Anda di halaman 1dari 3

CERITA LEBAI MALANG

Konon pada masa dahulu di sebuah desa tinggal seorang lelaki yang dipanggil Pak Lebai. Rumah Pak
Lebai terletak di tepi sebatang sungai.Pada suatu hari datanglah seorang lelaki ke rumah Pak Lebai.
Tujuan lelaki itu ialah untuk menjemput Pak Lebai ke rumahnya untuk majlis kenduri. Rumah lelaki itu
terletak di sebuah kampung di hulu sungai itu.Maka berjanji lah Pak Lebai untuk hadir ke majlis
tersebut.Tidak berapa lama kemudian datang pula seorang lelaki lain ke rumah Pak Lebai. rupa-rupanya
lelaki itu juga ingin menjemput Pak Lebai menghadiri kenduri di rumahnya. Rumah lelaki itu pula terletak
di hilir sungai.
Selepas kedua-dua lelaki itu berlalu maka Pak Lebai pun memasang strategi bagi membolehkannya hadir
di kedua-dua majlis tersebut.Kedua-dua majlis akan diadakan serentak. Pak Lebai akan menggunakan
perahu untuk pergi ke kedua-dua majlis.Pak Lebai merancang untuk pergi ke kampung di hulu terlebih
dahulu. Selepas makan di situ Pak Lebai akan segera berdayung ke kampung di hilir pula. Pergerakan
menghilir akan mempercepatkan perjalanan Pak Lebai.
Keesokan harinya, Pak Lebai memberitahu isterinya hajat untuk ke rumah kenduri. Pak Lebai turut
berpesan agar tidak menyimpan makanan untuknya kerana dia pasti kenyang setelah hadir di dua
kenduri.
Sebenarnya Pak Lebai sudah terlewat. Namun Pak Lebai bertekad untuk hadir di kedua-dua majlis. Dia
melihat arus sungai dan berfikir sejenak. Jika dia terus ke kampung hilir dia akan sampai tepat pada
waktunya. Namun sudah pasti dia tidak akan sempat ke kampung hulu.
Sebaliknya jika dia ke kampung hulu, dia akan terlewat sedikit kerana terpaksa berdayung menongkah
arus. Namun dia mendapat kelebihan berdayung ke kampung hilir kerana perjalanan menghilir akan
lebih lancar. Maka Pak Lebai mengambil keputusan untuk ke kampung hulu terlebih dulu. Ini memberi
peluang kepadanya untuk hadir di kedua-dua majlis biarpun terlewat sedikit.

Ketika Pak Lebai tiba di kampung hulu, majlis telah hampir selesai. Meskipun begitu semua makanan
telah habis. Pak Lebai rasa kecewa namun segera bergegas ke kampung hilir pula. Namun sesampainya
di sungai arah aliran telah berubah. Fenomena pasang surut laut menyebabkan perjalanannya kali ini
juga terpaksa melawan arus. Dengan bersusah payah Pak Lebai berdayung ke kampung hilir. Sekali lagi
Pak Lebai bernasib malang kerana majlis telah pun selesai. Tuan rumah meminta maaf kerana semua
makanan telah habis.
Dengan perut yang lapar Pak Lebai berkayuh pulang ke rumah. Dia berharap dapat makan di rumah.
Malang sungguh apabila isterinya telah membuang semua makanan kerana itulah pesan Pak Lebai
sebelum keluar tadi.
Selama ini masyarakat lebih gemar melihat nasib malang tersebut berpunca dari ketamakan seorang
lebai. Bagi Demang itu bukan tafsiran tetapi tuduhan melulu. Demang sudah sebutkan dalam tulisan
sebelum ini bahawa tinggalan nenek moyang kita tidak boleh dilihat selapis sahaja.

Tuduhan bahawa Pak Lebai seorang yang tamak adalah tidak adil malah bersifat prejudis. Demang rasa
dalam versi asal Lebai Malang, beliau tidak begitu. Silapnya Pak Lebai ialah kerana cuba memenuhi
harapan semua orang dan tidak mahu menghampakan harapan orang.Lebai dalam masyarakat Melayu
berbeza dengan haji. Pak Lebai dilihat lebih warak, jujur dan suka menolong orang. Biarpun ilmu
mereka tidak sehebat ulama atau ustaz, namun mereka terkenal sebagai ahli abid (ahli ibadat).
Lazimnya golongan lebai tidak kaya. Jika kaya mereka akan mampu menunaikan haji dan gelaran lebai
akan diganti dengan haji. Namun mereka amat dihormati masyarakat dan dianggap serba boleh.
Seorang lebai biasanya boleh menggantikan imam, siak, bilal, dan macam-macam lagi sebaliknya imam,
siak, bilal dan lain-lain itu tidak semestinya seorang lebai.
Dalam kisah di atas, watak si malang dikaitkan dengan seorang lebai. Kenapa?Pada taakulan Demang,
watak lebai digunakan bagi menunjukkan seorang yang warak, jujur dan sentiasa berniat baik akhirnya
kecundang kerana silap perkiraan.Ada pendapat yang menganggap kisah ini bikinan penjajah atau
musuh Islam bagi memburukkan imej Pak Lebai. Demang tidak fikir begitu.
Jika watak antagonis (watak jahat) digunakan untuk digandingkan dengan nasib malang maka ia adalah
sesuatu yang biasa dan membawa kesan lain pula kepada audien. Dengan kata lain, mesej sebenar yang
ingin dibawa oleh pengarangnya tidak akan kesampaian.Sebagai contoh, pengarang tersebut membawa
kisah Pencuri Malang, Penipu Malang, Pembunuh Malang dan sebagainya.
Bagi Demang, Si Lebai Malang adalah tipa (type) segelintir masyarakat sejak dulu hingga kini. Si Lebai
Malang mencerminkan hasrat murni dan cita-cita kudus masyarakat yang mendambakan sebuah
negarabangsa yang ideal dan sempurna.Lihat semula Pak Lebai tadi. Dia menyangka yang dia dapat
memenuhi harapan semua orang. Dia rasa tidak patut menghampakan harapan orang yang sanggup
datang dari jauh untuk menjemputnya.Lihat semula cerita di atas. Adakah kenduri tersebut sebuah
majlis yang besar sehingga dijemput penduduk dari kampung lain?Kalau kenduri besar seperti kenduri
kahwin, Pak Lebai tidak akan terlewat sebab atur cara jamuannya lebih panjang. Demang berpendapat
kenduri tersebut hanyalah kenduri kecil seperti kenduri arwah.
Itulah sebabnya Pak Lebai begitu beriya-iya untuk memenuhi kedua-dua jemputan. Jemputan ke atas
Pak Lebai mungkin memintanya mengetuai bacaan doa dan tahlil. Tanpa kehadiran Pak Lebai barangkali
majlis tersebut tidak sempurna.
Itulah kesilapan Pak Lebai yakni menyangka tanpa penyertaan beliau majlis tidak dapat dijalankan.
Sepatutnya Pak Lebai akur bahawa dia tidak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Adalah
bijak jika Pak Lebai hanya menerima satu jemputan dan menolak jemputan kedua.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Kembali ke alam nyata, adakah dunia ini ideal dan sempurna? Ya, itulah yang kita harapkan. Secara jujur
mari kita bertanya pada diri sendiri: adakah aku sempurna? Adakah aku LAYAK dilayan dengan
sempurna? Adakah aku BERHAK dilayan dengan sempurna? Adakah semua orang di sekelilingku perlu
sempurna sedangkan aku sendiri tidak sempurna?
Inilah yang sering kita terlepas pandang. Dalam hubungan suami-isteri misalnya. Si suami mengharapkan
isterinya sempurna begitu juga sebaliknya. Kita sering mengharap: 'sepatutnya begini, sepatutnya
begitu.'Adakah kita juga bertanya pada diri sendiri soalan yang sama?Bagaimana pula hubungan rakyat
dengan pemimpin?Terdapat segelintir rakyat yang percaya bahawa pemimpin tidak boleh membuat
kesilapan. Rakyat boleh buat silap sebab mereka hanya rakyat biasa yang tidak sunyi dari melakukan
kesilapan.Rakyat boleh menerima rasuah atau memberi rasuah, contohnya bagi mengelakkan kena
saman. Mereka sedar perbuatan itu salah tetapi sering berharap mereka dimaafkan.
Dalam membina negara terutamanya seperti Malaysia yang berbilang kaum ini kita perlu realistik dan
bukannya idealistik. Kita mesti berusaha mencapai yang terbaik namun harus sentiasa sedar bahawa
tiada yang sempurna.

Anda mungkin juga menyukai