Anda di halaman 1dari 13

TOPIK 1 PENGENALAN BAHASA

PENGENALAN

Bahasa merupakan alat berkomunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui bahasa manusia dapat melahirkan idea, perasaan, dan berhubung di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara formal atau tidak formal. Keupayaan berbahasa dengan baik membolehkan seseorang itu berkomunikasi dengan lebih berkesan lagi. Kanak-kanak keperluan khas bermasalah pembelajaran memang diakui mengalami masalah dalam bahasa kemahiran berbahasa. Justeru mereka mengalami masalah untuk mengikuti pelajaran dan juga berkomunikasi dengan rakan sebaya mereka. Guru perlu memahami masalah yang dihadapi pelajarnya supaya ia dapat merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Secara keseluruhan, mata pelajaran ini akan tertumpu kepada strategi dan kaedah pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar-pelajar masalah pembelajaran. Manakala tajuk ini pula akan membincangkan tentang pengenalan bahasa yang meliputi pemerolehan bahasa, komponen bahasa, dan jenis bahasa.

OBJEKTIF Di akhir tajuk ini, anda seharusnya dapat: menghuraikan beberapa definisi bahasa memerihalkan teori-teori pemerolehan bahasa menghuraikan perkembangan bahasa kanak-kanak menjelaskan komponen bahasa iaitu bentuk, kandungan, dan penggunaan menjelaskan masalah bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran

GAMBARAN KESELURUHAN TAJUK

PENGENALAN BAHASA

Pemerolehan Bahasa Definisi Bahasa Teori Pemerolehan Bahasa Perkembangan Bahasa Kanak-kanak Komponen Bahasa Jenis Bahasa Bentuk Penerimaan Kandungan Pelahiran Penggunaan

1.1 PENGENALAN BAHASA Sebagai manusia kita sentiasa menggunakan bahasa untuk berinteraksi sesama sendiri. Kemampuan kita menguasai bahasa akan membolehkan kita menyampaikan pendapat atau perasaan dengan lebih baik lagi. Malah haiwan juga dikatakan mempunyai bentuk bahasa mereka yang tersendiri untuk berkomunikasi sesama mereka. Kita sering menyebut perkataan bahasa , tapi apakah makna bahasa sebenarnya? Bagaimanakah bahasa itu diperolehi? Apakah yang ada dalam bahasa itu sendiri? Semua ini perlu kita ketahui sekiranya

kita mahu menjadi seorang pengguna bahasa yang baik dan cekap.

1.1.1 Pemerolehan Bahasa 1.1.1.1 Definisi Bahasa

Tedapat berbagai-bagai definisi bahasa yang diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa dan juga linguistik. Di antaranya adalah seperti berikut: Bahasa adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol-simbol khusus untuk mewakili sesuatu. (Reed, C.A., 1994) Satu struktur yang unik daripada bunyi-bunyi dan ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenangwenangnya (arbitrary) untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat untuk berhubung. (Simanjuntak, 1978) Lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang dan dipersetujui dan digunakan untuk berkomunikasi. (Bloom, 1988)

Daripada definisi bahasa di atas, jelas bahawa bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang (arbitrari). Menurut Hayakawa (1964), arbitrari bermaksud sebagai no necessary connection between the symbol and that which is symbolized Bagi menjelaskan lagi maksud sewenang-wenang atau arbitarari ini, Asmah Hj. Omar (1986) menerangkan bahawa unit yang kita tuturkan sebagai rumah itu bukanlah benda yang konkrit yang mempunyai bumbung, lantai, dinding, tingkap, dan pintu yang menjadi tempat kita berteduh, tetapi adalah apa yang mewakili benda itu. Dengan itu benda-benda yang konkrit yang mempunyai ciri-ciri yang disebut itu boleh mempunyai lambang-lambang lain. Misalnya bait ( bahasa Arab), house (bahasa Inggeris), het huis (bahasa Belanda), griya (bahasa Jawa halus), dan walay (bahasa Kadazan), dan sebagainya.

Aktiviti:

Dalam kumpulan berdua atau bertiga, cuba berkomunikasi sesama sendiri tentang satu kemalangan yang baru berlaku tanpa bercakap. Adakah mesej anda dapat disampaikan dengan jelas? Adakah komunikasi anda berjalan lancar? Bincangkan apakah masalah yang anda hadapi dalam komunikasi tersebut.

1.1.2 Teori Pemerolehan Bahasa

Sebagai seorang guru, adalah penting bagi anda mengetahui bagaimana bahasa diperoleh. Di sini kita hanya akan membincangkan tiga teori utama sahaja iaitu Teori Behavioris atau Mekanis, Teori Mentalis atau Innatis, dan Teori Kognitif. 1.1.2.1 Teori Behavioris

GAMBAR B.F. SKINNER Teori Behavioris menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan yang dipelopori oleh B.F.Skinner (1938). Menurut Skinner, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang diberi adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul yang berjaya dilakukan oleh kanak-kanak. Di antara ganjaran yang diberikan adalah pujian seperti pandai , senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan, dan lain-lain yang boleh merangsang kanak-kanak bercakap. B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan dengan keupayaan mempelajari bahasa. Keupayaan bertutur adalah satu bentuk perlakuan manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan prinsip Teori Behavioris iaitu; Rangsangan tindak balas Dalam mempelajari bahasa, persekitaran mempunyai pengaruh yang sangat penting terhadap kanakkanak. Pengaruh rangsangan persekitaran dalam bentuk bahasa dan bukan bahasa akan membantu kanak-kanak menguasai bahasa dengan lebih cepat. Manakala peneguhan yang diberi akan merangsang kanak-kanak mengulang-ulang percakapannya.

1.1.2.2 Teori Mentalis (GAMBAR NOAM CHOMSKY) Teori ini dikemukakan oleh Noam Chomsky (1959) yang mengatakan bahawa pemerolehan bahasa berlaku secara mentalis. Menurutnya, kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang bersifat universal. Melalui alat ini kanak-kanak berpotensi secara semula jadi untuk mempelajari bahasa apa sahaja Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device). Bagi menguatkan teorinya tentang LAD, Chomsky memberikan empat kenyataan iaitu; i. proses pemerolehan bahasa semua kanak-kanak boleh dikatakan sama; ii. proses pemerolehan bahasa ini tidak ada kaitannya dengan kecerdasan (anak yang IQ-nya rendah juga juga memperoleh bahasa pada masa dan cara yang hampir sama ); iii. proses pemerolehan bahasa tidak pula dipengaruhi oleh motivasi atau emosi kanak-kanak ; dan iv. tatabahasa yang dihasilkan oleh semua kanak-kanak boleh dikatakan sama. Berkaitan dengan keupayaan sejadi (innate) kanak-kanak dalam mempelajari bahasa ibundanya, Chomsky memberikan tiga hujah berikut; i. wjujudnya unsur-unsur kesejagatan dalam sesuatu bahasa iaitu kesejagatan formal yang terdiri daripada ciri-ciri tatabahasa dan kesejagatan substantif yang berupa kategori-kategori tatabahasa; ii. bentuk-bentuk ujaran yang didengari kanak-kanak tidak akan diperolehinya tanpa keupayaan sejadi; dan iii. kanak-kanak boleh menguasai bahasa ibundanya dalam tempoh 4 hingga 5 tahun dan tanpa keupayaan sejadi bahasa itu tidak akan dikuasai.

1.1.2.3 Teori Kognitif (GAMBAR PIAGET) Teori Kognitif berlandaskan pandangan Piaget seorang ahli psikologi berbangsa Swiss. Menurut Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya. Malah beliau berpendapat bahawa bahasa kanak-kanak itu adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya. Untuk memperoleh penguasaan bahasa seseorang kanak-kanak perlu melalui beberapa peringkat perkembangan kognitifnya.

Peringkat pertama dikatakan sebagai peringkat deria-motor iaitu kanak-kanak berumur dalam lingkungan 18 bulan hingga 2 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak membentuk skemata atau struktur kognitif hasil daripada interaksi yang aktif dengan persekitaran. Pengetahuan digambarkan dalam pelbagai bentuk simbolik. Dari umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak memasuki peringkat tahap pemikiran praoperasi konkrit. Dalam peringkat ini penguasaan bahasa kanak-kanak semakin berkembang. Dalam lingkungan umur 4 tahun kanak-kanak sudah mula pandai bercakap dan boleh membentuk ayat serta memahami percakapan orang lain. Peringkat ketiga adalah operasi konkrit (7 12 tahun) iaitu sudah dapat menguasai beberapa kemahiran seperti hukum pengekalan, konsep hubungan, pengkategorian, dan persirian. Umur selepas 12 tahun dikatakan sebagai peringkat operasi formal.

Soalan: Bincangkan perbezaan utama di antara Teori Behavioris, Kognitif, dan Mentalis.

1.1.3 Perkembangan Bahasa Kanak-kanak

Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak dipengaruhi oleh perkembangan intelek, umur, pengaruh persekitaran, dan juga kematangan alat pertuturan. Apabila sampai pada peringkat umur tertentu kanak-kanak sudah boleh menuturkan perkataan-perkataan, frasa, atau ayat mengikut tahap penguasaan bahasa mereka. Menurut Marilyn Friend (2005), masa yang paling kritikal dalam perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak adalah peringkat awal kanak-kanak. Beliau telah memberikan beberapa petunjuk penting perkembangan kanak-kanak normal seperti di bawah.

Petunjuk perkembangan bahasa kanak-kanak ________________________________________________________________ Umur Petunjuk perkembangan ________________________________________________________________ 1 Mengenal nama Sudah boleh menyebut dua hingga tiga perkataan tambahan kepada mama dan papa Faham arahan mudah 1-2 Faham perkataan tidak / no

Guna sepuluh hingga dua puluh perkataan, termasuk nama Menggabungkan dua perkataan Mak. Makan Meniru bunyi binatang yang sudah biasa seperti lembu Melambai-lambai selamat jalan 2-3 Mengenal anggota badan Guna dua perkataan dalam frasa negatif - tak mau , no want Memahami konsep masa yang mudah - esok , semalam Selesai masalah dengan bercakap, bukanya secara memukul atau menangis Menyesuaikan tiga atau empat warna, tahu tentang kecil dan besar 3-4 Sudah boleh bercerita Menguasai lebih kurang 1000 patah perkataan Memahami makna kelmarin , makan tengah hari Mula menurut arahan/perminatan Letak kasut di luar 4-5 Menguasai lebih kurang 1,500 patah perkataan Mengenal pasti segi tiga, bulatan, atau segi empat Boleh bercakap angan-angan - saya harap . Banyak menyoal, termasuk Mengapa ..? 5-6 Menguasai lebih kurang 2,000 patah perkataan Memahami hubungan ruang seperti atas dan belakang Tahu alamat sendiri Tahu perkataan antonim mudah seperti kecil besar Membezakan tangan kanan dan kiri tanpa bantuan Menggunakan berbagai jenis ayat ________________________________________________________________

Berdasarkan petunjuk-petunjuk penting perkembangan bahasa kanak-kanak normal anda dapat mengetahui kelainan yang dimiliki oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah bahasa.

Soalan: Berdasarkan pengalaman anda berikan ciri-ciri kanak-kanak yang menghadapi masalah bahasa dan pertuturan.

1.2 Komponen Bahasa Bagi menguasai kemahiran bahasa dengan baik, anda perlu memahami komponen bahasa secara menyeluruh. Kemahiran menggunakan kesemua komponen bahasa amat penting untuk suatu komunikasi yang berkesan. Bahasa terdiri daripada beberapa komponen. Istilah-istilah lain yang digunakan selain komponen adalah seperti unsur, elemen, parameter, dan ada juga yang menggunakan istilah aspek. Kesemua ini adalah bertujuan untuk memecahkan bahasa kepada bahagian-bahagian untuk dijelas dan dibincang. Terdapat tiga komponen asas bahasa iaitu bentuk (fonologi, morfologi, sintaksis), Kandungan (semantik) , dan penggunaan (pragmatik). Setiap komponen ini mempunyai sistem dan peraturan tersendiri. 1.2.1 Bentuk 1.2.1.1 Fonologi Fonologi merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Apabila kita menyebut perkataan-perkataan, kita dapat membezakan bunyi di antara perkataan tersebut dan seterusnya pula membezakan maknanya. Misalnya perkataan pin dan tin , perbezaan bunyi utama adalah pada awal perkataan-perkataan tersebut. Walaupun perkataan-perkaaan ini berbeza hanya pada satu bunyi sahaja tetapi perbezaan bunyi ini menghasilkan dua perkataan dan masing-masing mempunyai makna yang berbeza.

1.2.1.2 Morfologi Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Morfem adalah adalah kesatuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai erti dalam struktur sesuatu bahasa. Morfem terdiri darpada morfem bebas dan morfem terikat. Arbak ( ) menjelaskan bahawa morfem bebas (kata akar) adalah morfem yang tanpa bantuan dari morfem lain sudah dapat berdiri sebagai perkataan. Manakala morfem terikat (imbuhan) pula adalah morfem yang hanya memberi erti setelah diimbuhkan dengan morfem lain. Morfem terikat tidak dapat berdiri sebagai perkataan. Misalnya perkataan berlari, ber- adalah morfem terikat dan ia memerlukan lari untuk membentuk perkataan berlari. Di sini lari adalah morfem bebas dan ia boleh berdiri dengan sendiri sebagai perkataan tanpa bantuan morfem lain.

1.2.1.3 Sintaksis atau ayat

Sintaksis adalah unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem. Sintaksis juga merupakan satu bentuk pengucapan yang didahului dan diakhiri dengan kesenyapan serta mengandungi fikiran yang sempurna (Arbak, ).

Aktiviti Anda boleh membuat bacaan luas tentang morfologi dan ayat dari buku Tatabahasa Dewan terbitan DBP.

1.2.2 Kandungan Komponen kandungan terdiri daripada semantik (makna) yang merujuk kepada cara perkataanperkataan digunakan secara bermakna dalam komunikasi. Pada asasnya semantik melibatkan perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau leksikon. Fonem-fonem yang bergabung akan membentuk perkataan, dan perkataan digunakan untuk mewakili benda, konsep, pengalaman dan sebagainya.

1.2.3 Pragmatik (Penggunaan) Bahasa digunakan atas sebab-sebab yang tertentu yang khusus dan tanpa sebab-sebab ini tidak ada makna kita berbahasa. Jadi kita berbahasa adalah untuk mencapai matlamat komunikasi dan juga fungsi sosial. Aspek bahasa inilah yang dikatakan sebagai pragmatik, dan Bates (1976) mengatakan bahawa pragmatik adalah sebagai peraturan menggunakan bahasa dalam konteks. Manakala Prutting (1982) pula menganggap pragmatik sebagai kecekapan sosial. Wood (1982) menyatakan bahawa aspek pragmatik bahasa termasuklah: i. menyampaikan mesej yang dikehendaki secara lisan dan bukan lisan dalam interaksi komunikasi secara memilih kandungan, bentuk, dan gerak badan yang bersesuaian dengan konteks dan situasi, ii. mengembangkan kemahiran berbahasa untuk perkembangan kemahiran interpersonal, kreativiti, dan pembentukan tingkah laku.

Soalan/aktiviti: Berdasarkan pengalaman anda dengan kanak-kanak masalah pembelajaran, bincangkan masalah bahasa dan pertuturan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak Down Syndrome dan kanak-kanak autisma.

1.3. Jenis Bahasa Bahasa terdiri daripada bahasa penerimaan (receptive) dan bahasa pelahiran (expressive) yang terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Bahasa penerimaan merupakan keupayaan memahami input komunikasi bahasa sama ada dalam bentuk percakapan ataupun penulisan. Penguasaan bahasa yang tinggi, misalnya mempunyai perbendaharaan kata yang banyak akan memudahkan pemahaman seseorang tentang perkara yang didengar ataupun dibacanya. Sebaliknya, bahasa pelahiran merupakan bentuk bahasa yang dipertuturkan atau ditulis. Bagi kedua-dua jenis bahasa ini, selain perlu mempunyai perbendaharaan kata yang banyak, seseorang itu perlu juga menguasai aspek bahasa yang lain seperti tatabahasa, bentuk bahasa, semantik, dan juga pragmatik. Bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran merupakan aspek penting dalam komunikasi sebagai mana yang digambarkan dalam model komunikasi di bawah.

Model Proses Komunikasi

Idea A B Idea (pengirim) (penerima) (penutur) (pendengar)

BERTUTUR gelombang MENDENGAR bunyi

Kem. menyampaikan Kem. mentafsir mesej (ekspresif) mesej (reseptif)

MENULIS gelombang MEMBACA cahaya

Masalah bahasa juga ditunjukkan melalui bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran. Seorang guru yang peka akan dapat mengesan masalah bahasa penerimaan dan bahasa pelahiran pelajarnya melalui pemerhatian sewaktu aktiviti pembelajaran dalam kelas, aktiviti luar kelas, ketika bermain, dan sebagainya. Berikut adalah beberapa tingkah laku yang menunjukkan kanak-kanak mengalami masalah bahasa penerimaan dan pelahiran.

(GAMBAR ORANG SEDANG BERBUAL /bertengkar/)

Individu yang menghadapi masalah bahasa penerimaan menghadapi masalah memahami percakapan atau bacaan. Mereka akan menunjukkan ciri-ciri tingkah laku seperti berikut; i. bertindak balas secara tidak konsisten terhadap bunyi atau percakapan ii. mempunyai tumpuan singkat walaupun terhadap perkara yang diminati iii. kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang reaksi (blank) ketika orang lain bercakap dengannya iv. sukar memahami konsep yang abstrak v. mudah tertarik dengan bunyi-bunyi luaran ketika bercakap dengannya vi. ada masalah dengan perkataan banyak makna vii. bermasalah mengenal hubungan perkataan dengan idea viii. kerap memberi jawapan yang tidak sesuai ix. sukar mempelajari makna perkataan baru x. bermasalah dalam urutan peristiwa (cth: hari dalam seminggu) xi. Kerap mengulangi soalan daripada memberi jawapan kepada soalan itu Begitu juga dengan masalah bahasa pelahiran. Individu yang menghadapi masalah bahasa pelahiran juga akan menunjukkan ciri-ciri tingkah laku berikut; i. seorang pendiam ii. tidak mengambil bahagian dalam perbincangan kelas iii. kerap salah menggunakan perkataan iv. menggunakan perkataan dengan susunan yang salah dalam ayat v. lesu dan tidak bersemangat ketika bercakap vi. banyak menggunakan gerakan fizikal daripada ekspresi verbal vii. tidak dapat mencari perkataan-perkataan untuk penerangan dalam perbualan atau menulis viii. sentiasa menggunakan ayat-ayat pendek ix. berjalan-jalan bila diajukan soalan atau mendengar cerita x. menggunakan perkataan secara berlebihan untuk menjelaskan idea yang konkrit xi. gagal memahami petunjuk (kiu) yang menandakan dia perlu berhenti bercakap xii. sangat sukar mengingat

:Pendekatan interaktif atau komunikatif sangat berkesan untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah bahasa pelahiran atau bahasa penerimaan. Kanak-kanak ini perlu digalakkan berinteraksi sesama rakan sebaya mereka, dengan guru, dan ibu bapa dalam pelbagai situasi seperti ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, ketika melakukan aktiviti luar kelas seperti

lawatan, permainan, dan sebagainya.,

Tugasan: Apakah pendekatan interaktif? Berdasarkan satu situasi pembelajaran, bincangkan cara melaksanakan pendekatan interaktif di dalam kelas PKBP.

1.4 Rumusan a. Bahasa merupakan alat omunikasi yang wujud seiring dengan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui bahasa manusia dapat melahirkan idea, perasaan, dan berhubung di antara sesama mereka. Bahasa dikuasai secara semula jadi atau dipelajari secara formal atau tidak formal. b. Bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenang (arbitrari) yang bermaksud sebagai no necessary connection between the symbol and that which is symbolized c. Antara teori pemerolehan bahasa adalah Teori Behavioris atau Mekanis, Teori Mentalis atau Innatis, dan Teori Kognitif. c. B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan dengan keupayaan mempelajari bahasa melalui satu bentuk perlakuan manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan prinsip Teori Behavioris iaitu, Rangsangan tindak balas . Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device). Menurut Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya dan bahasa kanak-kanak itu adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya. Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak dipengaruhi oleh perkembangan intelek, umur, pengaruh persekitaran, dan juga kematangan alat pertuturan. Terdapat tiga komponen asas bahasa iaitu bentuk (fonologi, morfologi, sintaksis), Kandungan (semantik) , dan penggunaan (pragmatik). Setiap komponen ini mempunyai sistem dan peraturan tersendiri.

Fonologi merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Sintaksis adalah unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem. pragmatik adalah sebagai peraturan menggunakan bahasa dalam konteks. Manakala Prutting (1982) pula menganggap pragmatik sebagai kecekapan sosial. Bahasa terdiri daripada bahasa penerimaan (receptive) dan bahasa pelahiran (expressive) yang terdapat dalam bentuk lisan dan tulisan. Bahasa penerimaan merupakan keupayaan memahami input komunikasi bahasa manakala bahasa ekspresif pula melibatkan kemahiran menyampaikan mesej sama ada dalam bentuk percakapan ataupun penulisan.

Anda mungkin juga menyukai