Anda di halaman 1dari 10

Cerpen : Jalan Menuju Kedewasaan

Ruang restoran itu mulai sepi. Malam perlahan-lahan mendakap setiap ruang. Si gadis
berambut panjang dan berkulit putih kuning itu tunduk menatap ketul-ketul ais yang
terapung di dalam gelas di depannya. Jejari runcingnya memutar dan menyentuh lembut
penyedut minumannya. Dia menyedari betapa lelaki di depannya merenung sayu ke
arahnya.

Beberapa ketika kemudian dia mengangkat kepalanya. Mendongak tanpa secebis


senyuman. Cuma bibirnya bergerak-gerak lantaran sukarnya menyatakan sesuatu yang
terpendam di hatinya.

"Aku akan ke luar negeri, Man." Yati, gadis itu, bersuara perlahan.

Lelaki itu tidak bersuara seolah-olah telah mengetahui apa yang akan diperkatakan oleh
gadis di depannya.

"Kau gembira, Man ?" Dia mengusulkan pertanyaan. tetapi hampa kerana lelakinya
masih tetap membisu.

"Tentunya Yati yang lebih gembira," tiba-tiba lelaki itu bersuara.

Dia tersintak tanpa menduga jawaban yang di dengarnya. Dia kecewa dengan sindiran
lelakinya itu.

Perbualan itu terhenti dan ruang restoran itu kembali sepi. Sebentar tadi jam yang
tersangkut di dinding restoran itu berdenting tujuh kali. Dan suara azan dari masjid kecil
Kota K telah lama hilang. Tetapi kenderaan masih sibuk di sepanjang jalan di perut Kota
K itu. Apakah kebisuan yang lama di antara mereka akan terus memenuhi ruang-ruang
hati ? Dalam diam mereka cuba membaca gerakhati dan kebosanan yang membaluti diri
masing-masing.

Lalu pertemuan itu terpaksa diakhiri. Lelaki itu kembali ke kampusnya. Dan dia pulang
ke rumahnya dengan perasaan hampa.

Pertemuan itu tidak memberi erti padanya. Tiada kemesraan yang terjalin. Tidak seperti
pertemuan-pertemuan yang lalu. Malah tidak seperti pertemuan pertama dahulu.

Dia pulang ke desanya di sisi Kota K itu membawa seribu resah. Masih terbayang di
matanya wajah sayu lelakinya. Pertemuan tanpa rencana itu amat menyentuh
perasaaannya. Dia kecewa kerana tidak dapat menyatakan kejayaannya yang sebenar
kepada lelakinya. Dia juga hampa kerana tidak mendengar ucapan tahniah dari lelakinya.
Lelakinya seolah-olah tidak merestui dia meneruskan pengajiannya di luar negeri.
Mengapa ? Fikirannya mula diburu pertanyaan demi pertanyaan. Bagaimanakah dapat dia
menyatakan perihal kejayaannya kepada lelakinya ?

Malam semakin larut. Suara cengkerik dan lain-lain unggas rimba menyanyikan lagu
malam dengan irama tak menentu - memecahkan kesunyian malam itu. Di luar gelap
pekat tanpa sebutir bintang. Begitulah suasana malam desanya. Dan malam seperti itulah
yang melahirkan kemesraan dan kasihnya kepada lelakinya se purnama lalu. Mengapa
setelah memberi keyakinan kepadanya untuk menghadapi peperiksaan barulah tanda-
tanda kecewa di wajah lelakinya mulai ketara ? Mengapa setelah dia berjaya dalam
peperiksaan, lelakinya menampakkan kekesalannya ? Lelaki yang anih, bisik hatinya
untuk ke sekian kalinya.

Dia berdiri di jendela menatap gelap malam dan sesekali cahaya lampu kenderaan yang
melalui jalan di hujung desa. Di dalam kamarnya sendiri suasana begitu samar. Pelita
minyak tanah yang tergantung di dinding mengerdip hiba tanda kehabisan minyak. Dia
tidak menghiraukan. Dia lebih senang dengan suasana suram begitu seperti kesuraman
yang menutup dirinya kini.
Ditinggalkannya jendela. Angin dingin menujah masuk sejak tadi. Dihampiri meja
tulisnya. Dibukanya laci. Terpampang di matanya sekeping potret wajah dirinya dan
wajah lelakinya dalam kesuraman cahaya itu. Dikeluarkannya potret itu dan ditutupnya
kembali laci meja tulisnya.

Dia beralih ke sisi katil. Duduk di penjuru kiri dengan kaki dilunjurkan ke bawah. Dia
merenung sayu kepada potret di tangannya. Ah... pertemuan di Pesta Konvokesyen,
hatinya berbisik. Kenangan lama itu bermain dalam ingatannya. Kesayuan terus
mencengkam perasaannya mengenang saat-saat gembira itu - apabila kasih mula
berputik. Apakah pertemuan pertama itu titik mula kedewasaan hidupnya ?

Ketika itu suasana sesak dari gerai ke gerai di tapak pesta itu. Dia resah mencari dan
meneliti di celah-celah orang ramai itu. Pesta tahun itu dirasakannya amat berbeza
dengan tahun-tahun sebelumnya yang tak pernah terlepas dari kunjungannya. Lebih
meriah dan lebih ramai pengunjungnya. Lokasi kampus itu yang tak jauh dari desanya
memberi ruang kepadanya menjadikannya sebagai salah satu aktiviti tahunannya. Di
samping dapat mencerna mindanya untuk membina azam supaya dapat menjadi salah
seorang pelajar di situ suatu hari nanti.

Dalam keresahan itu tak disedarinya ada sepasang mata memerhati tingkahnya.

"Apa yang saudari cari ?"

Dia tersintak menatap wajah lelaki di sebelahnya. Dan tersenyum tanpa rela membalas
senyuman lelaki itu.

"Tak ada apa-apa," Dia cuba mengelak.

"Tetapi saudari kelihatan mencari seseorang. Kalau boleh saya menolong." Lelaki itu
masih cuba merapati dirinya. Merapati hatinya.
Dia serba-salah. Direnungnya wajah lelaki itu. Ada tanda-tanda kejujuran di situ.

"Terimakasih. Saya sedang mencari abang saya. Saudara pelajar di sini ?"

Lelaki itu angguk. "Siapa namanya ?"

"Roslan..."

"Roslan bin Kamarudin ?" Lelaki itu menduga dengan wajah sedikit resah menanti
jawaban darinya.

Dia angguk - hairan bercampur gembira. "Saudara kenal dia ?"

Anggukan lelaki itu diiringi senyuman bangga. Dia membalas.

Pertemuan berakhir di situ. Tetapi lembaran bersampul biru mula mengambil tempat.
Satu demi satu silih berganti. Sedikit demi sedikit dia mula mengenali hati lelaki itu.
Kejujuran dan sikap terus-terang lelaki itu membuatkannya tidak dapat lari dari tambatan
kasih. Pertemuan yang lain diukir satu demi satu. Dan dia mula menghadapi hari-hari
seterusnya tanpa ada waktu terluang. Masa lapangnya dipenuhi dengan pertemuan-
pertemuan singkat di Kota K. Dia tidak pernah merasa bosan dengan pertemuan yang ada
kalanya sekadar pertemuan semata. Malah dia mula tidak menghiraukan perasaan-
perasaan yang mengganggu pelajarannya.

"Apakah kita akan begini selamanya ?" Pertanyaan lelakinya di suatu pertemuan di
Kafetaria kampus itu kembali dalam ingatannya.

Bukan tujuannya ke kampus itu untuk menemui lelakinya. Tetapi tanpa diduga dia
menemui abangnya bersama lelakinya. Jadi, dia tidak dapat mengelak dari menghabiskan
sebahagian petang itu bersama lelakinya.
Dia tampak terkejut dengan pertanyaan itu. Lalu di renungnya wajah lelakinya.

"Maksud mu ?" Soalnya kembali dengan nada kehairanan. Dia keliru.

"Seperti kini, bertemu dan berpisah," jawab lelakinya.

Memang terserlah pengertian yang mendalam dari pengucapan lelakinya itu.


Sehinggakan dia tidak dapat bersuara beberapa ketika. Apakah yang dikehendaki oleh
lelakinya dari dirinya ? Hatinya diburu pertanyaan itu. Apakah...? Apakah...? Pertanyaan
itu bagaikan berulang di dalam dirinya.

Dia telah cuba memahami hati lelaki itu sepenuhnya. Tetapi setiap kali timbul pertanyaan
yang asing pada anggapannya, dia menjadi gugup. Lelakinya sering menimbulkan
pertanyaan yang membuatkannya sering pula bertanya pada dirinya. Sudah dewasakah
aku ? Sudah dewasakah aku ini ? Dan sehingga pertemuan petang itu pun dia masih tidak
mengetahui sejauh mana kedewasaannya.

"Aku masih tidak faham maksud mu," dia cuba mengelak.

"Aku rasa kita sudah cukup dewasa untuk sama-sama memikirkan dan memahaminya."
Lelaki itu menerangkan dengan wajah yang cuba melindungi sesuatu. Cuba melindungi
perasaannya.

Kita...? Kita sudah dewasa ? Hatinya bertanya. Benarkah ini ? Aku sudah dewasa seperti
anggapan lelaki ku. Sejak bila...?

"Norhayati !"

Dia dikejutkan dari menungan panjang oleh suara garang dan keras. Dia merasakan tiap-
tiap pasang mata di dalam kelas Tingkatan Lima Sains itu memandang ke arahnya. Dia
cuba untuk tidak menghiraukan. Tetapi hatinya tidaklah setenang yang diinginkan.
"Apa yang awak fikirkan, Yati ?" Tanya Pak Guru lembut walaupun tadi suara itu begitu
keras dan mengancam. Padanya dirasakan suara itu bisa menggetarkan seluruh tubuhnya
sambil menimbulkan ketakutan.

Pak Guru yang hampir berusia separuh abad itu seakan memahami jiwanya yang sedang
berkocak. Adakah Pak Guru cukup dewasa untuk memahami masalah yang berlegar di
dalam jiwanya kini ? Hatinya seakan mahukan kepastian.

"Tak ada apa-apa, Cikgu." Begitulah jawaban yang mampu keluar dari celah bibir
nipisnya apabila tiada kesempatan untuk berfikir. Jawaban yang tergesa-gesa itu
walaupun kadang-kadang tidak memuaskan hati pendengarnya, memang sering
diucapkannya. Malah setiap guru yang mengajar kelas Lima Sains itu pernah melalui
pengalaman yang serupa setiap kali dia merenung keluar tingkap kaca yang terbuka.

"Yati, saya harap awak dapat jumpa saya pada waktu rehat nanti," usul Pak Guru sebelum
tempoh mengajar berakhir.

Dan dia hanya berupaya mengangguk lemah seakan melakukannya tanpa kerelaan
hatinya.

Bila tiba waktu yang dijanjikan, dia pun menemui Pak Guru. Segala masalahnya
dicurahkan bersama linangan airmatanya. Begitu sayu dia menumpahkan segala rasa
yang membelenggu jiwanya kini.

Pak Guru menatapnya dan simpati. Pak Guru merasakan satu tugas berat terpikul di
bahunya bila memikirkan peperiksaan SPM yang semakin hampir - yang akan dihadapi
oleh anak muridnya itu.

"Cikgu harap awak lupakan untuk sementara. Sehingga selesai peperiksaan pun jadilah.
Awak tidak sepatutnya memikirkan hal itu buat masa ini..." Banyak benar ceramah Pak
Guru hari itu.

"Baik Cikgu, saya akan cuba."

Dia mengakhiri pertemuan dengan Pak Guru bersama sebuah keyakinan yang teguh di
hatinya. Dia telah berjanji pada dirinya akan menunjukkan kecemerlangan semulajadinya
dalam pelajaran.

Tetapi peperiksaan percubaan SPM telah hampir benar. Kesempatan baginya untuk
mengembalikan sesuatu yang terabai telah tiada.

Gagal !

Dia gagal dalam peperiksaan itu. Dan sebuah kekecewaan tumbuh dalam dirinya.
Mampukah aku menghadapi peperiksaan akhir nanti ? Hatinya dibalut kebimbangan.
Keyakinannya hampir patah. Dia merasakan harus menemui Pak Guru sekali lagi. Tetapi
bila ?...

Suatu petang dia membina sebuah lagi pertemuan dengan lelakinya atau menurut kata-
kata rakan-rakannya, pertemuan dengan kekasihnya. Di pertemuan itu dia menyatakan
kegusaran hatinya. Dan yang lebih utama menyatakan kegagalannya dalam peperiksaan
percubaan itu.

"Aku gagal," katanya pendek seperti bilamana dia menyatakan kegagalan peperiksaan
penggal kedua yang lalu. Bermakna tahun ini mencatat sejarah dalam pelajarannya
apabila dia gagal dua kali berturut-turut. Apakah aku akan gagal lagi dalam peperiksaan
yang terakhir di persekolahan peringkat menengah ini ? Pertanyaan itu begitu
merunsingkan hatinya. Dan kerana itulah dia telah membina pertemuan petang itu dengan
lelakinya - kekasihnya.

"Mengapa ?" Lelakinya begitu terkejut. Rasa bersalah membara dalam diri lelakinya.
Mungkinkah pertemuan-pertemuan kosong itu yang menyebabkan kegagalan itu.

Tetapi dia dengan sedikit keyakinan menidakkan. Malah mengakui kegagalannya adalah
kesalahannya sendiri.

"Aku terlalu memikirkan tentang diri ku, kedewasaan ku. Itulah sebabnya aku gagal." Dia
cuba memujuk hati lelakinya.

"Bukankah aku yang memulakan itu ?" Lelakinya masih merasakan ia berpunca dari
dirinya. Dari perasaan kelelakiannya. Bukankah dia yang seakan tidak sabar ingin
mengikat gadis di depan matanya itu ?

Lalu, setelah menjanjikan sesuatu, perpisahan pun terjadi. Perpisahan yang perlu itu
terlaksana tanpa kesayuan dan kedukaan. Tetapi lelakinya dengan wajah muram
meneruskan harinya di kampusnya. Dan dia dengan berjuta keyakinan kembali kepada
kebiasaannya. Kebiasaan yang terjalin sebelum kejayaannya yang cemerlang dalam
peperiksaan SRP dulu.

Tetapi sesuatu yang tak terduga bisa terjadi tanpa mengira waktu. Dan alangkah payah
menghindarkan apabila takdir telah menentukan.

Menjelang tiga minggu peperiksaan SPM akan bermula, satu tugas bersama tersangkut di
bahunya dan di bahu abangnya. Sesuatu yang tak pernah tergambar di fikirannya sebagai
anak bongsu dari tiga orang adik-beradik.

"Tahukah Yati, ayah pergi sebelum Yati lahir ? Dan ibu pergi setelah melahirkan Yati.
Dan kematian ibu pula adalah kerana kesukaran melahirkan adik kita..." Begitulah abang
menerangkan.

Jadi aku bukanlah anak yang bongsu. Siapakah adik kembar ku itu ? Di manakah dia
kini ? Pertanyaan yang menghairankan itu amat meresahkan. Keyakinannya hampir
tergugat menjelang saat-saat akhir peperiksaannya.

Surat dari kakak yang dikirim kepada abang tambah menyesakkan fikirannya. Ah...
kakak. Kenapa tidak diberitahu sejak dulu lagi ? Adakah itu satu daripada pesan dan
wasiat ibu menjelang kedewasaan ku ? Jika kakak tidak upaya mencarnya, mengapa
begitu cepat kakak berkahwin ? Dia seolah-olah menyalahkan semua yang berlaku.
Menyalahkan dirinya sendiri. Ada tanda kekesalan terserlah di wajahnya. Dan sekali lagi
dia merasakan perlu menemui Pak Guru.

Namun begitu di hari peperiksaan itu wajah lelakinya seakan menjadi pendorong kepada
ketekunannya. Wajah lelaki itulah yang dapat memberi sedikit ketenangan di hatinya.
Bukankah pertemuan terakhir itu mengubah segala-galanya menjelang saat-saat akhir
peperiksaannya ? Bukankah lelakinya yang memberi sejuta keyakinan yang teguh di
dalam dirinya ketika itu ? Bukankah cuma lelaki itu yang sentiasa sedia mendengar
keluhan hatinya ? Lelaki yang penuh rahsia, hatinya seakan berbisik.

Ah... perasaan mengganggu saja, bisik hatinya lagi. Dia cuba melupakan hari-hari yang
telah dilaluinya bersama lelakinya. Tetapi saat-saat indah itu sukar luput dari fikirannya.
Dan hatinya tambah pilu mengingati pertemuan di restoran Kota K senja tadi.

Dan hari pun terus berlalu. Tetapi terlalu lambat dirasakannya. Namun sudah setahun dia
meninggalkan tanahair. Melanjutkan pelajaran ke luar negeri bererti memisahkannya jauh
dari lelakinya.

Barulah dia mengerti makna kesayuan di wajah lelakinya di lapangan terbang ketika
keberangkatannya. Barulah dia mengerti makna kesayuan di wajah lelakinya di restoran
Kota K dulu. Dia mula memahami makna perpisahan. Malah dia telah mula menyedari
kedewasaannya dari persendiriannya. Keterasingan dari lelakinya mengajarnya menjadi
lebih dewasa. Dari jauh wajah lelaki itu seakan memberi dorongan ke arah kejayaannya.
Wajah lelakinya menjadi simbol perjuangannya kini. Namun sesekali tergerak hatinya
untuk bertanya - adakah lelaki itu akan terus menjadi sumber kedewasaan hidupnya ?
Dia menanti jawaban dari hari-hari yang berlalu.

Dan ketika salji musim dingin sedang gugur memutih di sekitar kediamannnya, dia tidak
terkejut menatap sekeping warkah biru dari lelakinya. Dia tidak terkejut dengan
permintaan lelakinya. Dia tahu permintaan itu terlalu berat untuk ditunaikannya. Tetapi
dia telah tahu erti ketabahan. Dia berazam untuk kembali ke tanahair untuk melihat
sendiri lelakinya menaiki pelamin dengan gadis yang bukan dirinya. Gadis yang hingga
kini dia masih tak mengenalinya. Cuma sekali surat lelakinya ada memberitahu sebelum
kepulangannya ke tanahair. Gadis itu adalah seorang mahasiswa tahun pertama di kampus
lelakinya. Dan gadis itu adalah adik kembarnya sendiri yang dipisahkan dari dirinya
kerana kemiskinan keluarganya.

Walaupun masih banyak yang tidak diketahui dan tidak dapat difahaminya, dia telah
merasakan sesuatu menimpa di pipinya. Suatu titisan lembut dan jernih. Buat pertama
kali di kedewasaannya, airmatanya menitis. Terbayang di matanya liku-liku perjalanan
yang masih jauh di keputihan dan kedinginan salji itu.

Ketika kapal terbang mula berangkat pulang, dia menyedari keberangkatan kali ini akan
menambah warna-warna duka di kedewasaan hatinya.

[ TAMAT ]

Anda mungkin juga menyukai