Anda di halaman 1dari 12

PENGKOMERSILAN SENI KRAF NEGERI PERAK:

LABU SAYONG DAN TEKAT BENANG EMAS

Nor Halina Binti Noordin, Norhafinas Binti Abd Latib & Nor Hasiah Binti Mohd Said

Kolej Komuniti Gerik, Bukit Nasah 33300 Gerik, Perak, Malaysia

ABSTRAK
Kajian ini meneliti tentang perkembangan dan pengkomersialan seni kraf negeri Perak iaitu
Tekad Benang Emas dan Labu Sayong. Seni kraf melambangkan kebudayaan atau identiti
sesebuah masyarakat dan merupakan warisan bangsa pusaka peninggalan nenek moyang
sejak dahulu kala. Dua warisan seni ini menampakkan hasil tangan yang sangat halus,
indah dan terzahir daripada bentuk, gaya, sifat, garisan, gerak dan warnanya yang menarik.
Hingga ke hari ini, warisan ini masih terpelihara di negeri Perak dan telah melalui fasa
perubahan di mana seni ini mula dikomersialkan seiring dengan peredaran masa. Terdapat
lebih daripada 20 orang pengusaha yang menjalankan perniagaan tekad benang emas dan
labu sayong khususnya sekitar Kuala Kangsar, Perak. Kewujudan seni kraf di negeri Perak
banyak membantu penduduk setempat membangun serta mengekalkan hasil perbuatan
tangan mereka. Kajian ini akan memfokuskan tentang produk yang telah dikomersialkan di
mana dahulunya hanya dikenali sebagai warisan tradisi dan kini mula dihargai dalam dunia
moden kotemporari dengan penghasilan pelbagai jenis produk. Kajian ini juga akan
menunjukkan perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran di Kolej Komuniti
khususnya dalam bidang Seni Visual, Fesyen dan Pakaian bagi memastikan warisan seni ini
terus dipelihara oleh generasi sekarang.

Kata kunci: Warisan, pengkomersialan, tekad benang emas, labu sayong

ABSTRACT

This research are going to exam ine the development and commercialization of Perak craft
which are Tekad Benang Emas and Labu Sayong. These two craft symbolize the culture and
the identity of Perak community. They are the nation's heritage since ancestors but still
remain in Perak. These two art craft show the delicate workmanship from the
shape,style,lines and colour. Till now,these two heritage are still preserved but are going
through the change phase
where the commercialization are made to make it compatible. They are more than 20
entrepreneur involved in industry especially around Kuala Kangsar, Perak. This industry help
the community increasing their income but at the same time maintain the manufacturing of
Labu Sayong and Tekad Benang Emas. This research are focusing on the product that have
been commercialize to make it compatative in modern world. These research also will cover
the culture of commercialization applied in the process of teaching and learning especially in
Visual Art, Fashion and Design course. This is important for making sure the heritage are
preserved by the young age.

Keyword: Heritage, commercialization, tekad benang emas, labu sayong

1
PENGENALAN

Seni kraf merupakan identiti yang melambangkan kebudayaan sesebuah masyarakat. Hasil
ciptaan yang halus dan teliti disulami dengan unsur-unsur budaya merupakan ciri-ciri yang
ada pada seni kraf di Malaysia. Ia juga merupakan salah satu daripada jalinan warna yang
menambahkan lagi kekayaan, kecantikan dan keindahan yang ada pada negara Malaysia.
Dahulunya seni kraf ini hanya dikenali sebagai suatu industri tradisi bagi tujuan hiasan dan
hobi untuk mengisi masa lapang. Namun begitu, bagi mereka yang mempunyai masa
terluang yang banyak, aktiviti ini boleh dijadikan satu alternatif untuk menambahkan sumber
pendapatan. Biasanya kraftangan yang telah dihasilkan menggunakan kemahiran yang
diwarisi turun temurun di mana bentuk dan barang kraftangan masih dikekalkan. Pada hari
ini, aktiviti tersebut telah melangkah maju mengubah corak ke arah menerokai pengeluaran
secara komersial.

Menurut Akta 222 - Akta perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979 mendefinisikan
kraf sebagai barangan yang dihasilkan dengan menggunakan kemahiran tangan,
dikeluarkan dengan atau tanpa menggunakan alat atau peralatan mudah yang dijalankan
secara sendiri atau tidak langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf (Kraftangan Malaysia,
2017). Di Malaysia industri kraftangan mempunyai potensi untuk maju dan bersaing di
peringkat antarabangsa kerana Malaysia sendiri mempunyai banyak sumber bahan semula
jadi yang tidak ternilai seperti rotan, mengkuang, buluh, tanah dan bahan-bahan lain yang
menjadi bekalan utama dalam indusri kraftangan ini. Kraftangan dilihat sebagai satu simbol
atau identiti negara Malaysia pada pandangan negara luar kerana memiliki unsur-unsur
tradisional dan keagamaan yang kuat serta mencerminkan rakyat Malaysia sendiri
(Chamcuri et.al,1990)

Di Malaysia, negeri Perak antara negeri yang terkenal dengan hasil seni krafnya. Seperti
Rajah 1, daerah Kuala Kangsar merupakan salah satu daerah dalam Negeri Perak yang
cukup sinonim dalam penghasilan kraftangan. Ia dikenali sebagai Bandar Diraja, Bandar
Warisan Budaya yang memiliki keunikan tarikan pelancongan warisan sejarah dan budaya
yang tersendiri. Daerah ini juga terkenal dengan seni kraf pembuatan Labu Sayong dan
Sulaman Tekad yang menjadi lambang ketamadunan zaman silam yang masih kekal
terpelihara. Kedua-dua industri ini masih bertahan kerana mendapat kerjasama yang baik
daripada Pusat Kraftangan Malaysia Cawangan Kuala Kangsar. Kerjasama ini telah
mengembalikan kegemilangan kraf tempatan melalui penghasilan rekaan baharu dan lebih
kotemporori mengikut cita rasa masyarakat hari ini. Peningkatan permintaan produk kraf di
Malaysia telah mempengaruhi kepada pembangunan personaliti seseorang usahawan kraf
didalam aspek inovasi, komitmen, dan juga keinginan untuk berjaya didalam perniagaan
mereka (Mohd Shaladdin et.al.,2011). Justeru, aspek pengkomersilan amatlah penting bagi
memastikan permintaan terhadap seni kraf ini berterusan.

2
Rajah 1: Peta Daerah Kuala Kangsar Yang Terkenal Dengan Seni Kraf Labu Sayong dan
Sulaman Tekad Benang Emas

SEJARAH LABU SAYONG DAN TEKAT BENANG EMAS

Labu Sayong

Labu Sayong adalah gabungan daripada dua perkataan yang saling menyokong iaitu labu
sejenis buyong, kendi atau takar tembikar yang bentuk asasnya menyerupai buah labu
manakala Sayong pula ialah tempat asal usul pembuatan labu itu (Institut Kraf Negara,
2016). Kepekaan manusia terhadap alam sekitar dan persekitarannya telah membuahkan
ilham untuk mencipta tembikar labu berdasarkan buah labu. Buah labu tua akan dikeluarkan
isinya, dibersihkan dan dikeringkan sebelum dijadikan bekas menyimpan air. Air yang
disimpan dari labu ini adalah sejuk dan baik untuk kesihatan yang dikatakan boleh menjadi
penawar seperti batuk dan demam panas (Zuraidah et al,2015). Penyelidik juga telah
menemubual pengusaha labu sayong di Kuala Kangsar En Zulkifly Pandak Bidin yang mana
menurutnya tidak mustahil air yang disimpan dalam bekas tembikar itu mempunyai khasiat
memandangkan bahan yang digunakan untuk membuatnya terdiri daripada bahan mineral
semula jadi iaitu tanah liat.

Menurut Hamdzun dan Othman (2011), Labu Sayong dikenali sebagai labu picit dan
merupakan satu simbol intelektual orang Melayu zaman silam. Masyarakat Melayu
khususnya sering menggunakan labu sayong untuk kegunaan seharian. Kini,
perkembangan industri pembuatan labu sayong tidak terhad kepada penyimpanan air
sahaja tetapi telah dikomersialkan kepada fungsi yang pelbagai seperti cenderahati,

3
perhiasan rumah, seni taman, hiasan pejabat dan upacara keagamaan. Penghasilan Labu
Sayong secara konvensional memakan masa yang agak lama berbanding teknik moden.
Kajian Azmi et.al. (2010) menyatakan galakan dan bantuan yang diberikan oleh pihak
kerajaan dan agensi-agensinya dalam membantu mengembangkan industri pembuatan
tembikar labu sayong dengan memperkenalkan kaedah pembuatan atau teknik moden
adalah satu usaha yang sangat murni dan perlu dipuji. Gambar 1 menunjukkan rupa bentuk
Labu Sayong yang terdapat di Kuala Kangsar, Perak.

Gambar 1: Rupa Bentuk Labu Sayong Tradisional


(Sumber: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak)

Tekat Benang Emas

Tekat Benang Emas atau sulaman emas adalah warisan kesenian dan keindahan hasil
tangan. Sulamannya dihasilkan dengan menjahit benang emas ke atas lapisan kertas
dimana ia kelihatan timbul. Reka bentuk dan kehalusan jahitannya memerlukan kepakaran
hasil tangan selain fokus yang menggambarkan ketelitian dan keindahan seni perekanya.
Walaupun seni tekat benang emas ini antara warisan budaya yang semakin dilupakan
namun masih terdapat golongan masyarakat yang menjadikannya sebagai sumber
pendapatan turun-temurun keluarga sejak berpuluh tahun lalu. Menurut Pn Rosliza dari
Pusat Kraftangan Malaysia Cawangan Kuala Kangsar, di kalangan masyarakat Melayu di
Perak tekat merupakan hasil kerja tangan untuk pemakaian kebesaran dan hiasan raja
sehari. Pada masa dahulu, istana merupakan penggerak utama pertumbuhan kraf
seni tekat. Kebanyakkan tukang tekat dijaga oleh pihak istana. Ini adalah kerana
kelengkapan istana kebanyakkannya memerlukan tekat benang emas. Pada masa yang
masa, tekat benang emas menampakkan kemewahan dan keagungan. Menurut Siti Zuraida
dan Syamsul (2014), perkembangan awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15
iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Seni tekat juga disebut dalam
hikayat Melayu lama, iaitu Hikayat Anggun Cik Tunggal yang mengambarkan pakaian anak
raja yang dipenuhi dengan seni tekat. Pada masa dahulu, gadis Melayu yang akan
melangsungkan perkahwinan biasanya melakukan sendiri kerja tekat-menekat alat
perhiasan yang akan digunakan pada hari perkahwinannya.

4
Kajian Othman (2002) pula menyatakan sejarah kemunculan seni tekatan bermula sejak
munculnya kemahiran membuat tekstil yang mungkin diperkenalkan oleh masyarakat China.
Kajian beliau juga menyebut tekatan juga dikenali sebagai suji timbul, sulaman timbul atau
tekat bersuji. Antara tempat yang terkenal dengan seni tekatan ialah di Kuala Kangsar,
Sayong, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri, Parit dan Teluk Intan. Setelah wujudnya
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, perusahaan menekat dimajukan lagi dengan
program-program latihan, promosi, ciptaan yang baru, galakan pengeluaran dan menjual
hasil ke luar negara. Oleh sebab inilah seni tekad benang emas masih terus kekal di Negeri
Perak. Menghasilkan tekat juga memerlukan waktu yang lama dan hasil produk yang
berdekoratif serta indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan dan setelah
digunakan. Kerja-kerja menekat memerlukan pemidang untuk meregangkan kain baldu,
mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk membentuk bunga tekat. Antara
hasil sulaman tekat benang emas dihasilkan ialah sarung bantal, cadar, alas meja, kusyen,
lambang-lambang negeri, lapik peralatan pelamin, langsir serta pelapik hantaran
pertunangan dan perkahwinan. Gambar 2 menunjukan Sulaman Tekat Benang Emas yang
terdapat di Kuala Kangsar, Perak.

Gambar 2: Sulaman Tekat Benang Emas Tradisional


(Sumber: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak)

PENGKOMERSIALAN LABU SAYONG DAN TEKAT BENANG EMAS

Seni kraftangan labu sayong dan tekat benang emas merupakan sesuatu perlakuan atau
kerja yang dihasilkan daripada kreativiti dan daya cipta menggunakan tangan. Kedua-dua
seni kraf ini yang berkembang sejak berabad lamanya di Malaysia. Seni ini dilihat tidak akan
terhenti malah akan terus berkembang seiring berkembangnya kemajuan dan daya cipta si
penghasil seni kraf itu sendiri. Kebiasaannya seni kraftangan di Malaysia lebih tertumpu
kepada kemahiran seseorang bagi menghasilkan produk berasaskan teknik tertentu sama
ada ukiran, jahitan, lakaran mahupun anyaman. Dahulunya seni kraf tempatan hanya
dikenali sebagai suatu industri tradisi dan hanya untuk keperluan hiasan, rujukan dan hobi.
Bagaimanapun, setelah melakukan pelbagai kajian dan inovasi akhirnya persepsi tersebut
berubah mengikut peredaran zaman, di mana pereka-pereka Kraftangan Malaysia telah
mengembalikan kegemilangan kraf tempatan melalui penghasilan rekaan baharu yang
sesuai dengan keadaan dan cita rasa semasa. Setiap hasil produk yang dihasilkan kini

5
mempunyai identiti tersendiri dari aspek reka bentuk, fungsi, estetika, tradisi dan nilai
komersial.

Kewujudan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dilihat banyak membantu


mengekalkan seni warisan kraf di Malaysia. Ia merupakan sebuah agensi kerajaan dibawah
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang bertanggungjawab penuh
untuk melaksanakan industri kraf sebagai pemangkin dan penyumbang utama kepada
ekonomi negara. Kraftangan Malaysia yang telah ditubuhkan pada 1 haribulan Oktober 1979
dibawah Akta Perbadanan Kraftangan Malaysia atau akta 222 bermatlamat untuk
memelihara kraftangan tradisi dan mempertingkatkan aktiviti kraf untuk menajadikan sebuah
industri yang lebih kompetitif (Kraftangan Malaysia, 2017). Kajian Mohd Shaladdin et al
(2011) mendapati usaha yang dijalankan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
telah berjaya mengalihkan persepsi usahawan kraf yang masih berteraskan kepada
pengeluaran konvesional kepada bentuk pengeluaran yang lebih berteknologi dan
mempunyai nilai keusahawanan. Kajiannya turut menyatakan bahawa usahawan perlu
meneliti kehendak dan keperluan pengguna dari masa kesemasa berkenaan dengan produk
yang mereka hasilkan. Seseorang usahawan kraf yang bijak akan memikirkan dalam kontek
inovasi produk untuk mengisi keperluan dan kehandak pengguna setiap masa.

Penghasilan kraftangan kini telah banyak dipengaruhi oleh kehadiran teknologi moden
seperti peralatan dan mesin yang telah diperkenalkan kepada pembuat produk kraftangan.
Ia banyak membantu dalam mempermudahkan kaedah pembuatan yang sebelumnya
dilakukan secara manual atau tradisional. Pengubahsuaian serta pengadaptasian motif-motif
tradisional dalam produk kraf yang bercirikan kontemporari membayangkan kewujudan
perubahan dalam perkembangan seni kraftangan (Salmah et al, 2016). Justeru, peningkatan
mutu kraftangan dengan penggunaan teknologi kini dijangka akan membantu dalam
pengkomersialan hasil kraftangan selain memberi pulangan yang lumayan kepada
pengiatnya pada masa hadapan.
Menerusi kajian Hamdzun dan Othman (2011) ada menyatakan sudah tiba masanya
kraftangan yang dihasilkan secara tradisional memerlukan inovasi dan transformasi
daripada aspek teknikal pengeluarannya. Ini kerana hasil manfaat daripadanya akan
menghasilkan sesuatu produk secara komersial di pasaran. Menurut kajian ini lagi
penghasilan labu sayong melalui teknologi juga adalah penyumbang utama terhadap daya
pengeluaran yang komersial dengan kepelbagaian fungsi.

Pada hari ini, pengkomersilan labu sayong dapat dilihat melalui penggunaan teknologi.
Menerusi temubual dengan En Zulkifly and Puan Rosliza, penghasilan labu sayong
dahulunya 100 peratus secara tradisional menggunakan tangan. Namun kini, 90 peratus
penghasilannya dengan bantuan teknologi moden. Begitu juga dengan seni tekat benang
emas, pengeluarannya lebih cepat dan efektif berbanding cara tradisional di mana masa
melakar dan menebuk mempulur mengambil masa yang lama dan memerlukan kemahiran
yang tinggi. Namun, tidak dapat dinafikan pembuatan secara tradisional memperlihatkan
kualiti dan aura tersendiri. Di Perbadanan Kraftangan Cawangan Perak, penghasilan produk
labu sayong dan tekat benang emas adalah pelbagai. Ia dapat dilihat seperti Rajah 4 di
mana produk yang dihasilkan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi khususnya
pelancong dan masyarakat Malaysia. Salah seorang pengusaha iaitu Pengarah Kreatif
Sakura Malaysia, Suraya Sharifuddin memilih motif tradisional tekat sebagai elemen utama

6
beg tangan keluarannya. Bermula dengan Koleksi Perak yang menonjolkan motif tekat
benang emas, beg rekaan pereka muda ini terus mencipta fenomena sehingga ke peringkat
antarabangsa (Harian Metro, 2017). Justeru, ia jelas menunjukkan seni tradisi kraftangan
Malaysia boleh dikomersialkan agar dapat bersaing dengan seni popular yang lain.
Mengkomersialkan seni tradisional tidak bermaksud membunuh keasliannya kerana ada
unsur-unsur dasar yang masih dikekalkan hingga ke hari ini. Kajian Noor Fzlinda et al (2012)
mendapati hasil produksi kraftangan yang telah dikomersialkan akan memotivasikan mereka
untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan di samping mengekalkan minat mendalam
terhadap pembuatan kraftangan.

Gambar 3: Produk Tekat Benang Emas dan Labu Sayong Yang Telah Dikomersialkan
(Sumber: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak)

PENERAPAN ASPEK PENGKOMERSIALAN DALAM PENGAJARAN

Dalam memastikan warisan budaya negara “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”
institusi pendidikan perlu memainkan peranan penting dalam melatih pewaris yang
berkompetensi. Selain dari itu, inovasi amat diperlukan untuk memastikan pengkomersialan
dapat dijalankan dengan jayanya. Melihat kepada keperluan mempertahankan warisan
bangsa ini, Jabatan Kolej Komuniti telah memperbaharui kurikulum mereka iaitu Sijil Fesyen
& Pakaian 1 tahun lepas dengan memasukkan silibus sulaman benang tekat emas dan
sulaman tekat gubah. Jika sebelum ini beberapa pereka fesyen terkemuka Malaysia
mengaplikasikan tekat ke atas pakaian mahupun aksesori, para pelajar Kolej Komuniti
Fesyen & Pakaian khususnya di Gerik juga telah didedahkan dengan aspek
pengkomersialan yang melibatkan tekat. Menurut salah seorang pengajar Sijil Fesyen &
Pakaian, Pn. Norhafizah bt Marzuki pelajar telah diberi tugasan menghasilkan aksesori
bersaiz kecil yang mempunyai motif bunga-bungaan dengan menggunakan tekat benang
emas.

7
Gambar 4: Hasil Seni Tekad Benang Emas Dari Pelajar Kolej Komuniti Gerik
Yang Telah Dikomersialkan

Lain pula dengan Kolej Komuniti Manjong di mana Unit Fesyen & Pakaian berkolaborasi
bersama Unit Pembuatan Kasut menghasilkan terompah tekad emas untuk kegunaan
kanak-kanak. Ia untuk memberi nafas baru kepada terompah yang selama ini hanya
digunakan sebagai kegunaan di tandas. Terompah hasil ciptaan Kolej komuniti Manjong
berpotensi dikomersialkan. Dalam masa yang sama, terompah tekat emas ini dapat
dijadikan cenderahati kepada pelancong yang berkunjung ke negara kita.

8
Gambar 5: Hasil Kasut Terompah Tekat Emas Buatan Kolej Komuniti Manjung
MASALAH & CABARAN

Memartabatkan warisan negara bukanlah kerja yang mudah. Banyak komitmen yang ditagih
dari semua pihak namun pelbagai masalah dan cabaran perlu ditempuh. Dari segi kurikulum
sulaman tekad benang emas, menurut pengajar Kolej Komuniti Gerik masalah utama yang
dihadapi mereka adalah dari segi kos bahan. Harga benang emas yang digunakan semasa
di dalam kelas adalah RM 85.00 segulung namun begitu kualitinya adalah sangat rendah.
Masa yang diambil juga adalah lama iaitu 6 minggu untuk menghasilkan sekuntum bunga.
Menurut Puan Norhafizah lagi untuk mendapatkan hasil yang sempurna juga amatlah susah
kerana ia bergantung kepada hasil tangan pereka tersebut.

Para pengajar cuba sedaya upaya untuk mengkomersialkan tekat benang emas kepada
pakaian yang dibuat pelajar malangnya empulur yang diperbuat dari kertas tidak boleh
dibasuh. Ini menyebabkan tekat tidak sesuai untuk diimplementasikan kepada pakaian
semasa pertunjukan fesyen. Walhal jika tekat dapat diperagakan di pentas fesyen, pasti
penggiat fesyen di luar sana membuka mata dalam mengiktiraf tekat sebagai khazanah
fesyen yang ulung. Pada pendapat kami,sekiranya satu inovasi dapat dicipta untuk
menggantikan empulur dari kertas kepada bahan yang lebih mudah dijaga dan dibasuh pasti
lebih banyak keluaran tekat benang emas dapat dikomersialkan. Ini kerana tekat benang
emas sangat sensetif terhadap air dan cucian kering akan menyebabkan ia cepat berulat.
Namun begitu, pereka fesyen duo Malaysia mampu meletakkan tekat benang emas di atas
busana mereka. Oleh itu dicadangkan pihak Jabatan pengajian Kolej Komuniti membuat
usahasama bersama pereka fesyen terbabit iaitu Riezman Ruzaini untuk para pengajar
fesyen dapat belajar cara yang sesuai untuk meletakkan tekat benang emas ke atas busana
pelajar dan cara penjagannya. Antara koleksi Riezman Ruzaini adalah seperti Gambar 6.

9
Gambar 6: Hasil Tekatan Benang Emas Rizman Ruzaini Hasil Kolaborasi Bersama
Cik Puan Azrinaz Mazhar
(Sumber : https://nourulwahabdepp.wordpress.com)

Pengkaji mencadangkan setiap kali pertunjukan pentas aksesori yang dibuat oleh pelajar
melalui tekatan emas diperagakan bersama baju sebagai salah satu cara pengkomersialan
tekat benang emas. Melalui pengamatan pengkaji juga, tidak banyak kajian yang dilakukan
terhadap tekat benang emas walhal untuk memastikan ia dapat dikomersialkan banyak
kajian perlu dibuat dari masa ke semasa.

Hasil temuramah bersama Puan Rosliza Mohd Said,pengajar kraf dari Perbadanan
Kraftangan Malaysia Cawangan Perak menyatakan Kraftangan Malaysia telah melatih belia
yang ingin menjadi usahawan kraf di bawah Institut Kraf Negara. Namun begitu tidak ramai
belia yang berminat dengan jurusan tenunan dan seramik walhal syarat kemasukan amat
minimum. Puan Rosliza juga menyatakan melalui program Satu Daerah Satu Industri (SDSI)
usahawan tekat yang mendapat tempahan akan mengagihkan tempahan kepada beberapa
bahagian kepada usahawan lain kerana kerumitan dan kekangan waktu. Namun begitu,
bayaran yang diterima adalah sedikit iaitu RM 15-RM 20 untuk 40m kain. Benang emas
yang digunakan juga perlu diimport dari luar negara iaitu Perancis dan Jepun. Harganya
menelan belanja RM850. Sekiranya industri tekstil negara kita dapat mengeluarkan benang
emas yang sesuai digunakan untuk tekatan, industri tekatan emas akan lebih rancak. Dari
segi teknologi pula, pihak kraftangan cuba membuat inovasi menggunakan mesin sulaman
tetapi hasilnya tekatan tidak halus. Tiada bajet untuk melatih peserta kursus pendek tetapi
pihak Kraftangan sentiasa mengalu-alukan peserta yang mempunyai bajet untuk dilatih oleh
adiguru mereka.

Bagi pengkomersialan labu sayong pula, masalah yang dihadapi oleh pengusaha adalah
tanah liat dari Kampung Sayong semakin berkurangan kata adiguru Labu Sayong, Encik
Zulkifly Pandak Bidin. Sementara itu, menurut Mohd Zharif Alias pereka di Kraftangan
Malaysia Cawangan Perak berkata kraftangan mengambil inisiatif mengagihkan tanah liat
mengikut keperluan pengusaha. Walaupun pembuatan labu sayong semakin pesat tetapi
pembuatan secara tradisonal yang menggunakan kaedah picit semakin ditinggalkan.
Semasa lawatan pengkaji bersama pelajar ke salah sebuah bengkel labu sayong,
pengusaha hanya membuat demonstrasi secara moden memandangkan boleh menjimatkan
masa dan pembuatan yang tidak rumit. Ini juga disokong oleh (Azmi, Muhammad & Tarmiji,
2010) yang menyatakan pembuatan tembikar secara tradisional jauh lebih sukar diperolehi
atau dikuasai berbanding teknik moden yang tidak memerlukan sebarang kemahiran tinggi.
Pembuatan labu sayong moden memang lebih mudah namun perlu diingat jika tiada pewaris
tradisonal negara kita akan rugi kerana kelak yang tulen paling mempunyai estetika yang
sendiri.

Program Senireka Seramik memang ditawarkan di peringkat sijil mahupun diploma di


universiti, kolej komuniti mahupun Institut Latihan Perindustrian. Namun, jika di peringkat
kolej komuniti ia tidak menjadi pilihan pelajar sehinggakan program ini perlu ditutup.
Kurikulum program ini pula lebih ke arah pembuatan tembikar moden dan kontemporari. Ini

10
menyebabkan lulusan yang keluar dari program tersebut tidak menceburkan diri dalam
pembuatan labu sayong. Memetik penyataan (Norakma Abdullah, 2018) “Apa yang kurang
sempurna sekarang adalah pertumbuhan minda pelajar dalam sistem pendidikan dan
persekitaran harian yang tidak mementingkan nilai-nilai estetika”

RUMUSAN

Tanggungjawab mengkomersilkan seni kraf Perak telah dipertanggungjawabkan kepada


Kraftangan Malaysia Cawangan Perak namun tanpa gembeling semua tenaga seni kraf ini
tidak akan masyhur. Kolaborasi bersama institusi pendidikan yang mempunyai kepakaran
dari segi seramik dan tekstil perlu demi menambah baik kualiti dan kecekapan guna tenaga.
Kurikulum sedia ada di institusi kemahiran perlu diperkemas dengan memasukkan unsur
labu sayong dan tekatan dalam silibus dan ia perlu berbentuk praktikal dalam memastikan
kelangsungan kraf ini. Industri fesyen perlu lebih mengetengahkan seni kraf tekat di pentas
fesyen supaya proses komersial ini berjalan lancar. Pengusaha labu sayong pula tidak boleh
malas dalam memikirkan idea-idea baru yang seiring dengan peredaran zaman. Seni kraf
negeri Perak memang berpotensi untuk dikomersialkan dengan lebih meluas dengan
usahasama dari kerajaan untuk memperuntukkan budjet dalam membuat Karnival Kraf dan
promosi secara berperingkat-peringkat ke luar negara.

Rujukan

Azmi Arifin, Muhamad Luthfi Abdul Rahman & Tarmiji Masron (2010). Warisan Tembikar
Labu Sayong di Kuala Kangsar, Perak: Sejarah,Perkembangan dan Masa Depan.
International Journal of the Malay World and Civilization 28 (2). 131-154.

Chamhuri Siwar, Ahmad Md. Zin & Abdul Hamid Jaafar (1990). Jurnal Kraftangan Malaysia
Jurnal Kraftangan Malaysia 21 & 22. Kraftangan Malaysia.

Hamdzun Harun dan Othman Yatim (2011). Pengacunan Labu Sayong: Satu Inovasi Untuk
Tujuan Komersial. Jurnal Akeologi Malaysia (2011).

Intan Mas Ayu Shahimi (2017). Artikel: Komersialkan Seni Tekat.


https://www.hmetro.com.my/node/195014

Institut Kraf Negara (2016). Portal Rasmi Institut Kraf Negara.


http://www.ikn.gov.my/artikel/8/

Kraftangan Malaysia. (2017). Portal Rasmi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.


http://www.kraftanganmalaysia.com.my.

Mohd Shaladdin Muda, Wan Abdul Aziz Wan Mohd Amin & Muhammad Abi Sofian Abd
Halim (2011). Usahawan Kraf di Malaysia: Analisa Laluan Terhadap Perhubungan
Inovasi Produk, Komitmen Perniagaan dan Perkembangan Perniagaan. Persidangan
Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VI (PERKEM VI). Melaka Bandaraya Bersejarah.
Prosiding Perkem VI, Jilid 2 (2011) 208 – 217 ISSN: 2231-962X.

11
Mohd Zharif Alias (2018,April 27). Pengkomersialan Seni Kraf Labu Sayong dan tekad
Benang Emas (Temubual).

Norakma Binti Abdullah (2018). Nilai Estetika Labu Sayong Dalam Penghasilan Karya
Lukisan. Fakulti Seni, Komputeran Dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan
Idris.

Noor Fzlinda Fabeil, Kamarul Mizal Marzuki & Juliana Langgat (2012). Dedicated Vs Modest
Commercialization of Small Scale Handicraft Production in Sabah. International
Journal of Commerse,Business and Management (IJCBM) ISSN:2319-2828.Vol.1,
No.3.

Othman Yatim (2002). Seni dan Peradaban di Perak: Satu Tinjauan Sejarah. Jurnal
Arkeologi Malaysia, 15.

Rosliza Mohd Said (2018,April 27). Pengkomersialan Seni Kraf Tekat Benang Emas
(Temubual).

Salmah Omar, Philip Lepun & Ribka Alan (2016). Etnik dan Pembentukan Landskap Budaya
Malaysia: Seni Anyaman Tikar Orang Ulu Sarawak. GEOGRAFIA OnlineTM
Malaysian Journal of Society and Space 12 issue 10 (21 - 28) 21 © 2016, ISSN
2180-2491

Siti Zuraida Maaruf & Syamsul Nor Azlan (2014). Pedagogi Responsif Budaya Kraf
Tradisional Pendidikan Seni Visual: Modul 2 Seni Tekad. Fakulti Pendidikan UiTM.

Tekat Rizman Ruzaini. DOLCE & GABBANA MALAYSIA!. Posted on January 10,
2015 by nourulwahabdepp,
ttps://nourulwahabdepp.wordpress.com/2015/01/10/3527/

Zulkifly Pandak Bidin (2018,April 27). Pengkomersialan Seni Kraf Labu Sayong (Temubual).

Zuraidah Hassan, Ahmad Helmi Mohd Mukhtar & Zuliskandar Ramli (2015). Tembikar
Tanah: Proses Penghasilan Labu Sayong Secara Tradisional. Prosiding Seminar
Antarabangsa Ke-4 Arkeologi, Sejarah dan Budaya di Alam Melayu Institut Alam dan
Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia Prosiding Seminar
Antarabangsa Ke-4.

12

Anda mungkin juga menyukai