Anda di halaman 1dari 3

Karangan fakta " punca-punca berlakunya pencemaran alam”

Pencemaran alam yang membawa pelbagai akibat buruk semakin berleluasa.


Tulis sebuah karangan tentang punca-punca berlakunya pencemaran alam.

Pencemaran alam seperti pencemaran udara, pencemaran air


dan pencemaran bunyi yang membawa pelbagai akibat buruk semakin
berleluasa sejak akhir-akhir ini. Bumi kian tercemar. Hal ini bertambah
parah dari tahun ke tahun. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan,
namun kita masih menyaksikan kemusnahan demi kemusnahan yang
mendatangkan kemudaratan kepada kita semua.

Terdapat pelbagai punca berlakunya pencemaran alam. Sikap


manusia yang gemar membuang sampah-sarap dan sisa toksid ke
dalam sungai dan sumber air menjadi punca kepada pencemaran air.
Rumah-rumah kediaman dan kilang-kilang yang terletak berhampiran
sungai kebanyakannya mengambil langkah mudah menyalurkan bahan
buangan ke sungai-sungai. Hal ini menyebabkan berlakunya
pencemaran air yang memusnahkan hidupan akuatik.

Pembakaran terbuka, pelepasan asap kenderaan dan asap


kilang-kilang perusahaan pula menjadi punca kepada pencemaran
udara. Asap yang mengandungi karbon monoksida ini amat berbahaya
kepada hidupan. Sebagai contoh, saban tahun negara kita dilanda
jerebu yang teruk berpunca daripada sikap masyarakat yang gemar
melakukan pembakaran terbuka.
Penebangan hutan yang tidak terkawal untuk pembalakan dan
penerokaan kawasan pertanian juga menjadi punca berlakunya
pencemaran alam. Apabila pokok-pokok ditebang, maka banyak
kawasan tadahan musnah. Hal ini menyebabkan berlakunya
pencemaran sungai apabila hujan turun dengan lebat. Lumpur daripada
kawasan hutan yang telah ditebang akan mengalir ke sungai dan
seterusnya dibawa arus ke hilir sungai. Hal ini menyebabkan sungai
menjadi cetek dan tercemar oleh lumpur. Banjir lumpur yang
mengancam nyawa juga mudah berlaku.

Selain itu, bunyi enjin kenderaan dan jentera kilang juga


menyumbang kepada pencemaran bunyi. Pertambahan bilangan
kenderaan dan kilang-kilang perusahaan menyebabkan masalah
pencemaran bunyi semakin parah saban tahun. Keadaan ini boleh
menyebabkan kita hidup dengan suasana yang bising dan tidak selesa.
Lebih parah kita mungkin akan menghadapi masalah pendengaran jika
masalah ini berterusan.

Kesimpulannya, sikap manusialah yang menyebabkan


berlakunya pencemaran alam yang membawa kesan buruk kepada
hidupan. Kita perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk
mengatasi masalah ini. Hindari sikap bagai enau di dalam belukar yang
melepaskan pucuk masing-masing dalam komuniti kita. Sekiranya kita
bersepakat dan bersatu hati,memelihara dan memulihara bumi ini,
pastinya bumi ini akan menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk
didiami.

Anda mungkin juga menyukai