Anda di halaman 1dari 2

Sekalung apresiasi saya hulurkan buat saudara pengerusi majlis,

kombinasi intelektual kehakiman bervisi, seterusnya hadirin yang


dihormati sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat
semua.

Hadirin sekalian,

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengatur bicara izinkan saya


mendefinisikan secara konseptual SAYANG BUMI SELAMATKAN GENERASI
sebagai menjaga alam sekitar akan melindungi masyarakat dalam jangka
masa yang panjang. Jika kita renung dan teliti, senario ini mempunyai
aspek yang luas maka pidato saya pada hari ini berpaksikan kepentingan
alam sekitar dalam kehidupan manusia, kesan kemusnahan alam sekitar
dan langkah-langkah mengekalkan kelestarian alam sekitar agar seluruh
organisma di bumi ini dapat hidup dengan selesa dan harmoni.

Warga dewan yang dihormati sekalian,

Alam sekitar ialah sumber keperluan kehidupan kita. Misalnya sungai


merupakan komponen penting dalam kehidupan seharian kerana ia
membekalkan sumber air yang kita gunakan pada setiap masa, Baru-baru
ini kita saksikan, apabila sungai tercemar di ibu kota kita yang tercinta,
beratus ribu orang telah terjejas kehidupan mereka. Begitu juga jika laut
kita tercemar, akan menjejaskan sumber perikanan utama kita.

Seperti yang kita sedia maklum, manusia memerlukan udara yang segar
untuk meneruskan kehidupan yang selesa di samping memberi
ketenangan jiwa kepada manusia sejagat. Selain itu, pembekalan udara
yang segar dapat menghindari pelbagai penyakit seperti asma, stress,
penyakit yang melibatkan paru-paru dan jantung.

Menurut kajian saintifik, pembekalan udara yang segar akan terhalang


sekiranya pencemaran udara berlaku. Hal ini kerana benda asing seperti
habuk, asap dan gas seperti karbon monoksida akan menyebabkan
kepekatan udara dan akan menghasilkan bau-bauan yang tidak
menyenangkan. Oleh itu alam sekitar yang terpelihara akan memastikan
generasi akan datang dapat menikmati bekalan makanan, air dan udara
yang berkualiti.
Warga dewan yang saya muliakan,

Kita sering dipaparkan dengan arus pembangunan ekonomi di seluruh


dunia yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Namun
di sebalik kemajuan ini, masyarakat semakin leka dan mengabaikan alam
sekitar. Bukit-bukau ditarah, tabiat pembuangan sampah yang seolah-
olah tidak dapat diubah, menyebabkan bumi kita merintih dan akhirnya
berlaku banjir kilat di mana-mana, bukit melungsur dan kejadian tanah
runtuh sudah banyak memakan korban di segenap penjuru dunia.

Meningkatnya perindustrian dan pencemaran akibat asap kenderaan di


seluruh dunia menyebabkan meningkatnya karbon monoksida, menjadi
penyebab naiknya suhu global dan akhirnya satu persatu glasier di kutub
utara dan kutub mencair ke laut. Ini mengakibatkan paras air laut
meningkat dan menenggelamkan pulau-pulau kecil serta kota-kota di
pinggir laut yang rendah. Seringkali kita dengar air banjir melimpah
dengan pantas ke tengah kota apabila berlaku air pasang besar yang
disertai hujan lebat.

Sidang hadirin yang saya hormati,

Secara keseluruhannya, marilah kita bersama-sama menggembleng


tenaga, menyumbang usaha, bersatu suara, mengubah minda agar lebih
bertanggungjawab sebagai penghuni planet bumi ini dan memelihara
kelestariannya agar generasi akan datang terus dapat menikmati
keindahan bumi kita ini.

Harus dikejut mana yang lena

Harus ditegur mana yang alpa

Sebelum manusia ditimpa bencana

Sebelum alam mulai bicara

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai