Anda di halaman 1dari 13

Isi kandungan

1.0 Pengenalan 5
2.0 Jenis-jenis Seni Kraf Tradisional 5
2.1 Tembikar 5
2.2 Anyaman 6
2.3 Tekat 7
3.0 Fungsi Seni Kraf Tradisional 8
3.1 Tembikar 8
3.2 Anyaman 9
3.3 Tekat 11
4.0 Adiguru Seni Kraf Tradisional 12
4.1 Tembikar 12
4.2 Anyaman 13
4.3 Tekat 14
5.0 Penutup 14
6.0 Rujukan 15
1.0 Pengenalan
Kraf tradisional merupakan satu bidang seni yang unik dan mempunyai nilai yang
tersendiri di Malaysia. Barangan yang dihasilkan melalui industri kraf tangan juga dapat
menjadi lambang bagi sesuatu negeri dan tradisi. Walaubagaimanapun, seni kraf tangan
tradisional ini kian terhakis ditelan zaman. Oleh itu, pelbagai inisiatif perlu dilakukan bagi
memastikan seni kraf tradisional negara terus hidup subur sebagai lambang kebudayaan
negara Malaysia.

2.0 Jenis-jenis Seni Kraf Tradisional

2.1 Tembikar

Rajah 2.1.1 Labu Sayong Rajah 2.1.2 Tembikar Mambong

Rajah 2.1.3 Pasu Sarawak

Tembikar merupakan salah satu seni kraf tradisional yang tertua di Malaysia. Salwa
(seperti yang dinyatakan dalam Mohd Zamani Mohd Nor Peah et al., 2019) menyatakan
tembikar merupakan produk yang dibuat dari tanah liat dan dibentuk bagi menghasilkan
pelbagai bentuk dan rupa serta dibakar dengan julat suhu yang berbeza. Terdapat empat
bentuk utama tembikar tradisional iaitu labu, belanga, buyung dan Terenang (Rabaeh
seperti yang dinyatakan dalam Mohd Zamani Mohd Nor Peah et al., 2019). Antara jenis
tembikar yang terkenal di Malaysia adalah labu Sayong dari Perak, tembikar Mambong di
Kelantan serta pasu Sarawak dari Sarawak.
2.2 Anyaman

Rajah 2.2.1 Anyaman Gadas Rajah 2.2.2 Anyaman Kelarai

Rajah 2.2.3 Anyaman Sulam

Anyaman merupakan seni kraf tradisional yang menjadi warisan turun-temurun


pelbagai etnik di tanah air. Anyaman adalah satu kemahiran menjalinkan helaian-helaian
daun mengkuang, pandan laut, rotan, buluh minyak dan buluh betong (Ros Mahwati Ahmad
Zakaria et al., 2018a). Sesebuah anyaman dianggap sempurna apabila penganyam
mementingkan ketegangan semasa menganyam agar anyaman tidak longgar. Anyaman
dapat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu anyaman gadas, anyaman kelarai dan anyaman
sulam.

Rajah 2.2.4 Kelarai Tampok Jantung Rajah 2.2.5 Kelarai Cik Kedah Ketapan
Rajah 2.2.6 Kelarai Putus Masa

Seni anyaman mempunyai satu teknik hias yang dikenali sebagai kelarai yang mana
ia didefinisikan sebagai corak anyaman yang berbentuk damdam (Ros Mahwati Ahmad
Zakaria et al., 2018b). Keindahan kelarai dapat dilihat daripada susunan corak yang ringkas
kepada corak yang lebih sukar. Antara contoh jenis kelarai adalah Kelarai Tampok Jantung,
Kelarai Cik Kedah Ketapan dan Kelarai Putus Masa.

2.3 Tekat

Rajah 2.3.3 Tekat bermotif bunga kekwa Rajah 2.3.2 Tekat bermotif rama-rama

Rajah 2.3.1 Tekat bermotif s’ berganda dan keluk

Seni tekat yang juga dikenali sebagai bersuji ini telah wujud sejak zaman kerajaan
Melayu Melaka lagi. Menekat merupakan kemahiran hasil kerja tangan warisan yang dihiasi
sulaman benang emas atau perak yang dijahit pada kain dasar baldu mengikut motif atau
corak tertentu (Harozila Ramli et al., 2021). Seni yang terkenal di daerah Kuala Kangsar,
Perak ini terbahagi kepada dua jenis iaitu tekat timbul benang emas dan tekat gubah. Tahap
kualiti dan kecantikan bagi sesebuah karya tekat bergantung kepada tahap kemahiran
pembuatnya. Hal ini kerana, proses menekat memerlukan ketelitian dan fokus yang cukup
tinggi. Seni tekat mementingkan ragam hias yang indah kerana motif-motif rekaannya akan
kelihatan timbul pada permukaan kain. Antara motif yang digunakan dalam seni tekat
tradisional adalah motif flora seperti bunga kekwa, motif fauna seperti rama-rama dan juga
motif geometri seperti ‘s’ berganda dan keluk.

3.0 Fungsi Seni Kraf Tradisional


3.1 Tembikar

Rajah 3.1.1 Labu Sayong

Rupa bentuk tembikar tradisional dicipta berdasarkan fungsinya yang berbeza-beza.


Antara contoh fungsi tembikar adalah untuk dijadikan sebagai bekas menyimpan air sepeti
Labu Sayong. Tembikar berupaya menyejukkan serta dapat memberikan khasiat kepada air
yang disimpan di dalamnya dengan membantu mengurangkan kepanasan badan ketika
demam (Shaidah Shafie, 2020).

Rajah 3.1.2 Periuk masakan Rajah 3.1.3 Belanga


Rajah 3.1.4 Periuk kukusan

Selain itu, tembikar juga digunakan sebagai alatan memasak. Antara jenis alatan
memasak tembikar adalah belanga, periuk masak dan periuk kukusan. Penggunaan
tembikar dapat menjadikan hidangan yang dimasak lebih beraroma oleh kerana sifat tanah
liat yang berongga dapat mengekalkan kelembapan serta aroma yang dihasilkan (Nuril Laili
Azizah, 2023).

Rajah 3.1.5 Bekas bara

Akhir sekali, bekas bara atau bekas perasapan merupakan tembikar yang digunakan
untuk upacara ritual dan keagamaan. Sebagai contohnya, ia digunakan sebagai bekas
pembakaran mayat atau cenderamata pengebumian.

3.2 Anyaman

Rajah 3.2.1 Anyaman tudung saji Rajah 3.2.2 Anyaman nyiru


Selain daripada tikar, terdapat pelbagai lagi jenis barangan kegunaan harian yang
dapat dihasilkan daripada olahan seni anyaman tradisional. Antaranya ialah tudung saji
yang digunakan untuk melindungi sajian daripada lalat dan habuk serta nyiru yang
digunakan untuk menampi padi dan menjemur ikan.

Rajah 3.2.3 Anyaman topeng Rajah 3.2.4 Anyaman ‘Denan Mayang’

Di samping itu, bagi suku kaum Orang Asli Mah Meri, mereka menggunakan hasil
anyaman sebagai alatan untuk upacara-upacara tertentu seperti kematian dan perkahwinan.
Sebagai contohnya, pada musim perayaan mereka menggunakan anyaman berbentuk
sanggul iaitu ‘Denan Mayang’ serta anyaman berbentuk topeng untuk membuat
persembahan tarian (Jafalizan Md. Jali et al., 2017).

Rajah 3.2.5 Anyaman Pat (Badeng)

Dalam pada itu, bagi masyarakat Ulu Sarawak pula, tikar rotan yang dipanggil
sebagai Pat (Badeng) oleh masyarakat tempatan mempunyai banyak fungsi yang berbeza-
beza bergantung kepada corak yang dihasilkan. Sebagai contohnya, tikar rotan yang
bercorak kehitaman digunakan bagi orang bujang manakala tikar yang bercorak tanpa
warna digunakan untuk yang bekeluarga (Salmah Omar et al., 2016).
3.3 Tekat

Rajah 3.3.1 Kasut Rajah 3.3.4 Kipas

Rajah 3.3.3 Hiasan pelamin Rajah 3.3.4 Tepak sirih

Secara umumnya, seni tekat berfungsi untuk mengindahkan serta mencantikkan lagi
sesuatu jenis fabrik, pakaian, aksesori dan kraftangan. Unsur-unsur kemewahan yang
terdapat pada sesebuah karya seni tekat akan menjadikan sesebuah barangan itu istimewa
terutamanya untuk digunakan pada upacara tertentu seperti majlis pertunangan, berkhatan
serta khatam Al-Quran. Bagi upacara perkahwinan, seni tekat digunakan pada hiasan
pelaminan, kipas, kasut serta tepak sirih.
Rajah 3.3.5 Muskat di Koleksi Galeri Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah,
Kuala Kangsar, Perak.

Rajah 3.3.6 Hiasan kepala sejadah

Seni tekat juga digunakan dalam kalangan kerabat di raja. Ia terdapat pada pakaian
rasmi atau dipanggil sebagai muskat yang direka khas untuk Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong serta Pegawai-pegawai Istiadat Istana Negara. Ia juga terdapat pada
barangan kelengkapan hiasan istana seperti hiasan kepala sejadah.

4.0 Adiguru Seni Kraf Tradisional


4.1 Tembikar

Rajah 4.1.1 Puan Hawa binti Ngah Salam

Rajah 4.1.2 Tembikar yang dihasilkan


Puan Hawa binti Ngah Salam merupakan salah seorang adiguru bagi seni kraf
tembikar yang berasal dari Perak. Beliau dilantik menjadi Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga
pada tahun 1996 dan 2006. Beliau dikenali sebagai Tokoh Kraf Seramik di Persada Seni.
Beliau satu-satunya pembuat tembikar yang mengasaskan teknik bunga tampal dalam
hiasan tembikar. Antara pencapaian beliau selama penglibatannya dalam bidang ini adalah
produk yang dihasilkannya dipamerkan di Koleksi tetap di Muzium Negara, Muzium Taiping
dan Muzium Kedah.

4.2 Anyaman

Rajah 4.2.1 Puan Hajah Kelsom binti Abdullah

Rajah 4.2.2 Anyaman tikar mengkuang yang dihasilkan

Puan Hajah Kelsom binti Abdullah merupakan usahawan kraf anyaman yang berasal
dair Terengganu dan dilantik menjadi Adiguru Kraf Anyaman Pandan/ Mengkuang pada
tahun 2018. Penganugerahan ini diberikan oleh sebab sumbangan beliau dalam industri
anyaman ini telah memberikan banyak peluang kerja kepada individu-individu yang berminat
untuk mencari pendapatan. Beliau gemar membuat anyaman hasil daripada rekaan dan
corak yang diwarisi daripada tukang anyaman terdahulu dengan menggunakan motif flora
dan alam semulajadi. Antara corak anyaman tikar yang dihasilkan adalah Corak Tapak
Catur serta Corak Mata Bugis.
4.3 Tekat

Rajah 4.3.1 Hajah Azizah binti Mohd Yusof

Rajah 4.3.2 Karya tekat yang dihasilkan pada sarung bantal

Salah seorang adiguru bagi seni kraf tekat adalah Hajah Azizah binti Mohd Yusof
yang berasal dari Perak. Beliau telah dilantik menjadi Adiguru Kraf Tekatan pada tahun 1995
dan 2006. Penganugerahan tersebut diberikan kepada beliau oleh kerana kegigihannya
dalam memastikan seni kraf ini dipelihara dan dimajukan. Antara sumbangan beliau dalam
memajukan bidang tekat ini adalah beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru KEMAS
serta menjadi pembimbing kepada pelatih Kraftangan Malaysia.

5.0 Penutup

Kesimpulannya, seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama haruslah
berusaha mempertahankan warisan seni kraf tradisional supaya generasi akan datang dapat
mengenali serta menyayangi tinggalan nenek moyang kita ini. Bukan itu sahaja, jika semua
pihak berganding bahu dalam memperkembangkan dan memajukan lagi seni kraf tradisional
ini, sudah tentu seni kraf tradisional ini dapat menjulang nama Malaysia di mata dunia dan
secara tidak langsung ia dapat menjadi salah satu elemen penjana ekonomi yang kukuh
untuk negara dan memberi manfaat kepada masyarakat.

(1086 patah perkataan)


6.0 Rujukan

Harozila Ramli et al. (2021). Adaptasi keindahan rekabentuk Motif Tradisional menerusi Seni
Tekat Benang Emas. Jurnal Peradaban Melayu, 16(1), 34-43.
https://ojs.upsi.edu.my/index.php/JPM/article/view/5414/3131

Jafalizan Md. Jali et al. (2017). Seni Anyaman: Perspektif Wanita Asli. Jurnal Sejarah Lisan
Malaysia. ISSN 2600-7088. https://jslim.uitm.edu.my/pdf/4.pdf

Kraftangan Malaysia - Adiguru Kraf. (2013). Kraftangan.gov.my.


https://www.kraftangan.gov.my/info/adiguru-kraf

Nuril Laili Azizah (2023). 4 Manfaat Pakai Clay Pot untuk Masakan. KOMPAS.com.
https://www.kompas.com/food/read/2023/02/23/070300475/4-manfaat-pakai-clay-
pot-untuk-masakan-

Rabaeh seperti yang dinyatakan dalam Mohd Zamani Mohd Nor Peah et al. (2019).
Keindahan Tembikar Tradisional Terenang Warisan Negeri Pahang. Journal of
Chemical Information and Modeling, 53(9), 1689–1699.
http://umpir.ump.edu.my/id/eprint/24578/

Ros Mahwati Ahmad Zakaria et al. (2018). an Analysis of Symmetry for Kelarai Woven Mat
Pattern in the Malay World. Jurnal Arkeologi Malaysia, 31(1), 19–26.
file:///C:/Users/Home/Downloads/anyaman.pdf

Salmah et al. (2017). Etnik dan pembentukan landskap budaya Malaysia : Seni anyaman
tikar orang Ulu Sarawak. Geografia : Malaysian Journal of Society and
Space, 12(10), 21–28.
https://www.researchgate.net/publication/345358953_Etnik_dan_pembentukan_land
skap_budaya_Malaysia_Seni_anyaman_tikar_orang_Ulu_Sarawak

Salwa seperti yang dinyatakan dalam Mohd Zamani Mohd Nor Peah et al. (2019).
Keindahan Tembikar Tradisional Terenang Warisan Negeri Pahang. Journal of
Chemical Information and Modeling, 53(9), 1689–1699.
http://umpir.ump.edu.my/id/eprint/24578/

Seni Anyaman Tradisional - Pengenalan. (n.d.). Www.memori-Kedah.com.


https://www.memori-kedah.com/page_pengenalan.php?p=1&idstopic=5&mtopic=1

Shaidah Shafie (2020). Misteri air labu Sayong kekal sejuk walaupun dalam cuaca panas.
XTRA. https://www.xtra.com.my/featured/misteri-air-labu-sayong-kekal-sejuk-
walaupun-dalam-cuaca-panas/
Suhaimi et al. (2023). Langkah Pengkomersialan Kraf Tangan Tradisional (Tekstil dan
Seramik) Melalui Inovasi Produk di Malaysia: Suatu Kepentingan [Commercialising
Traditional Crafts (Textiles and Ceramics) Through Product Innovation in Malaysia:
An Imperative]. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human
Sciences (e-ISSN: 2600-9080), 6(3), 71-83.
https://www.bitarajournal.com/index.php/bitarajournal/article/view/391

Anda mungkin juga menyukai