Anda di halaman 1dari 10

Dalam meniti era globalisasi ini, amalan membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi

muda semakin pudar. Terdapat kajian yang menyatakan purata pembacaan buku oleh setiap rakyat
Malaysia hanya dua buah buku sahaja setahun. Angka ini adalah rendah untuk sebuah negara yang
sedang pesat membangun dan mempunyai visi untuk bersaing dengan negara maju yang lain. Pelbagai
inisiatif seperti Program NILAM di peringkat sekolah dan penganjuran pesta buku telah diadakan tetapi ia
seperti mencurahkan air ke daun keladi. Kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat untuk
menjadikan amalan membaca sebagai tabiat kehidupan akan merugikan kita. Justeru, kita perlu kupas
kebaikan yang diperoleh sekiranya kita mengamalkan budaya membaca.

Faedah paling utama dalam mengamalkan budaya membaca ialah ia akan meluaskan pengetahuan setiap
individu. Rata-rata, falsafah pendidikan dimulakan dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Maka, apabila kita sudah mahir membaca, kita akan mendapat pelbagai maklumat dan informasi. Saban
hari, makin banyak hasil penulisan dan terjemahan yang boleh kita baca bagi menambah pengetahuan kita
terhadap sesuatu perkara dan memahami tentang sesuatu perkara tersebut. Apabila minda kita dibuka
dengan pembacaan daripada sumber yang sahih dan dipercayai, proses pemikiran kita tentang kehidupan
harian akan berlainan dan menjadi lebih bijak serta matang untuk membuat keputusan yang betul.

Selain itu, amalan membaca merupakan amalan terbaik untuk dilakukan seseorang dalam mengisi masa
lapang. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di waktu senggang seseorang tetapi adalah digalakkan untuk
kita melakukan aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan dan membaca. Sebagai contoh, sukan membantu
diri kita dalam penjagaan kesihatan diri secara fizikal dan secara spiritual, amalan membaca dapat
membantu kita untuk menjadi insan yang lebih baik serta berguna berbanding diri kita yang dahulu.
Justeru, membaca di masa lapang adalah suatu perkara yang perlu menjadi tabiat kita kerana masa itu
emas.

Amalan membaca juga dapat membantu menambah perbendaharaan kata yang mungkin kita tidak pernah
tahu sebelum ini. Tidak dinafikan bahawa ketika kita membaca, kita akan menjumpai perkataan yang tidak
pernah kita lihat sebelum ini. Perkara ini akan membuatkan kita mencari definisinya untuk mengetahui
maknanya dengan lebih lanjut. Tambahan pula, pada era ledakan sains dan teknologi ini, penguasaan
bahasa asing seperti bahasa Inggeris amatlah penting untuk menjamin kehidupan yang lebih baik pada
masa hadapan. Oleh itu, pembacaan buku-buku berbahasa asing dapat meningkatkan kosa kata dalam
bahasa tersebut sekali gus mendorong kita untuk menguasai bahasa tersebut. Seperti peribahasa Melayu,
sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Akhir sekali, membaca membantu meningkatkan pencapaian bahasa seseorang. Terdapat lebih 2000
bahasa yang digunakan di seluruh pelusuk dunia dan daripada setiap bahasa tersebut, pasti terdapat nilai
atau ilmu yang boleh kita pelajari. Pelbagai karya yang boleh dibaca termasuk terjemahan bagi
memudahkan kita untuk memahami karya yang dihasilkan oleh penulis. Maka dengan pembacaan yang
meluas kita akan berfikiran lebih terbuka dalam menilai setiap aspek dalam kehidupan. Membaca dapat
mengelakkan kita menjadi seperti katak di bawah tempurung. Peribahasa Melayu tersebut membawa
maksud kita hanya hidup dalam linkungan yang kita tahu sahaja dan tidak mengambil langkah untuk
berkembang dan bertambah maju.

Penutup Konklusinya, pelbagai faedah yang boleh didapati daripada membaca terutamanya dalam
kalangan masyarakat. Nilai pengetahuan akan bertambah dan begitu juga gaya pemikiran yang lebih luas,
mampu memacu negara ke arah kemajuan sejagat. Dengan generasi yang berpendidikan baik dan
bijaksana, kita mampu menyaingi negara-negara maju yang lain dalam menghadapi masa hadapan ibarat
kata pepatah Melayu, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Semoga rakyat kita mampu menjadikan
amalan membaca sebagai budaya yang menjadi kebiasaan kepada generasi-generasi yang akan datang.
Pepatah Melayu ada mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Peribahasa
ini bermaksud jika kita melakukan sesuatu itu sedikit demi sedikit, lama-kelamaan sesuatu yang
kita lakukan itu menjadi banyak. Secara tersiratnya, peribahasa ini mengajak masyarakat kita
mengamalkan sikap suka menabung. Malah kerajaan juga telah melancarkan kempen menabung
menjamin masa depan dalam usaha menggalakkan masyarakat menabung untuk masa hadapan.

Hakikatnya amalan menabung ini mempunyai faedah-faedah yang tidak terkira banyaknya.
Antaranya ialah amalan menabung ini dapat melatih diri kita supaya sentiasa berjimat cermat.
Sikap berjimat cermat merupakan sikap yang amat terpuji kerana ia dapat mengelakkan diri dari
melakukan pembaziran. Selain itu amalan ini dapat melatih diri sentiasa beringat dan sikap ini
wajar ditanam dalam setiap diri individu sejak kecil lagi. Pepatah “ingat sementara sebelum kena,
jimat sementara belum habis” wajar dijadikan iktibar dalam kehidupan kita. Malah, dalam agama
sendiri melarang kita melakukan pembaziran dan menuntut kita sentiasa menabung untuk masa
hadapan. Jelaslah sikap suka menabung haruslah dijadikan amalan hidup setiap masyarakat di
Malaysia.

Melalui amalan menabung ini juga, kita akan mempunyai wang simpanan yang akan kita gunakan
pada masa hadapan atau sewaktu kecemasan. Ungkapan “sediakan payung sebelum hujan” amat
sesuai untuk digunakan dalam konteks ini. Hal ini disebabkan kita sendiri tidak mengetahui apa
yang akan berlaku pada masa hadapan seperti ditimpa musibah atau penyakit. Sekiranya kita
mempunyai tabungan yang cukup, kita tidak akan berasa bimbang apabila sesuatu musibah
menimpa kita. Oleh itu, adanya wang simpanan tersebut akan menolong kita untuk menyelesaikan
masalah dan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan.

Aktiviti menabung juga menggambarkan betapa bijaknya kita dalam mengawal urusan kewangan.
Kita sepatutnya bertindak dengan bijak dalam menguruskan kewangan dan amalan menabung ini
haruslah dimasukkan dalam pengurusan kewangan kita. Kita sepatutnya menabung sedikit dahulu
sebelum berbelanja agar kita sentiasa menyimpan walaupun sedikit. Walaupun kadang kala kita
berasa amat payah untuk berbuat demikian tetapi dengan keazaman yang kuat kita pasti boleh
melakukannya seperti pepatah “alah bisa tegal biasa.”

Faedah yang seterusnya daripada amalan menabung ini ialah dapat mengawal inflasi daripada
berlaku. Hal ini berlaku apabila kita tidak mengamalkan sikap suka menabung, maka wang akan
memasuki pasaran dengan banyaknya. Sekiranya keadaan ini berlaku, ia akan meningkatkan
harga barangan di pasaran. InfIasi bermaksud apabila berlaku lebihan wang di pasaran
berbanding barangan. Sekiranya inflasi berlaku di negera kita, ini sedikit sebanyak akan
menjejaskan ekonomi negara. Oleh itu rakyat haruslah sanggup berkorban demi negara agar
ekonomi negara akan sentiasa stabil dan makmur.

Amalan menabung bukan sahaja membawa faedah dalam diri individu dan masyarakat malah ia
juga memberi impak yang besar kepada institusi kewangan negara. Ini dapat dilihat apabila aktiviti
menabung akan memperkukuh kedudukan bank di negara kita. Apabila kita menyimpan wang di
bank, wang ini dapat digunakan oleh pihak lain bagi menjalankan aktiviti perniagaan dan
sebagainya melalui pinjaman yang diberikan. Oleh itu, secara tidak langsung ini akan dapat
menjana pertumbuhan ekonomi kita. Manakala pihak bank pula akan mendapat keuntungan
kerana mereka memperoleh laba daripada skim pinjaman yang diwujudkan.

Tuntasnya amalan menabung merupakan amalan yang baik dan sangat dituntut oleh semua
agama. Amalan ini perlulah diterapkan kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia melalui
kempen dan sebagainya. Kata-kata hikmat seperti ‘Menabung Mencerahkan Masa Depan’
hendaklah menjadi ikutan dan pedoman buat semua rakyat Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai