Anda di halaman 1dari 36

SISI G E N I U S T E R P EN DAM

SISI G E N I U S T E R P EN DAM

Terjemahan oleh

A h m a d M usta k i m
Hidden Genius : Sisi Genius Terpendam
TERBITAN WRITE & BRAVE SDN. BHD.
Imprin kepada PATRIOTS PUBLISHING SDN. BHD.
No. 23 & 23-1, Jalan Seri Rejang 3, Pusat Industri Sri Rampai,
Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur.

Originally published in the UK by Harriman House Ltd in 2023


www.harriman-house.com.
Edisi asal Hidden Genius dalam bahasa Inggeris diterbitkan di United Kingdom
oleh Harriman House Ltd.
www.harriman-house.com
3 Viceroy Court, Bedford Road, Petersfield GU32 3LJ, UK.

Hakcipta Kandungan © Polina Marinova Pompliano


Hakcipta Terjemahan Bahasa Melayu © Patriots Publishing Sdn. Bhd.
Typeset & Design Credit Copyright © Harriman House Ltd.
Kredit Hakcipta Tipografi & Rekaan © Harriman House Ltd.

Hak Cipta Terpelihara. Kecuali petikan-petikan pendek untuk ulasan di media


massa dan akhbar bercetak, kandungan buku ini tidak dibenarkan untuk
dikeluarkan semula dalam apa bentuk sekalipun selagi tidak mendapat izin bertulis
daripada penerbit.

Dicetak di Malaysia oleh Mihas Grafik Sdn. Bhd.

Terjemahan oleh Ahmad Mustakim


Suntingan oleh Zahidah Zabri
Selenggara kulit muka oleh Hayatonnufus
Selenggara rekaan halaman oleh Syazrul Aqram

Data Pengkatalogan–dalam–Penerbitan
Perpustakaan Negara Malaysia
Rekod katalog untuk buku ini boleh didapati dari Perpustakaan Negara Malaysia.
ISBN 978-9 67-2437 - 88 - 8

10 9 8 7 6 5 4 3 2 1

Buku-buku kami boleh dibeli secara pukal untuk kegunaan promosi, pembelajaran
atau perniagaan. Sila hubungi kedai buku berhampiran anda atau Bahagian
Perniagaan Write & Brave Sdn Bhd secara e-mail kepada;
business@writeandbrave.com

thepatriots.store
KAN DU NGAN

Pengenalan 1

1. Serlahkan Potensi Kreatif Anda 7

2. Menguasai Ketahanan Mental 29

3. Rahsia Perhubungan Sihat 55

4. Ceritakan Kisah yang Lebih Baik 77

5. Menjadi Pemimpin yang Lebih Efektif 101

6. Mengambil Risiko Semasa Ketidaktentuan 125

7. Jernihkan Pemikiran Anda 147

8. Membina Keterlibatan Komuniti 173

9. Optimumkan Diet Kandungan Anda 195

10. Terokai Genius Terpendam Dalam Diri 211

Kesimpulan 235

Penghargaan 241

Nota Sumber 244


Buat Sofia,
Setiap detik bersamamu
adalah luar biasa.
Ibu sayang kamu.
PENG ENAL AN

S eingat saya, saya tidak pernah suka kelas sejarah.


Nama, tarikh, tempat—semuanya seperti satu jigsaw
puzzle yang berserabut dalam minda saya. Guru-guru sering
membentangkan maklumat sebagai fakta untuk diingati,
dan bukan kisah-kisah peribadi yang sarat dengan kejayaan,
kegagalan, risiko dan penyesalan. Tetapi ketika saya meningkat
naik dalam sistem pendidikan, saya menyedari sesuatu yang
penting: Kisah-kisah menjentik emosi, dan emosi memicu
memori.
Satu-satunya cara saya boleh mengekalkan maklumat
mengenai peristiwa bersejarah adalah dengan
membingkaikannya semula menjadi satu kisah yang penuh
dengan watak yang mana hidup mereka meletakkan konteks
kepada peristiwa itu. Jadi, daripada menghafal nama dan
peristiwa, saya mengkaji kehidupan watak-watak utama.
Apakah pegangan mereka? Apa yang membuatkan mereka
bertindak dalam satu-satu cara? Apakah insentif yang berada
di depan mereka?
Saya mengkaji Revolusi Perancis dengan menyiasat
mengapa rakyat menghalakan kemarahan mereka kepada Marie
Antoinette, seorang permaisuri muda yang menjadi simbol
pembaziran dan pentingkan diri. Saya cuba membayangkan
bagaimana perasaan wanita itu apabila membaca akhbar yang
telah menggambarkan dirinya dengan salah, dan menyebarkan
khabar angin mengenainya. Saya dapat rasakan satu perasaan
sedih yang mendalam apabila dia hilang hak penjagaan

1
H I DDEN GEN I U S

anaknya, yang dipaksa menuduh wanita itu dengan pelbagai


jenayah. Dan akhirnya, saya cuba membayangkan aib,
ketidakupayaannya dan ketakutan ketika dia menghampiri
gilotin (guillotine), berjalan ke arah kematian. Apalah yang
difikirkannya pada saat-saat akhir itu? Apa yang dipelajari
dalam hayatnya yang singkat?
Secara tiba-tiba, Revolusi Perancis bukanlah semata-mata
satu peristiwa sejarah. Ia kisah manusiawi, penuh dengan
kesedihan, kemarahan, keterdesakan dan meruntun jiwa—
emosi yang kita semua lalui pada satu-satu masa dalam hidup
kita.
Tanpa kita sedari, saya menjumpai sesuatu yang saya panggil
sebagai pembelajaran berteraskan insan, satu tanggapan
bahawa manusia dan kisah-kisah mereka ialah teras kepada
mana-mana pembelajaran.
Pembelajaran seperti ini melangkaui peristiwa-peristiwa
sejarah.
Jika saya mahu menambah baik aspek membuat keputusan.
Atau membina ketahanan mental, saya boleh memilih satu
individu yang menjadi personifikasi kepada idea yang ingin
saya pelajari. Dari situ, saya akan menghayati kehidupan
mereka dan mula mencari sisi “genius terpendam,” pembeza
yang menjadikan mereka lain daripada yang lain. Ia boleh jadi
rangka kerja mental, maklumat yang praktikal, atau mutiara
hikmah tidak lapuk dek zaman, yang menjadikan mereka
permata di era masing-masing.
Jadi, tiada siapa pun terkejut apabila saya menerbitkan
surat berita (newsletter) berjudul THE PROFILE pada Februari
2017. Ia menampilkan sejumlah profil atau artikel panjang
yang mendalami kisah-kisah terperinci seseorang individu.
Surat berita ini telah dibaca ribuan orang—termasuk pelakon
popular, Dwayne “The Rock” Johnson, pemilik restoran,
Danny Meyer, dan ibu saya.

2
P EN GEN A L A N

Tetapi bagi saya, THE PROFILE ialah manifestasi fizikal cara


pembelajaran saya. Jadi, walaupun saya tidak menulis surat
berita, saya masih membaca profil-profil individu dan belajar
daripada mereka yang telah membina sesuatu yang bermakna,
membangunkan cara berguna untuk berfikir, dan—yang
paling penting—membantu orang lain mencari sisi genius
terpendam mereka sendiri.
Saya bukan satu-satunya yang percaya kepada cara
pembelajaran berteraskan insan. Beberapa individu lain yang
berjaya juga menemui sisi genius terpendam mereka dengan
mengkaji genius yang datang sebelum mereka.
Legenda bola jaring, mendiang Kobe Bryant berkata ketika
dia masih pemain muda, dia telah berkunjung ke Gunung
G.O.A.T (akronim kepada Greatest Of All Time) untuk
bercakap dengan pemain seperti Magic Johson, Michael
Jordan, Larry Bird, Jerry West, Oscar Robertson, dan Bill
Russell. Dia bertanyakan kepada mereka, “Apa yang kalian
lakukan? Apa pengalaman kalian?” “Bagaimanakah prosesnya
untuk kalian?”
Sama juga dengan Steven Kerr, sebelum dia menjadi ketua
jurulatih dengan Golden State Warriors. Kerr melawat semua
jurulatih yang dipandang tinggi olehnya. Beliau bertemu
dengan legenda seperti Phil Jackson, Gregg Popovich,
Lute Olson, Lenny Wilkens, dan Pete Carroll. Kerr mahu
memahami secara luar dan dalam apa yang menjadikan mereka
begitu hebat.
Kerr kelihatan mempunyai ilham yang bertentangan tetapi
menyegarkan: Beliau sedar yang beliau tidak akan berjaya jika
mengidolakan mentor-mentornya. “Tema utama yang kerap
timbul berkali-berkali dalam perbualan kami ialah, jadilah diri
sendiri,” katanya. “Tiada gunanya cuba menjadi orang lain.
Anda boleh tiru orang lain, tetapi anda tidak boleh menjadi
orang lain.”

3
H I DDEN GEN I U S

Sebelum anda membaca halaman-halaman berikutnya, saya


mahu tegaskan buku ini tentang apa. Buku ini bukan satu
kompilasi individu-individu berjaya yang sering digambarkan
sebagai “wira” yang berbaloi untuk dipuja. Buku ini tentang
pembelajaran, dan bukan pengidolaan.
Ambil juara catur dunia, Magnus Carlsen sebagai contoh.
Carlsen berusia 13 tahun ketika beliau bergelar grandmaster,
jadi penemu bual sering bertanya tentang siapakah idolanya.
Jelas Magnus, beliau banyak belajar daripada pemain-pemain
lain termasuk Vladimir Kramnik, Garry Kasparov dan Bobby
Fischer—tetapi beliau tidak mengidolakan walau seorang pun.
“Bukan cara saya, mengikut falsafah saya sendiri, untuk
mengidolakan para pemain, atau untuk meniru mereka. Saya
cuma belajar dan dapatkan yang terbaik daripada pemain-
pemain hebat, sama ada pemain kontemporari atau dari
masa lampau,” katanya. Mengambil yang terbaik daripada
yang terbaik—berbanding buta-buta meniru mereka—
membolehkan Carlsen mengasah kekuatan dan gayanya
sendiri.
Selepas mengkaji dan menemu bual ramai figura yang luar
biasa, saya tidak cemburu atau memuja mana-mana mereka
seperti hero. Saya sudah melihat bahawa kejayaan tidak wujud
dalam vakum—mereka berdepan dengan drama keluarga,
masalah wang, ketidakyakinan dan segala rencam manusia,
setiap hari.
Al Pacino mungkin dianggap sebagai salah seorang daripada
pelakon paling ikonik yang pernah hidup, tetapi kehidupan
peribadinya penuh pergolakan. Pada usia 81 tahun, Pacino
mempunyai tiga orang anak tetapi dia tidak pernah berkahwin,
satu pilihan yang mungkin terhasil daripada pengalaman
kanak-kanaknya dengan ibu bapanya yang bercerai ketika
dia berusia dua tahun. Pacino sendiri sedar bahawa dia telah

4
P EN GEN A L A N

menyerah kalah dalam beberapa perkara untuk memenuhi


matlamat kerjayanya.
Ingat, jika anda boleh mengikuti langkah demi langkah
seseorang yang telah berjaya dalam bidang anda, mahukah
anda berbuat demikian? Ketika membaca buku ini, saya
menggalakkan anda bertanya kepada diri anda sendiri:
Sanggupkah saya membuat pengorbanan yang sama, silap
langkah yang sama, tukar ganti (trade-off) yang sama? Perkara
yang baik datang dengan yang buruk.
Jika ada satu perkara yang saya temui setelah bertahun-
tahun mempelajari kehidupan manusia, ia adalah: Kehidupan
seseorang itu bukan satu garis lurus. Ia lebih seperti jalan yang
berliku, penuh berselirat dengan naik turunnya, berbanding
satu garis lurus yang boleh dijangka. Tidak kira apa yang
dihidangkan oleh kehidupan, kita boleh mengambil pengajaran
mengenai apa yang boleh ditiru dan apa yang patut dielak.
Buku ini akan mendedahkan genius yang terpendam dalam
ramai manusia yang mana perjalanan hidup mereka telah
memberikan mereka pengajaran-pengajaran praktikal yang
boleh anda aplikasikan dalam kehidupan anda jika anda mahu.
Tiada manusia yang sempurna, tetapi saya percaya kita boleh
belajar daripada kejayaan yang paling hebat, selain kegagalan
yang paling teruk.
Insan-insan yang ditampilkan dalam buku ini akan
menawarkan alat untuk menggalakkan kreativiti,
memperkuatkan hubungan dan membuat keputusan dengan
lebih baik. Saya jemput anda untuk bersama saya dalam
perjalanan pembelajaran yang membuka pintu untuk anda
menjumpai sisi genius terpendam anda sendiri.

5
Bab Satu
F ikirkan tentang individu paling kreatif yang anda tahu.
Apa yang membuatkan mereka menjadi sedemikian?
Selama berkurun-kurun, kita telah silap menyandarkan
kreativiti kepada faktor-faktor di luar kawalan kita. Anda
mungkin pernah dengar ia dirujuk sebagai bakat, anugerah,
atau sisi genius yang sukar dijelaskan yang dimiliki oleh
segelintir kecil.
Tetapi realitinya, kreativiti ialah kemahiran. Dan seperti
semua kemahiran lain, ia boleh dipelajari. Kreativiti ialah
keupayaan untuk menghasilkan idea-idea segar, memikirkan
cara baharu untuk menyelesaikan masalah lama, dan mencipta
karya yang asli.
Kita memahami perkara ini secara konsepnya, tetapi apakah
rupa sebenar kreativiti secara praktikalnya?
Dalam tahun-tahun saya mengkaji individu-individu
dengan minda kreatif, satu nama terpacul dari fikiran: Grant
Achatz. Dia seorang cef revolusioner (revolutionary chef) yang
telah hilang deria rasanya namun masih berjaya membina
restoran paling unggul di dunia.
Menerusi kisahnya, saya belajar bahawa kita telah salah faham
tentang kreativiti. Tidak sukar untuk idea datang kepada kita,
perkara-perkara kreatif menyamar sebagai kegagalan besar,
dan kejayaan selalunya menjadi pembunuh senyap kreativiti.
“Saya sering berkata bahawa menjadi kreatif hanyalah
tentang menyedari persekitaran dan menterjemahkan gerak

9
H I DDEN GEN I U S

hati (impulses) ke satu medium khusus,” tulis Achatz. “Bagi


saya, medium itu ialah masakan dan hidangan.”
Menerusi makanannya, Achatz telah berjaya menimbulkan
ingin tahu, kejutan, keajaiban, dan misteri kepada tetamunya.
Ini kisah beliau—dipadankan dengan genius kreatif yang
lain—boleh membantu menyerlahkan potensi kreatif kita
sendiri.

MENCIPTA
HUBUNG KAIT

Bayangkan anda duduk untuk makan di Alinea, restoran milik


Achatz di Chicago. Dengan serta-merta, anda sedar yang
perkara di sana tidak seperti apa yang dilihat.
Anda tidak menggunakan pinggan untuk makan terus
daripada alas meja yang kelihatan seperti lukisan berskala besar.
Anda ambil tomato tetapi rasanya seperti strawberi. Pencuci
mulut anda datang dalam bentuk belon terapung yang boleh
dimakan.
Hal ini demikian kerana makan malam di Alinea bukanlah
satu makan malam—ia merupakan satu persembahan yang
diisi dengan elemen-elemen magik dan misteri, yang direka
untuk memukau para tetamu pada setiap malam.
Pengalaman ini menjadi realiti kerana pemilik restoran,
Grant Achatz bertanyakan dirinya soalan: Siapa kata makanan
tidak boleh menjadi seni?
Achatz dianggap sebagai salah seorang daripada tukang
masak paling kreatif dan merintis had di Amerika. Kreativitinya
bukan sekadar pada makanan bukan konvensionalnya—ia
bermula pada detik tetamu masuk ke laluan dengan perspektif
palsu (false perspective hallway) di Alinea.
Achatz mengasaskan Alinea—dinamakan restoran terbaik

10
1. S ER L A H K A N POT EN S I K R EAT I F AN DA

di dunia oleh majalah pelancongan mewah Elite Traveler pada


tahun 2018—hampir 20 tahun lalu. Alinea terdiri daripada
satu pertiga makmal, satu pertiga sensorium dan satu pertiga
teater. Seorang tetamu dihidangkan antara 17 ke 19 juadah,
satu struktur menu yang diibaratkan bab-bab dalam buku.
Juadah paling ikonik Alinea sejak penubuhannya termasuklah
bantal dengan aroma buah pala (pillow of nutmeg air), letupan
trufel hitam, dan belon helium terapung yang boleh dimakan.
Achatz memasukkan elemen kejutan, tekstur, perisa dan
aroma untuk mencabar pengalaman selera tetamu, dan memicu
emosi mereka. Ia kedengaran seperti magik berbanding
masakan—dan ia direka sebegitu.
“Kami melayan komponen emosi dalam masakan, ibarat ia
satu perencah,” menurut Achatz dalam satu episod siri Chef’s
Table oleh Netflix. “Anda tambah garam, gula, cuka, dan
nostalgia. Jika anda mampu menjentik hati orang, ia bukan
lagi sekadar makan malam—ia lebih daripada itu.”
Bahagian “lebih daripada itu” sering kali datang daripada
idea-idea pelik yang bermain di fikiran Achatz. Bagaimanakah
dia menghasilkan idea-idea yang tidak konvensional itu?
Dengan melihat dunia menerusi “kaleidoskop makanan.”
Dalam erti kata lain, idea-ideanya datang daripada
sumber yang tidak dijangka—boleh jadi ia datang ketika
sedang mendengar lagu di radio, memerhatikan daun-daun
berguguran ke tanah, atau melihat lukisan skala besar di
muzium. “Setiap masa anda ‘dibom’ dengan idea, dan ia
terpulang pada kita untuk mencari jalan menterjemahkan ia
kepada tetamu,” katanya.
Satu ketika, dia sedang mendengar kumpulan rock Rage
Against The Machine sambil tertanya-tanya mengapakah gaya
muzik sedemikian membuatkan dia asyik. Ketika dia mengkaji
turun naik tempo, dia bertanya pada dirinya, “Bagaimanakah
cara untuk aku menukar pengalaman menjamu selera yang

11
H I DDEN GEN I U S

membosankan?” Dia mula mencipta menu percubaan (tasting


menu) yang disusun ibarat pergerakan lagu Rage Against The
Machine, dari titik-titik rendah ke klimaks-klimaks yang
nyaring.
Pada suatu ketika lain, seorang pelanggan memasuki dapur
Alinea untuk berterima kasih kepada Achatz untuk satu
menu yang disediakannya malam itu. Ketika dia bercakap,
mata Achatz tertumpu kepada subang bermanik merah yang
terjuntai. Malam itu juga, dia mengeluarkan sehelai kertas dan
melakar idea untuk satu menu baharu—dia mahu mencipta
subang yang boleh dimakan dengan sentuhan sesuatu yang
berwarna merah.
Oleh sebab Achatz sering meminjam idea daripada disiplin-
disiplin lain, Alinea bertukar wajah setiap empat bulan. Menu
baharu, hiasan baharu, pengalaman baharu. Ini diterapkan
ke dalam DNA restoran itu—nama Alinea berasal daripada
perkataan Latin, a linea, yang merujuk kepada permulaan
perenggan baharu. Nama restoran itu bertujuan menjadi
simbol “permulaan untuk satu jaluran pemikiran baharu.”
Walaupun ia kedengaran seksi, proses menjana idea oleh
Achatz bukanlah sesuatu yang baharu.
Pada tahun 1500-an, artis Renaissance, Leonardo da Vinci
menggunakan proses sama yang dipanggil “menyambung
yang terputus,” yang bertujuan mencari hubungan antara dua
subjek yang tiada kaitan.
Kadang-kadang dia akan membaling span yang dipenuhi
dengan cat ke dinding, dan memikirkan bentuk kekotoran
untuk mencari idea baharu.
Contoh paling utama, sewaktu dia sedang berdiri di sebelah
satu telaga dan melihat seketul batu terjatuh ke dalam air pada
masa yang sama satu loceng berbunyi di menara sebuah gereja.
Leonardo menyedari yang batu itu menyebabkan lingkaran
sehingga ia merebak dan hilang.

12
1. S ER L A H K A N POT EN S I K R EAT I F AN DA

Dengan menumpukan pada lingkaran dalam air dan


bunyi loceng secara serentak, dia membuat perkaitan yang
membawa kepada penemuannya bahawa bunyi bergerak
dalam gelombang.
Leonardo mendapati otak manusia secara semula jadi
membentuk hubungan antara dua input yang berlainan, tanpa
mengira betapa berbezanya kedua-dua input itu. Dalam erti
kata lain, jika anda menumpukan kepada dua subjek dalam satu
masa yang sama, anda akan melihat perkaitan dan membentuk
hubung kait yang memicu idea-idea baharu.
Leonardo berkata, “Tidak sepatutnya sukar untuk anda
berhenti sekali-sekala, dan lihat kepada kekotoran di dinding,
atau abu daripada api, atau awan, atau lumpur atau tempat-
tempat yang mana anda mungkin menjumpai idea-idea yang
luar biasa.”
Pemikiran mencapah (divergent) yang digambarkan oleh
Leonardo Da Vinci disokong oleh penyelidikan neurosains.
Roger E. Beaty ialah penulis The Creative Brain dan pengarah
Makmal Kognitif Neurosains Kreativiti di Pennsylvania State
University. Beliau telah menjalankan eksperimen, tingkah
laku (behavioral) sambil menggunakan pengimejan otak untuk
mengukur kreativiti.
Dalam satu eksperimen, beliau memberi peserta sepasang
perkataan yang dipilih secara rawak, seperti “kasut” dan
“pintu” atau “perahu” dan “burung kakak tua”, sambil
meminta mereka menilai kaitan dua perkataan tersebut antara
satu sama lain. Semakin kreatif seseorang itu, semakin mereka
mampu melihat hubung kait antara dua perkara berbeza.
Beaty menjelaskan bahawa bahan-bahan untuk kreativiti—
sama ada anda seorang saintis atau artis—termasuklah fleksibiliti
pemikiran, keupayaan untuk membuat hubung kait.”
Seperti yang diungkapkan oleh seorang lagi genius kreatif
bernama Steve Jobs dalam satu temu bual bersama WIRED

13
Tidak sepatutnya sukar
untuk anda berhenti
sekali-sekala, dan
lihat kepada kekotoran
di dinding, atau abu
daripada api, atau
awan, atau lumpur atau
tempat-tempat yang
mana anda mungkin
menjumpai idea-idea
yang luar biasa.

LEONARDO
DA VINCI
1. S ER L A H K A N POT EN S I K R EAT I F AN DA

pada tahun 1996: “Kreativiti hanya menghubungkan benda-


benda. Apabila anda bertanya kepada individu yang kreatif
bagaimana mereka melakukan sesuatu, mereka akan rasa
bersalah sedikit kerana bukanlah mereka yang melakukannya,
mereka hanya melihat sesuatu. Ini jelas pada mereka setelah
sekian waktu. Hal ini demikian kerana mereka boleh
menghubungkan pengalaman-pengalaman yang mereka lalui
dan sintesiskan perkara-perkara baharu.”

CHRISTOPHER NOLAN,
Pengarah Filem Inception, Memento, dan
The Dark Knight Trilogy

Struktur filem arahan pengarah Christopher Nolan


mengikut susun atur muzikal dipanggil “Shepard tone,”
siri not muzik yang meningkat naik pada satu skala.
Shepard tone ialah satu ilusi bunyi yang nadanya memberi
tanggapan pic (pitch) yang sentiasa meningkat naik. Anda
mendengarnya dalam hampir semua filem Nolan, tetapi
anda juga mengalami ilusi ini dalam naratif filem. “Saya
mahu cuba mengaplikasikannya dalam penulisan layar.”
katanya. “Bolehkah anda menggabungkan tiga jalan
cerita sedemikian rupa sehingga anda menghasilkan
idea ketegangan yang sentiasa bertambah?”

DOMINIQUE CRENN,
Tukang masak dan pemilik Atelier Crenn

Bagi pemilik restoran Dominique Crenn, idea untuk


juadah baharu “sentiasa datang dari luar dapur.” Dia
mencipta idea dengan berjalan di muzium atau di
hutan, atau melepak di tepi kolam. Pada suatu ketika,

15
H I DDEN GEN I U S

dia berjalan bersama anjingnya di Buena Vista Park di


San Francisco dengan seorang rakan ketika mereka
membincangkan pengharaman foie gras, pati yang
diperbuat daripada hati angsa dan itik. Crenn berkata dia
kemudian melihat sarang burung di atas pokok. Dia tahu
yang dia perlu untuk mula semula tanpa menggunakan
foie gras. Dia membayangkan menu yang menggunakan
baki bekalan foie gras sebagai kotoran tanah, bulu jagung
sebagai sarang dan bijirin jagung sebagai telur burung.
Dia menamakannya sebagai “Birth” (kelahiran), untuk
mewakili permulaan baharu.
Beri perhatian kepada dunia sekeliling anda—idea hebat
yang akan datang mungkin sudah terang lagi bersuluh.

MENCIPTA
KREATIVITI

Dahulu, orang pernah mengatakan bahawa kreativiti datang


dari Tuhan. Hari ini mereka bercakap tentang “muse” (satu
frasa yang kekal berada dalam ranah kebatinan (divinity),
berasal daripada perkataan Yunani Kuno “Muses”, atau dewa
inspirasi).
Tetapi seperti Stephen King menulis dalam memoirnya,
On Writing, “Ada muse, tetapi ia tidak akan datang melambai-
melambai ke bilik menulis anda dan menabur debu-debu
kreativiti ke mesin taip atau skrin komputer anda. Dia tinggal
di bawah. Dia duduk di bawah tanah (basement). Anda perlu
turun ke tingkatnya, dan apabila anda berada di bawah, anda
kena penuhkan sebuah pangsapuri untuk dia tinggal.”
Dalam erti kata lain, muse, kebatinan (divinity), keajaiban—
alasan yang kita berikan untuk mengelak kerja-kerja rutin
yang datang dengan kreativiti.
Oleh sebab Achatz melangkau batas dunia kulinari, Alinea

16
Ada muse, tetapi ia tidak
akan datang melambai-
melambai ke bilik
menulis anda … Dia
tinggal di bawah. Dia
duduk di bawah tanah
(basement). Anda perlu
turun ke tingkatnya.

STEPHEN
KING
H I DDEN GEN I U S

diiktiraf sebagai restoran terbaik dunia. Dia merasakan cukup


dan bersyukur. Dia hidup dalam impian yang dicita-citakannya
sejak 10 tahun.
Kemudian sesuatu yang tidak difikirkan berlaku. Pada tahun
2008, Achatz didiagnos dengan kanser lidah tahap empat. Cef
genius Alinea telah kehilangan deria rasa. “Ada sebiji mentol
yang terpadam dan berkata ‘Untuk kali pertama, saya fikir
saya boleh menjadi cef tanpa boleh merasa.’ Kerana ia berada
di atas ini,” katanya sambil menuding ke kepala. “Ia bukan di
sini,” tambahnya, sambil menunjukkan ke mulutnya.
Adakah ini benar? Adakah mungkin yang anda boleh
memikirkan cara ke arah kreativiti? Tanpa deria rasa, Achatz
tiada pilihan lain tetapi untuk mencuba.
Dia mencipta teknik yang dipanggil “lantunan perisa”
(flavor bouncing). Dia mengambil sehelai kertas dan melukis
bulatan besar mengelilingi satu bahan tumpuan dan tematik.
Dia memanggilnya “bahan fokal” yang akan menetapkan
intonasi keseluruhan makanan. Kemudian, dia melantunkan
“bahan-bahan satelit” (atau bahan tambahan) daripada bahan
fokal tersebut dengan melukiskan garisan kepada satu sama
lain.
Idea kaedah kreatif ini ialah, bahan tumpuan itu perlu
melengkapkan semua bahan tambahan, dan setiap bahan
tambahan mesti melengkapkan sekurang-kurangnya satu
bahan tambahan lain. Dengan cara ini, tiada bahan yang
bertentangan atau tidak sesuai yang menghapus profil perisa
makanan itu.
Sebagai contoh, katakan bahan fokal ialah kacang putih.
Apa yang boleh dimakan dengan kacang putih? Dia juga akan
membuat bulatan untuk “bakon.” Dia buat satu lagi bulatan
untuk “epal.” Dan satu lagi untuk “sirap mapel.”
Apabila dia melukis satu bulatan untuk “bir,” dialog
dalaman Achatz berbunyi: “Adakah Guinness sesuai dengan

18
1. S ER L A H K A N POT EN S I K R EAT I F AN DA

kacang putih? Sudah tentu, semua orang minum bir dengan


daging babi dan kacang.”
“Adakah bir sesuai dengan sirap mapel? Sudah tentu.
Sesetengah bir dihasilkan dengan dengan sirap mapel.”
“Adakah bir sesuai dihidang dengan epal? Sudah tentu,
anda boleh minum bir dengan epal.”
“Dan sesuaikah bir dengan bakon? Semua benda boleh
dimakan bersama bakon, jadi bir boleh dihidang bersama
bakon.”
Bagaimana jika dia menambah wain merah? Ia tidak sesuai
dengan beberapa bahan satelit, jadi ia dianggap sebagai elemen
yang bertentangan.
Lakaran Achatz di bawah kelihatan seperti sekumpulan
satelit yang sedang mengorbit bumi. Ia satu kaedah kreatif
yang berakar daripada logik.

19
H I DDEN GEN I U S

Diagnosis barah memaksa Achatz, seorang cef yang tiada


deria rasa, untuk memikirkan cara baharu mengekalkan
Aliena kekal unggul dalam inovasi kulinari. Sebagai seorang
yang menyara hidup dengan mencipta menu percubaan setiap
bulan, Achatz tidak boleh menunggu muse untuk hadir.
Sebaliknya, dia memecahkan anggapan bahawa pencipta-
pencipta terhebat dunia mempunyai “bakat” sejak dari lahir
untuk menjadi kreatif.
Kreativiti bukan detik-detik inspirasi yang berada di awang-
awangan. Ia merupakan satu otot yang boleh dilatih menerusi
latihan-latihan yang konsisten. “Orang suka mengandaikan
bahawa proses kreatif itu romantik. Sebenarnya bagi saya,
kreativiti terbit daripada kerja keras dan kajian.”

AARON SORKIN,
Penulis layar, pengarah dan penulis drama

Aaron Sorkin percaya bahawa peraturan menggalakkan


kreativiti. Tetapi ada sedikit nuansa: Anda perlu
memahami peraturan tersebut, tidak semestinya
mematuhi peraturan.
‘Kitab’ rujukannya untuk penceritaan ialah Poetics
oleh Aristotle yang menggariskan peraturan drama.
Ia mungkin kedengaran tidak intuitif untuk melihat
peraturan dan struktur untuk inspirasi kreatif, tetapi ini
adalah hujahan Sorkin: Selepas anda pelajari apakah
elemen yang selalunya wujud dalam setiap filem, anda
boleh mengolah semula (deconstruct), bermain dan
menyusun semula elemen-elemen tersebut.
Dalam erti kata lain, anda boleh melanggar peraturan jika
anda mengetahuinya. Seperti kata Sorkin, seni itu indah
kerana ia mematuhi beberapa peraturan, manakala
lukisan tangan ialah hasil daripada kebebasan yang tidak
berstruktur.

20
Orang suka
mengandaikan
bahawa proses kreatif
itu romantik. …
Sebenarnya bagi saya,
kreativiti terbit daripada
kerja keras dan kajian.

GRANT
ACHATZ
H I DDEN GEN I U S

SHONDA RHIMES,
Pengurus rancangan,
penerbit eksekutif dan penulis

Shonda Rhimes adalah nama di sebalik rancangan


televisyen yang ditonton ramai: Grey’s Anatomy, Scandal,
dan How to Get Away With Murder.
Genius terpendamnya ialah dia menemui cara mencipta
dan mengasah kreativiti. Bagi Rhimes, proses kreatif
bermula dengan satu baris dialog dalam mindanya.
Sebelum dia menulis dialog atau menunjukkannya kepada
orang lain, Rhimes membiarkan dialog itu bermain-main
di fikirannya untuk seketika.
“Saya tak pernah memegang pen menulis skrip atau buku
atau apa-apa sehingga saya tahu apa yang saya perlu
tulis,” katanya pada sidang Summit LA17 di Los Angeles.
“Kemudian penulisan itu menjadi lancar: Kadang-kadang
ia mengambil masa setahun untuk memikirkannya, dan
kemudian saya boleh menulis skrip itu dalam masa tiga
hari.”
Saintis memanggil proses ini “inkubasi kreatif”, merujuk
kepada proses dalam otak selepas ia diberikan
satu masalah (seperti garis plot berpotensi). Kajian
menunjukkan bahawa otak secara tidak sedar bekerja
untuk mencari solusi masalah walaupun ketika perhatian
anda tertumpu kepada tugas-tugas lain. Ini menjelaskan
mengapa ramai orang mengalami detik-detik kreativiti
ketika melakukan aktiviti rutin seperti senaman, mandi
atau memandu.

22
1. S ER L A H K A N POT EN S I K R EAT I F AN DA

KEGAGALAN MEMBAWA
KEPADA KEJAYAAN

Apakah ertinya mencipta karya yang asli? Saya bercakap


mengenai karya yang menggemparkan, mengejutkan dan
berevolusi.
Saya hadir ke satu sidang pada tahun 2019 yang mana
seorang penulis, Tim Urban menyampaikan ucaptama. Dalam
ucapan itu, dia menjelaskan betapa sukarnya untuk mencipta
karya asli walaupun dengan kebijakan konvensional. “Apabila
anda cuba mencipta sesuatu yang benar-benar asli, anda
membuat banyak kesilapan,” katanya. “Karya asli memang
serabut.”
Urban juga menulis analisis dalam empat bahagian
mengenai usahawan Elon Musk (lelaki yang cuba mencipta
masa depan tenaga hijau, menjelajah Marikh dan menghalang
robot menjadi tuan manusia).
Begini cara Urban mencirikan perbezaan cara berfikir
antara Musk dan kebanyakan orang. Katanya, ia ibarat
perbezaan antara cef dan tukang masak. “Bila saya kata cef,
saya tak maksudkan cef biasa,” tulis Urban. “Saya maksudkan
cef yang merintis perkara baharu— jenis yang mencipta resipi.
Dan orang lain yang memasuki dapur—mereka yang mengikuti
resipi—ialah tukang masak.
Cef mencipta daripada prinsip-prinsip asal, manakala
tukang masak mengusahakan versi resipi yang sudah wujud.
Walaupun Achatz berada dalam industri yang secara
radikalnya berbeza, dia dan Musk mempunyai banyak
persamaan. Kedua-duanya mencipta resipi yang diikuti oleh
orang lain.
Tetapi ada masalah utama yang tersorok apabila membuat
sesuatu yang benar-benar asli: Ia kadangkala menyerabutkan,

23
H I DDEN GEN I U S

mendedahkan ia kepada kritikan—terutama daripada mereka


yang berpangkat.
Seminggu selepas Alinea membuka pintu, The New York
Times menerbitkan ulasan restoran. Seorang cef merujuk
kepada Achatz dan rakan-rakan sekerjanya sebagai melakukan
kerja yang dianggapnya sebagai “mainan kanak-kanak” dan
“benda mengarut”. Pengkritik makanan dari The Times
berkata, pengalaman memakan selama empat jam setengah di
Alinea itu terlalu memenatkan dan menunya mungkin “pelik
yang sia-sia”.
Reaksi yang ditunjukkan Achatz tidak dijangkakan.
“Perkara pertama yang saya buat ialah menganggap sesiapa
yang mengkritik saya adalah benar,” dia berkata kepada Esquire
pada tahun 2015.
Mengapa? “Tiada siapa suka diberitahu yang mereka tidak
melakukan sesuatu dengan baik. Saya tidak peduli siapa anda—
jika anda sebaliknya, anda menipu. Tetapi pada akhirnya
anda perlu mempunyai keyakinan yang mencukupi dalam
diri dan pasukan anda untuk melihatnya dengan objektif.”
Mempertimbangkan secebis kritikan yang mungkin tepat
akan membuatkan anda belajar, mula semula, membetulkan,
menggubah dan menghasilkan idea-idea baharu—dan
akhirnya, dihormati.
Tetapi satu persoalan kekal: Bagaimana kita boleh
menghasilkan idea yang bukan sahaja asli, tetapi bersifat
menggugat (disruptive)?
Mari kita lihat seseorang yang merevolusikan industri
animasi.
Ed Catmull yang memegang ijazah kedoktoran dalam
teknologi komputer, telah bersama-sama mengasaskan studio
filem animasi Pixar, bersama-sama Steve Jobs dan John Lasseter
pada tahun 1986, dan trio itu mula mengambil risiko kreatif
yang menggegarkan dunia hiburan.

24
1. S ER L A H K A N POT EN S I K R EAT I F AN DA

Sisi genius terpendam Catmull terletak pada kekuatan


lelaki itu menggunakan kedua-dua bahagian otaknya, iaitu
kreatif dan logik. Dalam kerjaya sepanjang lima dekad itu,
Catmull membantu menghidupkan sejumlah filem animasi
komputer yang laris, antaranya Toy Story, Finding Nemo,
Ratatouille, Wall-E, dan Inside Out. Sebagai saintis komputer,
dia juga mencipta algoritma, membuat penemuan bernilai
dalam grafik komputer dan membantu merintis filem digital.
Mungkin berlawanan dengan intuisi, Catmull berkata
kejayaan hebatnya itu adalah kerana kesanggupannya yang
konsisten untuk gagal. Ketika ditanya bagaimana unit animasi
Pixar berjaya menghasilkan satu demi satu filem yang laris,
katanya: “Jika sesuatu itu menjadi, anda tidak sepatutnya
mengulanginya. Kami mahu lakukan sesuatu yang baharu,
asli—sesuatu yang ada peluang untuk gagal (setiap kali).”
Dia percaya keaslian yang menggemparkan datangnya
daripada kegagalan yang besar. Semasa proses kreatif, Catmull
menggalakkan pasukannya untuk bereksperimen, berdepan
kegagalan dan belajar semula berkali-kali sehingga filem itu
mencapai tahap kualiti yang diinginkan.
Nasihat Catmull yang paling penting dan praktikal ialah:
“Sasar untuk gagal ‘ujian elevator.’”
Selepas kita menamatkan pengajian daripada kolej, kita
diberitahu untuk menyempurnakan “pembentangan elevator,”
keupayaan untuk menyampaikan idea kepada pihak atasan
dalam masa 30 saat kita menaiki elevator.
Catmull berkata jika anda melepasi ujian elevator itu,
idea anda mungkin adalah derivatif daripada apa yang telah
dilakukan sebelum ini. Dalam erti kata lain, ia tidak asli
seperti yang anda fikirkan.
Idea-idea yang bercita-cita besar—“seekor tikus yang
mahu memasak,” atau “orang tua yang terbang menggunakan
belon bersama-sama seorang yang menyorok”—tidak boleh

25
H I DDEN GEN I U S

diringkaskan dalam masa 30 saat, tetapi mereka boleh menjadi


filem Pixar yang berjaya memenangi Oscar, Ratatouille dan
Up.
Pencipta yang asli selalunya berkongsi tiga ciri: Mereka
mempunyai pandangan unik mengenai dunia. Mereka yakin
mampu mencapai sasaran yang besar. Dan akhirnya, mereka
sanggup gagal dengan hebat dengan nama mencipta sesuatu
yang berevolusi.
“Pada awalnya, filem-filem yang kami hasilkan ini, adalah
cacamerba. Seperti semua benda lain dalam hidup—pertama
kali anda lakukannya, ia cacamerba,” kata Catmull. “Kadang-
kadang ia dilabel ‘satu kegagalan’ tetapi itu bukanlah perkataan
yang tepat. Ia lebih kepada, anda hasilkan sesuatu, belajar
daripadanya dan satu-satunya kegagalan adalah jika anda tidak
belajar daripadanya dan jika anda tidak melangkah ke depan.”

TAYLOR SWIFT,
Penulis dan Penyanyi

Ketidaksempurnaan boleh menukar hasil yang biasa-


biasa kepada sebuah mahakarya. Sama ada seni, filem,
atau buku, orang lebih bercakap mengenai cacat cela
sesuatu perkara yang bermain di minda, berbanding
perkara yang sempurna. Artis Taylor Swift memahaminya
lebih daripada kebanyakan orang. Selepas dia
mengeluarkan lagu ‘Blank Space,’ ramai orang tersalah
dengar liriknya, “Got a long list of ex-lovers” sebagai “All
the lonely Starbucks lovers.” Secara tidak sengaja, Swift
meraih manfaat daripada ketidaksempurnaan lagu—
menjadikan ia diingati dan membuatkan orang ramai
bercakap mengenainya dengan rakan-rakan mereka.
Lagu itu menjadi nombor satu dalam carta untuk
sembilan minggu berturut-turut.

26
1. S ER L A H K A N POT EN S I K R EAT I F AN DA

CHRISTINA TOSI,
Pengasas Milk Bar

Christina Tosi, pencipta pencuci mulut sensasi Milk Bar,


sangat suka menggodek makanan. Dia bermain dengan
tekstur, perisa, rasa dan aroma. Mindanya digambarkan
sebagai “sangat analitikal dan tepat,” membolehkannya
mendekati karya seperti seorang saintis. Dia memerhati,
membuat hipotesis, uji kaji dan analisa sehingga dia
mendapat satu profil rasa. Ia mengambil masa berjam-
jam—ada kalanya beberapa hari—untuk mencapai tahap
kesempurnaan yang dianggap berbaloi dengan standard
Tosi. Katanya, anda perlu gagal sekurang-kurangnya
40 kali dalam mengejar sesuatu tujuan sebelum anda
menghampiri kejayaan.
Tetapi penting untuk disebut bahawa seseorang boleh
terlebih menggodek kerana kesempurnaan selalunya
menjatuhkan insan-insan kreatif. Pada satu tahap,
anda harus berhenti membaiki dan mengubah dan
tunjukkan pada dunia untuk maklum balas. Kadang-
kadang idea kesempurnaan Tosi tidak sama dengan idea
kesempurnaan pelanggannya. Katanya, “Banyak yang kita
belajar berlaku dalam kesilapan. Ia tidak berlaku dalam
detik-detik yang sempurna.”

Cebi san
GENIUS
Kreativiti terhasil daripada membuat hubung kait baharu—
memikirkan perkara yang tidak disangkakan boleh bersama.

Jangan tunggu inspirasi tiba. Kreativiti ialah otot; ia perlu


dilatih.

27
H I DDEN GEN I U S

Ada logik dalam kreativiti: cari apa yang sesuai dengan anda,
rungkaikannya, dan anda mempunyai proses yang boleh
berkhidmat kepada anda sampai bila-bila.

Kebebasan tanpa struktur ialah musuh pencapaian kreatif


sebenar. Cari dan pelajari apa peraturannya—selepas itu,
anda bebas untuk tidak mengikutinya.

Aktiviti rutin boleh menjadi inkubasi kreativiti. Otak anda


berfungsi untuk menyelesaikan masalah sementara badan
anda disibukkan dengan tugasan lain.

Mustahil kreativiti sebenar dapat dicapai tanpa kegagalan.


Jangan fikir dalam erti kata “elevator pitches”; hadapilah
risiko.

Sudah tentu, menghadapi risiko dalam kreativiti memerlukan


kekuatan mental. Namun ada cara-cara kreatif untuk
menguasai kekuatan mental, seperti yang akan kita lihat
pada bab seterusnya.

Sudah tentu, merangkul risiko dalam kreativiti akan


memerlukan ketahanan mental yang kuat. Tetapi terdapat
juga beberapa cara kreatif untuk menguasai kekuatan mental,
seperti yang akan kita lihat dalam bab seterusnya.

28

Anda mungkin juga menyukai