Anda di halaman 1dari 3

Pengenalan Neurosains atau lebih dikenali sebagai neorobiology merupakan satu bidang ilmu yang membuat kajian saintifik

tentang fungsi sistem saraf. Fungsi sistem saraf amatlah penting dalam diri manusia kerana ia membolehkan kita berinteraksi dengan persekitaran melalui organ deria. Manusia tidak berkemampuan untuk mendengar, melihat, mencium, merasa dan sebagainya tanpa sistem saraf kerana sistem inilah yang mendasari tingkah laku, proses mental dan pengalaman manusia. Dengan kesedaran ini ahli neurosaintis telah menubuhkan Persatuan Neurosains pada tahun 1969. Pelbagai kajian telah dijalankan oleh ahli neurosaintis mendapati sistem saraf manusia meliputi struktur, fungsi, sejarah evolusi, pengembangan, genetik, biokimia, fisiologi, farmakologi dan patologi daripada sistem saraf. Sungguhpun begitu, perkembangan pada hari ini memperlihatkan kajian dalam bidang ini telah merentasi disiplin-disiplin lain seperti ilmu psikologi kognitif, komputer, statistik, biologi, perubatan dan sebagainya. Hubungan neurosains dengan ilmu psikologi mempunyai perkaitan yang rapat berdasarkan kepada definisi psikologi yang dikatakan sebagai suatu bidang sains yang mengkaji proses mental manusia. Pernyataan ini diperkuatkan lagi oleh ahliahli psikologi kognitif seperti Bruner, Gagne dan Ausubel yang berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman. Selain itu, Bandura (1977) menyatakan bahawa proses pembelajaran yang sistematik berlaku apabila pelajar menggunakan pemikiran dalaman untuk meniru dan menyimpan tingkah laku yang diperhatikan. Bukti yang menunjukkan peranan otak sangat penting dalam pembelajaran diperkukuhkan lagi dengan pandangan Piaget (1936) yang mengemukakan pekembangan kognitif kanak-kanak dan Vygotsky (1933) yang membicarakan hubungan pemikiran dengan interaksi sosial. Secara kesimpulannya, berdasarkan pelbagai pandangan ahli psikologi, neurosains seharusnya dijadikan asas yang penting dalam usaha kita untuk memahami aplikasi prinsip-prinsip psikologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Teori Otak Menurut Marof dan Haslinda (2001), pada tahun 1965 Dr. Roger Sperry dari Institut Teknologi California telah mengemukakan teori otak kiri dan otak kanan atau split brain theory yang dipercayai dan digunakan sehingga kini. Dr. Roger Sperry dan Dr. Paul Maclean mendapati manusia hanya menggunakan 10 % daripada potensi otak, dan 90 % lagi sentiasa menanti untuk dikembangkan. Terdapat dua teori otak yang boleh menerangkan situasi ini iaitu Split Brain Theory dan Triune Theory.

Split Brain Theory Menurut teori Roger Sperry, iaitu Split Brain Theory mengatakan bahawa otak manusia adalah dibahagikan kepada dua bahagian yang dikenali sebagai otak kanan dan otak kiri. Kedua-kedua bahagian otak ini mempunyai fungsi-fungsi berfikir yang tertentu mengikut kajian Roger Sperry (1981) yang merupakan seorang Profesor Universiti California dan juga pemenang hadiah Nobel. Menurut beliau lagi otak kiri mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang berupa logik, analitis, urutan atau susunan, bahasa, matematik dan ingatan. Manakala otak kanan pula mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang berupa kreatif, sintesis, warna, reka bentuk seperti corak, pola, ruang, lukisan, gambar di samping perasaan, irama, muzik dan imaginasi. (scan ms 63 buku kpli) Kemahiran-kemahiran berfikir bagi kedua-dua bahagian otak tersebut jelas menunjukkan bahawa otak kiri berfungsi sebagai kemahiran berfikir secara kritis, manakala otak kanan berfungsi sebagai kemahiran berfikir secara kreatif. Profesor Robert B. Stone, Universiti Hawai pernah menegaskan bahawa: selama ini sistem pendidikan kita hanya menekankan perkembangan otak kiri, iaitu membaca, menulis, mengira, menganalisis dan menaakul bagi perkembangan otak kanan seperti latihan dalam bidang muzik, mencongak, seni lukis atau kraftangan adalah jarang sekali diberi perhatian. Maka dengan ini dapat kita lihat bahawa untuk melahirkan pelajar yang sanggup berfikir secara kritis dan kreatif, kedua-dua bahagian otak hendaklah dikembangkan secara seimbang dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang bercorak kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Triune Theory Dalam thriune theory ini Paul Mclean menyatakan bahawa keseluruhan otak terlibat dalam melaksanakan pembelajaran. Setiap individu mempunyai caranya yang tersendiri untuk membina pemahaman dan setiap otak adalah unik yang membezakannya daripada individu yang lain. Contohnya, di dalam bilik darjah, pelajar menggunakan bahagian otak kiri menumpukan perhatian kepada maklumat atau fakta yang diperkatakan oleh guru, manakala otak kanan digunakan untuk meneliti cara maklumat itu diperkatakan. Otak bawah atau sistem limbik pula menerapkan elemen emosi dalam pembelajaran. Dengan ini keseluruhan otak (kiri dan kanan) terlibat secara aktif dalam pembelajaran tidak kira secara langsung atau tidak langsung.

Ornstein (1997) mendapati jika satu hemisfera otak yang lemah digalakkan bekerjasama dengan otak di hemisfera yang lebih kuat, maka hasilnya memberikan prestasi yang lebih baik. Demikianlah orang yang cerdas biasanya menggunakan keseluruhan otak untuk berfikir atau disebut juga sebagai whole brain thinking. Oleh sebab itu, dapatan ini sangat penting kerana di Malaysia, guru lebih memberikan penekanan terhadap pembelajaran fakta iaitu otak kiri sahaja dan kurang memberikan perhatian kepada perkembangan kreativiti dan estetika iaitu otak kanan. Dengan ini, sudah tiba masanya penekanan diberikan terhadap keupayaan keseluruhan otak sebagai ukuran kebolehan pelajar.

Rumusan Kesimpulannya, walaupun otak merupakan satu organ yang letaknya di atas dan dalam tengkorak tetapi berperanan kepada mental dan minda manusia. Mental pula lebih menerangkan fungsi otak dalam soal menghasilkan satu daya fikir dan perasaan yang berasaskan kerasionalan serta kestabilan untuk mengikuti logik dan norma kehidupan. Kajian-kajian baharu dalam bidang neurosains telah banyak dijalankan bagi mengenal pasti proses neurologi yang terlibat dalam pembelajaran, ingatan dan pemikiran sedar. Hasil kajian inilah yang memberi inspirasi dan idea untuk kita sama-sama berbincang dan mengkonsepsikan pembelajaran berasaskan minda.

Anda mungkin juga menyukai