Anda di halaman 1dari 7

KRAFTANGAN BATIK

Perkataan batik merujuk kepada proses menghasilkan kain


dengan menggunakan teknik terapan lilin bagi menghasilkan reka
corak yang kemudian dicelup dengan pelbagai warna yang
menarik. Reka corak serta penggunaan bahan-bahan baru telah
menyemarakkan lagi pengeluaran batik. Batik yang dihasilkan di
negara ini telah berjaya menembusi dunia fesyen antarabangsa.
Kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari
alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya
digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.

Reka corak batik ini diaplikasikan ke atas batik menggunakan


teknik canting, batik blok dan batik sutera saring. Di Malaysia kini
batik telah diangkat sebagai salah satu daripada seni warisan
bangsa yang menjadi kebanggaan negara. Perusahaan batik
dipercayai bermula pada awal abad ke 12 iaitu di Kepulauan
Jawa dan kemudiannya berkembang ke Semenanjung Tanah
Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Semenjak itu
seni kemahiran batik terus berkembang ke negeri-negeri lain di
Malaysia. Batik di negara ini dihasilkan dengan teknik dan reka
corak yang beridentitikan Malaysia. Kini Malaysia menjadi salah
sebuah negara pengeluar utama batik di dunia yang mengiktiraf
kehalusan dan kemahiran kerja tangan pengeluar batik tempatan.
KRAFTANGAN TEKAT
Asal-usul dan perkembangan tekat secara langsung
dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan
keluarga raja-raja atau istana. Perkembangan awal seni
tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa
zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan
penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan
masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Mereka
menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian
mereka.
Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat
negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Sembilan Darul
Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri
yang banyak sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul
benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat yang
dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah
tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada.
Pada masa dahulu, istana merupakan penggerak utama
pertumbuhan kraf seni tekat.Ramai pandai-pandai tukang
tekat dijaga oleh pihak istana. Ini adalah kerana
kelengkapan istana memerlukan tekat benang emas.
Tekat benang emas menampakkan kemewahan dan
keagungan. Ramai pandai tukang pada masa itu
membuat tekat untuk kegunaan istana. Secara langsung
istana telah menggalakkan kraf tangan seni tekat.
Setelah wujudnya Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia,perusahaan menekat dimajukan lagi dengan
program-program latihan, promosi, ciptaan yang baru,
galakan pengeluaran dan menjual hasil ke luar
negara. Tekat terus berkembang dengan hasil mutunya
yang terjamin.

KRAFTANGAN TENUNAN
Tenunan merupakan lambang kehalusan seni masyarakat
Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan
kreativiti penenun terserlah melalui pengolahan motif
dan hasil tenunan yang indah lagi menarik. Kain Songket
Melayu merupakan tenun berkualiti tinggi yang ditenun
menggunakan alat tenun tradisional. Dipercayai berasal
dari Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Keanggunan kain tenunan terserlah apabila secara
tradisinya telah dijadikan pakaian tradisional atau
kontemporari. Lazimnya ia digunakan semasa majlis-
majlis rasmi seperti perkahwinan atau penganugerahan
pingat kebesaran oleh Raja.
Perkembangan idea motif tradisional dan kontemporari
diolah dari pelbagai sumber alam. Motif dan reka corak
diilhamkan berdasarkan pengaruh alam persekitaran
penenun. Ini dapat mencerminkan bakat yang kreatif dan
ketelitian penenun dalam menghasilkan produk tenunan
itu. Nilai estetik kain tenun bukan saja dapat dilihat pada
reka corak tetapi pada bahan yang digunakan serta
kemahiran merancang pembinaan fabrik yang akan
dihasilkan. Kepintaran penenun dalam teknik, bahan dan
corak dapat memvariasikan penghasilan produk tenunan
untuk fesyen semasa di pasaran.
KRAFTANGAN ANYAMAN
Anyaman merupakan satu seni kerajinan yang dimiliki
masyarakat Melayu. Ia melibatkan proses menyilangkan
bahan-bahan asli daripada tumbuh-tumbuhan untuk
dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan
sebagai barangan seharian. Bahan-bahan tumbuhan yang
boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan,
mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini biasanya
mudah dikeringkan dan lembut.
Anyaman merupakan seni kraf sejagat Melayu wujud
sejak 300 ratus tahun yang lampau. Hasil rimba seperti
buluh, rotan, pandan, mengkuang dan ribu-ribu
menyumbang kepada hasil rimba ini memaparkan
barangan harian, hiasan dan hadiah.
Keunikan dan kesenian serta kreativiti masyarakat
Melayu menghasilkan kraftangan anyaman terserlah
melalui penghasilan bakul, tikar, perabut, pengadang,
bekas serbaguna, dinding rumah dan barangan hadiah
dan cenderamata.
Kepelbagaian penghasilan produk ini memaparkan
keadaan sebenar keunikan seni kraftangan Melayu yang
dianggap seni kraf yang unik di rantau Asia.
Sehingga kini beberapa negeri masih terus aktif
menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung.
Antaranya di daerah Rusila, Dungun, Kampung Ru
Renggoh, Kampung Kijing, Cendering dan Kuala Ibai di
negeri Terengganu. Negeri-negeri lain yang masih
terdapat aktiviti anyaman ialah negeri Perlis, Kedah,
Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka,
Sarawak dan Sabah.

KRAFTANGAN TEMBIKAR
Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di
Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman-
berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di
beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Melalui
kudrat tangan dan ketajaman ilham manusia, maka
terbentuklah tembikar yang memaparkan keindahan
warisan tradisi yang sebahagian besarnya disempurnakan
oleh kaum wanita. Seni tembikar ialah hasil seni
kraftangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli,
diterap dengan pelbagai corak, diasapkan serta dibakar
untukmenghasilkan satu rupabentuk yang sungguh
berseni dan unik.
Tembikar yang lebih dikenali sebagai Labu Sayong
berwarna hitam banyak terdapat di Sayong, daerah Kuala
Kangsar, Perak. Malah sebut sahaja Sayong, maka
tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna
kehitaman. Wujudnya labu hitam ini dari buah labu tua
yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum
dijadikan bekas untuk menyimpan air.
Suatu masa dahulu, labu hitam adalah alat penting yang
digunakan sebagai bekas menyimpan air minuman di
majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya
yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa
jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga
digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah
perkuburan.
Labu Sayong menekankan sifat semulajadi iaitu tanah liat
serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak
permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti
motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga
calaran-calaran geometrik yang harmoni.
Labu Sayong tetap dikagumi dan diminati bukan sahaja
kerana penggunaannya semata-mata tetapi kerana
keindahannya, berasaskan nilai estetika barangan
tembikar itu.
KRAFTANGAN UKIRAN
Sukar untuk melihat catatan untuk mengetahui sejarah
awal ukiran kayu. Namun demikian catatan sejarah dari
perjumpaan di zaman batu Neolitik di Asia Tenggara
menunjukkan terdapatnya pengukir-pengukir handal
telah wujud di zaman dahulu. Ini terbukti ukiran yang
terdapat pada belanga, gelang, kendi dan pinggan
mangkuk. Sejarah awal mengenai ukiran kayu di negara
ini boleh diketahui setelah kita membaca buku Sejarah
Melayu atau Sulalatus Salatin. Buku yang dikarang oleh
Tun Sri Lanang itu ditulis pada abad ke-17. Dalam tulisan
Tun Sri Lanang, tercatat keindahan seni bina istana Sultan
Mansur Syah yang memerintah Melaka pada tahun 1459
hingga tahun 1477. Istana berukir indah itu digelar oleh
rakyat Melaka sebagai Istana Hawa Nafsu. Seni ukir di
negara ini telah pun berkembang lebih awal lagi daripada
catatan Tun Sri Lanang, namun tidak ada catatan
mengenainya. Satu lagi catatan silam mengenai seni bina
ialah Hikayat Misa Melayu. Dalam hikayat itu
digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak
di Pulau Indera Sakti, sebuah tempat di Kuala Sungai
Kinta, Perak Darul Ridzuan semasa pemerintahan Sultan
Iskandar Zulkarnain (1756-1780).

Di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan Kedah


adalah negeri yang mempunyai pengukir dari turun
temurun. Dikata bahawa kebanyakan ukiran kayu adalah
terpengaruh dengan motif ukiran negara Siam, kerana
pada suatu masa dahulu negeri ni di bawah pengaruh
Siam. Ini adalah berdasarkan corak ukiran masjid, wakaf,
istana dan rumah-rumah lama banyak persamaan
dengan seni ukir negeri Siam. Tidak menghairankan kalau
dikatakan bahawa seni ukir di negara ini telah didatangi
dari selatan negeri Thailand iaitu Patani.

Anda mungkin juga menyukai