Anda di halaman 1dari 16

Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Keikhlasan Dalam Menuntut Ilmu Hadith : Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:Sesiapa yang

mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak. Riwayat Abu Daud

Huraian 1. Orang yang berilmu dijanjikan Allah kedudukan yang tinggi di dunia mahupun di akhirat kelak. 2. Islam menuntut keihlasan niat dalam segala perkara termasuklah dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk keduniaan atau ilmu agama. Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ia mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat bukannya untuk kepentingan dunia semata seperti mengumpul harta, merebut kenaikan pangkat atau mengejar glamour dan sebagainya. 3. Ilmu yang berkat adalah ilmu yang membuatkan seseorang itu semakin dekat dengan Allah SWT bukan menjadikan ia semakin jauh dan lalai sehingga melanggar hukum tuhan dan sanggup melakukan kemungkaran seperti keganasan, menipu, mencuri, merampas hak orang dan sebagainya. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Hakikat kebijaksanaan Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya. Riwayat at-Tirmidzi

Huraian

1. Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Nasib rakyatnya adalah terletak di tangannya. 2. Manakala pemuda yang kuat beribadah adalah menunjukkan betapa di usia sebegini (muda) seseorang itu terpaka mengharungi berbagai cabaran dan godaan. Oleh itu bagi orang yang berjaya mendidik nafsunya dengan baik dia akan beruntung kerana mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental untuk melakukan kebaikan dan beribadah kepada Allah. Begitulah sebaliknya bagi mereka yang terjerat dengan pujuk rayu syaitan maka seluruh usia mudanya akan dihabiskan untuk melakukan maksiat dan dosa. 3. Orang yang berjinak dengan masjid pula sudah tentu mendapat jaminan syurga oleh Allah kerana ia telah menjadi tetamu Allah dan mengimarahkan masjid (rumah) Allah dengan amal ibadat dan ini menjadikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah. 4. Sedangkan orang yang berkasih sayang kerana Allah merupakan mereka yang mempunyai nilai-nilai yang dituntut oleh Islam iaitu ikhlas dalam menjalinkan hubungan silaturrahim dan ingat-mengingatkan tentang kebaikan antara satu dengan yang lain. 5. Menolak daripada melakukan maksiat apalagi zina merupakan tanda kekuatan iman seseorang yang berjihad melawan nafsunya dan bisikan syaitan yang menggoda. Oleh itu mereka yang berjaya melakukannya adalah orang yang teguh imannya, tidak mudah goyah untuk melakukan sebarang kejahatan. 6. Orang yang mencintai Allah S.W.T dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya. Kategori : IBADAH Menuntut Ilmu Tajuk : Pahala berganda Hadith : Dari Aisyah r.a katanya:Rasulullah s.a.w bersabda:Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda. (Muslim)

Huraian Allah SWT berfirman: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; alQuran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekelian alam. (Al-Waaqiah: 77-80). Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran adalah amat perlu dititikberatkan karena melalui Al-Quranlah Allah memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Nya untuk mencapai keredhaan dan keselamatan. Dan

kerana Al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Oleh itu Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain. (Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi). Kebaikan membaca al-Quran amat banyak, di antaranya ialah; bagi orang yang membaca Al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah dalam menghafalnya. Manakala orang yang membaca Al-Quran dengan lisan yang tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca Al-Quran. Ibnu Abbas ra menceritakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat Al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Jangan membangga Diri Hadith : Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain. Riwayat Muslim

Huraian 1. Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni. 2. Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya. 3. Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Berakhlak Baik Dan Meninggalkan Perkara Yang Tidak Bersangkutan Dengannya Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya. Riwayat Abu Daud

Huraian 1. Seorang mukmin yang sebenar akan melakukan kebaikan terhadap manusia tanpa mengharapkan balasan melainkan keredhaan daripada Allah S.W.T. 2. Perbuatan baik yang ikhlas adalah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah. 3. Akhlak yang mulia menandakan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Oleh itu umur yang berkat ialah orang yang hidupnya dipenuhi dengan jasa bakti dan kebaikan yang menjadikan masyarakat di sekelilingnya sayang terhadapnya dan merasa kehilangan apabila ketiadaannya. Bak kata pepatahharimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. 4. Begitu juga dalam kehidupan berumahtangga, suami isteri akan kekal bahagia jika di antara satu sama lain saling hormat-menghormati serta kasih mengasihi di antara satu sama lain. Mereka akan disayangi oleh anak-anak dan kaum keluarga. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Menjadi Isteri Solehah Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga. Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah

Huraian Pengajaran Hadis: i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami. ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul. iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.. iv) Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman

hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.. v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Kategori : IBADAH Akidah Tajuk : Cara Wudhuk Rasulullah S.a.w Hadith : Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk . (Muslim )

Huraian Wudhuk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wudhuk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifatsifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar. Kategori : IBADAH Akidah Tajuk : Kesan istighfar Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka. Riwayat Abu Daud

Huraian 1. Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda merupakan seorang rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil. 2. Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadnya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah. 3. Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Tiga Golongan Yang Menjadi Ahli Syurga Hadith : Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu orang yang memerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum karabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ia mempunyai keluarga yang ramai. Riwayat Muslim

Huraian Tiga golongan yang menjadi ahli syurga ialah: 1. Pemerintah yang berlaku adil di dalam pemerintahannya. 2. Orang yang mempunyai sifat kasih sayang serta berlemah lembut khususnya kepada ahli keluarga dan umumnya kepada sesama Islam. 3. Seseorang yang tabah dan cekal menghadapi kesusahan hidup tanpa mengharapkan pertolongan orang lain.

Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Mengekalkan Akhlak Yang Baik Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding. Riwayat at-Tarmizi

Huraian 1.Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya. 2.Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri. Kategori : AKIDAH Usuluddin Tajuk : Beriman Kepada Empat Perkara Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang itu tidak menjadi mukmin sehingga ia beriman sekurang-kurangnya empat perkara, iaitu: Mengetahui dan meyakini bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa aku ialah Rasulullah yang mengutuskan aku membawa kebenaran, dan percayakan mati yang memang ditetapkan masa dan caranya bagi tiap-tiap seorang, dan percayakan kebangkitan hidup semula sesudah mati, serta percayakan kadar takdir yang ditentukan oleh Allah." Ali r.a

Huraian Pengajaran hadith: i) Setiap umat Islam wajib mengimani perkara-perkara berikut : a) Percaya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah S.W.T. B) Percaya bahawa Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan ajaran-Nya. C) Percaya bahawa setiap manusia pasti akan mati apabila sampai ajalnya di

mana setiap seorang akan melalui saat sakratul maut yang telah ditetapkan caranya. D) Percaya bahawa setiap manusia yang telah mati, di hari akhirat kelak mereka akan dibangkitkan semula untuk dihisab amalan mereka oleh Allah . E) Percaya dengan kadar takdir (qadha dan qadar) Allah. Ii) Sesiapa yang mengingkari mana-mana perkara tersebut seperti menaruh perasaan syak dan ragu-ragu di dalam hati (tidak yakin) maka akan rosaklah aqidah Islamnya. iii) Beriman bermaksud percaya dan membenarkan segala sesuatu yang didatangkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu tiap-tiap perkara yang disampaikan dan diajarkan oleh baginda itu sebenarnya datang dari Allah bukanlah rekaan, khayalan dan sebagainya. Kategori : IBADAH Akidah Tajuk : Sunat Bagi Yang Sanggup Hadith : Dari Abdullah r.a katanya:Rasulullah s.a.w bersabda:Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi. (Muslim) Kategori : IBADAH Solat Tajuk : Kepentingan Menjaga Solat Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyangsembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. Riwayat at-Tirmidzi

Huraian i) Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lainlain setakat yang termampu olehnya. ii) Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat

mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya. iii) Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari. Kategori : IBADAH Menuntut Ilmu Tajuk : Keistimewaan Orang Yang Menuntut Ilmu Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan MalaikatNya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai." Abu Umamah r.a

Huraian Pengajaran hadith: i) Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam. ii) Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya Kategori : AKIDAH TauhidIman Tajuk : Kualiti Iman Seorang Muslim Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Tanda cintakan Allah S.W.T. ialah mengingati Allah S.W.T (zikrullah) dan tanda Allah S.W.T murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah. Baihaqi

Huraian Pengajaran Hadis:

i) Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar. ii) Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah. iii) Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah S.W.T, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Seimbang Dunia Dan Akhirat Hadith : Dari Abu Hurairah r.a katanya:Nabi saw. bersabda yang maksudnya:Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam. (Bukhari)

Huraian Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Konsep ibadah terbahagi kepada 2 kategori iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah). Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung pada tiga perkara iaitu; Islam, ikhlas dan ittiba (dilakukan sesuai dengan perintah Allah SWT dan mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw). Dalam erti kata bahawa sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Malah apa yang dimaksudkan dalam hadith di atas sebagai dikalahkan oleh agama ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencarai nafkah menyara hidup ahli keluarga dan sebagainya. Perkara ini ternyata amat bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam juga menyuruh manusia agar berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata hingga melupakan

dunia sewenang-wenangnya sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat. Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat agar tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Kepentingan Badan Yang Sihat Hadith : Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Allah lebih menyayangi orang Mumin yang kuat daripada orang Mumin yang lemah. Riwayat Muslim

Huraian 1. Islam amat peka terhadap pembangunan aspek jasmani manusia agar proses transformasi yang dilakukan dapat melahirkan manusia yang seimbang, berilmu, berakhlak dan sihat seterusnya dapat melakukan tugas sebagai khalifatullah fil ard di muka bumi dengan baik dan sempurna. 2. Apabila seseorang Muslim itu sihat bermakna ia mempunyai kekuatan, kemampuan dan fikiran yang cergas untuk melaksanakan apa sahaja tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah S.W.T serta tanggungjawab lain yang diamanahkan oleh manusia kepadanya sama ada dalam sesebuah organisasi, persatuan, kelab, rumahtangga, masyarakat atau pemerintahan. 3. Kekuatan jasmani bererti seseorang itu memiliki daya ketahanan badan melawan penyakit. Oleh itu dikatakan bahawa mencegah penyakit itu adalah jauh lebih baik dan lebih mudah daripada merawat. Namun kita harus ingat bahawa sakit dan sihat adalah anugerah Allah S.W.T dan kita harus bersyukur apabila dianugerahkan dengan kesihatan tubuh badan dan tidak mengeluh sekiranya diuji dengan sesuatu jenis penyakit kerana ia merupakan ujian daripada Allah S.W.T sebagai kaffarah bagi dosa yang dilakukan. 4. Pepatah Arab menyebutkan:Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat. Ini adalah kerana badan yang sihat akan melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan sekaligus meningkatkan kualiti kerja yang akan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim. Kategori : MUNAKAHAT Pergaulan Tajuk : Isteri Sujud Kepada Suami! Hadith : Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya. Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidi

Huraian Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa.. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersamanya. Dalam keluarga, suami adalah seperti imam dengan makmum yang merupakan orang yang paling utama untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Bahkan kejayaan hanya akan terbukti apabila dia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap isteri dan anakanak hingga menjadi isteri dan anak-anak yang baik dan beriman. Suami yang bertanggungjawab seperti inilah yang wajib ditaati hatta boleh sampai ke tahap disembah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas. Namun hari ini mungkin hanya sedikit dalam kalangan lelaki bergelar suami yang layak dikategorikan seperti di dalam hadis di atas lantaran banyak sekali pengabaian tanggungjawab yang dilakukan oleh mereka. Bahkan tidak dinafikan banyak sekali kes-kes kaki suami yang hinggap di pundak isteri mahupun anak-anak tanpa sebarang perasaan belas kasihan. Selalu benar seorang suami itu cenderung kepada mencari kesalahan isterinya sedangkan hak isteri tidak dipenuhi. Isteri yang solehah dan taatkan suami hanya akan terhasil jika suami juga seorang yang soleh dan bertanggungjawab. Malah mana mungkin suami mengharapkan penyejuk mata melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu mereka berikhtiar mendidik isteri dan anak dengan cara yang betul? Inilah punca terjadinya suami mahupun isteri berlaku curang dan sebagainya. Sesungguhnya di sinilah letaknya soal kepimpinan melalui teladan, mengajar melalui tingkah laku dan bukan dengan konsep ketam berjalan yang menjadi amalan kebanyakan kita. Walk your talk, itulah kunci kejayaan di dalam memimpin sebuah rumah tangga yang bertakwa. Kategori : IBADAH Akidah Tajuk : Taubat Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali. Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian Pengajaran hadis:

i) Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama. ii) Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya. iii) Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah: a) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut. b) Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah S.W.T. c) Bertekad tidak akan mengulangi dosa. d) Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut. e) Dalam tempoh masa- Iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.

Kategori : IBADAH Akidah Tajuk : Adab Dalam Meminang Hadith : Dari Ibnu Umar r.a katanya, Nabi SAW bersabda:Jangan kamu beli barang yang sedang ditawar oleh saudaramu; jangan kamu pinang wanita yang sedang dipinang saudaramu, melainkan apabila telah diizinkannya. (Muslim)

Huraian 1. Khitbah" (Bahasa Arab) / "bertunang" (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj (Bahasa Arab) / nikah atau kahwin (Bahasa Melayu). 2. Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat / perundangan-perundangan dalam Islam. Hikmahnya adalah untuk memberi

peluang untuk berkenalan dengan pasangan masing-masing sebelum bernikah atau berkahwin. 3. Hukum khitbah adalah "harus" tetapi mengikut Imam As-Syafie (sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah "al-istihbab / sunat". Dan Dr. Abd. Karim Zaidan (sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mar'ah mengatakan bahawa hukumnya adalah sunat iaitu lebih aula utama dari hukum harus tadi. 4. Khitbah adalah dilarang bagi seseorang wanita yang telah dipinang oleh orang lain. Begitu juga dilarang membeli barang yang sedang dalam urusan jual beli orang lain. Hal ini adalah untuk menjaga kehormatan dan mengelak daripada berlaku perebutan dan pergaduhan selain daripada menjaga keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Hormatilah Ibu Sekalipun Berlainan Agama Hadith : Dari Asma binti Abu Bakar r.a katanya:Ketika terjadi genjatan senjata dengan kaum Quraisy, ibuku yang ketika itu masih musyrik datang kepadaku. Lalu aku meminta izin Rasulullah SAW dengan berkata:Ya Rasulullah! Ibuku datang kerana beliau rindu padaku. Bolehkah aku menemuinya?Jawab Rasulullah SAW,Ya boleh! Berjumpalah dengan ibumu. (Muslim)

Huraian 1. Di dalam Islam SUAMI dan IBU mempunyai kuasa yang besar. Kuasa suami ke atas isteri dan kuasa ibu ke atas anak-anak. Seseorang itu akan dimurkai Allah sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi. 2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Syurga itu di bawah tapak kaki ibu". Oleh itu anak-anak harus menumpahkan kasih sayang kepada orang tua mereka sekalipun mereka kafir dan ingkar terhadap Allah. Hal ini disebabkan ibu bapa adalah berhak mendapat penghormatan daripada anakanak. 3. Anak-anak harus mentaati ibu bapa mereka yang beragama Islam dalam urusan hidup yang tidak bertentangan dengan Islam. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar tetapi haruslah menasihati mereka dengan baik dan sopan.

Kategori : MUNAKAHAT Tanggungjawab Tajuk : Khairun Nisa Hadith : Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan

hartanya. Riwayat Muslim

Huraian Seorang isteri melihat kebahagiaan sebagai matlamat unggul dalam kehidupan berkeluarga. Ia tidak boleh diukur tetapi dapat dirasai. Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya. Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: "Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."(Surah an-Nisaa' ayat 34). Jika dilihat pada zaman sekarang, ramai isteri-isteri yang tidak lagi menghormati suami mereka bahkan cuba untuk berdiri sama tinggi dengan si suami. Akibatnya kerukunan rumah tangga terancam. Kes isteri yang meminta cerai daripada si suami bukan lagi perkara luar biasa. Pendek kata keharmonian rumah tangga semakin lama semakin goyah. Kasih sayang antara satu sama lain semakin tipis. Seharusnya seorang isteri mahupun suami harus sedar kedudukan dan tugas sebenar masing-masing dalam rumah tangga. Kenapa isteri ataupun suami gagal menjadikan pasangan mereka sangat mencintai diri mereka adalah persoalan yang mesti dijawab oleh empunya diri masing-masing. Mudah-mudahan jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan rumah tangga pada hari ini dapat dijawab. (Sumber: Himpunan Hadis-hadis Sahih/ Sahih al-Jami as-Saghir 3299, Silsilatul-Ahadith as-Sahihati 1838) Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Ciri-ciri kesempurnaan iman Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain. Riwayat Ahmad

Huraian 1. Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya. Oleh itu manusia yang suka

menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah. 2. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." - (Al-Israk: 30). 3. Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual dll) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai. 4. Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat indidualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.

Kategori : AKIDAH Akhlak Tajuk : Kewajipan Membayar Mas Kahwin Hadith : Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:Mana-mana lelaki yang mengahwini perempuan atas sekurang-kurang atau sebanyak-banyak maharnya, tetapi tidak ada maksud (tidak mahu) membayar mahar tersebut sebagai haknya (perempuan yang dikahwini), setelah itu ia mati padahal belum lagi ia tunaikan (mahar tersebut), maka nanti ia bertemu dengan Allah pada hari Kiamat sebagai orang yang berzina. Riwayat at-Tabrani dan al-Hakim

Huraian 1. Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan. 2. Mas kahwin merupakan pemberian wajib yang diberikan oleh suami kepada isterinya setelah berlaku akad nikah di mana nilai mas kahwin adalah berbeza mengikut negeri. 3. Rasulullah pernah bersabda bahawa salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

Anda mungkin juga menyukai