Anda di halaman 1dari 8

CERITA JENAKA

LEBAI MALANG
 Al kisah, maka adalah sebuah desa. Maka di dalam rantau itu adalah seorang
lebai pandai mengaji dan taat ibadatnya kepada Allah ta`ala, istimewa pula
perangainya tersangat adab dan santun, serta dengan tulus ikhlas hatinya
kedua laki isteri. Ia itu tinggal di sebuah dusun.
Sekali peristiwa, datanglah seorang laki-laki ke rumahnya mengajak akan dia
melawat orang mati. Maka kata Pak Lebai, baiklah. Kembalilah tuan dahulu,.
Dan seketika lagi datang pula seorang kanak-kanak menjemput Pak Lebai
kerana hendak kenduri berkhatam pengajian. Maka jawab Pak Lebai, yalah,
baliklah engkau dahulu. Ada sekejap pula datang seorang lagi mempersilakan
Pak Lebai keterataknya oleh hendak berdikir kenduri Maulud. Maka itu pun
disanggup juga Pak Lebai, demikianlah juga katanya. Maka ketiga-tiga mereka
itu pun pulanglah ke rumah masing-masing berhadirkan sekalian alatnya
kerana harapkan Pak Lebai akan datang juga ke rumahnya.
Hatta, dinanti-nantilah oleh semua pemanggil itu akan Pak Lebai beberapa
lamanya hingga beralih matahari, tiadalah juga Pak Lebai datang. Maka yang
mati itu pun dimandikan serta disembahyangkan lalu ditanamkan. Dan
demikian juga yang berkhatam itu pun dikhatamkan oranglah dan yang
berkenduri itu pun bertampillah berdikir, masing-masing dengan
pekerjaannya.
 Kelakian, maka tersebutlah perkataan Pak Lebai. Kemudian daripada mereka
yang ketiga itu telah kembali, maka ia pun sembahyang zuhur. Sudah
sembahyang lalu berfikir di dalam hatinya, ke mana baik aku pergi ini? Jika
aku pergi kepada orang mati tentu aku mendapat sedekah kain putih dan
tikar. Dan kalau aku pergi kepada orang berkhatam pengajian itu, perutku
tentulah kenyang, dan sedekah pula secupak daging kerbau, serta kelapa
setali dan kampit beras satu. Dan jikalau aku pergi kepada orang berdikir itu
perut aku tentulah kenyang makan lempeng penganan angkatan orang itu.
Maka kalau begitu, baiklah aku pergi kepada orang mati itu dahulu, kerana
sabda junjungan dahulukan kerja wajib daripada kerja yang lain-lain.
Hatta, telah Lebai Malang berfikir demikiaan, maka ia pun pergilah ke rumah
orang yang kematian itu. Dengan takdir Allah ta`ala Pak Lebai bertemu
dengan orang-orang yang pergi menanamkan orang mati itu baru pulang
sahaja dari kubur. Maka kata saudara si mati, Allah, Pak Lebai, mengapa
lambat datang? Sudahlah apa boleh buat? Tiada hendak menjadi rezeki saya.
Maka Pak Lebai pun pergilah pula ke rumah orang berkhatam itu. Serta ia
sampai ke sana, orang semuanya habis hendak balik. Demi dilihat oleh orang
empunya kerja itu, katanya, ah, ah ini pun Pak Lebai baru sampai. Mengapa
Pak Lebai lambat datang? Sekarang apa pun tiada lagi, semuanya telah habis,
melainkan barang dimaafkan sahajalah hal saya ini, kerana semuanya telah
habis sekali.
 Maka kata Pak Lebai, tiada mengapa, asalkan sudah selamat, sudahlah.
Kemudian ia pun berjalan menuju ke rumah orang bermaulud itu. Setelah ia
sampai ke sana, orang baru lepas berangkat saja, masing-masing orang pun
hendak kembalilah. Maka apabila dilihatnya oleh tuan rumah akan Pak Lebai,
maka katanya, Allah mengapa lambat datang Pak Lebai? Hingga penatlah saya
menanti tiada juga Pak Lebai sampai. Kemudian diperbuatlah mana-mana
yang dapat. Naiklah, Pak Lebai, nah inilah yang ada hanya sebungkus
penganan saja lagi, lain semuanya sekali telah habis.
Maka ujar Pak Lebai, tiada mengapa apa pula yang disusahkan saya ini. Lalu
diambilnya bungkusan lempeng itu serta berjalan pulang ke rumahnya.
Kelakian, maka hari pun hampir petang Pak Lebai pun sampailah ke
kampungnya lalu teringatlah ia akan air niranya di atas pohon kabung tiada
berambil lagi. Maka ia pun pergilah ke pohon kabung itu dan lempengnya itu
pun disangkutkannya pada singai tempat ia memanjat pohon itu. Maka Pak
Lebai pun sampailah kepada bacuk niranya itu. Dilihatnya bacuk itu penuh
berisi air nira.
Dengan takdir Allah, lempengnya yang ditinggalkannya di bawah itu sudah
digonggong oleh anjing, dibawanya lari.
 Maka setelah dilihatnya oleh Pak Lebai akan hal penganannya itu digonggong
oleh anjing, maka hilanglah fikirannya, lalu ia mencabut goloknya serta
dipunggaikannya kepada anjing itu, tiada kena. Dan diambil bacuk nira yang
penuh dengan nira itu, lalu dibalingkannya, tiada juga kena. Maka ia pun
terjun dari atas pohon itu berkejar sekuatnya menghambat binatang bedebah
itu.
Maka oleh tersangat pantasnya Pak Lebai mengejar anjing itu hingga
terkepunglah ia, tiada tentu arahnya hendak lari lagi, istimewa pula hari
sudah malam buta. Maka anjing itu pun masuklah ke dalam lubang batang
kayu bersembunyi membawa bungkusan kuih yang separuh sudah dimakannya
sambil lari itu. Maka Pak Lebai pun sampailah kepada tempat anjing itu
menyembunyikan dirinya. Dicarinya kayu tiada, dan lain-lain benda pun tiada
juga hendak disumbatkannya pada lubang itu. Maka Pak Lebai pun oleh
tersangat berang hatinya, lalu menanggalkan seluar dan baju serta
songkoknya, lalu disumbatkannya kepada lubang itu. Maka Pak Lebai pun
tinggal bertelanjang bulat sahaja. Maka sianjing sial itu pun keluarlah lari
mengikut lubang yang sebelah lagi yang tiada bertutup itu, mengonggong
bungkusan itu dengan pantasnya masuk ke dalam hutan lalu hilanglah sekali
tiada kelihatan pada mata Pak Lebai. Maka Pak Lebai pun tercengang-
cenganglah mengintai anjing itu ke sana ke mari.
 Hatta seketika lagi terbanglah dua ekor burung punai betul-betul menuju Pak
Lebai, kerana pada sangka burung itu tunggul kayu, oleh Pak Lebai
bertelanjang bogel, seurat benang pun tiada lekat pada tubuhnya. Setelah
dilihat oleh Pak Lebai akan punai itu datang, ia pun segeralah mengadakan
lengannya dan membukakan kedua ketiaknya. Maka punai itu pun betullah
masuk ke dalam lubang ketiaknya, seekor disebelah kiri hendak menangkap
burung itu. Wah apabila dirasa oleh burung itu badannya sudah tiada terapit
lagi, maka keduanya pun terbanglah naik ke atas pohon kayu yang
berhampiran di situ. Setelah dilihat oleh Pak Lebai punai itu terbang, putihlah
matanya dengan putus asanya kerana segala perkara yang diusahakannya itu
suatu pun tiada memberi faedah kepadanya.
Maka ia pun mengucapkan syukurlah kepada Allah lalu ia pun kembalilah
kepada lubang kayu tadi hendak mengambil kain bajunya. Sekunyung-kunyung
suatu pun tiada lagi, sudah diambil oleh orang. Maka pergi pula ia ke pohon
kabung mencari goloknya dan bacuk niranya, semuanya telah ghaib, suatu pun
tiada lagi. Wah apatah lagi, sesal Pak Lebai pun tiadalah berguna lagi, lalu
teringatlah ia akan bidalan orang tua-tua, kalau secupak, takkan segantang,
rezeki sudah sebanyak itu.
Maka Pak Lebai pun naiklah kerumahnya. Telah dilihat oleh isterinya Pak
Lebai bertelanjang bogel itu, marahlah ia, seraya katanya, kena apa awak
demikian ini, seperti laku orang gila? Ke mana pergi seluar dan baju awak?
Maka oleh Pak Lebai diceritakannya segala hal ehwal yang telah berlaku ke
atas dirinya. Maka Mak Lebai pun naiklah radangnya, seraya mengambil
kayu api, disesahkannya ke belakang Pak Lebai seraya berkata:
‘ Lebai nasib langkahan malang,
Ke hulu hilir penat berulang
Celaka sial bedebah jembalang
Pakaian dibuang bertelanjang pulang.'
Maka Pak Lebai pun lari masuk ke dalam kelambu mencari kain, lalu duduk
termenung memikirkan halnya yang telah jadi, serta dengan berangnya
sebab penat dan sakit kena bahan oleh kayu api Mak Lebai. Lalu ia
bersyair pula:
 ‘ Ayuhai nasib fakir miskin,
Dapat sedekah sebungkus lempeng,
Habis hilang baju dan kain,
Penganan habis dibaham anjing.
Penat berkejar tidak terkira,
Ke sana ke mari tersera-sera,
Punah golok bersama nira,
Pulang ke rumah mendapat mara.'
Maka demikianlah ceritanya Pak Lebai Malang itu, adanya.

 TERIMA KASIH…

Anda mungkin juga menyukai