Anda di halaman 1dari 3

KEB2024 Hanya Mengulangi Episod Sama Ekonomi Politik Malaysia

Sudah agak lama saya tidak menulis dan mengulas mengenai tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan.
Hari ini saya terpanggil untuk mengulas mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024)
sebaik membaca laporan berita yang memetik Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi sebagai berkata
74 resolusi dan 150 program yang digariskan semasa KEB2024 telah dimuktamadkan. Sewaktu KEB2024
berlangsung, jadual saya agak padat kerana sedang mengikuti kursus intensif Pelajar Jarak Jauh Universiti
Sains Malaysia.

KEB2024 adalah kesinambungan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang pertama kali diadakan pada
tahun 1965. KEB kali pertama telah mengusulkan penglibatan langsung kerajaan untuk mengatasi
kelemahan Melayu dalam perniagaan. KEB kedua pula diadakan pada tahun 1968 setelah orang Melayu
kecewa terhadap dasar kerajaan ketika itu yang masih mengekalkan status quo dalam aspek ekonomi.
KEB kedua telah mengusulkan penyertaan serius orang Melayu dalam kapitalisme. KEB2024 pula
dikatakan sebagai platform untuk menyuntik kembali ramuan dan penawar supaya ekonomi Bumiputera
dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama kaum lain.

Sungguhpun KEB2024 cuba mengetengahkan beberapa inisiatif namun ianya masih mengekalkan amalan
lama iaitu kaedah atas-ke-bawah (top-down approach) dalam merangka dasar pengupayaan Bumiputera.
KEB2024 ini masih dikawal oleh korporat Bumiputera berstatus kayangan. Segelintir Bumiputera
mahakaya berkumpul, berbincang dan membuat keputusan lalu dibentangkan pula kepada ahli politik.
Ironinya, Anwar Ibrahim pernah berkata zaman ini bukanlah zaman Menteri tahu semuanya.

KEB2024 sepatutnya menghimpunkan dan membenarkan Bumiputera petani di desa, Bumiputera penjaja
kecil tepi jalan, Bumiputera pemain ekonomi gig, dan pelbagai lagi segmen ekonomi untuk berbincang
dan menceritakan realiti sebenar yang dialami mereka agar Kerajaan faham semasak-masaknya akan
kepayahan mereka untuk mencipta kekayaan. KEB2024 juga seharusnya memberikan penekanan kepada
perspektif kelas sosial masyarakat Bumiputera dalam membuat perancangan dan penilaian dalam
merangka dasar dan tindakan yang boleh meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Tidaklah bermakna apabila selepas hampir 60 tahun KEB pertama kali diadakan dan selepas 50 tahun
Dasar Ekonomi Baru diwujudkan, kita masih lagi bercakap soal peratus penyertaan ekonomi Bumiputera
yang bukan sahaja tidak mencapai sasaran bahkan semakin merosot pula. KEB sepatutnya berani
mengemukakan dasar tindakan ekonomi Bumiputera yang jujur untuk memberikan peluang yang lebih
baik bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kepada kelompok Bumiputera di pinggiran seperti
Orang Asli, Orang Ulu Sabah dan Sarawak. Siswazah Bumiputera terus bergelut dengan ketidakpadanan
kerja tetapi anak Bumiputera mahakaya dan anak cucu para Menteri menikmati zaman persekolahan
mereka di sekolah elit luar negara.
Pendekatan atas-ke-bawah (top-down approach) yang dikuasai oleh segelintir Bumiputera mahakaya ini
hanya akan mengulang semula keputusan dasar-dasar tindakan afirmatif Bumiputera yang telah
dilaksanakan sebelum ini. Mungkin akan muncul watak-watak baru elit Bumiputera yang bergantung
kepada politik naungan dalam perspektif ekonomi politik Madani pula. Seperti mana kemunculan watak-
watak “UMNOputera” yang mengawal kek ekonomi sekitar tahun 1980-an dahulu. Bumiputera yang
tidak memiliki naungan politik terus gagal dalam persaingan walaupun mereka jauh lebih berupaya
berbanding segelintir “UMNOputera” yang hanya bersandar kepada amalan politik naungan untuk
memiliki kelebihan dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada berkait perniagaan,
pendidikan dan sebagainya.

Harus kita akui kehandalan UMNO dalam bermain dengan politik naungan dan ekonomi politik. Seperti
yang dikatakan oleh Shamsul Amri (1997), semenjak era pembangunan luar bandar zaman Tun Abdul
Razak lagi, ahli-ahli politik UMNO telah menunjukkan minat mendalam terhadap pembangunan politik
perniagaan sehingga membentuk kefahaman “masuk politik untuk buat duit” ke dalam pemikiran orang
Melayu dan menjadi suatu undang-undang tidak bertulis. Mungkin semenjak bercampur gaul dengan
UMNO, Pakatan Harapan juga menjadi semakin seronok bermain dengan politik naungan dan ekonomi
politik walaupun dengan bertopengkan dasar tindakan afirmatif Bumiputera.

Hari ini kita masih lagi melihat Bumiputera mahakaya yang rapat dengan kekuasaan membenarkan
dirinya dipergunakan oleh kapitalis bukan Bumiputera untuk meraih kontrak perbekalan Kerajaan bernilai
ratusan juta ringgit seperti yang berlaku dalam pemberian kontrak MyGovUC 3.0 kepada Redtone Digital
Berhad. Bahkan, hari ini juga kita mendengar bagaimana Petronas telah meminggirkan Bumiputera dalam
projek solarnya. Tidak sampai seminggu Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 melabuhkan tirainya,
peminggiran Bumiputera telah berlaku dan lebih teruk lagi ia dilakukan oleh sebuah syarikat berkaitan
kerajaan. Inilah contoh bagaimana dasar tindakan afirmatif Bumiputera terus digunakan sebagai alat
untuk melindungi ketamakan mereka untuk mengawal kek ekonomi Bumiputera.

Melihat kepada apa yang berlaku semasa dan selepas KEB2024 diadakan, saya teringat ungkapan Senu
Abd. Rahman dalam Revolusi Mental, “Tetapi di zaman moden ini, yang menjadi hero ialah orang yang
berpakaian kemas, bertali leher, membimbit beg James Bond, bermotokar Jaguar besar (mungkin ada
motokar kedua), bekerja di bilik berhawa dingin, bergaji $2,000 sebulan dan berumah batu besar”.

Kesimpulannya, KEB2024 kekurangan revolusi mental untuk melakukan tindakan berani dalam
mengangkat akar permasalahan Bumiputera. Apakah kita mahu anak cucu kita selepas 50 tahun nanti
masih lagi bergelut dan bercakap mengenai penyertaan Bumiputera dalam ekonomi yang lemah?
Kerajaan harus ingat, setiap dasar dan tindakan kita pada hari ini, kesannya akan muncul di kemudian
hari. Dibimbangi KEB2024 akan mengikut jejak Kerangka Ekonomi Madani yang tidak selari dengan
tindakan Kerajaan. Lain yang dirangka, lain pula penyampaiannya. Insya Allah, saya akan mengulas
mengenai jejak Kerangka Ekonomi Madani dalam realiti hari ini dalam penulisan seterusnya.

Ahmad Anwar Asyraf


15 Mac 2024

Anda mungkin juga menyukai