Anda di halaman 1dari 4

Pisang emas dibawa belayar Masak sebiji di atas peti Hutang emas boleh dibayar Hutang budi dibawa

mati

Mengapakah pantun warisan ini menggunakan pisang emas untuk dibawa belayar dan bukan pisang-pisang jenis lain? Adakah kerana untuk menyamakan rima tengah baris pertama dan ketiga pantun itu? Itu bukanlah jawapannya. Sebenarnya masyarakat melayu mempunyai kesedaran yang tinggi tentang tumbuh-tumbuhan. Memandangkan orang Melayu memang rajin berlayar, pisang emas dibawa belayar tetapi bukanlah sebagai makanan ringan. Pisang emas dibawa belayar untuk diberikan kepada awak-awak dan penumpang kapal, untuk mengelakkan mabuk laut. Pokok pisang amat dekat di hati masyarakat Melayu. Di halaman rumah kampung, pokok pisang sering ditanam untuk menambahkan keindahan halaman. Jika tidak ditanam sekalipun, pokok pisang mudah hidup dan tumbuh bersilih ganti. Pokok pisang juga amat berguna dalam keperluan harian masyarakat Melayu dan sering pula dikaitkan dengan unsur misteri. Terdapat banyak jenis pisang iaitu pisang lilin, pisang kepuk, pisang tanduk, pisang lemak manis, pisang 40 hari, pisang emas, pisang jari buaya, pisang awak, pisang kapas, pisang medar (keling), pisang raja, pisang asam, pisang batu, pisang masak hijau, pisang nipah. Kesemua nama pisang itu terhasil kerana sifat atau rasa pisang itu. Dahulu, pisang raja yang kulit dan isinya merah dilarang makan. Masyarakat Melayu menganggap pisang raja sebagai makanan orang bangsawan. Rakyat tidak berhak memakannya. Kini larangan itu tidak dituruti lagi. Buah pisang boleh dimakan begitu sahaja dan mempunyai karbohidrat yang baik. Pisang boleh memberi tenaga dan sering digunakan sebagai alas perut. Memakan pisang juga menjadi amalan penyanyi kerana dipercayai dapat melicinkan tekak serta mengelakkan gangguan penyakit tekak. Bagi mereka yang susah membuang air besar, digalakkan memakan pisang untuk memudahkan lawas. Sering kita diingatkan tentang peribahasa pisang tak akan berbuah dua kali. Peribahasa ini

sebenarnya merupakan peringatan kepada kita untuk tidak mengulangi kesilapan yang lalu sekali lagi. Sememangnya, pokok pisang hanya berbuah sekali. Setelah tandan buah pisang dipotong, pokok pisang itu perlu ditebang batangnya. Perdu batang yang telah dipotong itu akan mula memutikkan pucuk pisang yang baru. Seterusnya, proses kehidupan baru pokok pisang bermula. Memandangkan kaedah pertumbuhan pokok pisang yang mudah hidup dan tumbuh bersilih ganti, masyarakat Melayu menganggapnya sebagai suatu yang simbolik. Justeru pokok pisang digunakan sebagai perhiasan di majlis perkahwinan. Dua batang pokok pisang yang berbuah dan berjantung

digunakan sebagai hiasan gerbang untuk menyambut tetamu. Pokok pisang dipilih dengan teliti, berdasarkan kesegarannya, kembang hijau daunnya serta berbuah lebat. Lazimnya, pokok pisang tanduk menjadi pilihan utama. Terdapat pula pantang larang yang perlu diikuti sebelum menggunakan pokok pisang sebagai hiasan gerbang perkahwinan. Sesiapa sahaja boleh menebang, mengambil dan memasang pokok pisang di gerbang majlis kecuali pengantin lelaki kerana dikhuatiri, akan mendatangkan nasib yang kurang baik kelak. Semasa pemasangan pokok pisang itu, kedudukannya perlulah diikat pada tiang gerbang yang menjadi laluan utama para tetamu. Kedua-dua jantung pisang haruslah bertemu dan daunnya perlu bertaut menjadi gerbang. Hal ini melambangkan betapa besar hati tuan rumah mengalu-alukan kedatangan para tetamu. Selain itu, kehadiran pokok pisang di pintu gerbang dapat menjadikannya sebagai pemberitahuan kepada orang ramai bahawa ada majlis perkahwinan di situ. Selanjutnya, pokok pisang yang menjadi hiasan gerbang perkahwinan ini dianggap suci dan tidak boleh dibuang sesuka hati setelah majlis selesai. Pokok pisang itu perlu dibiarkan seminggu di gerbang dan kemudian barulah dibuang kesemuanya ke dalam sungai. Pokok pisang, sebagai simbol kesuburan dan kesejahteraan hidup yang berpanjangan dianggap dapat membawa berkat kehidupan rumahtangga kedua mempelai, agar perkahwinan mereka berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi. Budaya memasang pokok pisang di gerbang majlis perkahwinan sebenarnya berasal daripada kepercayaan Hindu iaitu mereka menganggap pokok pisang membawa pengertian valeyadi valey atau kesinambungan hidup. Bagi masyarakat Hindu, kehadiran pokok pisang di majlis perkahwinan merupakan sesuatu yang wajib. Pokok pisang turut digunakan sebagai tujuan tolak bala. Mengikut adat Hindu, sebelum kedua-dua pengantin dikahwinkan, mereka perlu melalui adat bertilik untuk menilik masa depan perkahwinan mereka. Sekiranya mereka didapati tidak sesuai atau akan ditimpa musibah setelah berkahwin, pengantin lelaki akan dikahwinkan dengan pokok pisang dahulu. Pengantin lelaki akan memasang thali atau rantai perkahwinan pada pokok pisang yang diibaratkan sebagai pengantin perempuan. Sami akan menjalankan upacara itu seumpama upacara perkahwinan sebenar. Setelah selesai upacara perkahwinan pertama tadi, pengantin lelaki akan memotong pokok pisang itu sebagai simbol kegagalan rumahtangga pertama dan ritual dilakukan. Kononnya, bala akan hanya menimpa perkahwinan pertama tadi. Setelah itu, barulah sami akan mengahwinkan

pengantin lelaki dengan pengantin perempuan sebenar dan perkahwinan ini dianggap perkahwinan kedua bagi pengantin lelaki. Perkahwinan kedua ini diharap akan berkekalan dan memberi kebahagiaan serta kemakmuran.

Kini, pokok pisang jarang sekali dijadikan hiasan di gerbang majlis perkahwinan. Namun budaya ini masih kuat dipegang di daerah Indonesia seperti di Batam, Riau dan Jawa. Sepertimana budaya masyarakat Hindu, masyarakat Melayu turut menggunakan daun pisang sebagai alas makanan. Masyarakat Hindu menggunakan daun pisang sebagai pengganti pinggan atau dulang. Secara tradisi, makanan yang dihidang di atas daun pisang mengikut tertibnya iaitu dari kanan ke kiri. Lipatan daun pisang setelah makan pula boleh membawa maksud tersendiri. Sekiranya tetamu melipat daun pisang dari atas ke bawah, menunjukkan tetamu menghargai usaha tuan rumah dan berterimakasih di atas rezeki itu. Namun jika lipatan itu dari bawah ke atas, menunjukkan perasaan tetamu sebaliknya. Secara rasional pula, penggunaan daun pisang sebagai pinggan memang bijak kerana tuan rumah tidak perlu sibuk membasuh pinggan kotor. Daun pisang hanya perlu dibuang setelah tetamu selesai makan. Masyarakat Melayu pula tidak menggunakan daun pisang sebagai ganti pinggan atau dulang di rumah. Daun pisang hanya dijadikan ganti pinggan atau dulang sekiranya mereka berada di luar rumah dan tiada pula pinggan untuk mengalas makanan. Sebagai contoh, petani menggunakan daun pisang untuk dijadikan alas makanan semasa waktu berehat untuk makan. Penggunaan daun pisang sebagai alas makanan dapat menerbitkan aroma enak yang membuka selera. Daun pisang sering digunakan untuk melipat nasi lemak atau kuih-muih Melayu seperti pulut panggang, tapai ubi, tapai pulut, belebat ubi, lopes, koci, sagu rendang dan nagasari. Daun pisang juga digunakan untuk menjadi alas kuih pau, penutup kuih putu piring dan putu bambu. Dalam pembuatan tempe, daun pisang digunakan untuk

membungkus tempe kerana mempunyai interaksi kimia pengawetan semulajadi ke atas kacang soya yang telah dihancurkan dan diawet. Secara saintifik, daun pisang sebenarnya amat baik dijadikan bungkusan makanan kerana secara semulajadi, daun pisang dapat membantu mengelakkan makanan mudah basi. Selain daunnya, jantung pisang juga boleh dimakan sebagai sayur. Masyarakat Melayu gemar menjadikan jantung pisang sebagai sayur kuah lemak atau direbus sahaja kemudian dcicah dengan sambal belacan sebagai pembuka selera. Namun perempuan yang

mengandung dilarang memakan jantung pisang kerana dipercayai boleh membawa keguguran. Menurut kata orang-orang tua, memakan jantung pisang samalah seperti

memakan jantung janin yang ada di dalam perut si ibu mengandung. Batang pisang pula banyak gunanya. Batang pisang kelihatan kukuh tetapi sebenarnya berlapis-lapis, rapuh dan berair. Batang pisang sering digunakan oleh pengamal seni

pertahanan diri untuk tujuan menendang sasaran. Batang pisang juga digunakan sebagai sasaran latihan menyumpit dan membaling pisau atau keris. Memandangkan sifat batang pisang yang kukuh berdiri tetapi mudah tertusuk senjata, tidak hairanlah si bijak Hang Nadim mendapat akal untuk menggunakan batang pisang sebagai kubu atau perisai serangan ikan todak yang bermuncung tajam suatu waktu dahulu. Rebung pisang boleh didapati dalam batang pisang. Sekiranya batang pisang yang berlapislapis itu dikopek seumpama membuka gulungan kain, rebung boleh dijumpai di dalamnya. Rebung ini juga boleh dimakan atau dijadikan makanan binatang ternakan. Dahulu, kawasan pokok pisang yang tumpuh serumpun sering digunakan sebagai tempat membuang hajat. Seseorang yang ingin melepaskan isi perutnya akan mengorek lubang tanah di belakang pokok pisang. Daun pokok pisang yang lebar dapat menjadi pelindung daripada mata orang yang lalu lalang. Di Kampung-kampung dahulu, kawasan rumpun pokok pisang turut digunakan sebagai tempat membuang atau menanam barang-barang kotor. Barang-barang kotor yang

dimaksudkan adalah seperti barang-barang ilmu hitam, barang-barang saka dan unsur-unsur ghaib yang diperangkap ke dalam suatu bekas. Mungkin disebabkan itulah, orang tua selalu berpesan kepada anak-anak untuk mengelak daripada bermain di kawasan pokok pisang, terutama ketika senja. Fizikal pokok pisang yang rendah dan berdaun besar serta bayangbayangnya yang meliuk lintuk disapa angin sememangnya dapat menerbitkan perasaan ngeri di waktu malam. Sering juga orang tua bercerita tentang kisah-kisah seram bagaimana mayat yang baru ditanam, apabila digali semula kuburnya, hanya ditemui batang pisang. Kisahkisah seperti inilah yang menjadikan pokok pisang taboo dan sinonim dengan misteri Melayu.

Anda mungkin juga menyukai