Anda di halaman 1dari 11

INOVASI WAU MELAYU : KELESTARIAN

WARISAN SENI TRADISI


Rosiah Md. Noor
Mohd Azhar Abd Manan

ABSTRAK
Objek seni rupa tradisi melayu seperti wau adalah sebahagian daripada wadah budaya bangsa
yang seharusnya dapat terus kekal dinikmati dan dimainkan oleh komunitinya. Kecantikan
wau melayu tradisional adalah pada corak dan bentuknya. Keistimewaan ini telah bermula
sejak dulu lagi yang dikaitkan dengan lagenda Dewa Muda terbang ke kayangan, hubungan
perdagangan dengan China, semangat padi oleh golongan petani, serta aktiviti diraja dan
rakyat jelata. Selain daripada tujuan riadah, kesenian, mitos dan agama, faktor alam
semulajadi telah menjadikan ia alat penting digunakan dalam kecemasan, peperangan atau
kerja udara pada masa dahulu. Kini lambakan layang-layang komersial yang tiada nilai-nilai
tradisi telah menggantikan wau sebagai permainan riadah terutamanya di kawasan lapang dan
pantai-pantai di Malaysia. Faktor betapa sukarnya memperolehi, menyelenggara dan harga
yang mahal adalah antara perkara yang menjadikan wau sukar sampai kepada komuniti
pengguna secara meluas. Proses penghasilan corak daripada kertas dengan teknik sobek dan
penyediaan rangka buluh mengambil masa yang lama bagi menghasilkan sebuah wau. Ini
menjadikan wau satu seni yang bersifat ekslusif. Oleh itu, tujuan kajian adalah untuk
menghasilkan wau yang lebih praktikal melalui inovasi terhadap corak dan rangka.
Pendekatan ekperimen berasaskan kerja studio seni halus pula adalah metodologi kajian yang
digunakan. Teknologi seni cetak menggunakan aplikasi teknologi komputer dalam
menghasilkan corak wau dan kaedah pasang siap adalah hasil kajian yang diperolehi. Ianya
diharapkan dapat menyumbang kepada kelestarian warisan seni rupa tradisi masyarakat
Malaysia masa kini dan jenerasi seterusnya.
Kata kunci : Wau Melayu, Inovasi, Kelestarian, Warisan Seni Tradisi.
PENGENALAN
Kebiasaannya wau sangat sesuai dimainkan sebagai aktiviti riadah di kawasan lapang dan
pantai-pantai di Malaysia kerana faktor angin memudahkan wau melayang dan kekal di
udara. Keindahan panorama ruang udara tambah berseri dengan terbangan wau tradisi yang
pelbagai bentuk, corak dan warna. Kecantikan wau tradisi ini telah menjadi salah satu identiti
kepada budaya kebangsaan Malaysia. Sebagaimana syarikat penerbangan Malaysia telah
menggunakan wau bulan sebagai lambang syarikat yang di bawa dan dikenali di seluruh
dunia.
Hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai wau rasmi tradisi melayu yang mempunyai
identiti mengikut jenis, nama dan asal usul tersendiri. Contohnya di negeri Kelantan terdapat
Wau Puyuh, Wau Kikik di negeri Melaka, di Johor dengan Wau Merak, Wau Kapal di negeri
Selangor, di Kedah dengan Wau Kangkang, di Perlis pula dengan Wau Helang dan di negeri
Sarawak dengan Wau Kenyalang. Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jala Budi telah
1

diistiharkan sebagai Wau Tradisi Melayu Kebangsaan atau wau Malaysia (Wan Basirun,
2002; Ghulam-Sarwar Yousof, 2007).
Keunikan wau tradisi yang merupakan salah satu daripada seni rupa melayu adalah pada
corak hiasan, selain daripada bentuknya yang istimewa. Ia menjadi satu hasil kraftangan yang
cantik dan bernilai tinggi bila corak hiasanya semakin komplek. Harga yang mahal menjadi
faktor utama wau tradisi melayu sukar dimiliki dan sayang untuk dimainkan sebagai aktiviti
riadah seperti layang-layang biasa yang murah dan tiada nilai-nilai estetika tradisi. Kertas
menjadi bahan utama sebagai dinding wau yang mengandungi corak hiasan yang dibuat
dengan kaedah sobek yang memerlukan kemahiran tangan yang tinggi dan mengambil
masa untuk disiapkan.
Perkembangan teknologi dan lambakan layang-layang komersial menjadikan masyarakat kini
beralih kepada permainan layang-layang yang tiada unsur-unsur tradisi tempatan. Usahausaha mempertabatkan permainan wau lebih menjurus kepada mengadakan program festival
dan pertandingan secara bermusim di tempat-tempat tertentu. Namun, tidak ramai yang dapat
menyertainya kerana memerlukan kepakaran menghasilkan wau yang cantik dekorasinya.
Usaha lain seperti mengadakan bengkel untuk mempelajari kaedah menghasilkan wau sangat
terhad dan tidak menyeluruh. Tambahan pula pembuatan wau tradisi mengambil masa yang
panjang dan memerlukan latihan yang berterusan untuk menghasilkan wau yang cantik dan
sempurna.
Objektif utama kajian ini adalah untuk menghasilkan wau tradisi yang mempunyai nilai-nilai
komersial. Oleh itu tumpuan kajian menjurus kepada potensi teknologi cetakan dengan
bantuan aplikasi komputer dalam mengekalkan estetika corak hiasan wau. Corak hiasan wau
bukan sahaja dapat dihasilkan dengan mudah dan lebih cepat tetapi juga dapat mengekalkan
kecantikan corak yang hampir sama dengan rupa corak wau tradisi yang dibuat menggunakan
kaedah sobek. Bagi memudahkan penyelenggaraannya, rangka wau yang asalnya dibuat
daripada buluh, ditukar kepada bahan lain yang boleh dipasang-siap. Inovasi terhadap
aplikasi corak dan rangka wau melayu diharap dapat mengekalkan kesinambungan warisan
tradisi yang sangat bergantung kepada bentuk muka bumi, cuaca dan tiupan angin.

INOVASI WAU TRADISI


Perkataan inovasi menurut kamus Dewan Bahasa edisi ketiga, (1998), bermaksud sesuatu
yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru. Dalam kontek
barangan kraf tradisional seperti wau melayu, inovasi melibatkan penambahbaikan kepada
produk tersebut dengan mengekalkan nilai etika dan estetika dalam sosiobudaya melayu
(Bird B,1989). Inovasi juga merangkumi kebolehan dan kesungguhan untuk menyelesaikan
masalah bila berhadapan dengan situasi atau peluang dalam perniagaan. Pembuat dan
pengusaha barangan tradisi tidak berupaya mementingkan faktor estetika semata-mata tanpa
memikirkan faktor pulangan dalam bentuk pendapatan kerana setiap masa, tenaga dan bahan
pembuatan melibatkan kos kewangan.
Oleh itu, inovasi memerlukan motivasi yang tinggi dalam meningkatkan persembahan produk
kepada keperluan dan kemudahan pengguna atau pembeli. Faktor komersial juga merupakan
satu bentuk inovasi. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga (1998), perkataan komersial
berkaitan dengan atau bersifat perdagangan yang dapat mengeluarkan sesuatu produk secara
banyak, cepat dengan harga yang menarik perhatian pengguna. Tidak dapat disangkal bahawa
2

produk warisan seperti wau dapat dikomersialkan dan mampu menyumbang kepada faedah
ekonomi selain daripada aprisiasi estetika yang dapat menemukan dengan lebih ramai
pengguna atau pembeli. Ini kerana produk yang dapat dihasilkan dengan kuantiti yang
banyak disamping mempunyai kualiti yang terjamin dapat dipasarkan dengan lebih meluas
boleh menarik minat dan dimiliki oleh ramai pengguna.
Namun begitu, menurut Ghouse, M. N. (2008) seseorang pengiat mesti jujur dan sentiasa
menghasilkan produk seni yang terbaik dan sentiasa menafaatkan teknologi dalam
menghasilkan produk seni selagi ia tidak melanggar nilai-nilai estetika dan aspek fungsional
sesebuah karya di dalam mengharungi kompetitif pasaran produk kreatif hari ini. Pengusaha
produk warisan yang inovatif adalah mereka yang menghayati nilai-nilai budaya disamping
menghayati kehendak dan keperluan pengguna. Mereka juga dapat menerima satu anjakan
paradigma daripada kaedah pembuatan secara tradisional kepada kaedah yang moden dan
terkini.
Seorang pembuat barangan kraf seperti tukang wau paling tidak menghasilkan wau bukan
hanya bertujuan untuk dimainkan tetapi untuk menjualnya jika ada pembeli (Ali Hassan,
2010). Pendapatan hasil daripada buatan wau sama ada wau untuk dilayangkan atau untuk
hiasan dapat menampung kos bahan, tenaga dan masa dalam menghasilkan wau tersebut.
Menurut Ali Hassan lagi, beliau pernah menerima tempahan membuat wau layang iaitu wau
yang boleh dimainkan dengan jumlah yang banyak tetapi tidak mampu melakukannya. Ini
kerana permintaan tersebut adalah dalam masa yang singkat sedangkan pembuatan wau
mengambil masa yang panjang. Tambahan pula, tiada tenaga kerja yang cukup yang boleh
membantu beliau.
Perkara ini diakui oleh Kasmin Mirun (2010), seorang pengusaha wau yang berpendapat
bahawa masa dan tenaga menjadi faktor utama wau layang sukar dihasilkan dalam jumlah
yang banyak dalam masa yang singkat. Faktor usia dan kesihatan menjadi kengkangan utama
untuk beliau terus produktif. Tenaga muda bersifat sementara yang hanya dapat membantu
beliau mengusahakan wau hiasan yang bersaiz kecil sahaja. Usaha yang pernah dibuat oleh
Kasmin dan anak-anaknya dalam mengkomersialkan wau yang dkenali sebagai Wau Baling lebih
tertumpu kepada inovasi lipatan agar wau yang bersaiz besar mudah di bawa dan disimpan
(Norfatimah Ahmad, 2008). Namun bahan tradisi seperti buluh dan kertas masih digunakan.
Percubaan mereka menggunakan cetakan skrin untuk menghasilkan corak juga pernah dibuat tetapi
tidak mendapat sambutan kerana kaedah cetakannya yang ringkas (Kasmin, 2010).

TEKNOLOGI KOMPUTER DAN SENI CETAK


Sejak kemunculan teknologi komputer dengan pelbagai kemudahan program yang mampu
memanipulasikan imej telah banyak menyumbang kepada kepelbagaian teknik dan media
dalam penghasilan seni cetak, khususnya dalam teknologi cetakan skrin (Phillips P. & Robb
T., 2004). Teknik seperti four colour separation adalah contoh hasil daripada kecangihan
aplikasi komputer. Teknik yang terhasil daripada kesan partikel halftone yang dahulu hanya
dapat dibuat dengan menggunakan teknologi fotografi yang mengambil proses kerja yang
rumit. Selain itu kemudahan aplikasi komputer dapat mempercepatkan proses kreativiti,
perkembangan idea, mengolah rekaletak mahupun menjadi sebahagian daripada media
campuran atau sebagai media digital.
Cetakan dalam banyak kaedah boleh menghasilkan imej yang sama dalam kuantiti yang
banyak. Secara konvensionalnya, seni cetak dihasilkan daripada alat perantara seperti blok
3

disebut matrix, yang mengandungi imej tertentu ke atas bahan seperti kertas, plastik atau kain
melalui suatu impresi terkawal. Selain cetakan skrin, cetakan dengan kaedah benaman
(intaglio), cetakan timbulan (relief) dan cetakan litografi adalah kaedah seni cetak yang telah
lama digunakan untuk menghasilkan tulisan, corak, hiasan sama ada sebagai karya seni,
manuskrip, poster, buku atau kain untuk pakaian. Ia dihasilkan oleh seniman cetakan untuk
tujuan berkarya dalam kontek seni halus atau untuk tujuan produksi. Walau apapun
tujuannya, seni cetak membawa bersamanya perkembangan teknologi kreatif sama ada
teknologi ringkas atau kompleks adalah seiring dengan perubahan zaman (Coldwell P.,
2010).
Cetakan skrin adalah satu kaedah mencetak yang paling mudah disesuaikan untuk tujuan
komersial ataupun cetakan seni halus. Cetakan seni halus adalah lebih melibatkan kepada
suatu ekspresi artistik seseorang pengkarya. Cetakan dibuat dengan jumlah yang dikawal
secara edisi dan disahkan dengan tandatangan seniman yang akan menentukan nilai harga
bagi setiap edisi. Berbeza dengan cetakan komersial yang lebih menitikberatkan kepentingan
pengguna di mana produksi secara besar-besaran dapat dibuat dalam masa yang singkat yang
dapat mengurangkan harga setiap cetakan. Penglibatan mesin cetak automatik kini semakin
mampu mencetak beribu unit dalam masa sejam (Adam R. & Robertson C., 2003).
Bagi kaedah cetakan skrin, blok dibuat daripada kayu atau aluminium yang memegang
regangan skrin daripada fabrik sintetik seperti nilon atau polyester. Dahulu skrin diperbuat
daripada sutera yang merujuk kepada istilah sutera saring. Fabrik skrin ini membenarkan
bahan cecair atau pes warna menembusinya. Bagi mendapatkan hasil warna yang rata adalah
bergantung kepada kompresi (tekanan) dengan alat yang dipanggil squeegee serta rupa
stensil yang dihasilkan di atas skrin tadi. Stensil adalah ruang terbuka skrin yang membentuk
imej atau corak yang diperlukan (Dawson J., 1988; Faine B., 1989).
Penghasilan stensil adalah penentu kepada pelbagai kaedah dan teknik cetakan skrin. Di
antaranya ialah teknik potongan kertas (paper stencil), kaedah bahan sapuan gam atau shellac
(screen-filler stencil) dan kaedah pendedahan cahaya (direct photo stencil). Kaedah direct
photo stencil melibatkan teknologi yang meluas dan pelbagai teknik boleh dibuat melaluinya.
Teknik seperti Autographic technique (line, tone shape or texture drawing), Photographic
technique (line film, halftone transparencies), Computer generated technique (posterizes,
halftone, color separation) memberi perbezaan yang ketara terhadap imej yang dihasilkan
(Dawson J., 2004; Adam R. & Robertson C., 2003; Phillips P. & Robb T., 2004).
METODOLOGI
Penyelidikan yang dijalankan adalah untuk menghasilkan wau komersial yang dapat
menyamai wau tradisi. Oleh itu kaedah eksperimentasi secara empirikal yang berasaskan
kerja studio bagi mendapatkan kesesuaian bahan dan teknik yang diperlukan dalam
menghasilkan wau tradisional yang lebih cepat dan produksi. Dua jenis wau tradisi dijadikan
sampel kajian iaitu wau bulan dan wau merak. Wau Bulan adalah satu daripada wau
kebangsaan dan Wau Merak pula adalah wau negeri Johor. Kedua-duanya dipilih kerana
faktor populariti. Pendekatan kualitatif digunakan dalam menilai perbandingan antara wau
komersial dengan wau tradisi.
Proses kerja studio untuk menghasilkan wau komersial adalah menggunakan pendekatan seni
halus. Kajian lebih menumpukan kepada soal inovasi dalam menghasilkan prototaip yang
mengutamakan ciri-ciri artistik dan estetik. Proses penghasilan wau dibahagikan kepada tiga
4

fasa dalam kajian keseluruhan projek ini. Fasa pertama adalah proses penghasilan corak wau
dengan kaedah cetakan. Fasa dua dan tiga menumpukan kepada penghasilan bentuk dan
fungsi wau. Ketiga-tiga fasa ditunjukkan melalui kerangka kajian dalam ilustrasi 1.

Ilustrasi 1 : Kerangka kajian

DAPATAN DAN PERBINCANGAN


Dapatan 1 : Hasil Corak Wau Cetakan Skrin
Berdasarkan proses kajian berasaskan kerja studio bagi corak wau, dua jenis corak telah dapat
dihasilkan iaitu corak untuk wau bulan dan wau merak. Setiap satu corak dihasilkan melalui
dua jenis teknik cetakan skrin iaitu teknik stensil bersempadan tepat (hard-edge stencil) dan
teknik pengasingan empat warna (four colour separation). Kedua-dua teknik dibuat menerusi
kaedah foto stensil yang mana blok cetakan melalui proses pendedahan cahaya terhadap
5

salutan foto emulsi bagi menghasilkan imej stensil yang berada di permukaan skrin. Cetakan
dihasilkan di atas fabrik dengan menggunakan warna-warna cetakan berasaskan air.
Bagi teknik stensil bersempadan tepat dua hingga empat warna digunakan bagi menjelaskan
corak wau. Ilustrasi 2 menunjukkan proses mewarna menggunakan teknik stensil
bersempadan tepat. Dua warna yang baru dicetak di sebelah kanan tidak cukup menyerlahkan
corak wau kerana warna kuning dan hijau merupakan hue (warna) yang harnpir sama dengan
tindakan latar putih. Tambahan warna merah yang kontra sebagai ganti latar putih
menjadikan corak kelihatan lebih jelas.

Ilustrasi 2 : proses cetakan skrin teknik hard-edge

Teknik pengasingan empat warna CYMK (half-tone 4 colour separation), menggunakan


hanya warna- warna biru (Cyan), kuning (Yellow), merah (Magenta) dan hitam (Key) sahaja
sebagai warna asasnya. Imej bagi setiap warna terdiri daripada bintik bulat atau partikel
pelbagai saiz (half-tone) yang akan bercampur bagi menghasilkan warna-warna baru. Warnawarna seperti hijau, jingga, unggu, merah jambu dan coklat terhasil daripada gabungan
partikel 4 warna asas tadi dan menghasilkan ton warna pada kebanyakkan motif. Ini berbeza
dengan corak yang menggunakan teknik stensil bersempadan tepat di mana warna kelihatan
tetap dengan 4 warna yang digunakan iaitu kuning, merah, hijau dan hitam. Motif yang
terhasil juga kelihatan rata. Perbezaan hasil teknik cetakan dapat dilihat dalam ilustrasi 3.

Ilustrasi 3 : cetakan skrin 4 warna teknik hard-edge (kiri) dan cetakan skrin 4 warna teknik
half-tone 4 colour separation (kanan)

Penghasilan corak menggunakan teknik cetakan dibuat dengan menggunakan teknologi


komputer untuk gubahan pecahan warna sama ada untuk mendapatkan imej secara hard-edge
ataupun secara half-tone. Imej tersebut kemudiannya melalui proses penghasilan blok cetakan
menggunakan teknologi mesin iaitu kaedah foto stensil secara berperingkat untuk
menghasilkan corak yang disebut sebagai stensil. Stensil yang terhasil boleh digunakan untuk
mencetak corak yang sama beratus kali dengan cepat. Kaedah ini mewujudkan faktor
komersial yang mengurangkan kos bagi setiap unit cetakan. Berbanding dengan kaedah
penghasilan corak wau tradisional, corak teknik sobek dibuat dengan menggunakan pisau
untuk menebuk imej sama seperti kaedah mengukir. Setiap corak hanya dapat dibuat secara
tunggal untuk satu wau sahaja. Walaupun penggunaan alat dan bahan adalah murah tetapi
proses penghasilannya rumit dan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.
Secara tradisi menghasilkan motif dan corak yang cantik dengan pelbagai warna bermakna
semakin sukar ianya dihasilkan dan akan menjadikan harganya semakin mahal. Lapisanlapisan pelbagai warna akan menjadikan corak wau tradisi menjadi berat dan hanya sesuai
untuk tujuan hiasan sahaja. Berbeza dengan corak cetakan skrin, ia terbukti boleh
menghasilkan pelbagai warna dengan teknik pengasingan empat warna di atas sekeping kain
yang ringan, tahan lasak dan mempunyai potensi untuk tujuan dilayangkan ke udara.
Aplikasi warna bagi teknik cetakan adalah berdasarkan lapisan mengikut jumlah warna yang
digunakan. Jika dua warna digunakan bermaksud proses tindihan warna akan dibuat dua kali.
Kaedah ini pada dasarnya adalah sama konsep dengan teknik sobek yang melibatkan lapisan
demi lapisan warna ditampal selepas motif pada bahagian tertentu corak diukir. Mengukir
(sobek) motif adalah seperti menghasilkan stensil dalam cetakan. Konsep sobek dan cetakan
hanyalah berbeza dari segi rupa dan jalinan fizikal. Rupa motif dan corak cetakan skrin masih
menyerupai atau dapat meniru rupa motif dan corak wau tradisi. Potensi wau cetakan untuk
dilayangkan ke udara dalam jarak yang jauh sudah pasti tidak akan memberi kesan perbezaan
dari segi fizikal rupa corak tersebut.

Dapatan 2: Bentuk Wau Komersial


Dua bentuk wau telah dapat dihasilkan iaitu bentuk wau merak dan wau bulan. Kedua-dua
corak wau ini melalui proses jahitan menggunakan mesin jahit bagi membentuk badan wau
bagi membolehkan rangka dipasang dan mudah ditanggalkan semula. Berdasarkan
ekperimentasi kerja studio, beberapa percubaan penggunaan bahan untuk membuat badan dan
rangka wau telah dilakukan. Hasilnya jahitan menggunakan bias kain sebagai lubang untuk
menyusupkan rangka wau adalah paling berkesan dan kemas. Rangka daripada batang rod
menggunakan bahan daripada fiber-glass adalah sesuai digunakan.
Teknik dan bahan yang spesifik untuk membentuk wau kaedah baru ini mempunyai potensi
diproses secara besar-besaran menggunakan konsep dan teknologi perkilangan. Pengeluaran
secara industri akan mengurangkan kos dan harga seunit. Penggunaan bahan dan teknik baru
membolehkan kaedah pasang siap diaplikasikan yang memudahkan bentuk wau ini dibawa
dan diselenggarakan. Rangka yang mudah dipasang dan dibuka memberi kelebihan ianya
dipeketkan dalam pembungkusan yang lebih menarik untuk tujuan pemasaran.
Pemasangan yang diadaptasi daripada layang-layang komersial adalah sesuatu keperluan
masa kini. Lambakan layang-layang buatan negara China misalnya masih berjaya memenuhi
permintaan orang ramai yang gemar dan dapat mengalakkan aktiviti riadah. Faktor
kemudahan dan keperluan untuk peminat dan pemain wau juga telah mendorong Encik
7

Kasmin Mirun mencipta wau baling yang boleh dilipat walaupun masih mengekalkan bahan
asal wau tradisi tersebut.
Wau tradisi dimulakan dengan kerja-kerja membuat rangka mengikut ukuran yang
dikehendaki. Buluh yang telah melalui proses penyediaannya digunakan dengan mengikat di
antaranya dengan menggunakan benang. Saiz corak adalah berdasarkan saiz rangka. Apabila
corak yang siap dibuat di atas kertas, terus ditampal ke atas rangka. Hiasan ditambah di
kepala, ekor dan sayap mengikut jenis wau sebagai menambah kecantikannya. Wau yang siap
adalah kekal dan tidak boleh ditanggal dan dipasang semula.
Berbeza dengan wau cetakan skrin, dimulakan dengan penghasilan corak mengikut saiz yang
dikehendaki. Corak merupakan badan wau yang akan menentukan bentuk wau. Badan wau
dijahit untuk menyediakan kedudukan rangka. Hiasan yang dibuat merupakan sebahagian
daripada badan wau untuk menambah kecantikan bersama corak yang direka. Rangka
dimasukkan secara pasang siap iaitu boleh dipasang pada badan wau dan boleh ditanggalkan
bila-bila masa seperti ditunjukkan dalam ilustrasi 4.

Langkah 1

Langkah 2

Langkah 3

Langkah 4

Ilustrasi 4 : Kaedah pasang siap wau cetakan

Dapatan 3: Fungsi Wau Komersial


Kaedah menaikkan wau cetakan dibuat sama seperti menaikkan layang-layang komersial
iaitu melibatkan dua orang pemain. Seorang memegang wau atau layang-layang dan bertugas
sebagai pelonjak wau atau layang-layang tersebut dan seorang lagi bertugas untuk menarik
tali dan mengawal wau atau layang-layang di udara. Kedua-duanya dapat terbang di udara
semasa pengujian di tempat yang sama. Layang-layang diuji dahulu dan diikuti dengan
pengujian wau cetakan. Dua jenis layang-layang komersial diuji iaitu layang-layang buatan
Negara China dan buatan Indonesia. Wau cetakan yang diuji ialah wau merak dengan teknik
jahitan cantuman menggunakan batang rod karbon sokongan untuk sayap. Namun masa dan
jarak naik di udara tidak sama. Layang-layang komersial dapat naik lebih tinggi berbanding
wau cetakan yang hanya dapat naik setinggi lebih kurang lima meter daripada permukaan
tanah. Masa berada di udara bagi layang-layang komersial lebih lama iaitu antara lima hingga
sepuluh minit sebelum jatuh sendiri. Manakala wau cetakan hanya bertahan selama tiga
hingga lima minit sahaja di udara.
Hasil dapatan daripada pengujian wau cetakan yang kurang memuaskan ini tidak bermakna
ianya telah gagal kerana jika dibandingkan dengan layang-layang komersial yang diuji
terlebih dahulu juga tidak jauh berbeza. Kelemahan wau cetakan untuk terbang dan berada
lebih lama di udara berdasarkan kepada beberapa faktor. Antaranya ialah tempat dan masa
yang mungkin tidak sesuai untuk bermain layang-layang apa lagi menguji wau cetakan.
Kawasan lapang berdekatan dengan pokok-pokok boleh menimbulkan tiupan angin yang
tidak seragam. Tambahan pula, terdapat kekangan masa untuk ujian lanjutan di tempat, masa
dan musim angin yang berbeza. Ketiadaan pakar wau yang boleh menguji dan menilai
keupayaan wau cetakan dilayangkan ke udara juga antara faktor yang mengesahkan
kelemahan wau cetakan berfungsi sebagai wau yang boleh dilayangkan.
Walaubagaimanapun, fungsi wau cetakan sebagai produk komersial yang bercirikan wau
tradisional dianggap hilang estetika rupa melayu sebagaimana pendapat Encik Ali Hassan
Hamat seorang pakar wau tradisional, rangka yang dibuat tidak sesuai dan tidak dapat
menerbangkan wau cetakan kerana beliau melihat dalam konteks kepakaran beliau
menghasilkan wau tradisional yang mempunyai tertib dan aturan dalam seni rupa melayu.
Persoalanya bagaimana pula dengan layang-layang komersial buatan china? Wau tradisi tidak
banyak berbeza dengan layang-layang, hanya dari segi rupa dan struktur sahaja. Cara
permainan adalah sama iaitu menerbangkannya ke udara dengan lonjakan dan tarikan.
Bagaimana pula dengan layang-layang ciptaan yang lebih bebas rupa dan bentuk serta
saiznya yang mampu menandingi wau tradisi terbang lebih lama dan lebih tinggi. Di sini
terdapatnya satu kontradik antara artisan dengan artis iaitu antara pembuat kraf dengan
pengkarya yang tergolong dalam seni dan rekaan.
Dalam membincangkan kelemahan wau cetakan yang kurang berfungsi sebagai alat
permainan, persoalan tentang apakah faktor-faktor yang membolehkan wau atau layanglayang dapat terbang di udara selain daripada faktor cuaca? Penyelidik membahagikannya
kepada dua jenis faktor yang mempengaruhi perkara ini. Ia boleh dinamakan sebagai faktor
dalaman dan faktor luaran. Faktor dalaman berkaitan dengan wau itu sendiri yang merujuk
kepada kebolehan ianya dibuat untuk berfungsi sebagai alat permainan yang melibatkan
perkara-perkara seperti keseimbangan dan prinsip aerodinamik. Faktor kedua pula adalah
faktor cuaca dan kepandaian pemain menerbangkan wau.

KESIMPULAN
Corak wau tradisi dengan menggunakan kaedah cetakan skrin ternyata merupakan satu
produk inovasi yang masih boleh mengekalkan rupa asal wau tradisi. Mutu cetakan boleh
dikawal walaupun melibatkan penggunaan bahan dan teknik berteknologi moden. Cetakan
secara komersial di atas bahan fabrik dijangka lebih murah kerana boleh dihasilkan dengan
banyak dalam masa yang lebih singkat dan tahan lebih lama berbanding penggunaan kertas.
Bentuk wau tradisi ternyata boleh dikomersialkan dengan kaedah baru yang lebih tahan lasak
dan mudah dikendalikan. Badan wau komersial daripada bahan fabrik menggunakan teknik
jahitan berbanding dengan penggunaan gam untuk melekatkan kertas pada rangka wau tradisi
yang asal. Rangka wau pula menggunakan bahan komersial iaitu batang rod karbon, plastik
atau fibreglass.
Ciri-ciri wau tradisi telah dapat dibuktikan terdapat pada wau cetakan yang telah dihasilkan
iaitu mempunyai corak dan bentuk seperti wau tradisional melayu. Corak dan bentuk yang
menyerupai wau tradisi ini cuma berbeza dari segi kaedah penghasilannya yang merupakan
inovasi dalam pembuatan wau tradisi. Inovasi ini sebenarnya lebih menjurus kepada
penghasilan item atau produk yang bercirikan komersial yang masih boleh diperbaiki untuk
berfungsi sebagai wau yang setanding dengan wau tradisi mahupun layang-layang komersial
biasa.

PENUTUP
Motif dan corak wau tradisional tidak dapat disangkal adalah istimewa dan unik kerana
kaedah sobek adalah manisfesto jiwa tukang kraf (artisan) yang juga seniman warisan
melayu. Ketinggian mutu kesenian wau tradisional perlu dikekalkan. Usaha yang dibuat oleh
persatuan pelayang negara dan negeri untuk terus mempertabatkan keindahan wau sebagai
artifak seni negara adalah satu usaha yang sangat murni. Dalam masa yang sama tidak
keterlaluan jika keindahannya dapat dikongsi secara yang lebih praktikal iaitu secara
komersial bagi mengantikan lambakan layang-layang komersial biasa yang langsung tidak
mempunyai hiasan dan corak yang boleh dibanggakan.
Faktor keperluan masa kini seperti mudah diperolehi, mudah digunakan dan berharga murah,
akan dapat menemukan wau cetakan dengan lebih ramai ahli masyarakat. Sesiapa sahaja
boleh memiliki wau dan boleh memainkannya dengan mudah seperti bermain layang-layang
biasa. Tempat-tempat riadah seperti di tepi pantai dan di kawasan lapang menjadi lebih
berseri dengan permainan wau yang dapat bersaing dengan layang-layang biasa. Keadaan ini
menjadi salah satu usaha yang dapat mendorong dalam mengekalkan warisan tradisi agar
terus hidup bersama masyarakat kini dan generasi akan datang. Kesinambungan warisan seni
rupa tradisi seperti wau melayu dapat dipelihara dengan menggunakan teknologi yang dapat
menyumbang dan meningkatkan pembangunan sosio budaya negara.
Walaupun faktor komersial menjadi tumpuan kajian ini, ia tidak bermaksud nilai-nilai estetik
diketepikan. Menerusi kaedah kajian berasaskan studio, proses penghasilan corak wau adalah
berpandukan kepada kaedah penghasilan karya seni. Nilai-nilai artistik dan estetik tidak akan
terabai selagi seorang seniman dapat mengawal setiap proses kerja. Perkembangan teknologi
memerlukan seniman (penyelidik) bekerjasama dengan teknologi terkini yang dapat memberi
manfaat besar kepada masyarakat.
10

RUJUKAN
Adam R. & Robertson C. (2003) Screen Printing The Complete Water-Based System.
London: Thames & Hudson.
Ali Hassan Hamat (2010). Pengiat dan Pelayang Wau Tradisional Melayu. Temubual di
rumah beliau di Kuala Terengganu, Terengganu pada 17 Jun 2010.
Bird, B.(1989) dalam Muhammad Abi Sofian Abdul Halim (2009) Etika dan Estetika
dalam Inovasi prosuk Warisan. Buku Prosiding Isu-isu Sastera dan Budaya.
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Coldwell P., (2010) Printmaking A Contemporary Perspective. London : Black Dog
Publishing.
Dawson J. (1988) Prints & Printmaking. London: Quill Publishing.
Dawson J. (2004) The complete Guide to Prints & Printmaking Techniques and
Materials. London: Quantum Books.
Dewan Bahasa dan Pustaka (1998). Kamus Dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur: DBP.
Faine B. (1989) The complete guide to Screen Printing. London : Quarto Publishing.
Ghulam-Sarwar Yousof. (2007). Recreational and ceremonial crafts: Malay Kites and Tops.
dalam Datok Syed Ahmad Jamal (Ed) The Encyclopedia f Malaysia: Crafts and The
Visual Arts. Singapura:Archipelago Press.98-99.
Ghouse, M.N. (2008) dalam Muhammad Abi Sofian Abdul Halim (2009) Etika dan Estetika
dalam Inovasi prosuk Warisan. Buku Prosiding Isu-isu Sastera dan Budaya.
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Kasmin Mirun (2010) Pengiat Wau Baling, temubual di bengkel beliau di Baling, Kedah
pada 6 Disember 2010.
Norfatimah Ahmad. (2008) Wau Baling. Berita Minggu 23 November 2008.
Perpustakaan Negara (2000). Warisan Budaya Malaysia. Diambil daripada
malaysiana.pnm.my/03/0314wau.htm.
Phillips P. & Robb T., (2004). Modern and Contemporary Prints. UK: Antique Collectors
Club.
Sheppard, Mubin. (1978) Living Crafts of Malaysia. Singapura: Times Books International.
Syed Ahmad Jamal (1992) Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Basiron (2002). Wau Tradisional Malaysia. Johor: Muzium Layang-Layang Pasir
Gudang.
________________________________________________________________________________

Rosiah Md. Noor dan Mohd Azhar Abd Manan adalah pensyarah di Jabatan Seni Halus,
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA, 40450 Shah Alam.
Email: rosiah091@salam.uitm.edu.my dan azharmanan@yahoo.com
Penghargaan : Kajian ini adalah pembiayaan daripada Dana Kecemerlangan UiTM. Terima
kasih kepada pihak RMI (Research Management Institute) di atas sokongan dan pembiayaan.

11

Anda mungkin juga menyukai