
(perbincangan) sesama mereka dalam melakukan pertimbangan profesional terhadap
murid.

10. Siapakah jawatankuasa pemantauan kualiti PBD?


 Jawatankuasa ini dibentuk oleh pihak sekolah, lazimnya dianggotai oleh:

i. Pengetua/Guru Besar
ii. Penolong Kanan Pentadbiran
iii. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
iv. Penolong Kanan KoKurikulum
v. Penolong Kanan Petang
vi. Penolong Kanan Pendidikan Khas
vii. Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Bidang
viii. Ketua Panitia
ix. Guru Cemerlang
x. Jurulatih Utama
xi. Mana-mana guru yang dilantik oleh Pengetua/Guru Besar/JK PBS

11. Berapa kerap PBD perlu dilaporkan?


 Sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

12. Apakah saluran yang disediakan bagi mendapatkan maklumat


berkaitan KSSM?
 Buku Panduan
 Portal http://bpk.moe.gov.my/
 JPN
 PPD

13. Adakah BPK menyediakan rekod transit?


 Tidak. Perekodan boleh dilakukan dalam dokumen seperti rekod mengajar, buku catatan
guru, senarai semak, templat pelaporan Excel atau lain- lain tempat merekod yang sesuai.

14. Adakah BPK menyediakan format pelaporan penguasaan murid


dalam PBD?
 Untuk tujuan pelaporan, templat pelaporan PBD dalam fail Excel yang disediakan dan
dimuat naik ke portal BPK.

15. Adakah templat pelaporan PBD yang baharu ini untuk semua
Tahun dan Tingkatan?
 Templat pelaporan PBD yang baharu akan disediakan mengikut Tahun/ Tingkatan
kurikulum KSSR (Semakan 2017) dan KSSM yang dilaksanakan. Ini bermakna pada tahun
2018, templat pelaporan yang baharu ialah untuk Tahun 1, Tahun 2, Tingkatan 1 dan
Tingkatan 2. Manakala templat pelaporan PBD yang baharu untuk Tahun 3 KSSR
(Semakan 2017) dan Tingkatan 3 KSSM akan dimula digunakan pada tahun 2019.

 Templat pelaporan PBD yang baharu untuk Tahun 4 akan digunakan pada tahun 2020,
Tahun 5 pada tahun 2021 dan Tahun 6 pada tahun 2022.
16. Mengapakah tiada surat siaran atau pekeliling untuk
melaksanakan PBD?
 PBD merupakan sebahagian daripada kurikulum. Kurikulum terdiri daripada kandungan,
pedagogi dan pentaksiran. Pentaksiran ini dinyatakan dalam Dokumen Standard Kurikulum
dan Pentaksiran (DSKP) setiap mata pelajaran. Pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran
berlaku secara serentak dan tidak memerlukan surat pekeliling yang berasingan. Surat
pekeliling bagi melaksanakan KSSR (Semakan 2017) ialah SPI Bil. 8/2016 manakala surat
pekeliling bagi melaksanakan KSSM ialah SPI Bil. 9/2016.

17. Apa perbezaan Tahap Penguasaan Umum dengan Tahap


Penguasaan Keseluruhan?
 Tahap Penguasaan Umum ialah tahap penguasaan yang digunakan oleh semua mata
pelajaran bagi menjadi asas kepada pembangunan Standard Prestasi mata pelajaran
tersebut. Tahap Penguasaan Keseluruhan ialah penentuan satu Tahap Penguasaan dalam
mata pelajaran tersebut pada penghujung sesi persekolahan iaitu pada akhir tahun
persekolahan.

Anda mungkin juga menyukai