Anda di halaman 1dari 9

IMPIAN ITU MILIK KAMU

Kebanggan Mengarut, Kebebasan Menyekat

Saya pernah mengalami dialog-dialog yang telah berjaya tanpa gagal untuk meracuni serba sedikit cara

saya fikir. Pada ketika itu, sudah menggantikan apa yang saya yakini serta sudah menjadi zikir harian. Ia

menjadi jawapan balas paling konkrit dalam mana-mana perbahasan dengan rakan-rakan pada zaman

persekolahan. Apabila difikirkan balik, inilah doktrinisasi yang telah memancung nilai usaha dan

semangat anak muda seperti saya pada ketika itu.

“SPM is Nothing”

“Ramai yang dapat keputusan SPM tak cemerlang tapi ‘perform’ di universiti”

“Sistem pembelajaran kita ini silap sebenarnya, kita hanya menghafal dan tiada aplikasi.”

“Kita masih muda, baru belasan tahun, ‘enjoy’ dulu”

“Kita buat dulu, bertaubat umur 50 tahun ke atas”

Tahap-tahap kehidupan seringkali memberikan maksud dan definisi yang berbeza walaupun pada

perkara yang sama. Jika ketika kecil kita memandang kereta mainan kawalan jauh sebagai kemegahan

paling ekslusif tetapi tidak lagi pada ketika sudah meningkat dewasa. Barangkali jika anak-anak kecil

meminta untuk dibelikan permainan tersebut, nescaya kita akan memberikan jawapan, “Tak payah

belilah, nak buat apa? Membazir saja.”

Itulah jawapan yang lain susunan ayatnya tetapi sama maksudnya sebagaimana dahulu ayah kita

menasihati kita pada waktu kecil dahulu. Setelah sampai pada tahap-tahap tertentu, maka perkara yang

sama kita fahami dahulukala adalah tidak serupa seperti hari ini. Begitu juga, jika kita membaca buku

yang sama tetapi hasilnya tidak sama seperti kali pertama kita membacannya dahulu.
Oleh sebab itulah, saya tidak suka untuk menggelarkan ‘pandangan peribadi’ seolah-olah kita

lebih mampu membuat konklusi atas segala sesuatu pada skop yang tidak menjadi kemahiran kita. Jika

diizinkan, gunalah istilah ‘apa yang saya tahu’ supaya kaedah penyampaian kita boleh diperbincangkan di

kemudian hari, mana tahu mungkin mempunyai cacat-cela.

Nun jauh di hujung sana, masih ada spesis sebilangan anak muda yang cuba untuk menonjolkan

kematangan mereka dengan mencipta pelbagai alasan simpati untuk mendokong kebebasan ciptaan

mereka. Antara kefahaman tulen terbabas dek kerana berjaya menyedok skrip lakonan drama-drama

Melayu ketika ini adalah sebagaimana berikut,

“Berseluar pendek itu dikatakan hak mereka untuk berpakaian.

Berbaju singkat , berambut ikal, bersolek tebal itu didakwa lambang kecantikan.

Membonceng motor, berdakapan itu difikir lambang cinta sejati.

Menangis rindu, terbayang si dia dalam setiap tindakan itu dianggap setia.”

Jadi, bagaimanakah kita mahu memimpin anak muda yang begitu takjub dalam kebebasan ciptaan

mereka sendiri? Bagaimanakah kebanggaan mengarut mereka harus disantuni?

Bebas jangan sampai terbabas. Jumud jangan sampai terkebelakang. Kita membuat sesuatu berada

pada titik antara dua perkara. Terlalu fikir kewaspadaan tidak menjadi, diambil risiko bimbang melarat.

Seandainya pengalaman dijadikan perkara wajib sebelum melakukan sesuatu perkara juga tidak

sewajarnya berlaku.

Soal saya, jika kita menaiki Roller Coaster, adakah kita ditanya untuk menunjukkan lesen? Tidak,

bukan? Sedangkan di hadapan kita bahaya berlipat kali ganda menanti. Keputusan kita sanggup ataupun

tidak dan teruskan perjalanan tersebut. Ada kalanya membuat keputusan untuk menerima segala cabaran
itulah suatu bentuk yang terhormat. Kebebasan kita untuk menaggung risiko besar itu tidak seharusnya

menyekat.

Kadang-kadang pelik juga, semangat berkobar-kobar untuk bermain di Liga EPL tetapi setelah

sebulan di sana, pulang ke negara asalnya dengan alasan, tidak tahan dengan cuaca sejuk disana. Dayus

betul semangat anak muda yang ingin berkelana menjadi pemain nombor satu dunia. Paling mengejutkan,

ada juga yang tidak dapat menyesuaikan diri di tempat orang oleh kerana rindukan masakan lemang di

kampung. Maka, segala impian yang besar terpelanting dek kerana hal remeh temeh ini sahaja.

Wahai anak muda, harapan itu sedang menunggu. Lambat ataupun cepat, ia setia menunggu.

Tidak pernah kecil hati walaupun terpaksa menunggu lama. Kebebasan yang menyekat harus dirempuh

sampai runtuh dan kebanggaan mengarut harus dikikis sampai hilang karatnya.
Ragu-ragu Sebelum Bertemu Tahu

Antara soalan kegemaran saya ialah ‘kenapa’. Banyak sahaja problem statement yang keluar atau

terpancul di mulut akan menjadi thesis utama saya untuk mencari nilai disebalik maksudnya. Kenapa

begini, kenapa bukan begitu. Selalulah bertanya soalan ‘kenapa’ dengan niat untuk lebih memahami

bukan dengan niat untuk memberikan maklum dan menidakkan sesuatu perkara dengan angkuh.

Ragu-ragu tersebut akan bertemu dengan banyak perkara yang lebih bermutu.

Ia juga terpalit atau proses biasa apabila tempoh anak muda mula mencari ideologi untuk mereka

landaskan apa yang mereka percaya. Idealogi adalah ajaran atau pemikiran yang diterapkan ke dalam

sesuatu sistem. Bermula dari zaman para sahabat hinggalah Dinasti Abbassiyyah, sistem Islam berjalan

sepenuhnya tanpa dipengaruhi oleh sebarang falsafah dan ideologi luar. Ketika Khalifah Harun Al-

Rasyid mula menggiatkan perkembangan ilmu, para sarjana cuba untuk membetulkan falsafah Yunani

kuno yang sebahagiannya besarnya bertentangan dengan Islam. Terutamanya perkara yang berhubung

dengan mantiq, ketuhanan dan logika.

Kajian mereka memberikan sampingan negatif dan mempengaruhi cara mereka beristi’dal atau

pengambilan dalil. Meskipun, para ulama’ ini masih berfikiran konsep Islam, tetapi falsafah Yunani ini

telah membawa kepada suatu ilmu baru iaitu ilmu kalam yang membincangkan konsep ketuhanan.

Daripada sinilah terbentuknya puluhan mazhab akidah seperti Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Qadariah,

Jabariah, Muktazilah dan sebagainya.

Kini, bukan sahaja falsafah Yunani, malah ratusan ideologi telah meresap masuk ke dalam nadi-

nadi anak muda. Kita boleh lihat, pemikiran anak muda mengenai konsep Islam dalam pelbagai aspek

kehidupan. Adakalanya jumud, liberal, sekular dan sebagainya yang bercampur-baur dengan idelogi

barat yang mereka anggap sesuai dan logik.


Ada anak muda percaya dengan ideologi sosialis kerana konsep kesamarataan. Percaya kepada

ideologi komunis kerana teori yang dibawa oleh Karl Max. Kagum dengan teori evolusi yang dibawa

oleh Charles Darwin kerana bilangan bulu beruk sama dengan bilangan rambut manusia.

Saya tidak menafikan atau memandang serong kepada mereka yang membuat penilaian akan

idealogi-idealogi tersebut. Saya juga tidak pernah memberikan kredit tambahan sekiranya berdebat

dengan mereka yang dianggap pakar pada hanya suatu teori yang mereka percayai. Baru selesai membaca

sebuah buku falsafah, terkumat-kamit mulut memberi pandangan menidakkan mereka yang lain.

Baru pandai memandu kereta Myvi, sudah dijaja seolah-olah Lamborghini sudah menjadi kereta

rasmi beliau. Begitulah barangkali analogi yang jelas tentang bagaimana seharusnya kita bersikap

berpada-pada dalam mempercayai setiap idealogi yang kita terima.

Kesimpulan yang cuba saya rungkaikan di sini ialah sekiranya ragu, perlulah dicari kebenaran

dan sebarang persoalan haruslah dibuat perbandingan sewajarnya. Sehinggalah ragu-ragu bertemu dengan

yakin. Taksub dan keras kepada hanya satu pandangan, lebih kepada terbuka untuk menerima. Jika harga

ayam sekilo harganya RM 8 di kedai Runcit Kak Kiah, jangan lupa untuk survey harga ayam di tempat

lain.

Ibu bapa jangan pula membunuh potensi anak muda dengan pembodohan luar jangka

sebagaimana momokan hantu pokok pisang dan langsuir gigi berdarah. Lebih baik sekiranya jika anak

kecil diajar tentang bagaimana setiap pilihan mereka memberikan kesan dan akibat. Jangan ditutup

rancangan Astro dek kerana rancangan kartun yang membunuh potensi mereka untuk berkembang. Tetapi

ajarlah mereka untuk membuat pilihan.


Pernah seorang rakan memberi kata dua yang cukup membekas. Penyakit keraguan atas sesuatu

perkara ubatnya ialah keikhlasan mencari kebenaran. Nanti, akan ditemu juga penawarnya.
Impian Itu Milik Kamu

Pada 12 September 1962, Presiden John F. Kennedy telah meletakkan impian terbesar untuk

Amerika Syarikat apabila mengiystiharkan program angkasa lepas untuk ke bulan. Beliau menegaskan

bahawa pemilihan untuk ke bulan pada dekad ini adalah bukan kerana ia misi yang mudah tetapi oleh

kerana ia sesuatu yang sukar.

Di sebalik keamanan selepas mengecapi sebuah nikmat kemerdekaan, di situ ada pejuang-pejuang

yang telah mati sebelum negara ini diisytihar sebuah negara yang berdaulat. Di sebalik seorang hero,

muncul seorang watak opurtunis yang telah memandang jauh ke hadapan. Tokoh-tokoh tersebut kita

sendiri tidak tahu apa sumbangannya. Akan tetapi disebabkan impian besarnya, kita boleh tidur lena di

tilam yang empuk.

Ketika pelari-pelari pecut berada di garisan permulaan sebenarnya garisan akhir sudah ada. Semua

orang menantikan salah seorang sampai di sana paling awal dahulu. Jika sampai paling pantas itu bonus,

kalau terjatuh di saat memecut atau tersadung kaki masih boleh bangkit. Biarlah berjalan dengan

merangkak sekalipun, impian untuk sampai ke garisan penamat itu seharusnya menjadi sumber kekuatan.

Saya pernah gagal. Anda pernah gagal. Saya ada masalah. Anda juga ada masalah. Kucing juga

tetap ada masalahnya. Adakah definisi gagal bagi anak muda hanya sekadar ‘putus asa apabila cinta sang

bunga tidak dapat dipetik’? Ini satu pemahaman yang sedikit emosi menilai kegagalan apabila hati remuk.

Ini bukan bicara drama bersiri, ini bicara tentang realiti yang kita harus santuni sebagai anak muda.

Masalah itu bukan masalah sebenarnya, bagaimana cara kamu memandang sesuatu masalah itu

merupakan masalah sebenarnya.


Gagal mendapat perhatian dalam kelas berbanding rakan lain dijadikan tanda aras kejayaan anak

muda. Ini terpengaruh dengan falsafah sonsang Melayu. Saya tegaskan di sini, anak muda perlu

mencontohi peribadi Uwais Al-Qarni. Tidak dikenali di dunia tetapi popular di langit.

Anak muda jangan mudah terasa dengan label buruk yang dilemparkan. Bagi lelaki tidak pandai

bermain bola dilabel kaki bangku, tidak tahu keputusan semasa liga bola sepak dianggap tidak mengikuti

perkembangan semasa sukan. Begitu juga wanita, tidak mengambil tahu status artis dan perkembangan

fesyen terkini dilabel sebagai jumud dan tidak terbuka.

Majoriti bukan menjadi syarat sesuatu itu benar, dan minoriti tidak menjadi hukum sesuatu itu

salah. Ini pendirian saya, biarlah saat di sana ramai yang menentang dan tidak bersetuju kerana bukan

motif saya untuk menjunjung falsafah rekaaan manusia. Tetapi sudah cukup pesanan dan larangan Tuhan

untuk saya.

Bangkitlah kerana kefahaman. Jatuhlah kerana kefahaman. Jika kita mendalami ‘kefahaman’

dengan sistem nilai yang benar, nescaya tindakan itu lebih tepat berbanding kita bangkit berpaksikan

semangat. Kenapa? Kerana semangat itu sifatnya berubah-ubah.

Impian perlu diselaputi dengan kesabaran, jika tidak ia akan terputus tanpa jejak. Walaupun jauh

ke bulan impian kita seharusnya jelas di minda. Percayalah impian kita itu sudah pun muncul pada saat

kita memulakannnya, bukan pada ketika kita hampir sampai di sana. Jangan dipisahkan ‘garisan penamat’

dengan ‘garisan permulaan’ hanya dengan sebuah kegagalan atau dukacita melarat.

Lihat, dengar, belajar, nikmati, pertingkatkan. Tiada kesilapan yang bersifat selama-lamanya.

Ingatlah, harapan dan impian itu hak cipta terpelihara kita. Seandainya didaftarkan, royalti tersebut juga

menjadi milik kita.

Anda mungkin juga menyukai