Anda di halaman 1dari 8

FAHAMI & HAYATI GEOGRAFI : KE ARAH GEOGRAFI MESTI A

Asmaniza binti Yop Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu 06050 Bukit Kayu Hitam Kedah E-mel : asgeologist@yahoo.com

Abstrak: Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk menguji kefahaman dan penghayatan pelajar tingkatan dua tentang konsep Dinamik Penduduk, Petempatan & Perkembangannya serta Pengangkutan & Perhubungan dalam tema Geografi Fizikal tingkatan 2. Pengujian ini dilaksanakan melalui pelaksanaan Kerja Kursus Geografi (KKG). Terdapat tiga kelas tingkatan dua di mana setiap kelas diberikan tema yang berbeza dan pelaksanaan KKG adalah secara berkumpulan. Pelajar-pelajar dalam setiap kelas yang terlibat dibahagikan kepada lima kumpulan. Terdapat tiga fasa bagi pelaksanaan kajian ini iaitu fasa pra projek (taklimat awal, edaran dokumen yang diperlukan, perbincangan kumpulan dan penyediaan bahan oleh pelajar); fasa projek (perbincangan kumpulan, pembinaan model kawasan kajian berdasarkan peta lakar dengan bimbingan guru, rujukan kepustakaan serta penyusunan bahan dan maklumat berdasarkan format KKG) dan juga fasa pasca projek (penulisan laporan KKG berdasarkan tema yang dikaji di kawasan kajian masing-masing, perbincangan isi forum dan forum berkaitan isu semasa berkaitan tema kajian yang berlaku di kawasan masing-masing). Ketiga-tiga fasa ini membolehkan semua pelajar mengambil bahagian secara aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, mengasah daya kreativiti dan pemikiran kritis berdasarkan teori yang dipelajari di dalam kelas, menyemai semangat berpasukan , mengasah sifat kepimpinan dalam diri dan juga meningkatkan keyakinan diri, di mana kesemua perkara ini telah mengambil kira kesemua aspek kecerdasan pelbagai yang ada dalam diri para pelajar. Pemerhatian terhadap kesemua proses yang berlangsung selama hampir 5 bulan ini mendapati pelajar sememangnya boleh melakukan projek sebegini sekiranya guru kreatif dan memberikan peluang. Keputusan peperiksaan Geografi pada akhir tahun juga menunjukkan peningkatan.

BIODATA PENULIS

Asmaniza binti Yop dilahirkan pada 22 November 1980 di Alor Setar, Kedah. Mendapat pendidikan awal di SK Taman Uda dan SMK Sultanah Asma, Alor Setar; seterusnya memperolehi Ijazah Sarjanamuda Sains (Geologi) dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2002. Beliau kemudiannya dianugerahkan Diploma Pendidikan (Pengajian Geografi) dari Maktab Perguruan Kota Bharu pada tahun 2003 dan kemudiannya ditempatkan sebagai guru Geografi di 1

Sekolah Dato Abdul Razak, Seremban pada tahun berikutnya. Pada tahun 2005, beliau kembali ke tanah kelahirannya untuk bertugas di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu yang baru beroperasi pada ketika itu sehinggalah ke hari ini. Beliau dilantik sebagai Guru Cemerlang Geografi DG44 pada tahun 2010 dan kini sedang menyambung pengajian sarjananya di Universiti Utara Malaysia dalam bidang Sains (Pengurusan Pendidikan). Tahun 2011 merupakan tahun ke-8 bagi perkhidmatan beliau sebagai guru dan sentiasa bersemangat untuk memperolehi ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin dalam bidang pendidikan. Berbekalkan pengalaman sebagai seorang ahli Geologi yang pernah bertugas di beberapa institusi (2002-2003), beliau optimis dalam perjuangan memartabatkan Geografi sebagai mata pelajaran yang bukan sahaja untuk dipelajari, malah untuk dihayati.

PENGENALAN / REFLEKSI P&P LALU

Geografi merupakan satu bidang yang mengkaji ciri-ciri fizikal dan budaya manusia serta kawasan persekitarannya. Ia merupakan satu mata pelajaran yang kompleks kerana ia bukan sahaja mempunyai ciri-ciri sosial tetapi juga ciri-ciri sains semula jadi. Oleh yang demikian, Geografi bolehlah disifatkan sebagai satu bidang pengetahuan atau field of knowledge' dan bukanlah satu subjek yang tersendiri di mana pengetahuan-pengetahuannya adalah asli kepada mata pelajaran itu. Geografi lebih kepada satu bidang, di mana cakupan isi pelajarannya adalah juga merupakan kombinasi ilmu-ilmu sains sosial dan sains semulajadi. Di SBP Integrasi Kubang Pasu, walaupun para pelajarnya merupakan pelajar terpilih, mereka ini tidak lari daripada mengalami pelbagai ragam pembelajaran sepanjang 3 tahun tempoh mereka berada di tahap menengah rendah. Sememangnya memperolehi 5A dalam UPSR tidak akan menjamin 8A/9A dalam PMR sekiranya tempoh 3 tahun itu tidak dimanfaatkan dengan baik. Dalam mempelajari Geografi, saya mendapati pelajar-pelajar ini sebenarnya menaruh minat yang mendalam untuk mengetahui pelbagai cerita dan fenomena yang berlaku di sekeliling mereka. Akan tetapi, disebabkan subjek ini merupakan subjek literasi yang mengandungi fakta-fakta yang perlu difahami dan diingati konsepnya, ditambah pula dengan jadual hidup yang padat di sekolah, kebanyakan mereka sekadar menghafalnya untuk peperiksaan sahaja di mana pengetahuan ini tidak akan kekal lama. Saya menyedari hal itu dan berusaha untuk membantu pelajar-pelajar saya supaya dapat menguasai subjek ini, bukan sahaja untuk dipelajari, sebaliknya turut dihayati dalam hidup seharian. Ini bertepatan dengan visi Panitia Geografi dan Persatuan Geografi sekolah iaitu: Semua pelajar Geografi SBPIKP mampu mencapai target Geografi Mesti A dan berupaya menghayati dunia Geosains yang sungguh menarik; Bidang Geosains menjadi platform yang akan mendekatkan warganya dengan Yang Maha Pencipta. Visi ini diharapkan akan dapat dicapai melalui misi-misi di bawah: Pembelajaran Geografi tidak terhad sekadar di bilik darjah, tetapi juga diperluaskan dengan ilmu Geosains melalui makmal pembelajaran luar; Memberi peluang kepada pelajar membina jati diri melalui penerapan nilai patriotisme sepanjang pembelajarannya yang merentas kurikulum. FOKUS KAJIAN

Kajian ini akan ditumpukan kepada pelaksanaan Bahagian C dalam pembelajaran Geografi iaitu Kerja Kursus Geografi bagi pelajar tingkatan dua sahaja. Ini kerana pelajar-pelajar ini telah didedahkan dengan tatacara pelaksanaan kerja kursus yang baik semasa di tingkatan satu. Pada peringkat ini, mereka juga tidak disyaratkan untuk memenuhi panduan pengskoran format PMR di mana markah yang diperolehi hanyalah menjadi 40% daripada markah Peperiksaan Akhir Tahun bagi tahun tersebut. Oleh yang demikian, saya merasakan pelajar tingkatan dua merupakan sasaran terbaik disebabkan terdapat tiga buah kelas tingkatan dua yang selaras dengan tiga tema yang dipelajari dalam sukatan Geografi tingkatan tersebut.

OBJEKTIF KAJIAN Kajian ini dilaksanakan untuk mencapai objektif-objektif berikut: OBJEKTIF UMUM : 1. Pelajar dapat mengambil bahagian secara aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. 2. Pelajar dapat mengasah daya kreativiti dan pemikiran kritis berdasarkan teori yang dipelajari di dalam kelas. 3. Pelajar dapat bekerja secara berpasukan. 4. Pelajar dapat mengasah sifat kepimpinan dalam diri . 5. Pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri. 6. Pelajar dapat meningkatkan rasa cinta kepada negara Malaysia. OBJEKTIF KHUSUS : 1. Pelajar dapat memahami 80% isi pelajaran bagi tema Dinamik Penduduk, Petempatan serta Pengangkutan & Perhubungan. 2. Pelajar dapat menghayati isi pelajaran bagi tema-tema di atas dengan menyatakan perkaitan yang jelas dalam pada setiap fasa pelaksanaan kerja kursus. 3. Pelajar dapat mencapai pencapaian yang cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun. KUMPULAN SASARAN Kumpulan sasaran bagi kajian ini adalah semua pelajar tingkatan 2 Ihsan, 2 Ikhlas dan 2 Ikram. Setiap kelas dibahagikan kepada 5 kumpulan menjadikan 15 kumpulan pelajar kesemuanya yang terlibat dalam kajian ini. PELAKSANAAN KAJIAN

Saya telah menyediakan jadual pelaksanaan kajian secara ringkas seperti dalam jadual di bawah di mana ia melibatkan fasa pra projek, fasa projek dan fasa pasca projek. Kesemua proses ini dilaksanakan dalam sesi P&P Geografi yang telah ditetapkan serta waktu-waktu yang lain seperti waktu riadah. Jadual 1 : Jadual Pelaksanaan Kerja Kursus Geografi Tingkatan 2 Bulan Jun Aktiviti Pembahagian kumpulan Taklimat oleh guru Perbincangan kumpulan Penyediaan bahan Penambahbaikan peta asas kawasan kajian Perbincangan kumpulan Membina model berdasarkan peta asas Perbincangan kumpulan Mengumpul maklumat untuk penulisan laporan KKG Perbincangan kumpulan Penyetaraan maklumat kawasan kajian oleh semua ahli kumpulan untuk tujuan forum Penghantaran draf KKG Penulisan laporan akhir Penghantaran KKG dan model Forum

Julai Ogos September

Oktober

Pembahagian Kumpulan Pelajar-pelajar telah membentuk kumpulan Geografi mereka sejak dari awal tahun lagi dan dikenali sebagai kumpulan Cik Tot dan Cik Ti. Cik Tot (singkatan Training of Trainers) merupakan Tutor bagi kumpulan manakala Cik Ti merupakan para tutee. Mereka semuanya bertanggungjawab terhadap pembelajaran serta pencapaian setiap ahli kumpulan dalam subjek Geografi. Kumpulan ini tidak akan berubah ahlinya sehingga akhir tahun dan sentiasa bekerjasama dalam apa jua aktiviti Geografi yang dipertanggungjawabkan. Taklimat Oleh Guru & Skop Kajian Saya telah menjalankan taklimat dengan terperinci kepada semua pelajar tingkatan 2 berkaitan tujuan dan kaedah pelaksanaan projek ini. Saya turut mengedarkan jadual pelaksanaan, senarai semak, borang kolaborasi dan juga panduan pengskoran kerja kursus sebagai panduan dan rujukan semua kumpulan. Saya turut memberikan kuasa ( empower) kepada Cik Tot bagi setiap kumpulan untuk mengemudikan halatuju kumpulan masing-masing ke arah mencapai objektif yang disasarkan. Saya telah menetapkan tajuk kerja kursus bagi setiap kelas di mana setiap kelas akan mendapat tema yang berbeza (Dinamik Penduduk, Petempatan & Perkembangannya serta Pengangkutan & Perhubungan). Semua kumpulan dikehendaki melaksanakan perkara berikut: Menentukan kawasan kajian masing-masing merupakan imaginasi kumpulan, tetapi mesti diwujudkan di mana-mana negeri dalam peta Malaysia. Kawasan kajian yang diwujudkan itu perlulah mempunyai kesemua aspek berkaitan tema. Menyediakan peta lakar kawasan kajian berasaskan peta topografi. Skala yang diberikan ialah 1 cm mewakili 3 km. Proses ini akan menguji setiap kumpulan tentang aspek peta di mana peta yang dihasilkan mestilah memenuhi 5 ciri peta yang baik (bingkai, tajuk, arah mata 4

angin, petunjuk dan skala). Mereka juga perlu memastikan agar menggunakan simbol yang betul bagi menunjukkan ciri fizikal dan ciri budaya di kawasan kajian. Daripada peta lakar yang dihasilkan, setiap kumpulan diminta membina model kawasan kajian yang bersaiz 3 kali ganda dari peta lakar tersebut. Setiap inci model hendaklah menepati peta asal yang dihasilkan. Pembentangan pra projek iaitu pembentangan tentang model dibuat semasa P&P yang ditentukan di dalam kelas. Berdasarkan peta lakar, model serta isi pelajaran bagi setiap tema yang telah ditentukan kepada setiap kumpulan, pelajar dikehendaki menjalankan kajian mereka tentang tema tersebut di kawasan kajian. Masih merupakan imaginasi pelajar, mereka diminta menghubungkaitkan isi pelajaran dengan perkara-perkara yang berlaku di kawasan kajian. Sekiranya setiap kumpulan memahami dengan jelas kehendak tema pembelajaran yang ditentukan, maka mereka akan dapat menghasilkan satu situasi yang relevan di kawasan kajian walaupun ia hanyalah merupakan imaginasi sahaja. Dengan bimbingan guru, setiap kumpulan akan menulis laporan kajian mengikut format KKG yang telah ditetapkan. Saya akan sentiasa menyemak draf laporan yang dihasilkan oleh setiap kumpulan di mana penambahbaikan akan dibuat sehinggalah laporan mereka boleh mencapai markah yang maksimum. Akhir sekali, daripada laporan KKG yang dihasilkan, setiap kumpulan akan meneliti semula sub topik kesan kegiatan manusia terhadap tema yang mereka kaji di kawasan kajian masingmasing dan menyusun fakta-fakta yang bersesuian bagi tujuan pembentangan dalam bentuk forum. Saya turut memaklumkan mengenai kriteria-kriteria yang akan dinilai dalam forum supaya pelajar memahami dan dapat memenuhi keperluan tersebut.

Perbincangan Kumpulan Perbincangan dalam kumpulan berlaku pada setiap fasa pelaksanaan projek. Pelajar akan mengeluarkan idea serta menggabungkan pengetahuan masing-masing untuk menyelesaikan setiap fasa tugasan yang diberi. Perbincangan kumpulan dilaksanakan dengan bimbingan guru. Saya sentiasa memantau progres pelaksanaan projek ini dan akan memperbaiki idea setiap kumpulan sekiranya perlu. Penyediaan Bahan Proses ini dilaksanakan dalam fasa pra projek, di mana pelajar dalam setiap kumpulan akan membuat rujukan kepustakaan berkaitan tema kerja kursus yang diberi. Tujuannya adalah supaya mereka mendapat gambaran secara keseluruhan mengenai skop kajian mereka dan proses rujukan kepustakaan ini berlangsung di sepanjang fasa pelaksanaan bertujuan supaya gabungan idea setiap ahli tidak tersasar dari kehendak tajuk kajian mereka. Penambahbaikan Peta Asas Kawasan Kajian Semasa saya mengajar Bahagian A : Kemahiran Geografi (Peta), sebagai latihan, saya telah meminta setiap kumpulan memikirkan satu kawasan kajian yang unggul tetapi perlu diwujudkan atas peta Malaysia. Peta ini mengandungi ciri fizikal dan budaya yang sesuai, dan dilengkapkan dengan 5 ciri peta yang baik (bingkai, arah mata angin, skala, petunjuk dan tajuk). Daripada proses inilah timbulnya idea untuk menguji kefahaman dan penghayatan pelajar terhadap konsep peta dengan menyusun strategi-strategi melibatkan isi pelajaran bab-bab Geografi Fizikal tingkatan 2. Setelah sukatan ditamatkan pada bulan Mei, peta yang sedia ada tadi digunakan semula bagi tujuan pelaksanaan projek KKG ini. Setelah penerangan dibuat tentang kegunaan peta tadi, setiap kumpulan diminta melakukan penambahbaikan semula ke atas peta yang dihasilkan oleh kumpulan masing-masing di mana peta baru haruslah dilengkapkan dengan ciri fizikal dan budaya yang akan membantu dalam menghasilkan maklumat yang diperlukan bagi tema-tema yang ingin diuji. Oleh yang demikian, semua kumpulan mula melakukan penambahbaikan setelah melalui sesi kajian kepustakaan. Peta yang dihasilkan diwarnakan dengan cantik dan dihantar kepada saya untuk dinilai dan disahkan. 5

Membina model berdasarkan peta asas Pada peringkat projek, iaitu pada bulan Julai, setelah mendapatkan semua bahan-bahan yang diperlukan seperti mounting board, plastisin, surat khabar lama, gam, cat dan sebagainya, proses pembinaan model 3 dimensi berasaskan peta lakar kawasan kajian dimulakan. Proses ini biasanya dibuat semasa waktu riadah dan tidak mengganggu waktu P&P. Semasa waktu P&P Geografi, saya hanya memantau progres serta memberikan idea-idea penambahbaikan sahaja. Semua kumpulan menjaga kualiti model masing-masing tetapi masing berpeluang berkongsi amalan terbaik dengan kumpulan-kumpulan lain memandangkan proses ini berlaku di kawasan yang terbuka. Mengumpul Maklumat Untuk Penulisan Laporan KKG Pada bulan Ogos, setiap kumpulan masih meneruskan penghasilan model sambil mengumpul maklumat yang diperlukan untuk menulis laporan kajian berdasarkan format yang diberi. Maklumat tidak dikumpul di lapangan sebagaimana proses pelaksanaan KKG yang biasa kerana lapangan semua kumpulan kini adalah model dan peta imaginasi kawasan kajian yang telah dihasilkan. Akan tetapi, penumpuan lebih diberikan kepada kerelevanan isi kandungan laporan yang bakal dihasilkan. Untuk itu, perbincangan kumpulan berlaku pada setiap kali waktu P&P supaya saya dapat membantu memandu pemahaman setiap kumpulan terhadap hasil yang diharapkan. Saya menekankan kepada keselarasan maklumat di semua bab laporan KKG supaya pembaca akan mendapati seolah-olah kajian ini benar-benar berlaku di lapangan yang sebenar. Penyetaraan Maklumat Kawasan Kajian Oleh Semua Ahli Kumpulan Untuk Tujuan Forum Setelah semua maklumat telah diperolehi, setiap kumpulan akan memastikan setiap ahli mereka memiliki pengetahuan yang sama tentang kawasan kajian dengan cara membaca draf penulisan yang dihasilkan. Ini untuk memastikan kesepakatan dan kefahaman mereka terhadap isi pelajaran serta perkaitannya dengan kawasan kajian dapat difahami dengan jelas. Kali ini, penumpuan lebih diberikan kepada bab Hasil Kajian iaitu pada bahagian seperti di bawah: Tema Dinamik Penduduk Kesan Perubahan Penduduk Terhadap Alam Sekitar & Langkah Mengatasinya. Tema Petempatan & Perkembangannya Kesan Negatif Pembandaran & Langkah Mengatasinya. Tema Pengangkutan & Perhubungan Kesan Perkembangan Pengangkutan Terhadap Alam Sekitar & Langkah Mengatasinya serta Kesan Perkembangan Sistem Perhubungan di Kawasan Kajian & Langkah Mengatasinya. Setiap ahli dalam kumpulan diberikan watak-watak yang berbeza dalam komuniti kawasan kajian. Ada di antara mereka yang membawa watak pegawai Jabatan Alam Sekitar, ketua kampung, doktor, polis, guru, usahawan, jurutera dan sebagainya. Watak-watak ini berperanan dalam isu-isu yang dibincangkan dalam forum. Bagi melancarkan sesi forum, mereka menyediakan skrip berkaitan dengan isi kandungan forum dan membuat latihan pada waktu riadah. Penghantaran draf KKG Penghantaran draf KKG bagi semakan dibuat pada bulan September. Saya membuat semakan terhadap setiap satu aspek yang perlu dinilai berdasarkan panduan pengskoran KKG dan memberikan justifikasi terhadap setiap satu kelemahan yang terdapat dalam penulisan tersebut. Ini bertujuan supaya penambahbaikan dapat dibuat terhadap laporan dan markah yang maksimum dapat dicapai apabila menghantar laporan akhir nanti. 6

Penulisan laporan akhir Setiap kumpulan menyelesaikan penulisan laporan KKG peringkat akhir setelah draf yang telah disemak dikembalikan. Setiap kumpulan dikehendaki menghantar satu laporan sahaja di mana markah yang akan diperolehi bagi setiap ahli dalam kumpulan tersebut adalah sama walaupun komitmen yang diberikan adalah berbeza antara satu sama lain. Pada ketika inilah kepimpinan Cik Tot dapat dinilai dalam memastikan semua ahli dalam kumpulannya dapat memberikan komitmen supaya dapatan markah akan berlaku secara adil. Penghantaran KKG dan Model Pada bulan yang terakhir (Oktober), setiap kumpulan menghantar laporan kerja kursus beserta model yang lengkap ke Bilik Geografi Al Kindi untuk dinilai. Setelah penilaian dibuat dan keputusan direkodkan, Bilik Geografi dibuka kepada pelawat untuk tujuan pameran. Forum Berdasarkan isu yang telah ditetapkan, setiap kumpulan akan menentukan watak yang akan dibawa dalam forum mereka. Pelajar yang terlibat akan mengenakan pakaian yang sesuai dan menggayakan watak berkenaan dengan yakin tanpa menggunakan teks semasa berucap. Proses ini memerlukan setiap kumpulan menjalani latihan selama beberapa kali pada waktu prep malam untuk menjamin kelancaran forum. Pada hari yang ditetapkan, setiap kumpulan akan mempersembahkan pembentangan kumpulan masing-masing dalam bentuk forum ini dan penilaian terhadap mereka akan dibuat oleh saya serta beberapa orang juri jemputan dalam kalangan guru pelbagai bidang di sekolah. Setiap juri dibekalkan dengan rubrik penilaian yang standard dan penggambaran di buat sepanjang forum setiap kumpulan berlangsung. Ini adalah bagi tujuan dokumentasi di mana penambahbaikan boleh dibuat terhadap proses ini sekiranya projek yang sama dilaksanakan kepada kohort yang lain pada masa akan datang. Setelah semua proses selesai, saya akan menganalisis secara manual markah yang diperolehi bagi setiap kumpulan sepanjang projek berlangsung dan merekodkannya dalam buku rekod mengajar. Markah turut dimaklumkan kepada semua kumpulan supaya mereka dapat membuat persediaan pula untuk menghadapi kertas Geografi 23/1 semasa Peperiksaan Akhir Tahun nanti yang membawa markah sebanyak 40%. RUMUSAN

Secara keseluruhannya, saya dapat melihat perbezaan tingkah laku pelajar sebelum dan selepas projek ini dilaksanakan. Ketiga-tiga fasa ini membolehkan semua pelajar mengambil bahagian secara aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, mengasah daya kreativiti dan pemikiran kritis berdasarkan teori yang dipelajari di dalam kelas, menyemai semangat berpasukan , mengasah sifat kepimpinan dalam diri dan juga meningkatkan keyakinan diri, di mana kesemua perkara ini telah mengambil kira kesemua aspek kecerdasan pelbagai yang ada dalam diri para pelajar. Pemerhatian terhadap kesemua proses yang berlangsung selama hampir 5 bulan ini mendapati pelajar sememangnya boleh melakukan projek sebegini sekiranya guru kreatif dan memberikan peluang. Kelebihan pelajar yang kesemuanya tinggal di asrama membolehkan mereka komited terhadap tugasan yang diberikan walaupun menghadapi kekangan semasa proses penyediaan bahan. Dengan bantuan guru, semuanya dapat diatasi dengan baik. Keputusan peperiksaan Geografi pada akhir tahun juga menunjukkan peningkatan di mana 60% markah bagi peperiksaan ini diperolehi melalui penilaian berasaskan projek ini, manakala 40% lagi diperolehi daripada kertas ujian.

Daripada pelaksanaan projek ini, selain dapat memenuhi kesemua objektif yang disasarkan, sentuhan secara langsung antara guru dan pelajar secara berterusan juga dilihat sebagai satu platform mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak di mana ia akan memudahkan penyampaian ilmu seterusnya dilakukan dengan lebih berkesan. Projek ini menarik minat pelajar-pelajar Geografi dari tingkatan yang lain dan berdasarkan makluman lisan yang disampaikan oleh peserta projek ini kepada mereka, mereka meminta supaya projek ini turut dilaksanakan ke atas mereka supaya pemahaman dan penghayatan mereka terhadap isi pelajaran dapat diuji.

CADANGAN KAJIAN AKAN DATANG Projek sebegini sememangnya memerlukan komitmen dan konsentrasi yang tinggi daripada pelajar dan guru. Guru boleh melaksanakannya dalam konteks yang berbeza dengan memperluaskannya kepada skop dan aras yang sesuai kepada pelajar dari kelompok yang lain pula. Sebagai contoh, pelajar boleh dirangsang penghayatan mereka terhadap isu geobencana dengan menayangkan video berkaitan perkara berkenaan setelah topik yang berkaitan selesai diajar. Secara serampang dua mata, proses sebegini juga akan merangsang guru-guru Geografi mempertingkatkan pengetahuan dan ilmu mereka dalam bidang kepakaran mereka ini dalam usaha memartabatkan kembali ilmu Geografi di persada pendidikan negara.

Anda mungkin juga menyukai