Anda di halaman 1dari 8

BUDAYA KUALITI MEMBENTUK KECEMERLANGAN PELAJAR Budaya kualiti dikatakan dapat membentuk kecemerlangan pelajar, namun sejauhmanakah kenyataan

itu benar? Adakah pelajar memahami makna sebenar budaya kualiti atau mereka hanya mengetahui makna yang tersurat sahaja? Apakah yang dapat dilakukan jika pelajar-pelajar tidak dapat mendalami erti sebenar budaya kualiti itu dalam usaha membentuk kecemerlangan mereka? Wahab bin Munabin berpujangga, akhlak yang buruk itu ibarat tembikar yang pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat pula dikembalikan menjadi tanah. Hal ini sama seperti kualiti yang buruk akan menghasilkan sesuatu yang tidak berguna. Bukan buruknya tanah itu tetapi kerana buruknya kualiti tembikar yang dihasilkan. Kualiti menurut Kamus Dewan edisi keempat bererti karisma iaitu daya kepimpinan, daya penarik atau sifat-sifat tertentu individu yang berupaya mempengaruhi atau mendorong orang lain. Kualiti telah dijadikan suatu budaya agar tembikar yang telah dibentuk tidak pecah dengan sia-sia. Budaya di sini diertikan sebagai kemajuan fikiran dan akal budi seperti cara berfikir dan kelakuan. Maka, berdasarkan takrifan tersebut, istilah budaya kualiti boleh ditafsirkan sebagai tingkah laku seseorang yang berkarisma. Budaya kualiti dilihat sebagai satu keperluan bagi membentuk pelajar-pelajar yang cemerlang daripada aspek jasmani, rohani, emosi, intelektual dan spiritual. Pelajar-pelajar amat memerlukan nilai-nilai mutu yang tinggi dan keperibadian yang unggul bagi menjana minda yang mantap supaya mampu membentuk kecemerlangan. Kendatipun begitu, tiada kejayaan semanis madu jika tidak disulami dengan usaha sepahit hempedu. Usaha untuk membentuk pelajar yang berkualiti dan yang pastinya membudayakan budaya kualiti dalam kehidupan seharian mereka sudah dimaklumi amat sukar untuk dilakukan. Golongan pelajar dilihat amat sedikit yang menempa kejayaan di persada dunia tetapi sangat banyak

bilangannya yang terpalit dengan kegiatan yang tidak bermoral. Hal ini dapat dilihat daripada laporan media yang terpampang didada-dada akhbar yang melaporkan mengenai perilaku pelajar yang tidak mencerminkan imej pelajar itu sendiri. Jika suatu ketika dahulu, golongan pelajar dipandang mulia dan disanjung tinggi kerana kegigihan mereka menuntut ilmu dan mendengar kepada ilmu, namun kini itu semua tinggal sejarah apabila timbul golongan pelajar yang sudah melumuri arang kepada nama pelajar itu sendiri apabila melibatkan diri dengan gejala-gejala yang tidak sihat dan menyebarkan virus-virus propaganda yang negatif kepada golongan muda-mudi yang lain. Istilah-istilah seperti
innovation-led

economy dan knowledge-based economy, iaitu

kemajuan negara daripada segi kemahiran

intelektual dan kreativiti sering diperdengarkan tetapi mereka lupa kepada pembangunan sahsiah yang turut menyumbang kepada kegemilangan sesebuah negara. Pelajar yang berkualiti dan mengamalkan budaya kualiti adalah pelajar yang mengimpikan kejayaan. Hal ini terbukti dengan kalam Saidina Ali bin Abi Talib yang menyatakan bahawa kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka. Jika para pelajar yang rata-ratanya adalah remaja acapkali leka dengan kemewahan dunia, maka terhasillah insan yang tidak bersahsiah; bererti tidak berkualiti. Justeru, harapan negara untuk membentuk pelajar yang berkualiti hanya seperti angan-angan Mat Jenin sahaja. Kita juga sering didendangkan dengan warta-warta negatif berkaitan dengan pelajar seperti penglibatan aktif mereka secara agresif dalam kancah politik, jenayah siber, plagiarism, jenayah sosial seperti pembuangan bayi dan sebagainya. Menurut Mohammad Abu Bakar bin Shis dalam kajiannya, penglibatan pelajar dalam masalah sosial seperti ini adalah berumbi daripada hubungan remaja dengan keluarga, rakan sebaya dan masyarakat setempat, faktor ekonomi, pengaruh media massa, faktor kebebasan dan sebagainya. Hal ini dilihat seperti kudis yang sudah berulat-ulat. Masih tidak ditemui penawarnya.

Budaya kualiti membentuk kecemerlangan pelajar mungkin hanya sekadar ungkapan sahaja jika tiada tindakan wajar bagi merealisasikannya. Evolusi dalam melaksanakan perubahan diperlukan supaya tiada kejutan dalam membudayakan budaya kualiti dalam diri pelajar terutama pelajar-pelajar remaja yang masih diberahi dengan nikmat-nikmat ciptaan manusia. Justeru itu, usaha yang giat harus diambil bagi mengekang permasalahan ini dan usaha ini harus digembleng oleh semua pihak termasuk pelajar itu sendiri. Pelbagai metode boleh diambil bagi melahirkan pelajar yang cemerlang mengikut konsep budaya kualiti; iaitu konsep perilaku yang berkarisma dalam membentuk pelajar cemerlang. Antara pihak yang bertanggungjawab untuk membentuk budaya kualiti dalam diri remaja adalah ibu bapa pelajar itu sendiri. Pelajar yang remaja diibaratkan kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Bergantung kepada ibu bapa untuk mencorakkannya menggunakan arang atau krayon. Pelajar-pelajar perlu dididik dengan didikan yang sempurna daripada aspek sahsiah dan disiplin diri kerana sahsiah diri yang baik akan menghasilkan minda yang proaktif seterusnya membentuk pelajar yang cemerlang dalam konteks budaya kualiti. Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka supaya mengamalkan budaya kualiti dalam setiap perkara termasuk dalam menuntut ilmu dan bermasyarakat. Nilai-nilai murni dalam budaya kualiti harus diterapkan dalam sanubari anakanak sejak usia kecil supaya peribadi berkualiti tersebut sebati dalam diri mereka. Ibu bapa harus mengenal pasti potensi diri anak mereka dan menggilap bakat semulajadi anak-anak ini. Tidak seperti lelar makan di upih, lagi putih lagi dikeruk. Hal ini dapat membantu pelajar mengasah bakat mereka dalam bidang yang disukai sepertimana yang berlaku kepada tokohtokoh dunia seperti Albert Einstein yang menghadapi masalah disleksia yang menyebabkan beliau mempunyai daya ingatan yang lemah dan tidak dapat menghafal dengan baik. Namun, beliau berupaya memberi sumbangan dalam dunia saintifik dan teori sains atau seperti biduanita negara; Dato Siti Nurhaliza yang juga tidak menyerlah dalam akademik tetapi

berbakat besar dalam bidang seni suara sehingga mampu menempa nama di persada seni suara. Pelajar-pelajar ini mungkin tidak menonjol dalam aspek akademik tetapi berkemungkinan besar berpotensi dalam bidang lain seperti seni suara, seni lukis, seni reka, kraf, masakan dan sebagainya. Maka, ibu bapa perlu menyelami hati anak-anak mereka dalam mengenalpasti kekuatan introvert dan ekstrovert anak-anak dan mendorong mereka mendalami bidang yang digemari dengan menghantar mereka ke institusi-institusi yang berkenaan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Giatmara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan banyak lagi institusi yang lain yang dibangunkan di Malaysia. Kaedah seumpama ini telah lama dipraktiskan di negara-negara maju seperti di negara-negara benua Amerika Syarikat. Hal ini dapat memastikan setiap pelajar mampu menggunakan minda dan akal mereka secara interaktif dalam menjana idea-idea baru secara berkualiti bagi membentuk negara yang gemilang. Sekiranya pelajar-pelajar ini diberikan peluang untuk menimba ilmu dalam bidang yang diminati, mereka akan lebih bersemangat dan beriltizam untuk memantapkan diri dan keluarga. Selain ibu bapa, pihak institusi pengajian seperti sekolah, institut latihan, kolej dan universiti juga perlu memainkan peranan mereka dalam memupuk budaya kualiti bagi membentuk pelajar yang cemerlang. Pelajar merupakan modal insan yang sangat berharga dalam proses pembangunan sesebuah negara apatah lagi mereka ini telah diserapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas yang diperlukan bagi mengemudikan negara. Modal insan yang kreatif dan kritis merupakan komponen yang signifikan yang mampu mencapai hasrat negara yang mahukan negara yang terbilang di mata dunia. Justeru, pelajar-pelajar perlu didorong dan diasah bakat mereka untuk menjadi individu yang berfikiran kreatif, kritis, analitis dan berdaya saing bagi menghasilkan output yang berguna untuk kegemilangan negara, bukan sekadar bersikap arbitrari sahaja. Usaha-usaha seperti pertandingan reka cipta robotik dan prototaip, laman web, fesyen, pertandingan mengarang esei, dan sebagainya

dapat menjana idea dan memperkembang minda pelajar bagi menghasilkan sesuatu yang dapat membantu membangunkan negara dalam aspek ekonomi, sukan, kebudayaan dan seni hiburan. Ikon-ikon seperti Steve Jobs, Irfan Khairi, Dato' Tony Fernandes dan ramai lagi personaliti yang berjaya dalam bidang masing-masing boleh dijadikan contoh kepada mereka untuk membakar semangat pelajar-pelajar ini untuk berjaya dengan cemerlang. Tuntasnya, bagi melahirkan usahawan berjaya seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, budayawan seperti Sharifah Azah Mohammad Alsagoff (Azah Aziz), ahli iktisad seperti YM. Professor Diraja Ungku Abdul Aziz dan angkasawan seperti Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, pihak institusi pengajian perlu menyemarakkan semangat dan menggilap pelajar-pelajar ini menjadi permata yang berkilauan disinari nur kecemerlangan. Contoh terbaik adalah langkah yang telah diambil oleh pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) iaitu pengamalan Nilai dan Etika Warga UiTM yang dirangka bertujuan untuk membentuk jati diri warga UiTM yang berkualiti dan mantap. Terdapat 10 nilai dan etika yang telah digariskan; iaitu nilai amanah, akauntabiliti, menghargai masa, dedikasi, tawaduk, penambahbaikan berterusan, berdisiplin, bekerjasama, megejar kecemerlangan dan kesarjanaan serta bersyukur. Kesemua sepuluh nilai dan etika ini dirangka bertujuan untuk menjadikan UiTM berintegriti tinggi sesuai dengan Dasar Integriti UiTM, iaitu; UiTM beriltizam membudayakan pengurusan yang berintegriti dan berakauntabiliti ke arah menjadi Universiti Bertaraf Dunia dan Dasar Pembangunan Pelajar UiTM, iaitu; Melahirkan Modal Insan Kelas Pertama (UiTM, 2011). Tanpa golongan pendidik, para pelajar tidak mampu utnuk mendalami sendiri nilainilai dalam budaya kualiti. Pendidik seperti guru dan pensyarah perlu memainkan watak mereka dalam proses pembangunan modal insan ini melalui kepakaran mereka dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang tertentu selain perlu mempunyai kecerdasan

emosi dan sosial yang utuh bagi melunaskan tugas mereka dalam membentuk pelajar yang cemerlang. Kajian berhubung dimensi kecerdasan sosial dan emosi dijalankan dengan mengukur konsep-konsep yang berkaitan dengan kecerdasan emosi dan sosial seperti kecemerlangan perhubungan interpersonal (Yunus, 2005). Hasil kajian mendapati penekanan elemen-elemen yang koheren dengan kecerdasan emosi menjadikan pelajar lebih senang untuk berinteraksi (Gardner, 1983). Sehubungan itu, pendidik perlu menekankan kemahiran kecerdasan emosi dan sosial supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar serta dapat meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah. Sebagai intiha, budaya kualiti perlu diterapkan ke dalam jiwa pelajar sejak kecil lagi supaya minda mereka sentiasa cenderung ke arah kecemerlangan secara positif dalam konteks akademik dan sahsiah diri. Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam perbuatannya - Aristotle. Justeru, semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan golongan terpelajar ini cemerlang dalam konteks intelektualiti, sahsiah diri dan juga kebolehupayaan mereka menjadi modal insan yang diharapkan mampu memacu negara ke mercu kejayaan.

PERTANDINGAN MENULIS ESEI KUALITI


ANJURAN JABATAN PEMBANGUNAN PELAJAR UiTM

BUDAYA KUALITI MEMBENTUK KECEMERLANGAN PELAJAR

NAMA NO. TEL. NO. MATRIK PROGRAM FAKULTI

: NURUL SYAHIDA BINTI HASSAN : 017 884 7544 : 2010456998 : EKONOMI PERNIAGAAN (BM230) : FAKULTI PENGURUSAN PERNIAGAAN

Anda mungkin juga menyukai