Anda di halaman 1dari 9

MAHALNYA PRINSIP MURAHNYA POPULIS

Egoistik Yang Tidak Kemana

Anak muda kadangkala mudah tertipu apabila membezakan hasil usaha mereka dan bapa

mereka. Ingin sahaja menunjuk-nunjuk sesuatu yang bukan milik mereka sebenarnya. Seolah-

olah kekayaan terbang kepada mereka tanpa titik peluh. Barangkali, cukuplah dengan modal

bermulut manis atau memujuk rayu dihadiahi seperti mana yang dihajati oleh mereka.

Mereka mahu dipandang hebat kerana mempunyai ‘mobil’ yang ayah mereka bayar.

Mereka terasa kagum dengan lebihnya mereka oleh kerana ayahnya lebih elok jawatan dalam

profesion jika dibandingkan ayah kawannya. Maka, bertebaran lagak seorang hero jadian ‘mi

segera’ semata-mata ingin mendapat perhatian si gadis cantik

Pada satu sudut yang lain, mereka bersungguh-sunguh menunjukkan kehandalan bermain

bola sepak semata-mata untuk mendapat sorakan wanita apabila berjaya menjaringkan gol. Inilah

tipu daya yang memerangkap anak muda. Tiada nilai keyakinanan langsung. Buat sesuatu demi

untuk gadis. Di mana wibawa anak muda? Kehidupan menipu mereka seperti sekeping kertas

kosong yang melayang ditiup angin dan boleh dicoret apa sahaja di atasnya.

Sedarkah kita bahawa fantasi angkuh dan sikap awang-awangan bukanlah penentu kepada

jatuh bangun sebuah masyarat yang dituntut. Oleh itu, terhasilah sekelompok anak muda yang

lembik dan berbangga di atas kejayaan bapa-bapa mereka. Angkuh dan egoistik dengan orang

lain yang saya bilang tidaklah seberapa. Ditipu dengan suatu fantasi yang mereka cipta sendiri.

Cita-cita entah kemana, egoistik melampau-lampau.


Jika saya nisbahkan kepada istilah ekonomi konvensional semasa, anak muda seperti ini

telah menyumbang tanpa gagal dalam menterjemahkan falsafah ekonomi kapitalis iaitu

mewujudkan golongan ‘Homo Economicus’ yang bermaksud segolongan manusia yang

memburu kepentingan peribadi. Mereka hidup seolah-olah mengiktiraf sebuah kehidupan

bermasyarakat tetapi berselindung dalam misi untuk memuaskan kehendak peribadi.

Malang sekali, mereka senang dengan cara begitu. Tidaklah bermaksud di sini kita perlu

menidakkan segala pemberian bapa seandainya itu sudah kemampuanya. Tetapi ia tidak adil jika

kita cuba untuk membandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai bantuan tetap seperti

kita.

Jika ingin dibuat perbandingan, seeloknya dibentangkan kepada padang yang sama luas

dan kolam renang yang sama dalam. Jika ingin memulakan larian biarlah berlepas pada garisan

yang sama. Begitulah realiti yang harus kita ketahui, dan sedarlah egoisitik tidak akan kemana.

Cuma jika dijentik barangkali jatuh tersadai dan sangat susah untuk bingkas bangun.
Tidak Populis Tidak Mengapa, Asalkan Mempunyai Prinsip

Saya tidak hanya sekadar menulis dan berbahas untuk meluahkan tentang sesuatu, tetapi

saya mempunyai harapan agar kita mengerti sebab dan akibatnya. Saya juga tidak memaksa anda

untuk bersetuju dengan saya, tetapi saya mahu pandangan dinilai melalui asas dan hujah yang

secara universal sudah dimaklumi atau melalui lunas-lunas ilmu yang diperakui.

Ketika artikel ini ditulis, saya masih lagi berada dalam kabinet mahasiswa yang

seringkali terpaksa berkompromi dalam beberapa perkara. Ramai sahaja teman yang dahulu saya

kenal agak keras dalam pendekatannya dan sangat petah berhujah. Namun apabila ingin

membuat keputusan mereka memilih untuk menegakkan sesuatu yang populis walaupun ia tidak

memberi kesan yang bersifat jangka panjang.

Gurau rakan saya, “Siapalah yang sanggup mengkritik atau membuat keputusan luar

jangka andai sudah diketahui bahawa imej mereka akan jatuh pada pandangan gadis-gadis

nanti.” Yakni individu tersebut barangkali berseorangan dalam menterjemahkan aspirasi yang

kompleks, sedangkan ramai lebih sanggup untuk mempercayai kepercayaan adat yang salah.

Maka, wujudlah golongan kiri dan golongan kanan, atau saya lebih suka untuk memberi nama

sebagai golongan reformis yang inginkan perubahan (berani mengambil risiko pendekatan baru)

dan golongan konservatif yang masih setia dengan cara lama yang sudah tidak relevan

keberkesanannya.

Posisi saya sekarang menjadikan saya sangat takut untuk meluluskan kertas kerja. Diuji

dengan permintaan demi permintaan, untuk meluluskan kerana saya yakin saya mempunyai

saham bagi setiap kredit ataupun baik buruk setiap program yang disokong oleh saya. Paling

penting saya tidak sanggup melihat tiada hasil bagi setiap kelulusan kertas kerja.
Mereka becantik-cantik, berwangi-wangian. Cukup enak dipandang, manis baunya.

Sebagai bonus tambahan untuk bertemu saya. Termenung sendiri saya sejenak dibuatnya.

Lembut suara merayu. Saya bimbangkan siapa yang akan dipertanggugjawabkan jika meluluskan

sebuah program yang menjauhkan masyarakat mahasiswa jauh daripada ajaran agama?

Inilah situasi yang berlaku pada umur begini, dan saya yakin di hadapan sana lebih deras

aliran sungainya dan ramai sahaja yang masih tenang mengharungi. Semoga kekal dengan

prinsip.

Tokoh pejuang India, Mahatma Gandhi yang sinonim dengan memperjuangkan sesuatu

melalui ‘Mogok Lapar’ adalah seorang individu yang jelas akan apa yang beliau inginkan. Bukan

untuk kepentingan dirinya tetapi untuk rakyat negaranya. Beliau menentang ketidak adilan

dengan kelembutan dan tidak melalui gerakan gerila seperti pendekatan di beberapa tempat

semasa penaklukan British di India.

Kaedah beliau menentang kezaliman yang berlaku telah membuatkan pemerintah

mengikut kehendak apa yang diperjuangkan. Strategi menyeksa diri sendiri iaitu ‘Mogok Lapar’

serta seringkali tidak memakai baju dalam majlis-majlis tertentu telah menjadikan beliau

digeruni oleh pihak penjajah pada ketika itu.

Walaupun sering dipenjara, pihak British telah menyifatkan bahawa beliau lebih

berbahaya ketika berada di dalam penjara berbanding ketika beliau bebas. Akhirnya, mereka

terpaksa melepaskannya dan dibimbangi kesihatan beliau yang teruk akan mengakibatkan

kematian ketika berada dalam tahanan.

Kekuatan prinsip beliau akhirnya dibayar dengan beberapa das tembakan untuk

menamatkan riwayat hidupnya. Akan tetapi kebangkitan demi kebangkitan berlaku di India
selepas kematian beliau. Tokoh berprinsip yang sering difilemkan tersebut menjadi pakar rujuk

utama akan gambaran mahalnya sebuah prinsip.


Hedonisme Yang Merugikan

Saya sedikit hairan dengan segelintir sikap yang masih mengidolkan seseorang yang

tidak patut sebagai seorang yang diiktiraf nilai keilmuannya dan terkinjal-kinjal mengimpikan

untuk menjadi individu seperti mereka. Seolah-olah sudah pupus golongan cerdik pandai di

negara ini.

Situasi sekarang cukup berpenyakit dengan pelbagai definisi untuk mengiktiraf segala

bentuk aktiviti hiburan. Dijemput artis-artis Barat yang sudah disabitkan kesalahan mepunyai

penyakit moral yang kronik untuk membuat persembahan lansung di Malaysia. Fakta dan

statistik yang selalu dikeluarkan ialah mampu menarik pelancong luar negara ke Malaysia.

Ironinya, statistik peningkatan kebejatan moral yang sangat membarah tidak pula diambil kira.

Jika penyakit barah boleh dirawat dengan pembelian mesin rawatan berteknologi tinggi

akan tetapi penyakit hendonisme sangat sukar untuk dirawat kerana desakan persekitaran yang

cukup keras menyanjunginya. Dalam konteks ini, teori ‘Customer Is Always Right’ perlu ditukar

kepada ‘Customers Will Follow Us’. Sebagai orang yang berupaya membuat segala kata putus,

bertegaslah untuk memberi apa yang mereka perlu dan bukanya melayani kehendak akan apa

yang mereka mahu.

Customer Will Follow Us adalah merupakan falsafah yang dijunjung oleh Steve Jobs dalam

setiap rekaan Apple, agak bercanggah dengan teori konsumerisme semasa iaitu Customer Is

Always Right.

Di dalam ucapan ramai, saya tidak segan untuk menegaskan bahawasanya saya mahu

melahirkan ekonomis dan bukannya raja pentas lawak. Kita perlukan pemain bola sepak

peringkat antarabangsa bukannya johan tarik tali se-Malaysia. Kita perlukan ‘political leader’
yang mempunyai integrity, bukannya seorang artis yang populis dalam aksi gaya bebas

membuka baju di khalayak ramai.

Seandainya prinsip membina sebuah negara bangsa selalu sahaja dijaja dengan konsert

populis kasta bawahan ini, saya bimbang populasi rakyat tidak mampu lagi berfikir untuk

memajukan sebuah negara, tetapi mengaut untung melalui pemujaan artis-artis yang hanya tahu

berbicara akan gosip putus cinta dan hubungan tangkap basah sahaja.

Semasa Thaksin Shinawatra menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu, beliau

membenarkan rakyatnya yang terjebak dengan dadah untuk ditembak. Bagi beliau, mereka ibarat

mayat yang hidup. Pendekatan tersebut seandainya dipraktikkan kepada golongan hendonisme,

agak melampau pendekatan ini tetapi seeloknya begitu. Premis perbincangan asal saya adalah

berpendirian bahawa sesuatu yang tidak mendatangkan hasil bahkan terbukti merosakkan moral

masyarakat seharusnya dipancung terus.

Tidak mengapa saya dikeji, asalkan saya yakin apa yang saya percayai. Saya tidak mahu

dituduh berprinsip tetapi lembik dalam memperjuangkannya. Saya yakin, mereka yang tidak

bersetuju sudah pasti ramai dan saya juga berani untuk berkata orang yang tidak bersetuju

dengan mereka juga lebih ramai.


Prinsip Menyantungi Keberanian Untuk Berfikir

Antara tembok yang perlu didaki ialah tentang perbezaan pendirian, takut dengan ramainya yang

tidak sebulu dengan cara kita berfikir. Pengderhakaan mutlak seorang Melayu ialah

mempertikaikan istitusi beraja.

Jika dicadangkan sistem beraja ditukar dengan sebuah negara republik, barangkali ia

disambut baik pada ketika ini dan ia tidak mustahil. Peranan sultan yang menjadi simbol payung

kepada rakyat kadangkala sudah menjadi liabiliti kepada negara tetapi ia tetap menjadi kesucian

bagi sekerat dua rakyat marhean pembodek.

Kita perlu ingat, sejarah pernah menulis bahawa sultan-sultan Melayu memberi jalan

yang selesa kepada penjajah untuk terus mengaut untung hasil bumi dengan perjanjian yang

sangat damai. Semangat diplomasi yang dinisbahkan kepada lambang sebuah keluhuran budi

tetapi tidak kenal akan akal budi tersebut telah mengakibatkan kawasan pemerintahan

dibahagikan kepada pihak penjajah. Selebihnya, kantung saksama jumlahnya dibahagikan

sesama mereka.

Sultan sudah tentu merempat tanpa sokongan rakyat, tetapi rakyat boleh hidup mewah

tanpa campur tangan sultan. Saya fikir Majlis Raja-raja tidak pernah lupa bahawa rakyatnya

jugalah yang telah berjaya mengurangkan kuasa raja-raja pada suatu ketika dulu. 

Monarki di mana silapnya? Atau Raja di mana mulianya?

Antara nasihat rakan alam maya saya, “Degil itu kembar seiras dengan keazaman dan

cita-cita, Mungkin musuh ketat pesimis. Jadi teruskan kedegilan yang positif daripada menjadi
penurut tanpa makna yang mana seringkai dipandang baik oleh masyarakat setempat. Allah itu

ada bersama anda.”

Ketakutan yang kita rasai cumalah bayang-bayang sahaja, nampak menarik pada

luarannya sahaja. Akan tetapi, hanya untuk seketika waktu cuma, ketakutan itu mengekori tetapi

tidak pernah mengancam. Mempunyai prinsip jangan lupa pula untuk belajar menerima

pandangan orang lain. Bersetujulah untuk tidak bersetuju.

Prinsip seharusnya menjadi anjal demi kemaslahatan mereka yang ramai. Jangan pula

disalahguna erti berpegang teguh kepada prinsip untuk bersikap konservatif dan takut untuk

mencuba cara yang baru. Paling berbahaya ialah mengkambingkan hitamkan sebuah prinsip

untuk menghalalkan segala bentuk tindakan yang ingin kita lakukan.

Jangan dimandulkan akal untuk berfikir dek kerana takut akan besarnya bayang-bayang.

Anda mungkin juga menyukai