Anda di halaman 1dari 2

Budaya Institut Pendidikan Guru: Budaya Estetika Bahagian Pendidikan Guru (BPG) ialah bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia

yang mengendalikan program pendidikan perguruan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan. Program pendidik keguruan berhasrat memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru untuk melahirkan guru yang profesional, berketrampilan, berdaya tahan, berakhlak mulia, mengamalkan nilai-nilai murni, berdaya fikir dan cekap teknologi. Selaras dengan visi Sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia dari segi kualiti yang dapat memenuhi aspirasi negara Malaysia dan misi Melaksana sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia untuk memastikan guru-guru sentiasa berketrampilan bagi memenuhi aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia, Budaya Institut Pendidikan Guru (IPG) telah dilaksanakan. Budaya Institut Pendidikan Guru (IPG) bertujuan untuk membina, membentuk dan melahirkan guru yang mengamalkan tujuh dimensi budaya iaitu budaya ilmu, budaya kepimpinan, budaya kerja profesional, budaya akhlak dan moral, budaya estetika, budaya hidup sihat dan budaya penyayang. Budaya estetika merupakan salah satu komponen penting dalam Budaya IPG. Budaya estetika merujuk kepada ekspresi dan apresiasi terhadap nilai-nilai seni, keindahan dan keharmonian. Terdapat lima asas yang menjadi inti kepada budaya ini iaitu kehalusan budi dan keunggulan peribadi, kesempurnaan kerja, kecantikan dan keindahan seni dan karya, keindahan budaya dan bangsa dan yang terakhir keindahan persekitaran. Kehalusan budi dan keunggulan peribadi merujuk kepada sikap seorang guru itu sendiri. Kehalusan budi dinilai dari segi akhlak seorang guru atau cikgu semasa berinteraksi dengan muridnya di dalam kelas, berinteraksi dengan rakan setugas di bilik guru ataupun berinteraksi dengan masyarakat setempat di luar sekolah. Faktor seperti budi bahasa, akhlak mulia dan saling menghormati menunjukkan kehalusan budi seseorang individu tersebut. Manakala keunggulan peribadi pula ialah sikap peribadi itu sendiri dalam menghadapi sesuatu keadaan. Peribadi seperti personaliti, cara kerja serta perwatakan guru tersebut akan menunjukkan keunggulan peribadi seorang guru tersebut. Seorang guru pelatih yang telah diterapkan nilai-nilai estetika pada peribadinya di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dapat berinteraksi dengan sesiapa sahaja dengan kehalusan budi yang mencerminkan keunggulan peribadi seorang guru. Oleh demikian, kehalusan budi dan keunggulan peribadi penting bagi melestarikan budaya IPG terutamanya budaya estetika dalam jiwa seorang guru pelatih yang telah dilatih di Institusi Pendidikan Guru (IPG). Inti kedua dalam budaya estetika ialah kesempurnaan kerja. Kesempurnaan kerja bukan sekadar menyiapkan kerja ataupun tugasan yang diberikan, tetapi juga melibatkan pelbagai aspek kesempurnaan dalam menyiapkan kerja itu. Kesempunaan ini melibatkan hasil kerja yang teliti, hasil kerja yang memuaskan dan cantik serta menerapkan unsur-unsur seni atau nilai-nilai estetika dalam penghasilan kerja tersebut. Sebagai contoh seorang guru boleh menggunakan seni muzik ataupun seni lukis semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Ini akan menarik perhatian para pelajar untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran sekali gus mengurangkan kebosanan mereka untuk mengikuti pembelajaran. Selain itu, seorang guru perlulah menyempurnakan setiap tugasan yang diberikan oleh pihak atasan sekolah dengan sempurna. Hal ini penting bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan setaraf dengan hasrat kerajaan seperti yang terdapat dalam visi Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu Sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia dari segi kualiti yang dapat memenuhi aspirasi negara Malaysia. Oleh itu, kesempurnaan kerja amat penting sebagai tunjang kepada penerapan budaya IPG terutamanya budaya estetika dalam jiwa sanubari bakal guru atau guru pelatih di Institut Pendidikan Guru di seluruh negara.

Inti ketiga pula adalah kecantikan dan keindahan seni serta karya. Kecantikan dan keindahan yang dimaksudkan ialah kesungguhan dan keazaman seseorang guru itu menghasilkan sesebuah karya mahupun hasil seni ataupun dalam konteks pendidikannya ialah menerapkan unsur-unsur kecantikan dan keindahan seni dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Kesungguhan yang mendalam ini akan menghasilkan keindahan dalam sesuatu karya mahupun hasil seni tersebut. Karya yang terhasil dengan kesungguhan dan keazaman itulah yang membentuk budaya estetika yang menarik. Keindahan budaya dan bangsa juga merupakan salah satu cabang daripada budaya estetika dalam IPG. Keindahan budaya dan bangsa telah diterap dalam budaya IPG dengan pengambilan guruguru pelatih daripada pelbagai kaum dan latar belakang untuk menjadi warga pendidik. Melalui kepelbagaian kaum ini, budaya setiap kaum akan dapat dikongsi dan disemai oleh setiap warga pendidik seterusnya disebarkan kepada para pelajar mereka. Selain hal itu, pihak IPG juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang dapat menunjukkan betapa indahnya seni budaya yang dimiliki oleh setiap bangsa yang terdapat di setiap institut perguruan. Dengan ini, terbuktilah bahawa keindahan budaya dan bangsa menjadi intipati penting dalam pembentukkan budaya estetika dalam kalangan warga IPG. Asas kelima yang menjadi inti kepada budaya ini ialah keindahan persekitaran. Umum mengetahui bahawa persekitaran yang kondusif akan mewujudkan suasana pembelajaran yang efektif. Oleh itu, pihak IPG juga menekankan aspek persekitaran yang indah dan cantik supaya pembelajaran menjadi lebih seronok dan berkesan. Keindahan persekitaran bukan sahaja perlu diterapkan kepada warga pendidik, malahan para pelajar juga harus dididik supaya dapat menghargai persekitaran. Apabila sikap mencintai keindahan persekitaran disemai dalam kalangan guru pelatih semasa menuntut di IPG, maka sikap mulia tersebut akan dibawa apabila berada di dunia perguruan kelak. Guru pelatih akan bertindak sebagai agen penyebar amalan mulia ini dalam kalangan anak murid. Secara kesimpulannya, lima asas yang menjadi tunjang kepada budaya estetika merupakan sekelompok nilai yang wajar diamalkan sebagai satu budaya atau cara hidup oleh setiap guru. Ini kerana guru pelatih merupakan produk atau hasil keluaran dari IPG yang mempunyai budaya IPG unggul yang tersendiri dan berkesan. Budaya-budaya seperti budaya ilmu, budaya kepimpinan, budaya kerja profesional, budaya akhlak dan moral, budaya penyayang, budaya hidup sihat dan budaya estetika merupakan antara nilai budaya yang mahu diterapkan oleh pihak BPG kepada semua pelatih-pelatih guru bagi memastikan hasrat program pendidik keguruan bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru untuk melahirkan guru yang profesional, berketrampilan, berdaya tahan, berakhlak mulia, mengamalkan nilai-nilai murni, berdaya fikir dan cekap teknologi tercapai. Budaya estetika terutamanya akan menyemai rasa cinta terhadap seni dan keindahan serta membolehkan seorang guru untuk berekspresi dan berapresiasi terhadap nilai-nilai seni, keindahan dan keharmonian.

Anda mungkin juga menyukai