Anda di halaman 1dari 17

TENUNAN

Seni tenunan adalah suatu warisan yang terus mendapat tempat istimewa dalam
kebudayaan Nusantara. Faktor yang mendorong perkembangan seni tenunan ini dapat
disorot pada kepentingan kedudukan rantau ini dari segi geografi. Sebagai tempat
persinggahan kapal yang strategik, Nusantara menjadi tumpuan utama pedagang dari
Tanah Arab, India dan China. Antara barangan yang didagang ketika itu ialah kain
termasuk kain tenun. Oleh sebab itu, seni tenunan di Nusantara banyak dipengaruhi
dari negara-negara tersebut.

Di antara tenunan yang paling terkenal ialah Songket Melayu dan Tenunan Pua
peribumi Borneo. Perusahaan tenunan ini banyak dilakukan di negeri Pantai Timur
khususnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Teknik hasil kraftangan
tenunan utama yang menampakkan keseragaman tekstil Melayu. Kain tenunan beerti
kain atau tekstil yang dihasilkan dengan teknik tenunan yang dibuat daripada benang.

Tenunan awal yang dihasilkan dengan menggunakan alat tenun duduk, yang masih
kekal dalam budaya masayarakat Iban. Masyarakat Bajau Darat atau Iranun juga
mewarisi alat tenunan duduk, tetapi berkembang kemudiannya dengan alat tenun
berkaki seperti alat tenunan di wilayah budaya tekstil Meayu pesisir yang lain. A.J Hill (
1949 ) beranggapan bahawa menenun adalah perusahaan yang tertua yang telah
dihasilkan di Terengganu dan Kelantan dengan menggunakan kei berkaki. Peralatan
yang lebih maju berbeza dengan alatan duduk suku Iban, Iranun, Bajau, Batak (ikat
Pakan).

JENIS-JENIS KAIN TENUNAN

Kain Cindai

Kain Cindai atau juga dikenali sebagai kain Limar, merujuk kepada kain tenunan sutera
halus yang bermutu tinggi. Kain Cindai merupakan kain yang mempunyai tenunan
benang tinggi setiap inci dan dikatakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Jumlah tenunan ikat berkembar yang tinggi ini menjadikan kain Cindai amat kukuh dan
menjadi rebutan kerana dianggap mampu menahan tikaman senjata. Ini boleh dianggap
sebanding dengan pengunaan baju sutera oleh pahlawan Mongol yang menyebabkan
panah yang menembusi tubuh mereka tidak mampu menembusi alas baju sutera
mereka, dengan itu membolehkan mata panah ditarik keluar.

Pembuatan kain Cindai juga memerlukan kapakaran menenun yang tinggi,


menyebabkan jumlah yang dihasilkan terhad dan dengan itu mendapat permintaan
yang tinggi. Ini menyebabkan harganya tinggi dan menjadi simbol status sebagai
bangsawan dan hartawan.

Kain cindai juga digunakan sebagai senjata kerana kekukuhannya dan digunakan
secara menyebat. Ia juga digunakan secara mencekik, menyambar anggota badan
lawan dan mengunci atau mengikat pergerakan lawan. Kebiasaannya untuk
pertarungan, satu hujung kain ini akan diikat dalam simpulan tertentu untuk berfungsi
sebagai pemberat bagi memudahkan ia disebat. Pakar cindai boleh menyebat simpulan
ini dengan tepat dan dikatakan mereka dapat memecahkan busut dengan ketepatan
dan kekuatan sebatan itu. Kebiasaannya pesilat wanita menggunakannya sebagai
senjata pertahanan diri kerana kain cindai digunakan sebagai tudung/selubung,
selendang atau ikat pinggang dalam pemakaian tradisional pakaian wanita Melayu.
Sejarah Kain Cindai

Catatan sejarah membayangkan bahawa kain cindai dibawa masuk ke Tanah Melayu
pada abad ke-12 atau ke-13 Masihi. Kain ini berasal dari Hadrami di wilayah Gujerat,
India dan dibawa ke negara ini oleh pedagang Islam melalui pelabuhan Terengganu.
Kain cindai ialah sejenis kain nipis dan ringan yang ditenun daripada benang sutera
yang sederhana kasar. Coraknya dihasilkan dengan teknik ikat dan celup. Kain cindai
dibahagikan kepada dua jenis iaitu cindai jantan dan cindai betina. Perbezaannya
dikenali pada corak atau bunga dan pada warna latar atau tanahnya. Cindai jantan
mempunyai bunga yang kasar dan garang, manakala cindai betina menampilkan bunga
yang halus dan lembut. Bunga kain cindai diberi nama yang unik seperti giling kacang,
hujan lebat, sekawan merpati dan tikar ru.

Kain Limar

Kain Limar
Pada tahun 1773 pemerintah Melaka, Sultan Mansur Syah I telah meminta para
penenun istana mencipta sejenis kain yang menyerupai kain cindai dan kain songket.
Daripada pemerintahan diRaja itu, lahirlah kain limar. Ketika kain limar mula-mula
dihasilkan dahulu, kombinasi warna-warna buah limau iaitu rentetan warna dari hijau
kuning ke merah tua digunakan. Kain limar ditenun daripada benang sutera dan
bersulam benang emas. Kedua-dua cara digunakan untuk membuat kain cindai dan
kain songket. Teknik buatan kain limar sama dengan kain cindai cuma perbezaannya
sebelum ditenun, coraknya ditentukan dengan cara mengikat benang-benang itu
berkelompok pada alat aning. Kain limar merupakan pakaian wanita istana pada zaman
dahulu.

Tenunan Rungus

Kain yang ditenun secara tradisional ini diusahakan oleh kaum Rungus yang mendiami
daerah Kudat, Sabah. Tenunan Rungus menggunakan benang kapas. Proses menenun
kain Rungus ini serupa dengan proses menenun kain dastar dan kain pua. Alat tenunan
dipanggil kek sandang belakang untuk menenun dastar dan disebut babaal dalam
bahasa Rungus. Warna tradisi kain Rungus ialah hitam, merah, kuning dan putih.
Warna kuning dan putih digunakan sebagai warna rekacorak dan jalur. Corak kain ini
direka supaya jalur-jalur tersusun mengikut motif yang berlainan. Motif tenunan Rungus
berunsurkan bentuk binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan.
Tenunan benang kapas

Tenunan ini adalah tenunan biasa termasuk dalam kelompok tekstil sederhana iaitu
jenis awal yang ditemui di wilayah budaya tekstil Melayu pesisir. Tekstil ini khususnya
yang diperbuat daripada kapas dipakai oleh kalangan rakyat biasa. Tenunan biasa
berhias corak hasil jalinan tenun benang pakan dan loseng berwarna. Pada peringkat
ini, tenunan biasa masih di peringkat sederhana iaitu belum lagi diberi motif hiasan.
Tenunan bercorak mula memperlihatkan keindahan khususnya apabila benang sutera
atau benang emas diselit untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil seperti pada
kain hujan emas. Hampir seluruh wilayah budaya tekstil melayu seperti Kelantan,
Terengganu, Pahang, Riau-Siak, Sulawesi, Minangkabau, Palembang menghasilkan
tenunan biasa atau tenunan becorak yang seperti ini.

Tenunan Pahang

Kain tenunan Pahang dipercayai berasal daripada Sulawesi dan dibawa ke Pahang
pada abad ke-16. Tokoh yang bertanggungjawab ialah Tuk Tuan atau Keraing Aji yang
berketurunan Bugis dan bermastautin di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang. Dari
Pahang, corak ini berkembang ke Kelantan dan Terengganu. Tenunan Pahang
menggunakan alat yang dikenali sebagai kei siam. Kedua-dua benang sutera dan
benang kapas boleh digunakan. Motif utama ialah petak-petak dan jalur tegak atau
melintang.
Kain tenunan Pahang digunakan sebagai kain sarung, kain sampin, selendang dan juga
dijahit untuk pakaian tradisional. Kini, penghasilannya telah disesuaikan mengikut
permintaan serta kegunaan pereka fesyen tempatan dan luar negeri untuk dipadankan
pada majlis-majlis makan malam, adat istiadat Diraja, pakaian pengantin dan
sebagainya. Sebagai satu hasil seni yang bernilai, harganya bergantung pada harga
dan jenis benang yang digunakan.

Tenunan Songket

Songket

Dari segi sejarah, tenunan songket hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga
kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak
songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang
pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau.
Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain
mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan
kedudukan seseorang.

Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak
rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau
menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.
Kain songket merupakan tenunan yang dihasilkan daripada jalinan benang loseng
(yang menunggu) dengan benang pakan (yang mendatang). Proses pada asasnya
mudah, ini dapat menghasilkan ciptaan seni tampak yang indah dan menjadi
kebanggaan bangsa. Pusat tenunan di Semenanjung bermula di Terengganu. Pada
masa ini Terengganu dan Kelantan adalah pusat pengeluaran kain tenunan.

Tenunan sutera mempunyai corak yang mudah seperti corak Muar (susun melintang
dan berdiri); corak Bugis (susunan bersegi kecil), corak melintang tapak catur, kain
limar, kain pelangi, corak parang, rosak, hingga ke tenunan songket dengan corak
bintang bertabur, jong sarat, dan teluk berantai.

Nama kain songket berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau
menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera. Pada amnya songket terbahagi kepada
dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima. Nama tekat itu berkaitan dengan penggunaan
bilangan lembaran benang sutera dan jarak antara lembaran benang emas yang
disongket. Tekat tiga lebih sukar dan rumit daripada tekat lima dan hasilnya lebih halus.
Penggunaan benang emas yang dikembar dua yang dilakukan dengan selembar
benang sutera akan menghasilkan tenunan yang lebih bermutu dari segi teknik dan
kesan.
Songket adalah lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman
berzaman. Kemahiran dan kreativiti tukang tenunan terselah melalui pengolahan corak
dan hasil tenunan yang indah lagi menarik. Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah
Melayu telah mennggalakkan lagi perkembangan tenunan tempatan. Tenunan songket
mula dibeberapa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan,
Terengganu dan Pahang.

Dizaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan
strata atau kedudukan seseorang. Secara tradisi songket ditenun dengan
menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja
Melayu dan golongan Bangsawan. Kini songket ditenun dengan benang kapas dan
mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis
tertentu.

Keanggunan kain songket selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk memperaga
seni budaya, ia juga turut diilhamkan dalam bentuk dimensi baru seperti penghasilan
songket dalam bentuk bag tangan, kasut, hiasan dinding, kusyen, bingkai gambar dan
sebagainya.
Tradisi menenun masih dapat dikekalkan dan tiada berubah sebagaiman seratus tahun
dahulu.
CORAK DAN MOTIF

Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus
mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya
dengan keindahan dan keunikan.

Antara corak yang digunakan:

Susunan bunga penuh

Susunan bunga bertabur

Susunan bercorak

Corak bunga penuh

songket sulam tabur


Motif corak bunga penuh

Motif pucuk rebung

Motif bunga pecah lapan


Motif yang digunakan pula adalah seperti:

Motif Tumbuh-tumbuhan

Motif Binatang

Motif Alam/Benda

Motif Kuih

Reka bentuk kain songket mengandungi badan, kepala, pucuk rebung, atau bunga lawi
ayam (dalam bentuk pucuk rebung), diapit di antara kepala dan tepi kain.

Motif pucuk rebung pada kepala kain songket


Antara motif songket yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan ialah pucuk rebung,
bunga lawi ayam, bunga baling, tapak kecupu, bunga tanjung, bunga cermai, bunga
setelop, tampuk kesemak, tampuk manggis, dan buah delima. Manakala corak-corak
songket yang abstrak dinamakan kasap, pecah lapan, tapak kacip, potong wajik, bunga
tiga dara, bunga logam, bunga kerongsang, dan jong sarat.

Motif yang diilhamkan daripada alam sekitar pula dinamakan bintang buta, air molek,
awan larat, dan teluk berantai. Yang diilhamkan daripada haiwan ialah bunga lawi
ayam, unduk-unduk, bunga hati, dan sisik kelah.
Kain songket menggunakan warna seperti merah asam jawa, merah darah ikan, merah
jambu, kuning penang masak, kuning lemak ketam, kuning tanah liat, kuning kunyit,
hijau pucuk pisang, hijau serindit, hijau batang bemban, hijau lumut, hijau terusi, biru air
laut, biru manis, ungu biji rembia (butir setar), ungu manis, kelabu asap, dan hitam.

Proses menenun adalah sama bagi kebanyakan negeri di Semenanjung Melayu.


Perbezaannya mungkin terdapat dalam penggunaan alat-alat tenunan, istilah-istilah
yang diberikan kepada proses menenun dan corak bunga songket yang digunakan.

Pada amnya menenun songket terdiri dari lapan proses. Proses ini diturunkan secara
rahsia dari satu generasi ke generasi yang lain oleh penenun yang mahir. Penenun ini
hanya menyampaikan pengetahuan dan kemahiran menenun kepada anak-anak dan
cucu-cicit yang berminat sahaja.

PROSES TENUNAN SONGKET

Bahan dan Alat

Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek
mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu,
dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen,
lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang
emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.
Teknik dan Proses
Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas
dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu
tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk,
menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.

1. Melerai

Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk
diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai.
Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan
digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan.
Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu
atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.

2. Menganing

Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing
untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini.
Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh
menghasilkan 12 - 14 helai kain.

3. Menggulung

Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi
jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah
benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali
menggulung untuk memastikan susunan kemas.

4. Menyampuk

Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat.
Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk
menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang
losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi
kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah
sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain
menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.

5. Menghubung

Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang


yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini
bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja
hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk
menghubung.

6. Mengarak

Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan


dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang
losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat
mempunyai empat batang anak kayu.

7. Menyolek

Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain
songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada
benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat
tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu
benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan
belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam
pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan
pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan
ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif
bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama
karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.

8. Menenun
Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan
untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan
melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka
corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang
emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki.
Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula
dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang
mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga
menghasilkan sehelai kain songket.

Songket Dimensi Baru

Bag tangan dari songket

Pengeluaran songket kini telah mengorak langkah ke dimensi baru. Hasil tenunan
dijadikan barang yang boleh dikomersilkan ke peringkat antara bangsa. Antara hasilan
songket dimensi baru seperti bag tangan, selipar, bingkai gambar, tudung lampu dan
sebagainya.
Tenunan Pua Sarawak

Tenunan Pua diusahakan oleh kaum Iban di Sarawak. Alat tenunan tradisional ini
dinamakan kei tumpah. Alat ini biasanya tersimpan di beranda rumah panjang. Semasa
menenun, alat ini diikatkan pada tiang rumah dan tenunan diregangkan dengan
menyandangkan pada penenun. Tenunan pua dikaitkan dengan cara hidup masyarakat
Iban. Kerja menenun itu dilakukan sendiri mengikut adat, penenun mesti akur pada
petua dan pantang larang. Misalnya, rekacorak hantu atau roh yang dikenali sebagai
engkeramba tidak boleh ditenun di pinggir pua. Rekacorak itu mesti ditenun di tengah-
tengah pua dan dipagari oleh rekacorak kemerbai. Jika tidak dilakukan sebegitu, hantu
atau roh itu akan terlepas dan mengacau penghuni rumah panjang atau mungkin
membawa malapetaka ke atas mereka. Tenunan pua ada pelbagai jenis. Di antaranya
ialah pua mata, pua rara dan pua kumbu. Pua kumbu adalah pua yang paling rumit.
Cuma penenun yang mahir dan cekap sahaja sanggup untuk menghasilkannya.
Manakala, pua mata dan pua rara biasanya ditenun oleh penenun yang kurang mahir
atau baru belajar. Kebanyakan corak yang digunakan adalah berunsurkan tumbuh-
tumbuhan dan binatang. Motif tenunan dihasilkan daripada teknik ikatan iaitu ikat dan
celup. Pewarnan tenunan pua diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan seperti kunyit,
pinang dan kulit kayu baku. Warna utama yang digemari adalah merah tua, coklat,
kuning dan hitam. Biasanya kain pua yang kasar dijadikan selimut manakala kain pua
yang halus dijadikan kain sarung dan jaket untuk dipakai pada majlis-majlis tertentu.
Kini, kegunaan kain pua dipelbagaikan seperti hiasan dinding, beg tangan, kulit fail, alas
meja dan sebagainya.
Kehalusan dan keindahan seni kraftangan Sarawak jelas terpancar melalui warisan
pelbagai hasil kraftangan kaum etnik yang terdapat di Sarawak. Pua, tenunan ikat-
lungsin yang diwarisi turun-temurun oleh suku kaum Iban memaparkan identiti dan
pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup.

Kombinasi warna coklat kemerah-merahan yang terdapat pada tenunan pua cukup
harmonis dan menarik. Motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan lambang makhluk seperti
corak cicak (engkarong), buaya, lembaga manusia (engkaramba) dan sebagainya
memaparkan keunikan rekacorak tradisi tenunan pua. Namun demikian, penenun pua
kini lebih tertumpu kepada motif moden seperti bentuk tumbuh-tumbuhan dan
geometrik.
Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga
boleh dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi. Antaranya ialah bidang (skirt), sirat
(cawat), kalambi (jaket) dan dangdong (kain sarung).

Jalinan hasil tenunan dan kegemilangan kombinasi warna dan corak tenunan yang
mempersonakan, memaparkan keindahan serta nilai estetika dan mistik tenunan pua
yang masih terpelihara hingga ke hari ini.

Anda mungkin juga menyukai