Anda di halaman 1dari 75

PENGENALAN

Za`ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu mengungkapkan Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul maksud yang ada di dalam hati, sudah tentu orang akan tersalah faham atau tidak dapat oleh mereka tujuan yang dikehendaki (Marlyna Maros, 2012). Daripada ungkapan Za`ba tersebut jelas menunjukkan bahawa bahasa sememangnya berperanan dalam komunikasi dan peranan tersebut perlu digunakan kena pada tempatnya kerana mencerminkan identiti sesuatu budaya.

Indah budi kerana bahasa, Bahasa Jiwa Bangsa, merupakan sebahagian daripada ungkapan yang biasa didengari. Malah pantun di bawah juga kerap dirujuk: Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga; Yang cantik itu budi, Yang indah itu bahasa. Di sebalik ungkapan ini sebenarnya terselit falsafah yang menjadi asas pemikiran masyarakat Melayu serta membentuk identiti budaya masyarakat Melayu. Identiti masyarakat Melayu dari segi kebahasaan sebahagiannya terdiri daripada tabu, eufemisme, kesantunan bahasa dan bahasa yang digunakan berdasarkan gender.
1

Tugasan kami ini akan menyentuh sedikit sebanyak berkaitan tabu, eufemisme, kesantunan bahasa serta bahasa berdasarkan gender menurut lingkungan masyarakat Melayu di Malaysia.

TABU

PENDAHULUAN

Masyarakat Melayu amat kaya dengan adat dan budaya Timur yang menjadi pegangan sejak dahulu lagi. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat, adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam situasi tertentu.

Bahasa adalah alat komunikasi manusia dalam melakukan interaksi sesamanya dalam lingkungan sosialnya. Dalam berkomunikasi, manusia pada umumnya berinteraksi untuk membina kerjasama antara sesamanya dalam rangka membentuk, mengembangkan, dan mewariskan budaya dalam erti yang luas. Dalam pada itu adakalanya dikatakan

manusia sering berselisih atau berbeza pendapat antara satu dengan yang lain. Dari situasi ini manusia sebagai pemakai bahasa sering memanfaatkan bahasa atau pelbagai kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan yang disebut tabu. Kata-kata kasar, kesat, cabul, makian, sindiran halus dan yang sejenisnya sengaja atau tidak sengaja terlontar dari percakapan seseorang untuk mengekpresikan segala bentuk ketidaksenangan, kebencian, atau ketidakpuasan terhadap situasi yang sedang dihadapinya.

Dalam kehidupan manusia sebagai makhluk Tuhan yang berbudaya perlu diperhatikan bagaimana seseorang mengungkapkan kata-kata dalam berbahasa yang baik khususnya mengenai penggunaan kata-kata yang bermakna untuk diekspresikan dalam bahasa. Ekspresi bahasa yang diungkap dalam bentuk kata-kata perlu berada dalam konteks norma-norma sosial dan agama yang dapat diterima oleh masyarakat. Ada beberapa kata-kata tertentu yang harus dihindari, baik untuk diucapkan mahupun untuk diekspresikan kerana hal itu dipandang sebagai tabu yang dilarang untuk disebarluaskan.

Tabu merupakan ekspresi masyarakat atas pencelaan terhadap sejumlah tingkah laku atau ucapan yang dipercayai boleh memberikan impak buruk kepada anggota masyarakat, baik kerana alasan-alasan kepercayaan mahupun kerana perilaku atau ungkapan tersebut melanggar nilai-nilai moral. Ironinya, dalam berbahasa, ada

hal-hal tertentu yang tidak boleh diucapkan, atau hanya digunakan dalam situasi-situasi
4

tertentu oleh orang-orang yang tertentu. Namun demikian, tetap ada orang yang melanggar aturan-aturan tersebut sebagai usaha memperlihatkan kebebasan diri terhadap larangan-larangan atau untuk memperlihatkan tabu sebagai suatu hal yang rasional, serta sebagai bentuk gerakan kebebasan berbicara.

PENGERTIAN TABU

Kata tabu dikatakan berasal daripada kata taboo yang dipungut daripada bahasa Tonga salah satu dari rumpun bahasa Polinesia. Tabu dalam bahasa Polinesia, disebut tapu. Dalam masyarakat Tonga, kata taboo merujuk pada tindakan yang perlu dihindari. Menurut Ullmann (1962), kata tabu ini mula-mula digunakan oleh Kapten Cook ketika beliau mengenali kata ini apabila digunakan oleh orang Polinesia di Kepulauan Polinesia. Kemudian kata ini telah meresap ke dalam bahasa-bahasa Eropah dan bahasa-bahasa lain sehinggalah ke dalam bahasa Melayu (S.Nathesan, 2008:61). Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1563), tabu dalam bahasa Melayu bermaksud sesuatu yang dilarang, pantang larang atau pemali, maksud lainnya terlarang, diharamkan atau ditegah daripada dipercakapkan dan sebagainya. Darwis (1994: 40) menjelaskan tabu ialah perkataan yang sebenarnya ditukarkan dengan

perkataan lain tetapi maknanya sama. Makna tabu ini biasanya digunakan oleh mereka yang yakin akan pantang larang di satu-satu tempat.

Tabu atau pantang adalah suatu pelarangan sosial yang kuat terhadap kata, benda, tindakan, atau orang yang dianggap tidak diinginkan oleh sesuatu kelompok, budaya, atau masyarakat. Pelanggaran tabu biasanya tidak dapat diterima dan dapat dianggap menyerang. Beberapa tindakan atau kebiasaan yang bersifat tabu dapat dilarang secara hukum dan pelanggarannya dapat menyebabkan kecelakaan yang keras. Tabu dapat juga memberi malu, aib, dan menimbulkan perlakuan kasar daripada masyarakat sekitar.

Dalam setiap kelompok masyarakat, terdapat kata-kata tertentu yang dinilai tabu. Kata-kata tersebut tidak diucapkan, atau setidaknya, tidak diucapkan di hadapan tetamu dalam situasi formal yang penuh sopan santun. Ketika suatu tindakan dikatakan tabu, maka segala sesuatu yang berhubungan dengan tindakan tersebut juga dianggap tabu. Seseorang pada awalnya dilarang melakukan sesuatu, kemudian dilarang juga untuk berbicara mengenai apapun yang berhubungan dengan hal tersebut.

Tindakan dan perkataan yang terlarang merefleksikan adat-istiadat dan pandangan masyarakat. Ada beberapa kata yang boleh diucapkan dalam situasi tertentu,

tetapi tidak dalam situasi yang lain misalnya, dalam masyarakat Melayu terdapat sekian banyak pantang larang kehidupan yang perlu diikuti. Pelanggaran pantang larang tersebut dipercayaai boleh membawa kebinasaan jika tidak diikuti. Contohnya, seseorang gadis dikatakan tidak boleh menyanyi di dapur semasa sedang memasak kerana dikhuatiri akan berkahwin dengan orang tua. Ironinya, pantang larang ini sebenarnya mengajar gadis tersebut supaya berhati-hati dan pandai ketika memasak di dapur di samping menjaga imej si gadis supaya cepat dipinang orang.

Oleh itu, secara tidak langsung kata yang dianggap tabu, digantikan dengan ungkapan yang lebih bersopan yang disebut eufemisme. Dalam masyarakat pemakai bahasa, kata dan ekspresi tabu mungkin tidak terlihat nyata seperti eufemisme, yang merupakan bentuk dari penghalusan. Kata dan ekspresi eufemistik membuatkan seseorang dapat membicarakan hal-hal yang tidak menyenangkan dan

meneutralisasikannya. Sebagai contoh ungkapan yang diekspresikan terhadap orang yang sedang nazak dan meninggal dunia, pengangguran, dan kriminal. Kata dan ekspresi eufemistik membolehkan penutur memberikan label terhadap pekerjaan dan tugas-tugas yang tidak menyenangkan dan membuat kedengaran lebih menarik. Manakala mengikut Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu pula, tabu ialah suatu keadaan untuk mengelakkan penggunaan kata yang tidak sopan atau dilarang. Oleh itu,
7

apabila dikaitkan dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan terang-terangan, terutamanya di khalayak. Menurut Teo Kok Seong, topik-topik yang sering dianggap tabu dalam masyarakat Melayu antaranya hal-hal yang berkaitan seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Selain itu, masyarakat Melayu juga sangat sensitif dengan hal-hal yang berkaitan dengan adat dan kepercayaan.

JENIS-JENIS TABU

Tabu memegang peranan yang penting dalam bahasa, kerana penyelesaiannya berupa ilmu semantik yang perlu diperhalusi supaya sesuai penggunaannya dalam masyarakat yang dilihat sebagai penyebab berubahnya makna kata. Berdasarkan kajian, tabu dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

1)

Taboo of Fear

Tabu jenis ini, merupakan segala hal yang mendatangkan kekuatan yang menakutkan yang dipercayai dapat membahayakan kehidupan. Demikian halnya pengungkapan secara langsung nama-nama makhluk halus yang dipercayai masyarakat dahulu tergolong sebagai taboo of fear. Sebagai contoh, amalan pantang larang dalam masyarakat Melayu dan sebab-sebab pantang larang tersebut wujud.

2)

Taboo of Delicacy

Usaha seseorang untuk menghindari hal-hal yang tidak menyeronokkan, seperti pelbagai jenis penyakit dan berita kematian tergolong dalam jenis tabu yang ini. Penyakit yang dialami oleh seseorang merupakan sesuatu hal yang tidak menyenangkan bagi pengidapnya. Penyakit-penyakit yang biasanya bersifat menjijikkan, lazimnya dihindari penyebutannya (kata-kata yang ditabukan atau tidak elok untuk disebutkan), dan diganti kan dengan eufemismenya. Ungkapan istilah jenis penyakit yang mendatangkan malu dan aib kepada seseorang tentu tidak akan sedap untuk didengar, seperti kudis, kayap, dan barah. Sebaliknya nama-nama penyakit itu diganti dengan bentuk eufemisme seperti epilepsi, scabies, dan kanser.

3)

Taboo of Propriety

Tabu jenis ini berkaitan dengan seks, bahagian-bahagian tubuh badan tertentu dan fungsinya, serta beberapa kata tabu yang tidak baik dan santun untuk diungkapkan. Kata-kata yang berhubungan dengan seks, organ seksual, fungsi-fungsi tubuh secara alami menjadi bahagian dari kata-kata tabu dalam pelbagai budaya masyarakat.

SEBAB-SEBAB KEWUJUDAN TABU DALAM MASYARAKAT

Apabila dikaitkan dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Tabu dalam bahasa wujud disebabkan oleh beberapa faktor yang merangkumi faktor yang berkaitan dengan latar belakang masyarakat itu sendiri. Antaranya adalah seperti berikut:

(a)

Adat dan Kepercayaan

Masyarakat Melayu memiliki khazanah adat dan kebudayaan yang begitu tinggi. Adat dan budaya yang dipegang oleh masyarakat Melayu memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Hal-hal inilah yang menjadi panduan dalam kehidupan mereka sejak dahulu lagi. Asmah Haji Omar dalam Susur Galur Bahasa Melayu mengatakan
10

bahawa orang-orang Melayu sebelum memeluk agama Hindu dan kemudiannya Islam, percaya kepada semangat, baik kepada makhluk bernyawa mahupun tidak bernyawa seperti pokok-pokok, kayu-kayu besar, batu, dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap benda-benda itu mempunyai semangat atau jiwa yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu, perlakuan terhadap benda-benda itu hendaklah secara sopan santun. Bagi masyarakat Melayu, perlakuan yang tidak sopan dan kasar, sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan akan memberi kemudaratan kepada orang yang berkenaan. Oleh hal yang demikian, segala perkara yang berkaitan dengan perkara tersebut dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Oleh sebab ada larangan tertentu yang telah ditetapkan oleh masyarakat dalam berbahasa tentang perkara-perkara yang berkenaan, maka ungkapan-ungkapan yang dianggap tabu telah digantikan dengan istilah lain yang dianggap lebih sopan dan manis didengar.

Untuk menjaga hati semangat yang ada pada benda-benda tersebut, masyarakat Melayu menggantikan perkataan tertentu yang dianggap tabu dengan perkataan lain yang lebih halus sifat atau lebih tersembunyi maksudnya. Sebagai contoh,

kata datuk atau nenek digunakan apabila seseorang melalui tempat tertentu yang dipercayainya wujud penunggu atau hantu. Kata datuk atau nenek tersebut merujuk pada penunggu atau hantu yang dipercayainya tinggal di tempat tersebut. Pengg antian
11

kata tersebut untuk menunjukkan bahawa orang yang menyebutnya sangat menghormati penunggu itu dan berharap agar mereka tidak diganggu dan memberi kemudaratan kepadanya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), kata datuk dalam maksud dan keadaan biasa merujuk kepada bapa kepada ayah atau ibu seseorang manakala kata nenek pula bermaksud orang tua kepada emak atau ayah. Umumnya, kata tersebut juga merupakan panggilan seseorang kepada bapa kepada ayah atau ibunya. Begitu juga dengan kata nenek. Datuk dan nenek merupakan kedudukan ahli keluarga yang sangat dihormat. Kedudukan tersebut membuatkan seseorang yang bergelar datuk

atau nenek sangat dihormati oleh cucu-cucunya sebagai orang yang lebih tua. Oleh sebab itulah kata datuk atau nenek digunakan untuk merujuk hantu atau penunggu yang dipercayai itu kerana mereka perlu dihormati sama seperti datuk atau nenek seseorang.

Dari segi adat, unsur tabu turut memainkan peranan penting dalam menjaga tradisi yang turunkan oleh warisan terdahulu, terutama dalam konteks perhubungan sosial. Sebagai contoh, apabila ada kematian anggota masyarakat, perkataan mati sama sekali tidak boleh digunakan bagi merujuk perihal kematian tersebut. Sebaliknya, masyarakat Melayu lebih selesa menyebut meninggal dunia, atau dalam konteks lain kembali ke rahmatullah. Begitu juga apabila merujuk pada orang yang meninggal dunia, kata mayat juga dianggap tidak sopan disebut, tetapi digantikan dengan jenazah. Jika dilihat dari
12

sudut makna, kata mati bersinonim dengan meninggal dunia, begitu juga kata mayat yang bersinonim dengan jenazah. Bagaimanapun, hal ini berbeza jika dilihat dari sudut adat dan kesopanan dalam masyarakat Melayu. Fenomena inilah yang dikatakan sebagai tabu kerana adanya larangan tersebut dalam masyarakat yang menjunjung adat tersebut.

(b)

Perasaan takut

Selain unsur ghaib, masyarakat Melayu juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya. Oleh itu, seboleh mungkin mereka tidak mahu bertembung dengan binatang-binatang tersebut kerana mungkin akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan. Masyarakat Melayu juga percaya bahawa sekiranya nama binatang seperti harimau, gajah atau babi hutan disebut dengan lafaz namanya yang sebenar, mereka akan bertembung dengan

13

binatang tersebut, dan mungkin akan kepadanya.

mengganggu atau membawa kemudaratan

Selain itu, masyarakat Melayu juga percaya sekiranya binatang-binatang tersebut dicabar, dimarahi atau dikeji dengan kata-kata nista, orang tersebut akan ditimpa musibah yang teruk. Sebagai contoh, jika seseorang itu menyumpah atau berkata sesuatu yang tidak baik terhadap babi hutan atau tikus yang merosakkan tanamannya, nescaya tanamannya akan dimusnahkan sama sekali oleh babi hutan atau tikus yang dinista itu. Begitu juga sekiranya seseorang itu mencabar kekuatan dan kewibawaan gajah dan harimau, mereka mungkin akan bertembung dengan haiwan tersebut. Untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, nama binatang tersebut digantikan dengan sebutan lain iaitu harimau digantikan dengan Pak Belang, gajah sebagai orang besar, ular pula dikatakan akar,buaya digantikan dengan batang hanyut dan tikus dengan Cik Siti.

(c)

Pemakaian kata unsur seks/lucah/fungsi badan

Masyarakat Melayu dahulu ialah masyarakat timur yang masih tebal dengan adat dan budaya yang tinggi nilai moralnya. Tambahan pula, sejak kedatangan Islam bermula abad
14

ke-13, ajaran yang diterapkan oleh Islam yang berkaitan dengan moral dan akhlak sangat menepati dengan sifat masyarakat Melayu yang lemah lembut dan sangat mementingkan soal maruah dan harga diri. Oleh hal yang demikian, soal yang berkaitan dengan tubuh badan, terutamanya yang berkaitan dengan golongan wanita serta hal rumah tangga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata berkaitan yang dianggap tabu tersebut digantikan dengan perkataan lain yang dianggap lebih sopan dan halus. Kata tabu pantat, butuh, puki, burit,digantikan dengan kata kemaluan, jubur dan dubur digantikan dengan punggung, kata tabu kopek dan tetek digantikan dengan kata buah dada atau payudara, haid disebut datang bulan atau datang kotor, kata tabu bersetubuh digantikan dengan hubungan kelamin dan mengandung disebut berbadan dua atau hamil.

Selain itu, hal-hal yang berkaitan dengan fungsi badan manusia, seperti berak, kencing, tahi, dan kentut juga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata tersebut dianggap kotor dan kasar. Oleh hal yang demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata yang lebih sopan, iaitu buang air besar/ ke sungai besar, buang air kecil/ ke sungai kecil, najis, dan buang angin. Pemilihan kata tersebut disebabkan maknanya masih lagi berkonotasi dengan kata asalnya walaupun pada asasnya kata tersebut mempunyai makna yang lain. Kata buang air besar/ ke sungai besar misalnya merujuk perbuatan berak secara tidak langsung dan tidak berterus-terang. Begitu juga dengan kata buang
15

angin yang sebenarnya berkonotasi dengan perbuatan membuang angin perut melalui saluran dubur. Perbuatan tersebut walaupun lumrah bagi manusia, tetapi tidak sopan bagi masyarakat Melayu sekiranya disebut dengan perkataan kentut kerana dianggap sangat kasar dan tidak berbudi bahasa. Oleh sebab itu, kata tersebut digantikan supaya menjadi lebih sopan dan halus budi pekerti bagi orang yang menyebutnya.

Hal ini demikian kerana, dalam

masyarakat Melayu, seseorang yang

menggunakan kata-kata yang dianggap tabu bukan sahaja dianggap tidak beradab tetapi juga boleh menyinggung perasaan orang yang berkenaan. Sebagai contoh, hal-hal yang berkaitan dengan wanita, seperti haid, mengandung, tetek atau kopek dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. kerana kata-kata ini dianggap sebagai tidak manis atau mengandungi unsur lucah, lebih-lebih lagi apabila diucapkan oleh seseorang lelaki di hadapan seorang perempuan. Oleh hal yang demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata seperti yang telah dijelaskan sebelumnya. Hal ini kerana, seseorang yang mengucapkan kata-kata yang dianggap tabu boleh dianggap sebagai orang yang tidak sopan atau tidak tahu adab dan budi bahasa. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang mementingkan budi bahasa yang tinggi. Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan seseorang itu dikatakan sebagai orang yang tidak berbudi bahasa atau bermulut celupar, sesuatu perkataan yang dikatakan tabu akan dijelaskan dengan panjang lebar melalui
16

kata-kata atau ayat yang berlapis atau berkias. Bentuk kiasan inilah yang merupakan sirkumlokusi yang digunakan sebagai pelarian supaya kata yang menjadi tabu tersebut tidak disebut secara terang-terangan.

Suatu hal yang menarik dalam membicarakan soal kata-kata yang berunsur tabu ialah sesetengah kata tersebut tidak dianggap tabu dalam situasi tertentu. Walaupun pada asasnya semua kata yang dianggap tabu dilarang penggunaannya dalam percakapan, tetapi larangan tersebut adalah terbatas dalam situasi yang tertentu sahaja. Larangan atau sekatan penggunaan kata-kata yang dianggap tabu hanya meliputi aspek rujukan khusus bagi makna asal perkataan tersebut sahaja, misalnya, kata tahi, kencing, dan berak. Sekiranya kata-kata tersebut diucapkan untuk merujuk makna asalnya, iaitu tahi merujuk pada hampas atau sisa buangan manusia yang keluar dari dubur, atau perbuatan kencing dan berak yang dilakukan oleh manusia, kata-kata tersebut dianggap tabu. Walau bagaimanapun, kata-kata tersebut tidak lagi dianggap tabu sekiranya digunakan dalam bentuk nama sesuatu benda atau penyakit atau sifat sesuatu yang berbentuk kiasan. Contohnya, kata majmuk kiasan tahi lalat yang merujuk bintik hitam yang ada pada kulit manusia atau tahi itik, sejenis kuih tradisional di negeri Kelantan. Suatu kejanggalan dalam masyarakat sekiranya kata tersebut ditukar menjadi najis lalat atau najis itik bagi merujuk hal yang sama. Kata kencing malam atau kencing
17

manis yang merujuk sejenis penyakit yang dihidapi manusia juga tidak dianggap tabu, malah orang yang menyebutnya juga tidak berasa segan dan bersalah. Orang yang mendengarnya juga tidak akan tersinggung dan menganggap orang yang

mengucapkannya sebagai tidak sopan. Hal yang demikian kerana, orang yang mendengarnya memahami bahawa kata yang diucapkan itu merujuk nama penyakit, bukannya perbuatan kencing itu.

Begitu juga dengan bentuk peribahasa Melayu yang berbentuk kiasan, seperti macam cicak berak kapur, dan guru kencing berdiri murid kencing berlari. Kata berak dan kencing yang disebut dalam peribahasa tersebut tidak dianggap tabu. Menurut Teo Kok Seong, hal ini berlaku kerana sesuatu perkataan atau ungkapan yang menjadi tabu itu dilarang penggunaannya pada topik dan ranah (bidang) tertentu sahaja. Ungkapan tabu juga tidak akan dianggap tabu sekiranya penggunaannya merujuk pada binatang. Hal ini demikian kerana, sesuatu yang dianggap tabu itu hanya berlaku sekiranya ia melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan manusia sahaja, lebih-lebih lagi yang merujuk kaum wanita. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Teo Kok Seong, tidak betul, tidak perlu, dan amat janggal dari segi sistem bahasa Melayu apabila kita melafazkan atau menulis ungkapan sesopan ini. Kucing jiran sebelah selalu buang air besar di halaman rumah saya. Hal ini bermaksud, walaupun seseorang itu ingin bersikap
18

sopan, penggunaan buang air besar yang digunakan bagi merujuk perbuatan kucing tersebut adalah tidak tepat dalam konteks penggunaan bahasa Melayu, tidak menjadi suatu kesalahan dan tidak pula dianggap tidak sopan seseorang itu sekiranya dia menggunakan ungkapan kucing itu berak.

Sesungguhnya pengetahuan anggota masyarakat dalam soal kesantunan berbahasa, terutama aspek tabu dalam masyarakat Melayu adalah sangat penting. Hal ini demikian kerana, pengetahuan inilah yang menjadi ukuran sama ada seseorang itu berbudi pekerti, berbudi bahasa, beradat atau bersopan santun bukan sahaja dalam pertuturan tetapi juga dalam tingkah laku. Kenaifan seseorang anggota masyarakat dalam soal ini boleh mengakibatkannya dipandang rendah oleh masyarakat. Pengetahuan tentang hal ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan peraturan dalam bermasyarakat dan berbahasa. Sesungguhnya, unsur tabu yang terdapat dalam masyarakat Melayu menyekat seseorang daripada berbahasa dengan

sewenang-wenangnya, tetapi keadaan ini diterima dan dipersetujui oleh anggota masyarakat Melayu seluruhnya. Unsur ini juga diterima dengan baik oleh seluruh anggota masyarakat kerana melalui unsur tabu inilah, wujudnya suatu peraturan yang berkaitan dengan kesantunan dan keperibadian mulia seseorang. Bertepatan pula dengan masyarakat Melayu yang masih kuat berpegang dengan nilai-nilai Timur, unsur tabu tidak
19

menjadi bebanan dalam kehidupan harian mereka malah menjadi suatu kepentingan dan keperluan dalam kehidupan sehari-hari.

KESAN-KESAN PENGGUNAAN TABU DALAM MASYARAKAT

Realitinya, satu persoalan menarik yang boleh diambil iktibar bersama ialah kewujudan tabu dalam bahasa telah menyebabkan pengguna bahasa termasuk pengguna bahasa Melayu mencari kata yang sesuai. Oleh itu, kewujudan tabu telah memberi impak dalam perkembangan bahasa Melayu sendiri. Antara impaknya ialah:

1)

Wujud kata ganti atau kata alternatif

Kewujudan konsep tabu telah menambahkan lagi istilah dan kosa kata dalam Bahasa Melayu untuk menggantikan kata-kata tabu berkenaan. Kata ganti perlu dilakukan agar perkataan tabu tersebut tidak diamalkan kerana mempunyai konotasi yang kurang beradab dan sopan. Langkahnya ialah mendapatkan kata ganti yang sesuai agar bahasanya lebih halus dan sedap bagi orang yang mendengarnya. Antara contoh penggantian kata alternatif yang sesuai untuk menggantikan kata tabu seperti orang rumah untuk isteri, datang bulan untuk haid, buang air merujuk hadas kecil atau besar, najis untuk tahi, tandas untuk jamban, pekerja seks untuk pelacur, buang angin untuk
20

kentut, beranak digantikan bersalin, pengawal keselamatan menggantikan jaga dan sebagainya.

2) Untuk memulihkan perasaan takut

Selain unsur kepercayaan yang menebal dalam masyarakat Melayu dahulu, mereka juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya. Oleh itu, seboleh mungkin mereka tidak mahu bertembung dengan binatang-binatang tersebut kerana mungkin akan mendatangkan bahaya dan kemudaratan. Masyarakat Melayu juga percaya bahawa sekiranya nama binatang seperti harimau, gajah atau babi hutan disebut dengan lafaz nama yang sebenar, mereka akan bertembung dengan binatang tersebut, dan mungkin akan mengganggu atau membawa kemudaratan kepadanya.

21

Selain itu, masyarakat Melayu juga percaya sekiranya binatang-binatang tersebut dicabar, dimarahi atau dikeji dengan kata-kata nista, orang tersebut akan ditimpa musibah yang teruk. Untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, maka masyarakat Melayu mencipta ungkapan-ungkapan tersebut sebagai cara memujuk hati dari perasaan takut terhadap binatang-binatang tersebut. Sebagai contoh, kata Pak Belang bagi

menggantikan harimau yang merujuk belang yang terdapat di badannya, kata akar merujuk kepada ular yang sifatnya menjalar seperti akar pokok. Begitu juga dengan kata orang besar yang menggantikan kata gajah. merujuk sifat gajah yang besar badannya. Istilah tersebut memberi perlambangan bahawa orang yang menyebutnya menghormati gajah yang besar dan kuat yang boleh memusnahkan tanaman dan nyawa manusia. Manakala perkataan batang hanyut pula untuk menggantikan buaya yang sifatnya terapung dan seperti hanyut dalam air. Selain itu, kata datuk atau nenek pula digunakan apabila seseorang melalui tempat tertentu yang dipercayainya wujud penunggu atau hantu. Penggantian kata tersebut untuk menunjukkan bahawa orang yang menyebutnya sangat menghormati penunggu itu dan berharap agar mereka tidak diganggu dan memberi kemudaratan kepadanya. Ini akan dapat mengatasi rasa takut yang wujud dalam diri seseorang yang melalui tempat berkenaan.

22

EUFEMISME

PENDAHULUAN

Apabila wujud istilah-istilah tabu yang dianggap dilarang penggunaannya, maka wujud, unsur eufemisme atau kesantuanan dalam berbahasa. Eufemisme atau kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melanggar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Keadaan ini wujud kerana selepas kedatangan Islam, bangsa Melayu begitu mementingkan adab sopan seperti yang diajarkan dalam Islam. Akhlak yang terpuji seperti yang diajarkan oleh Rasulullah (S.A.W) begitu mempengaruhi masyarakat Melayu Islam, bukan sahaja dalam perbuatan, justeru dalam pertuturan harian. Hal inilah yang membudaya dalam masyarakat Melayu sehingga wujudnya konsep kesantunan atau eufimisme bagi menutup hal-hal yang tabu tersebut.

Eufemisme berasal daripada istilah euphemism yang merupakan frasa menggantikan satu kata tabu atau yang digunakan sebagai menghindari hal-hal yang menakutkan dan kurang menyenangkan. Eufemisme dikatakan berasal daripada kata Yunani yang bermaksud pemakaian kata-kata atau pernyataan dalam bentuk perkataan

23

ataupun frasa yang bersifat lebih lembut dan manis. Melalui eufemisme, kita memperkatakan sesuatu itu seolah-olah sesuatu itu tidak bersifat begitu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), eufemisme ialah ungkapan yang lebih lembut (sopan, manis ) untuk menggantikan ungkapan yang dianggap kasar. Gorys Keraf (2005) pula menyatakan, eufemisme ialah acuan berupa ungkapan yang halus untuk menggantikan acuan yang mungkin dirasakan menghina, menyinggung perasaan, atau mencadangkan sesuatu yang tidak menyenangkan. Manakala Ariff Mohamad dan Siti Khairiah Mohd Zubir (2009) dalam buku Kesusasteraan dalam Pengajaran Bahasa Melayu , eufemisme atau eufemismus terbit daripada kata Yunani, euphemizen yang bererti menggunakan kata-kata dengan erti yang baik atau dengan tujuan baik.

Seterusnya, Nik Basri Nik Abd Kadir (2005) pula mentakrifkan eufemisme ialah sejenis gaya bahasa pertautan yang mengandungi kata atau ungkapan yang lebih halus sebagai pengganti kata-kata atau ungkapan tertentu yang dianggap kasar, keras, tidak menyenangkan, merugikan atau menyakitkan. Namun Zaba, mengatakan eufemisme ialah penggunaan kata-kata yang lebih tertib ketika bergaul yang termasuk dalam kiasan gayang. Kiasan ini lebih menumpukan perhatian kepada penyebutan sesuatu isyarat dengan menggunakan perkataan yang manis dan berupaya menutup sesuatu perkara yang tidak elok bunyinya misalnya kencing diganti dengan buang air kecil.
24

Jelasnya, eufemisme ialah sebagai ungkapan, penggunaan kata-kata tertentu atau kiasan yang diperhalus supaya lebih manis didengar dan tidak mengandungi makna yang kasar, sedap telinga pendengar yang mendengarnya dengan tidak

menyinggungkannya.

JENIS-JENIS EUFEMISME

Terdapat dua jenis eufemisme dalam sesuatu bahasa itu iaitu :

1)

Eufemisme yang telah mantap erti serta penggunaannya. Sebagai

contoh,

meninggal dunia dan kembali ke rahmatullah dalam bahasa Melayu, serta passed away dan be laid to rest dalam bahasa Inggeris, eufemisme untuk mati. Hal ini merupakan eufemisme lama.

2)

Eufemisme yang belum lagi menjadi kebiasaan dalam kalangan penutur bahasa

dengan berkesan. Dengan itu, erti serta penggunaannya masih belum mantap. Sebagai contoh, dismiss dan make away with oneself, haid disebut period, dan beri

kebenaran disebut green light dalam bahasa Inggeris yang merupakan eufemisme baru serta bos yang boleh merujuk kepada ketua di pejabat atau suami di rumah iaitu pasangan kepada isteri.
25

FAKTOR-FAKTOR PEMILIHAN EUFEMISME

Jika dilihat dalam konteks dan budaya masyarakat Melayu, penggunaan eufemisme bukan sekadar ditutur semahunya, sebaliknya bergantung kepada tiga situasi itu berlangsung iaitu:

1)

Dengan siapa perbualan itu berlangsung

Penggunaan eufemisme perlu melihat dengan siapa perbualan itu berlangsung. Hal ini bertujuan untuk berlaku sopan terhadap orang yang diajak bercakap yang merupakan orang yang lebih tua dan berpengalaman. Keadaan ini perlu diteliti dari sudut jarak dan status sosial perbualan itu berlaku. Misalnya, perbualan antara seorang pelajar dengan pensyarah, penggunaan eufemismenya lebih tertib dan kemas serta berlapik berbanding unsur eufemisme antara seorang peniaga biasa dengan orang kampung biasa.

Kedua-dua situasi ini, akan menuntut penggunaan eufemisme yang berlainan dan didapati bahawa kesesuaian situasi juga memainkan peranan yang penting.

2)

Konteks atau status perbualan

Dalam masyarakat Melayu, status seseorang itu turut memainkan peranan penting dalam

26

penggantian eufemisme ini. Sebagai contoh, seorang pengetua sekolah merupakan seorang yang paling tinggi kedudukannya di sekolah, berpendidikan tinggi, berilmu, berkepimpinan, dan wajar seorang yang dihormati, maka penggunaan eufemisme lebih melambangkan kata-kata menghormati dalam konteks ini. Sebagai contoh, kata jamban sewajarnya disebut tandas, kata kencing digantikan buang air dan mampus disebut meninggal dunia. Penggunaan ini lebih sopan dan bersifat menjaga hati dan status seseorang. Ironinya, sebaliknya ungkapan yang berterus-terang seperti mati, mampus, dan kojol yang agak kasar biasanya digunakan untuk merujuk kepada orang biasa seperti pencuri, penjenayah dan benda-benda mati yang lain mengikut kesesuaian konteks.

c)

Tujuan perbualan

Dalam masyarakat Melayu, penggunaan eufemisme dilihat bertujuan untuk menghormati dan berlaku sopan serta menjaga air muka terhadap pihak yang diajak bercakap, amat dititikberatkan. Sebagai contoh, perkataan jenazah merupakan eufemisme bagi mayat yang merujuk kepada orang yang telah meninggal dunia bagi umat Islam. Penggunaan ini bertujuan untuk menghormati keluarga dan orang yang telah

27

meninggal dunia. Selain itu, penggunaan mayat dilihat membawa konotasi yang negatif dan dianggap kasar serta terlampau berterus-terang. Dalam masyarakat Melayu, penggunaan kata-kata yang dianggap tidak sopan akan dianggap sebagai kurang ajar dengan tidak tahu menghormati orang lain.

3)

Taraf pendidikan seseorang

Taraf pendidikan seseorang dikatakan mempengaruhi penggunaan eufemisme dalam dominasi pertuturan bahasa seseorang itu. Sesorang yang hanya berpendidikan setakat darjah enam tentu berbeza eufemismenya dengan penggunaan laras bahasanya yang lebih kasar berbanding dengan seseorang yang berkelulusan universiti kerana dipengaruhi laras bahasa yang lebih lembut, halus dan bersopan.

KESIMPULAN

Pada ketika tertentu, eufemisme yang disamakan sebagai bahasa halus adalah berbeza dengan bahasa tidak sopan. Penggunaan eufemisme yang sopan akan menunjukkan ketinggian akhlak, akal budi dan kejernihan fikiran seseorang begitu juga jika sebaliknya orang yang tidak bersopan pula akan memperlihatkan kerendahan akhlak, tatatertib dan tercemarnya fikiran. Sebenarnya, penggunaan eufemisme berkait dengan konsep tahu
28

bahasa, iaitu tahu cara untuk memilih perkataan yang sesuai apabila berbicara dengan orang lain. Menurut Jeniri Amir (2005), penggunaan eufemisme atau bahasa halus akan memberikan kesan yang besar kepada jiwa seseorang. Pendengar akan berasa sejuk hati, tenteram dan gembira dengan kata-kata yang disampaikan.

Walau bagaimanapun, penggunaan eufemisme akan sering kali digantikan dengan yang baharu kerana yang lama itu atau yang sebelumnya itu akan menjadi kesat dan tidak sesuai lagi digunakan selari dengan perubahan zaman. Apa yang penting ialah, makna perkataan yang ada kaitan dengan topik-topik tabu itu tidak lagi terletak pada perkataan, tetapi sebaliknya terletak kepada pemikiran masyarakat dan budaya yang berkenaan. Menurut Darwis (1997), kini eufemisme atau gaya bahasa halus ini bukan sahaja terhad dalam penggunaan perkataan atau ungkapan sahaja tetapi boleh juga pada keseluruhan ayat, keseluruhan perenggan, bahkan keseluruhan karya yang ditampilkan itu.

29

KESANTUNAN BAHASA PENDAHULUAN Amalan kesantunan merupakan salah satu sifat kemanusiaan yang boleh membezakan antara seseorang dengan seseorang yang lain dalam sesebuah masyarakat apabila melibatkan komunikasi atau interaksi. Menurut Marlyna Maros (2010), gambaran kesantunan dan strategi-strategi yang berkaitan dengan kesantunan ini dapat dilihat dalam manifesatsi linguistik, dan non-linguistik yang melibatkan bahasa tanpa lisan. Menurut Marlyna Maros lagi, kajian tentang strategi kesantunan dalam berbagai lakuan bahasa antara lain menunjukkan beberapa perbezaan strategi dalam mengekalkan kesantunan menurut perspektif sesebuah komuniti bahasa dari dua budaya yang sangat berlainan, iaitu Timur dan Barat. Dalam mendefinisikan kesantunan, pelbagai pendapat diutarakan. Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Brown dan Levinson(1987) mendefinisikan kesantunan sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar. Asmah Hj. Omar (2000), mengaitkan kesantunan bahasa dengan

penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan tersebut akan menimbulkan suasana

30

hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar (Noriati A.Rashid, 2007). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), santun didefinisikan sebagai halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab dan sopan, manakala kesantunan ialah perihal atau sifat kesopanan, kehalusan budi bahasa atau budi pekerti. Menurut Awang Sariyan (2007:1)pula, kesantunan bahasa secara umum merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun. Jelaslah bahawa kesantunan merujuk kepada lakuan-lakuan yang boleh diterima dalam sesebuah masyarakat yang dianggap tidak menyinggung mana-mana pihak semasa berkomunikasi sama ada secara lisan atau tulisan yang melibatkan orang lain. Interaksi atau komunikasi yang memperlihatkan kesantunan akan menimbulkan keharmonian dalam kehidupan seharian. Jika diamati, sama ada definisi dari Timur atau Barat, masing-masing mendefinisikan kesantunan mengikut acuan sendiri tetapi matlamatnya adalah sama.

KONSEP

KESANTUNAN

Dalam membicarakan konsep kesantunan bahasa ini, beberapa model telah

31

diketengahkan oleh beberapa pengkaji-pengkaji bahasa dari Timur atau dari Barat. Model-model yang diketengahkan oleh pengkaji-pengkaji bahasa seperti Model Kerjasama Grice(1975), Model Peraturan Kesantunan Lakoff(1975), Prinsip

Kesantunan Leech(1983), Model Kesantunan Brown dan Levinson (1978 & 1987), Model Perlakuan Politik Verbal Janney dan Arndt(1992), dan Model Asmah(2000). Konsep kesantunan bahasa berdasarkan Al-Quran menurut perspektif Islam turut diketengahkan.

PRINSIP-PRINSIP AL-QURAN TENTANG KESANTUNAN BAHASA Menurut Awang Sariyan (2009), berdasarkan prinsip-prinsip al-Quran, kesantunan bahasa ialah dasar-dasar dan hukum-hukum al-Quran yang mengemukakan panduan dan pedoman dari aspek penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Menurut Awang Sariyan lagi, kesantunan bahasa diukur dengan berdasarkan kepatuhan kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai peraturan bahasa masing-masing. Justeru, jika dipadankan kepada pendapat ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kesantunan berbahasa akan dijuruskan kepada kesantunan berbahasa mengikut prinsip Islam yang

32

diturunkan dalam al-Quran (Mohd Nezeli bin Ahmad,2009). Menurut Marlyna Maros. et al.(2012), prinsip kesopanan berbahasa dalam al-Quran dan hadis berdasarkan analisis wacana. Menurutnya lagi agama menyediakan peraturan tentang dinamika bahasa (bentuk hormat, panggilan, seruan ucap selamat) dan mekanika bahasa (tatabahasa, morfologi, sintaksis dan retorik). Kedua-dua aspek pembelajaran bahasa ini diajar serentak iaitu, gabungan di antara ilmu akhlak dengan ilmu bahasa. Penumpuan terhadap satu aspek sahaja akan membawa implikasi sosial yang negatif seperti kebiadaban. Melalui pengkajian Munif Zariruddin, jelaslah bahawa al-Quran wajar dijadikan sumber untuk mempelajari kesantunan berbahasa. Menurut Mohd Nezeli bin Ahmad (2009), prinsip utama agama Islam dalam kesantunan bahasa berkait rapat dengan dua peranan utama manusia iaitu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sejajar dengan itu, mesej yang meliputi ajaran, nasihat, serta teguran yang dikemukakan perlulah baik dan memberi kesan seperti yang diharapkan serta tidak menimbulkan kemarahan, kebencian dan permusuhan. Begitu juga kesantunan berbahasa juga menyentuh hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia iaitu hubungan dengan ibu bapa, jiran tetangga dan manusia keseluruhan. Dari sisi yang lain, kesantunan bahasa berasaskan agama menjadi titik tolak kepada kesantunan berbahasa yang sebenar kerana agama telah mengemukakan

33

sejumlah besar prinsip kesantunan khususnya dalam aspek komunikasi bahasa. Al-Quran sebagai kitab suci yang lengkap dan mencakupi semua aspek ada mengemukakan prinsip-prinsip kesantunan berbahasa. Berdasarkan Surah Qaf (50:18), Tidak ada suatu kata yang diucapkannya

melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatatkan), kesantunan bahasa dapat dilihat dari segi Prinsip Tanggungjawab Menjaga Lidah. Lidah merupakan alat utama untuk bercakap oleh itu adalah menjadi tanggungjawab dalam menjaga lidah semasa berkomunikasi dengan bertutur menggunakan perkataan yang baik dan untuk tujuan kebaikan. Seseorang yang menjaga lidah akan berfikir panjang natijah dan implikasi pertuturan sama ada memperoleh pahala atau dosa dalam konteks hubungan dengan Allah SWT dan memberi kemaslahatan dalam konteks hubungan dengan manusia agar tidak membawa permusuhan dan kebencian. Prinsip seterusnya ialah Berbicara dengan Lemah Lembut. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut,

mudah-mudahan dia sedar dan takut, Surah Taha (20:44). Kesantunan bahasa berpaksikan kaedah pertuturan iaitu dengan lemah lembut kepada sasaran pertuturan iaitu manusia sekalipun mereka mengingkari Allah SWT. Tujuan kesantunan bahasa ini digunakan agar kita dapat menyampaikan mesej dakwah selaku tanggungjawab kita

34

sebagai khalifah Allah SWT. Prinsip ini juga dapat dilihat dalam surah ali-Imran (3:159) iaitu: Maka disebabkan rahmat Allah engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap kasar dan berhati keras tentulah mereka menjauhkan diri dari engkau. Al-Quran juga mengemukakan Prinsip Melarang Mengeluarkan Perkataan yang Buruk. Perkataan yang buruk seperti menghina, mencarut, mengeluarkan kata-kata kesat dan sebagainya. Selain itu, antara sifat yang dilarang dalam hubungan sosial ialah menggunakan bahasa kesat atau kotor, mencemuh atau menghina serta menyeranah orang lain dalam percakapannya. Allah tidak menyukai perkataan buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Surah an-Nisa (4:148). Prinsip kesantunan bahasa yang turut dikemukakan oleh al-Quran adalah Prinsip Memaafkan. Memaafkan merupakan strategi komunikasi yang melambangkan seseorang itu berjiwa besar, berlapang dada dan memancarkan peribadi yang baik dan terpuji. Memaafkan bermaksud merelakan untuk melepaskan dan membebaskan kesalahan dan kesilapan seseorang. Dalam konteks ini, memberi kemaafan kepada seseorang yang melakukan keburukan kepada kita adalah sifat yang terpuji baik terhadap musuh mahupun sahabat karib. Sekiranya prinsip ini diamalkan akan dapat

35

membina hubungan baik dengan teman bertutur dan menjalin hubungan erat dalam kehidupan bermasyarakat. Prinsip ini dapat dilihat dalam ayat Jika kamu menyatakan sesuatu kebajikan, menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sungguh, Allah Maha Pemaaf, Maha Kuasa,Surah an-Nisa (4:149). Prinsip lain yang dikemukakan oleh al-Quran dalam kesantunan berbahasa ialah Prinsip Hikmah dan Pengajaran yang Baik. Prinsip ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl (16:125), Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik. Kecerahan dan Kejelasan juga merupakan prinsip kesantunan bahasa, berdasarkan firman Allah SWT melalui ayat dalam surah an-Nahli (16:35) yang bermaksud, Maka tidak ada kewajipan ke atas rasul-rasul, selain dari menyampaikan agama Allah dengan terang nyata. Ayat ini jelas membuktikan bahawa antara tanggungjawab para rasul adalah menyampaikan agama Allah dengan terang dan nyata. Prinsip kecerahan dan kejelasan ini perlu kerana fikiran manusia akan menjadi kacau ketika berhadapan dengan kesamaran dan perkara yang sukar difahami. Dalam kesantunan bahasa, Islam memaparkan akhlak yang jelas, yang disukai oleh fitrah manusia iaitu akhlak yang baik, dan mencegah setiap yang buruk dan merosakkan. Seterusnya, prinsip kesantunan bahasa yang digariskan oleh al-Quran adalah

36

Menggunakan Bahasa yang Sesuai dan Baik. Antara ayat al-Quran yang menyarankan perkara ini ialah, dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik , Surah al-Isra(17:53). Dapatan lain adalah dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, Surah al-Baqarah (2:83) serta dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik, Surah an-Nisaa (4:8). Mengumpat juga dikategorikan sebagai kesantunan bahasa yang dapat dikesan. Mengumpat boleh mengundang bahaya yang besar kepada masyarakat. Mengumpat merupakan kata-kata yang menjejaskan nama baik orang lain, boleh membawa fitnah, menggunakan kata-kata keji, cercaan, mencela dan sebagainya. Allah memberi peringatan yang tegas supaya perkara ini dijauhkan melalui ayat, Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci pengeji yang mencemuh dan merendahkan orang lain, Surah al-Humazah (104:1). Contoh ayat lain ialah dan lunakkanlah suara engkau. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara himar (keldai), Surah Luqman (31:19). Prinsip al-Quran tentang kesantunan bahasa yang lain adalah dengan menggunakan Nada Percakapan yang Terkawal dan Sesuai. Suara yang lembut, lunak dan terkawal akan memberi kesan yang baik dan positif dan begitulah sebaliknya kata-kata yang bingit, keras dan melampau akan membawa kemudaratan dan menimbulkan kemarahan seseorang. Kelembutan bicara dan kelunakan suara amat

37

berkesan dalam usaha mengubah manusia. Suara yang lunak akan menikam kalbu dan mampu mengelakkan pertentangan. Bahasa yang baik dari segi suara dan nada akan mendatangkan kebaikan dan kemaslahatan serta mampu menyampaikan mesej-mesej sama ada nasihat, teguran dan lain-lainnya berdasarkan kesesuaian nada dan suara. Contoh ayat ialah Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik, Surah an-Nur (24 :61). Islam juga mengemukakan prinsip kesantunan bahasa melalui Pengucapan Salam. Memberi dan menjawab salam merupakan tuntutan bagi umat Islam. Sesungguhnya amalan memberi dan menjawab salam akan menambah rasa cinta dan kasih sayang antara seisi keluarga dan masyarakat. Pengucapan salam sesama manusia amatlah dituntut sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa (4 : 86) yang bermaksud, Jika engkau semua diberikan penghormatan dengan penghormatan, yakni salam, maka jawablah penghormatan atau salam dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dengan yang serupa dengannya. Kesantunan bahasa yang digariskan melalui strategi salam sangat besar kesannya dalam membina hubungan sosial yang baik dan menjadi asas kepada perkenalan dan perhubungan yang lebih erat. Pengucapan salam merupakan penghargaan kepada seseorang dan hal ini mencerminkan peribadi

38

mulia seseorang dalam berbahasa. Sebagai kesimpulan daripada apa yang dijelaskan di atas berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Mohd Nezeli bin Ahmad (2009), al-Quran banyak mengemukakan prinsip kesantunan berbahasa yang meliputi segenap aspek sesuai dengan sifatnya yang syumul iaitu lengkap dan mencakupi. Bukti al-Quran lengkap dan mencakupi kerana kitab suci ini tidak mengabaikan bidang bahasa dalam mengutarakan prinsip-prinsip kesantunan bahasa. Prinsip al-Quran tentang kesantunan berbahasa bertepatan dan

relevan dalam konteks kaitannya dengan definisi santun berbahasa iaitu kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia, dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.

MODEL-MODEL KESANTUNAN Dalam menganalisis kesantunan bahasa, beberapa model telah dikemukakan sama ada berorientasikan barat atau timur. Model-model ini telah digunakan oleh

pengkaji-pengkaji bahasa untuk meneliti fenomena kesantunan bahasa yang diutarakan dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan Noriati A. Rashid (2007), antara model kesantunan yang sering diaplikasikan dalam kajian-kajian yang telah dibuat ialah Model Prinsip Kerjasama Grice (1975), Model Peraturan Kesantunan oleh Lakoff (1975),

39

Model Prinsip Kesantunan Leech (1983) dan Model Kesantunan Brown dan Levinson (1978 & 1987). Model-model tersebut dibincangkan secara lanjut seperti berikut disamping model-model lain seperti Model Perlakuan Politik Verbal Janney dan Arndt (1992), dan Model Asmah (2000).

MODEL PRINSIP KERJASAMA OLEH GRICE (1975) Prinsip Kerjasama ini berasaskan penggunaan implikatur perbualan dalam menerokai maksud sesuatu ujaran. Menerusi prinsip ini, Grice telah mengemukakan empat maksim yang menjadi panduan dalam mewujudkan kerjasama dalam perbualan.

Maksim-maksim tersebut terdiri daripada Maksim Kuantiti iaitu memberi maklumat yang sempurna yang cukup informatif serta mengelakkan memberi maklumat melebihi daripada apa yang diperlukan. Maksim Kualiti pula memberi maklumat yang betul iaitu melalui maksim ini penutur tidak menyebut sesuatu yang dirasakan tidak betul dan tidak menyebut sesuatu yang tidak cukup dalil atau bukti. Maksim Pertalian pula ialah mengemukakan maklumat yang relevan. Manakala Maksim Cara ialah menyatakan sesuatu dengan cara yang betul dan mudah difahami (Noriati A. Rashid, 2007). Menurut Leech (1983:80), Prinsip Kerjasama dapat mengurangkan kebingungan akibat menggunakan pendekatan semantik yang berteraskan kebenaran. Namun begitu,

40

model ini dikatakan mempunyai kelemahan-kelemahannya yang tersendiri, antara lain maksim-maksim ini tidak mampu bertahan pada peringkat universal kerana tidak semua masyarakat mementingkan maksim-maksim yang terdapat dalam Prinsip Kerjasama ini. Selain itu, maksim-maksim ini sukar bertahan dalam percakapan sebenar. Contohnya dalam Maksim Kuantiti seseorang itu sukar untuk mengesan sama ada ujaran yang disampaikan itu telah cukup maklumatnya atau sudah berlebih-lebih. Dalam Maksim Kualiti pula, tidak semua percakapan memerlukan dalil dan bukti yang kukuh. Demikian juga dalam Maksim Cara, agak sukar untuk ditentukan sama ada sesuatu ujaran boleh difahami maksudnya atau tidak oleh pendengar (Noriati A. Rashid, 2007).

MODEL KESANTUNAN LAKOFF (1975) Lakoff telah mengemukakan tiga peraturan yang harus dipatuhi sekiranya mereka yang terlibat dalam sesuatu perbualan ingin mengekalkan keharmonian perbualan. Antara peraturan tersebut ialah Jangan Memaksa, Berikan Pilihan serta Jadikan Pendengar Selesa. `Jangan Memaksa` merupakan satu peraturan yang digunakan dalam mengekalkan kesantunan secara formal yang diperlukan untuk mengekalkan jarak antara pendengar dengan penutur. Manakala `Berikan Pilihan` pula merupakan peraturan yang digunakan dalam situasi yang tidak formal. Cara ini memberi peluang

41

kepada pendengar untuk membuat pilihan sama ada mahu menerima sebarang permintaan atau menolaknya. Pendengar juga mempunyai peluang untuk berfikir dan bertindak balas terhadap permintaan tersebut bersesuaian dengan kehendaknya. Melalui cara ini permintaan tersebut tidak dirasakan berat dan membebankan pendengar (Noriati A. Rashid, 2007). Satu peraturan lagi adalah `Jadikan Pendengar Selesa` yang dijangkakan akan dapat merapatkan hubungan baik antara penutur dengan pendengar. Cara ini akan menonjolkan perasaan dan sikap positif dengan pendengar. Cara ini juga kerap digunakan di kalangan mereka yang sudah menjalinkan hubungan rapat. Namun begitu, model ini masih terdapat kekurangan biar pun boleh digunakan sebagai asas dalam membina strategi komunikasi antara penutur dengan pendengar. Model ini hanya tertumpu pada kepentingan pendengar dan bersifat egosentrik. Ini bererti dalam sesuatu perbualan, penutur perlu melakukan apa sahaja demi kebaikan dan kepuasan pendengar. Hakikatnya dalam kehidupan, masih banyak topik perbualan yang akan memaksa penutur menyatakan sesuatu yang mungkin tidak disenangi oleh pendengar. Model ini hanya mengutamakan kepentingan pendengar dan tidak akan dapat dipertahankan dalam semua peristiwa bahasa yang mempunyai matlamat yang berbeza (Noriati A. Rashid, 2007).

42

PRINSIP KESANTUNAN LEECH (1983) Model Kesantunan Leech menekankan beberapa maksim iaitu, Maksim Berhemah, Maksim Budiman, Maksim Berkenan, Maksim Merendah Diri, Maksim Persetujuan dan Maksim Simpati. Maksim Berhemah menekankan pengurangan kos dan penambahan faedah kepada orang lain. Manakala Maksim Budiman pula ialah pengurangan faedah dan penambahan kos ke atas diri sendiri. Maksim Berkenan menekankan pengurangan cacian dan penambahan pujian ke atas orang lain. Maksim Merendah Diri pula pengurangan pujian dan penambahan kata-kata kurang memuji(cacian) ke atas diri sendiri. Maksim Persetujuan menekankan pengurangan perselisihan faham dan penambahan persepakatan antara diri dengan orang lain manakala Maksim Simpati ialah pengurangan antipati dan penambahan simpati kepada orang lain (Noriati A. Rashid, 2007). Empat maksim pertama adalah berpasangan kerana maksim-maksim tersebut berada pada skala bipolar, iaitu kos-faedah serta pujian-cacian. Manakala dua maksim terakhir berada dalam skala unipolar, iaitu skala simpati dan skala persetujuan. Walaupun Leech memperkenalkan maksim-maksim tersebut sebagai pengawal dalam sesuatu situasi perbualan, namun beliau berpendapat bahawa maksim-maksim tersebut bukanlah sesuatu rumus yang perlu dipatuhi secara mutlak terutama yang melibatkan

43

submaksim yang lemah sifatnya seperti penambahan cacian ke atas diri sendiri semata-mata untuk menunjukkan kesantunan kita. Selain itu, Leech berpendapat manusia tidak perlu memperlekehkan diri sendiri semata-mata untuk menambahkan pujian dan sanjungan terhadap pihak lain. Maksim tersebut mungkin mewujudkan sangkaan orang lain bahawa kita bersikap tidak jujur dan menimbulkan kebosanan orang terhadap kita. Hakikatnya, manusia tidak perlu mengurangkan sesuatu kebaikan terhadap dirinya semata-mata untuk kebaikan pihak lain, seperti yang dituntut dalam Maksim Budiman dan Maksim Berhemah. Berdasarkan penjelasan di atas ukuran menggunakan skala bipolar mengabaikan kepentingan penutur dan berlaku

ketidakadilan serta kurang praktikal untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Maksim Kerjasama Grice seperti Maksim Kualiti boleh memberi keseimbangan dalam mewujudkan kerjasama yang berterusan dalam sesuatu perbualan (Noriati A. Rashid, 2007). Jika diamati maksim-maksim yang diperkenalkan oleh Leech boleh dianggap serasi dengan kesantunan yang digariskan Islam memandangkan pembinaan maksimnya berlandaskan keluhuran dan budi. Apa yang dikemukakan oleh Leech seperti Maksim Berhemah, Maksim Budiman dan Maksim Merendah Diri merupakan sifat-sifat peribadi yang memperlihatkan kesantunan seperti yang dituntut dalam Islam.

44

KONTRAK PERBUALAN FRASER (1990) Berdasarkan Kontrak Perbualan Fraser, dalam sesuatu perbualan setiap pihak akan memahami set-set kebenaran dan kewajipan seperti yang dijangkakan. Semasa sesuatu perbualan berlangsung, wujud kontrak antara mereka yang akan mendorong kedua-dua pihak (penutur dan pendengar) melakukan penyesuaian menepati kebenaran dan kewajipan yang dipegang dan dipercayai. Menurut Fraser (1990:233), seseorang penutur yang rasional sentiasa sedar bahawa tindakannya adalah dalam lingkungan kekangan perundingan. Sekiranya penutur tidak mampu bertindak demikian, maka penutur dikatakan tidak santun. Maka kesantunan itu merupakan keupayaan peserta memenuhi set-set kebenaran dan kewajipan dalam ujaran (Noriati A. Rashid, 2007). Gagasan utama dalam model ini ialah kebebasan seseorang mengujarkan sesuatu bergantung kepada sifat hubungan antara mereka yang terlibat dalam perbualan tersebut. Pendekatan ini beroperasi melalui dua rumus, iaitu rumus umum dan rumus khusus. Rumus umum ialah peraturan-peraturan yang ada dalam perbualan seperti giliran bercakap, strategi bercakap, pemilihan bahasa, gaya komunikasi dan maklum balas. Manakala rumus khusus menekankan tujuan dan matlamat percakapan, medan makna dan ciri-ciri penutur. Rumus khusus ini sebenarnya memberi penekanan ke atas lakuan bahasa yang akan diujarkan. Misalnya, penutur yang mempunyai status dan

45

kuasa akan lebih bebas mengujarkan sesuatu lakuan bahasa. Demikian juga bentuk hubungan antara penutur dengan pendengar akan mempengaruhi kandungan ujaran (Noriati A. Rashid, 2007). Walau bagaimanapun strategi ini tidak langsung menyentuh peranan masyarakat, pengiktirafan sosial serta peranan dan kedudukan individu di kalangan masyarakatnya. Moa (1994:470) berpendapat kontrak perbualan tersebut hanya tertumpu terhadap hak dan kewajipan peserta dalam perbualan tanpa berkait dengan tuntutan masyarakat. Model ini tidak sesuai dengan masyarakat jepun ataupun China. Dalam konteks Islam, kontrak perbualan perlu berasaskan perhubungan antara manusia dengan Tuhan kerana kontrak tersebut lebih teguh. Keteguhan kontrak manusia dengan Tuhan akan menjadikan kontrak antara manusia dengan manusia menjadi lebih seimbang (Noriati A. Rashid, 2007).

MODEL KESANTUNAN BROWN DAN LEVINSON (1978&1987) Model kesantunan Brown dan Levinson mengemukakan pembahagian muka kepada dua kehendak, iaitu muka positif dan muka negatif. Muka positif ialah kehendak seseorang untuk dihargai dan diterima oleh orang lain. Manakala muka negatif berupa kehendak untuk mempertahankan hak dan keinginan supaya tidak diganggu. Dengan dua

46

kehendak muka ini, B&L telah mengemukakan beberapa strategi supaya dapat digunakan bagi mengurangkan ancaman muka seseorang. Antara strategi yang dikemukakan iaitu melakukan Tindakan Ancaman Muka(TAM) dan Tidak Melakukan Ancaman Muka(Noriati A. Rashid, 2007). Dalam melakukan Tindakan Ancaman Muka (TAM), B&L mengemukakan Strategi Berekod dan Strategi Tanpa Rekod. Dalam Strategi Berekod, sekiranya penutur menggunakan Strategi Tanpa Penyesuaian, ujaran tersebut akan menjadi kurang santun. Oleh itu, bagi mengekalkan kesantunan, penutur hendaklah menggunakan strategi yang mampu mengurangkan TAM, iaitu Strategi Penyesuaian menerusi Strategi Kesantunan Positif dan Kesantunan Negatif. Strategi Secara terang-terangan tanpa penyesuaian dikatakan strategi yang jelas, telus, ringkas dan tidak kabur. Strategi ini menepati maksim kualiti dan maksim kuantiti yang disarankan oleh Grice. Strategi ini dipilih apabila penutur dan pendengar saling memahami dan dalam keadaan-keadaan seperti kecemasan strategi ini adalah sesuai (Noriati A. Rashid, 2007). Kesantunan Positif pula ialah ujaran yang mengandungi maksud bahawa muka positif pendengar diutamakan dan kehendak muka penutur dan pendengar mempunyai persamaan. Antara ujaran yang dikatakan berada dalam strategi kesantunan ini ialah pujian, Kata-kata ucapan seperti tahniah, penghargaan, simpati dan bersetuju.

47

Kesantunan Negatif pula merupakan strategi kesantunan yang menggambarkan rasa hormat terhadap hak dan kebebasan seseorang daripada menghadapi ancaman muka apabila dikenakan sesuatu pengenaan. Strategi ini mencakupi ciri-ciri kawalan dan formaliti semata-mata untuk mengekalkan imej diri pendengar. TAM akan dibetulkan dan diubahsuaikan bagi memastikan pendengar tidak berasa tertekan atau serba salah untuk membuat keputusan sama ada sanggup menerima atau menolak pengenaan ke atasnya. Dalam strategi ini penggunaan kata-kata seperti `maaf` didahului sebelum menyatakan sesuatu maksud bagi menunjukkan rasa hormat penutur kepada pendengar contohnya Maaf tuan, boleh saya jumpa tuan sebentar?. Selain itu, ujaran dalam bentuk ayat Tanya memberi peluang kepada pendengar menentukan pilihan mengikut kehendaknya, contoh Boleh tolong saya angkat buku ini? (Noriati A. Rashid, 2007). Strategi Tanpa Rekod melibatkan penggunaan kata metafora ironi. Kenyataan yang tersirat serta kata kiasan dan peribahasa. Maksud penutur adalah samar-samar bagi mengelakkan penutur daripada dipertanggungjawabkan dengan sebarang interpretasi. Strategi ini adalah untuk mengekalkan penghormatan ke atas muka pendengar dengan menepati kehendak muka negatifnya (Noriati A. Rashid, 2007).

48

MODEL PERLAKUAN POLITIK VERBAL JANNEY DAN ARNDT (1992) Konsep Perlakuan Politik Verbal itu tidak jauh bezanya dengan konsep mengurangkan TAM di dalam B&L yang merupakan usaha individu menyesuaikan ujarannya dengan suasana dan aktiviti sosial. Janney dan Arndt(1992:22), membahagikan kesantunan kepada dua bentuk, iaitu kesantunan sosial dan berhemah. Kesantunan dikatakan berpunca daripada kehendak manusia menjalinkan suatu bentuk interaksi yang lancar. Mereka menganggap perlakuan manusia selalunya berasaskan jangkaan yang boleh melahirkan keselarasan sosial serta pengekalan komunikasi. Fungsi kesantunan sosial adalah membentuk strategi perlakuan yang lemah lembut dan berulang-ulang dalam situasi sosial. Berhemah pula berpunca daripada kehendak manusia untuk

menyelamatkan muka memandangkan manusia berasa risau sekiranya berlaku sesuatu yang boleh menyebabkan hilang muka(losing face). Dalam sesuatu interaksi sosial, manusia saling bergantung dan berharap agar mampu mengekalkan kerjasama dan menyeimbangkan rasa hormat untuk mengekalkan muka. Berhemah bukan sekadar bertujuan untuk mengelakkan konflik malahan merupakan perlakuan sosial yang betul yang melibatkan empati kepada orang lain, tidak menyebut atau melakukan sesuatu yang mengancam dan menyinggung orang lain. Berhemah dalam sesuatu budaya melibatkan perlakuan verbal dan bukan verbal. Berhemah berfokus pada dua asas

49

kehendak muka, iaitu: Kehendak untuk tidak dihalang, bebas dan memastikan diri tidak diganggu dan memelihara hak peribadi dan kehendak supaya diterima, dihargai atau dihormati oleh pihak lain (Noriati A. Rashid, 2007).

MODEL ASMAH (2000) Asmah Haji Omar membahagikan kesantunan kepada Kesantunan Asas dan Kesantunan Berkendala. Kesantunan Asas merupakan kesantunan yang menjadi pedoman kepada ahli masyarakat untuk berhubung antara satu sama lain dengan cara menunjukkan sikap berbaik-baik antara mereka. Manakala kesantunan berkendala merupakan usaha yang dilakukan dalam sesuatu interaksi dengan menekankan kendala-kendala tertentu iaitu taraf dan peranan orang yang bercakap dengan kita. Di mana dan bagaimana keadaan percakapan itu berlaku. Apa yang dipercakapan itu berlaku. Mengapa percakapan itu berlaku serta cara percakapan itu disampaikan sama ada secara bersemuka, melalui telefon, telesidang dan sebagainya (Noriati A. Rashid, 2007). Kesantunan Berkendala ini menekankan perhatian terhadap peranan sosial pihak yang terlibat dalam percakapan, serta penyesuaian peraturan pertuturan dengan keadaan itu. Asmah berpandangan bahawa Kesantunan Asas ada perkaitannya dengan didikan awal yang diterima oleh seseorang manakala Kesantunan Berkendala sebagai

50

strategi yang merupakan tambahan kepada Kesantunan Asas. Sehubungan itu, beliau merumuskan bahawa Kesantunan Berkendala ialah Kesantunan asas yang disertai dengan strategi komunikasi. Menurut Hymes (1977), kendala-kendala yang

mempengaruhi kesopanan dalam suatu peristiwa bahasa tersebut merangkumi faktor-faktor iaitu siapa bercakap apa dengan siapa, di mana, mengapa dan bagaimana (Rohaidah Mashudi, 2013). Jadi apabila seseorang itu bertutur, beberapa perkara perlu diambil kira supaya apa yang dipertuturkan menepati kehendaknya dan pendengar. Asmah mengemukakan beberapa strategi komunikasi yang santun dalam perbincangan. Strategi yang dianggap menandai kesantunan melibatkan faktor-faktor pengakuan adanya perkaitan peranan antara peserta yang terlibat dalam rundingan, kesedaran terhadap perbezaan taraf sosial di kalangan peserta, kesedaran akan kuasa yang ada pada sesuatu peranan, menjaga air muka dan kepatuhan pada tajuk dan peraturan rundingan.

PERATURAN BAHASA SEBAGAI ASAS KESANTUNAN BAHASA Menurut Awang Sariyan (2007), Kesantunan bahasa diukur berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai peraturan bahasa masing-masing. Asmah

51

Haji Omar(2002), merumuskan bahawa terdapat tiga jenis peraturan penggunaan bahasa iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik. Peraturan linguistik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi. Terdapat dua faktor mengapa peraturan linguistik perlu diberi perhatian dalam urusan dan majlis rasmi iaitu menjaga kesempurnaan perjalanan urusan atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan. Selain itu, untuk memastikan bahawa semua yang hadir atau terlibat dengan urusan atau majlis rasmi itu saling memahami pada tahap yang sebaik-baiknya dan tidak mengalami jurang komunikasi disebabkan kelainan dialek atau ragam bahasa yang digunakan oleh sesuatu pihak (Awang Sariyan, 2007). Peraturan sosiolinguistik berkaitan dengan penggunaan bahasa yang

menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya penggunaan kata sapaan yang betul sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat.

52

Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara dengan khalayak, faktor suasana (misalnya antara suasana rasmi dengan suasana tidak rasmi), faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media iaitu lisan atau tulisan (Awang Sariyan, 2007). Peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi. Peraturan ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan . Oleh itu, dalam perundingan, jual beli, ceramah dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan peraturan pragmatik supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang sama kesopanan bahasa terpelihara dan pembicara tidak menyakiti perasaan orang lain. Dalam bidang ilmiah, ilmu yang berkaitan dengan peraturan pragmatik disebut retorik. Antara yang dipentingkan termasuklah pemilihan kata, ungkapan, dan wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara. Dalam wacana, misalnya dapat dipilih wacana jenis penceritaan, pemaparan, penghujahan dan pembujukan (Awang Sariyan, 2007).

KESANTUNAN DALAM KONTEKS MASYARAKAT MELAYU Menurut Awang Sariyan (2007), kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu, yang

53

menjadi penghuni teras di Kepulauan Melayu sejak dua alaf lalu, merupakan salah satu warisan yang penting dalam pembentukan keperibadian bangsa hingga kini. Kesantunan bahasa menggambarkan kehalusan budi, pemikiran, falsafah, sistem nilai, sistem masyarakat dan seluruh aspek kebudayaan itu sendiri. Unsur-unsur kesantunan bahasa dirakamkan dalam pelbagai karya persuratan seperti hikayat, syair, pantun, gurindam dan seloka serta tradisi seperti penglipur lara, wayang kulit dan menora. Salah satu bentuk bahasa ialah peribahasa, sama ada dalam bentuk yang dikenali sebagai simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan ,pepatah, perbilangan mahupun kata hikmat. Menurut Awang Sariyan (2007) lagi, semua karya-karya tersebut disusun dalam bahasa yang berperaturan, baik daripada sudut peraturan linguistiknya, peraturan sosiolinguistik mahupun peraturan pragmatiknya. Pelbagai adat istiadat, majlis dan upacara itu telah berlangsung dengan berasaskan tatacara dan peraturan tertentu, termasuk tatacara dan peraturan yang berkaitan dengan kesantunan bahasa. Huraian dan dialog yang dikemukakan jelas menggambarkan penggunaan bahasa yang santun dan beradab. Kesantunan bahasa juga digunakan sebagai sebahagian unsur tatacara dalam majlis, upacara dan urusan. Antara unsur kesantunan bahasa yang masih digunakan termasuklah kata ganti nama diri, gelar, panggilan hormat dan

54

bentuk bahasa yang rasmi dalam pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan majlis seta upacara rasmi. Menurut Amat Juhari Moain (1989), dalam masyarakat Melayu terdapat suatu sistem sapaan dan panggilan yang tertentu. Sistem sapaan dan panggilan ini terdapat dalam hubungan antara anggota-anggota dalam lingkungan keluarga, kaum kerabat, persanakan, dan seterusnya dalam hubungan dengan masyarakat yang lebih besar. Menurut Amat Juhari Moain lagi, sistem ini termasuk hubungan di antara orang-orang yang memerintah, orang-orang yang diperintah, orang-orang yang bergelar menerusi pewarisan atau keturunan, dan juga orang-orang yang bergelar melalui pengurniaan atau penganugerahan daripada raja atau pembesar negeri atau yang lainnya. Menurut Noriati A. Rashid (2007), sistem penggilan dan penggunaan ganti nama diri dikaitkan dengan kesantunan untuk menghormati orang lain. Kesantunan ini melahirkan sistem panggilan yang pelbagai dalam keluarga Melayu seperti Abang Long, Abang Ngah dan Usu. Golongan yang muda juga ditegah sama sekali membahasakan diri dengan `aku` yang dianggap tidak santun malahan kasar apabila digunakan kepada orang yang lebih dewasa. Panggilan-panggilan ini akan membina hubungan kasih sayang, keakraban, malah menghindari perasaan benci dan

55

permusuhan. Gambaran berkaitan kepentingan kesantunan bahasa dalam kehidupan bermasyarakat Melayu juga dapat dilihat dalam peribahasa dan pantun. Peribahasa dan pantun menekankan kepentingan masyarakat menjaga kesantunan bahasa ketika berkomunikasi(Awang Sariyan, 2007). Manakala Noriati A. Rashid(2007), mengaitkan kesantunan dengan nilai. Nilai dalam masyarakat Melayu mempunyai hubungan tiga penjuru iaitu, hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Menurut Noriati lagi, nilai utama pastinya berpandukan hubungan antara manusia dengan Tuhan. Apa sahaja yang ditegah oleh Tuhan menjadi perkara yang perlu dielakkan oleh manusia. Sebaliknya apa yang diperintahkan-Nya perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Tuhan telah memaklumkan apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk manusia. Wan Abdul Kadir (2000:87) dalam Noriati A. Rashid (2007), berpendapat, bagi menegakkan sistem nilai, orang Melayu menekankan beberapa konsep yang diutamakan dalam kehidupan seharian mereka, iaitu konsep malu, harga diri, maruah, dan air muka. Semua konsep ini menentukan tanggapan terhadap nilai yang terdapat dalam kehidupan orang Melayu.

56

KESIMPULAN Secara keseluruhannya, kesantunan bahasa dari kajian barat dan timur mengandungi persamaan dan perbezaan. Barat mengenengahkan kesantunan bahasa berlandaskan budaya masyarakat setempat begitu juga timur yang mengenengahkan kesantunan berdasarkan nilai-nilai setempat. Kesantunan bahasa menurut agama seperti mana yang terdapat di dalam kitab suci al-Quran lebih universal kerana mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Kesantunan bahasa berdasarkan agama mempunyai persamaan dalam kalangan masyarakat Islam antarabangsa kerana benpandukan kitab suci al-Quran yang perlu dijadikan pedoman hidup oleh semua umat Islam. Di Malaysia

pengkajian-pengkajian pengaplikasian model kesantunan bahasa masih tertumpu kepada bentuk model tokoh-tokoh bidang ini seperti Grice, Leech, serta Brown & Levinson. Kesantunan bahasa menurut al-Quran dan hadis wajar diketengahkan kerana prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya boleh diterima pakai kerana bersifat universal dan sesuai digunakan bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan makmur.

57

BAHASA DAN GENDER PENDAHULUAN Bahasa dan gender adalah satu bidang kajian dalam sosiolinguistik, bahasa yang digunakan, dan bidang berkaitan yang mengkaji jenis ucapan yang berkaitan dengan jantina, atau norma-norma sosial untuk penggunaan bahasa bergender tersebut. Pelbagai ucapan (atau sosiolek) yang berkaitan dengan jantina tertentu kadang-kadang dipanggil genderlek. Kajian jantina dan bahasa dalam sosiolinguistik dan kajian gender dikatakan telah bermula sejak tahun 1975 melalui buku Robin Lakoff yang bertajuk, `Language and Woman's Place`. Selain Lakoff, antara pengkaji-pengkaji terkemuka lain termasuk Deborah Cameron, Penelope Eckert, Janet Holme dan Deborah Tannen (wikipedia.org, On-line). Penggunaan bahasa sebenarnya dipengaruhi oleh berbagai-bagai unsur seperti jantina ,kelas sosial, kumpulan etnik, pendidikan dan lain-lain lagi.Variasi bahasa berdasarkan unsur jantina adalah yang paling hampir dengan kita dan sama ada disedari atau tidak disedari perkara ini memang berlaku (Izani Hj Daud, 1997). Berdasarkan kajian-kajian dan pemerhatian-pemerhatian yang telah dilakukan oleh ahli-ahli bahasa, sememangnya terdapat perbezaan-perbezaan tertentu dalam bahasa yang digunakan oleh lelaki dan perempuan. Terdapat pelbagai sebab diutarakan oleh ahli-ahli bahasa berkaitan perbezaan bahasa berdasarkan gender.

58

BAHASA DAN GENDER Seorang sarjana, W.A.Wolfram (1969), menyatakan bahawa kebanyakan kajian sosiolinguistik yang dilakukan membuktikan faktor jantina merupakan faktor sosial yang kuat mempengaruhi penggunaan bahasa sesuatu komuniti di samping faktor-faktor lain. Hal Ini kerana terdapatnya perbezaan bahasa dalam penggunaan bahasa antara lelaki dan wanita. Menurut Trudgill (1984) pula, penggunaan bahasa ada kaitan dengan identiti seseorang. Wanita menggunakan jenis bahasa yang khusus bagi wanita sebagai satu cara mengidentifikasikan diri seseorang itu sebagai wanita dan berkelakuan sebagai wanita (Izani Hj. Daud, 1997). Jadi bahasa seseorang itu dapat dikenal pasti bentuk perlakuan seseorang. Lelaki berkelakuan kelelakian dan akan bertutur cara lelaki manakala perempuan berkelakuan keperempuanan dan akan bertutur cara perempuan. Berbanding dengan lelaki, perlakuan wanita adalah lebih lembut. Sesuai dengan sifat lemah-lembut seorang wanita itu, maka ujarannya juga adalah lembut. Misalnya, dalam mendapat kepastian kepada sesuatu persoalan, wanita akan membuat maklum balas dengan menggunakan frasa Ya kah?. Berbanding dengan lelaki akan berkata, macam mana boleh jadi begitu. Kedua frasa ini memberi implikasi yang berbeza. Sifat wanita yang lembut lebih mengakur kepada apa yang diperkatakan, berbeza daripada lelaki yang lebih agresif yang memerlukan seolah-olah penjelasan

59

yang lebih lanjut dalam sesuatu perkara (Izani Hj. Daud, 1997). Dengan ini, sifat seseorang wanita dan lelaki akan menentukan gaya pertuturan mereka. Dalam kajian yang lain pula, didapati bahasa yang digunakan oleh lelaki itu adalah lebih kepada meminta perhatian, mendominasi, berwibawa, agresif dan lebih berterus-terang sedangkan wanita dirumuskan sebagai lebih mesra, berlemah-lembut dan bersemangat serta lebih agresif (Kramer,1978). Contohnya, lelaki akan berkata Thank you, manakala wanita akan berkata Thank you so much. Daripada kata ini menunjukkan wanita lebih mesra atau menyanjung seseorang berbanding dengan lelaki yang bersahaja (Izani Hj. Daud, 1997). Sifat biasa atau yang menjadi kelaziman dalam pertuturan boleh berubah mengikut situasi atau keadaan tertentu. Umpamanya, wanita yang bekerja di pejabat terutamanya yang berjawatan tinggi, akan memberi arahan yang lebih berkuasa. Walaupun beliau seorang wanita tetapi persekitaran tempat kerja menghendaki beliau berperilaku (pertuturannya) sedemikian dalam berkomunikasi. Keadaan ini bukanlah sifat semulajadi wanita tetapi hanyalah buat seketika sahaja, kerana apabila beliau keluar dari pejabat atau kembali ke rumah, beliau akan pulih semula sebagai seorang wanita yang penuh dengan sifat lemah-lembut iaitu kepada ciri-ciri kewanitaannya. (Izani Hj. Daud, 1997).

60

Peter Trudgill dalam terjemahan Nik Safiah Karim(1984), berpendapat bahawa apabila perbezaan antara peranan sosial lelaki dan wanita dalam sesuatu masyarakat menjadi lebih besar dan lebih ketara, maka lebih besar dan tegas pula perbezaan linguistiknya. Menggunakan jenis bahasa yang khusus bagi wanita adalah satu cara mengidentifikasikan diri seseorang itu sebagai wanita dan berkelakuan sebagai wanita. Kajian dilakukan ke atas lelaki Carib yang menggunakan bahasa orang perempuan. Kaum wanita menggunakan perkataan dan frasa yang tidak pernah digunakan oleh orang lelaki dan sekiranya lelaki menggunakannya, mereka akan ditertawakan. Begitu juga dengan lelaki, dalam situasi tertentu ujarannya akan menjadi lebih lembut, misalnya mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan. Sebagai pendidik atau guru, pertuturannya dalam bilik darjah akan menampakkan perbezaan iaitu lebih mesra dan lemah-lembut. Tetapi dalam situasi biasa penggunaan bahasanya adalah lebih keras. Penggunaan bahasa antara lelaki dan wanita juga boleh dilihat daripada sudut sebutan seperti wanita adalah lebih cenderung menggunakan bahasa baku atau bentuk-bentuk prestij berbanding lelaki. Manakala dari segi keyakinan semasa bertutur, lelaki lebih menunjukan keyakinan berbanding dengan wanita yang kerap kali mengakhiri kenyataan-kenyataan dengan tanda tanya kerana tidak yakin terhadap dirinya sendiri (Izani Hj. Daud, 1997).

61

Sementara itu, Holmes(2001) menyatakan bahawa lelaki tidak banyak menggunakan soalan tag sebagaimana yang berlaku pada wanita. Lakoff (1975) menyatakan bahawa wanita banyak menggunakan soalan tag, ciri-ciri kesopanan, `intensifier (so tired)`, `hedges (well, like)`, dan tidak pandai melawak(Izani Hj. Daud, 1997). Peter Trudgill dalam terjemahan Nik Safiah Karim(1984), mendapati bahawa kaum wanita dalam masyarakat bahasa Inggeris di seluruh dunia menggunakan bentuk-bentuk yang dianggap lebih baik atau lebih betul dari kaum lelaki. Perkara ini berlaku kerana kaum wanita lebih sedar akan status daripada kaum lelaki. Oleh itu, mereka lebih sensitif kepada kepentingan sosial ciri-ciri linguistik yang ada hubungannya dengan kelas sosial. Selain itu, cara pertuturan kelas pekerja juga dikaitkan atau menimbulkan unsur-unsur kelelakian. Dari itu, besar kemungkinan lelaki lebih cenderung kepada cara pertuturan bukan standard kerana faktor kelas pekerja. Perubahan-perubahan yang berlaku dalam kelas sosial (kelas atasan lebih berstatus berbanding kelas rendah) telah memberi tekanan ke atas penutur-penutur sesuatu masyarakat bahasa supaya mencapai taraf yang lebih tinggi atau kelihatan menggunakan bahasa yang lebih betul. Tekanan ini lebih dirasai oleh wanita oleh kerana mereka lebih sedar akan status. Sebaliknya terdapat juga tekanan-tekanan yang berupa galakan kepada penggunaan bentuk-bentuk yang bukan standard dan tidak begitu tinggi tarafnya

62

sebagai penanda solidariti kumpulan dan identiti keindividuan. Tekanan-tekanan ini lebih dirasai lelaki kerana konsep kelelakian yang wujud dalam masyarakat. Dari itu, pertuturan kaum lelaki akan bersifat kurang betul dari pertuturan kaum wanita. Menurut Nik Safiah Karim (1992), lelaki banyak menggunakan bahasa yang tidak standard dan tidak sopan. Menurut Hay (1995)pula, lelaki menggunakan bahasa yang tidak standard dan tidak sopan kerana mereka tidak memerlukan pengiktirafan status sosial dalam sebuah komuniti, manakala wanita pula menggunakan bahasa standard kerana mereka memerlukan pengiktirafan dirinya sebagai orang yang mempunyai status sosial yang tinggi daripada yang tidak menggunakan bahasa standard. Bagi lelaki, sama ada mereka menggunakan bahasa standard ataupun tidak, tidak sama sekali mempengaruhi status sosial mereka (Izani Hj. Daud, 1997). Lakoff (1975) pula menyatakan bahawa lelaki tidak banyak menggunakan pengistilahan warna seperti beige, aquamarine, lavender, dan lime kerana istilah ini dianggap sebagai satu perkara yang remeh oleh lelaki. Holmes(2001) pula, mendapati beberapa masyarakat lelaki dan wanita di Yana, Amerika Utara dan di Chiquita, Amerika Selatan serta di Jepun menggunakan bahasa yang berbeza antara lelaki dan wanita semasa mereka berkomunikasi. Ini kerana kaum lelaki dan wanita mempunyai identiti bahasa mereka sendiri semasa berbual sesama mereka. Sebaliknya kaum wanita

63

harus menggunakan bahasa yang berbeza semasa berkomunikasi dengan kaum lelaki bagi menunjukkan status yang tinggi kepada kaum lelaki. Dapatan daripada kajian yang dilakukan di Amerika menunjukkan terdapat perbezaan jelas di antara bahasa lelaki dan bahasa wanita. Maureen O'Conner (1968) telah mengkaji perubahan bahasa yang terpaksa dilakukan oleh orang lelaki yang menjalani pembedahan untuk mengubah jantina menjadi wanita. Dari segi intonasi bahasa, wanita biasanya menggunakan suara yang lebih halus dan tingi. Maureen O'Conner (1968) telah mengkaji perubahan bahasa yang terpaksa dilakukan oleh orang lelaki yang menjalani pembedahan untuk mengubah jantina menjadi wanita. Orang lelaki tersebut terpaksa belajar menggunakan suara yang lebih halus dan tinggi. Di samping itu, O'Conner juga mendapati ada banyak lagi dapatannya yang menunjukkan perbezaan bahasa lelaki dan wanita termasuk pola intonasi, pola ayat, kosa kata, dan bahasa badan yang menyaingi pertuturan. Tetapi, wanita yang menjadi lelaki tidak mengalami banyak masalah. Pola bahasa wanita mudah diterima oleh lelaki. Walau bagaimanapun, lelaki yang menjadi wanita mengalami kesukaran dari segi bahasa. Lelaki juga perlu mula bercakap tentang topik-topik yang menjadi perbincangan wanita seperti pakaian, harga barang rumah, hal-hal anak, resipi memasak dan sebagainya. Di samping itu lelaki perlu belajar menggunakan pola intonasi wanita yang meninggi pada

64

hujung ayat dan terpaksa belajar menggunakan ayat yang menggunakan soalan di akhir ayat. Malah, terpaksa belajar menggunakan bahasa yang berlapik-lapik. Pendek kata, terpaksa belajar menggunakan bahasa wanita. (bahasa_dan_jantina, On-line). Ini jelas menunjukkan bahawa jantina mempengaruhi pelbagai sudut bukan setakan dari segi fizikal malah dari segi berbahasa. Berdasarkan bahasa_dan_jantina (On-line), ciri-ciri bahasa wanita

dibandingkan dengan lelaki adalah seperti berikut: 1. Gaya bahasa berlapik. Gaya bahasa berlapik, ialah ungkapan yang menggunakan frasa "saya rasa, mungkin, agaknya, saya kira, mungkin juga, saya bukan pakar, dan saya hanya mewakili polan bin polan. Umumnya, lelaki kurang menggunakan bahasa berlapik apabila bercakap. Para pengkaji mendapati bahawa gaya bahasa berlapik-lapik ini tidak tegas, manakala gaya bahasa lelaki adalah memaksa. Dengan menggunakan ungkapan begini, penuturnya tidaklah perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang dikatakannya. Sekiranya beliau membuat kesalahan, ia adalah wajar sebab itu bukan tugas beliau. 2. Bahasa tidak pasti. Bahasa tidak pasti berdasarkan ayat-ayat soalan juga lebih kerap diucapkan oleh wanita berbanding lelaki. Penggunaan ayat soalan ini menandakan penuturnya tidak pasti tentang apa yang diucapkannya. Walaupun sudah tahu, tetapi

65

mereka masih menyoal. 3. Bahasa agresif lebih berkuasa. Ada kajian yang mendapati bahawa wanita adalah lemah lembut dan suka mengalah, mudah dipengaruhi oleh tekanan orang, dan lebih responsif terhadap keperluan orang lain. Oleh sebab itu, bahasa wanita dikatakan lebih lembut, sensitif, ramah, dan ikhlas. Wanita juga lebih suka memberi respons terhadap ulasan orang, lebih berusaha untuk mengekalkan percakapan, dan membalas secara positif percakapan orang. Orang lelaki pula dikatakan lebih kerap memulakan percakapan daripada mengekalkan dan menerima respons dalam percakapan. Lelaki didapati lebih kerap memotong dan menyangkal percakapan orang lain. Ini menunjukkan lelaki menggunakan lebih banyak gaya bahasa yang agresif. Oleh sebab itu, bahasa lelaki dikatakan mempunyai lebih kuasa sosial dalam berkomunikasi. 4. Bahasa paling. Bahasa wanita juga dicirikan oleh ungkapan yang

membesar-besarkan, melebih-lebihkan, menekankan, dan rentetan tidak logikal. Ini dianggap sebagai ciri-ciri bahasa yang tidak persis atau lebih emosional. Ungkapan begini menggunakan lebih banyak perkataan, kata penguat (seperti: sangat, juga, tentu, dan lain-lain), kata emosi (seperti: suka, benci, meluat, dan lain-lain) dan soalan hujungan (seperti: ya tak? bukan? kan?). Kesemuanya menunjukkan bahasa

66

wanita itu tidak jelas dan tepat dalam berkomunikasi. Lelaki pula, kurang menggunakan kata-kata berlebihan. 5. Bahasa tanpa kecuali. Bahasa yang dituturkan oleh wanita, juga mempunyai ciri tanpa kecuali. Ungkapan yang menggunakan perkataan "semua, seluruh, sememangnya, tidak pernah," dan lain-lain menunjukkan bahasa tanpa kecuali, iaitu bahasa tidak tepat. Ungkapan seperti "Dia sentiasa rajin, Kamu selalu lambat, Semua orang sudah membelinya, Awak tak pernah bawa saya ke Singapura." adalah ungkapan tanpa kecuali. Untuk mengatakan "Dia sentiasa rajin," adalah mengecualikan kemungkinan dia tidak pernah malas. Ungkapan "semua orang sudah membelinya" mengecualikan kemungkinan satu orang tidak membelinya. Ungkapan seperti ini tidak tepat, sebab kecuali tentu ada. Bahasa tanpa kecuali ini juga membawa kesan yang rendah. Malah dalam sebuah pemerhatian di dalam mahkamah, didapati seorang hakim tidak percaya kepada kesaksian wanita. Apabila dikaji, bahasa wanita banyak menggunakan ungkapan tanpa kecuali dan kata sifat. Ungkapan seperti ini adalah tidak pasti. 6. Bahasa korporat. Ahli korporat perlu memahami bahasa dan budaya korporat. Gaya dan kualiti komunikasi tidak hanya bergantung kepada penghantar dan penerima, tetapi juga pada perhubungan antara mereka. Sebuah korporat kecil memerlukan

67

gaya komunikasi yang berlainan berbanding dengan sebuah korporat yang besar dan dikawal ketat, dan bertata tingkat. Dalam semua hal, perlulah dipilih gaya komunikasi yang sesuai. Pada kesimpulannya, Tannen, D.(1990) mengatakan, dalam budaya korporat Amerika, bahasa lelaki lebih sesuai untuk korporat. 7. Bahasa laporan dan bahasa bualan. Deborah Tannen (1990) menyimpulkan bahawa kita menggunakan dua gaya bahasa, iaitu bahasa laporan dan bahasa bualan. Bahasa laporan itu digunakan sebagai cara untuk berunding. Penuturnya menunjukkan ketegasan untuk mengekalkan tarafnya dalam kumpulannya. Gaya ini menunjukkan penutur mengetahui maklumat yang tepat dan mempunyai kemahiran. Lelaki lebih kerap menggunakan bahasa laporan. Menurut Tannen lagi, bahasa bualan adalah untuk mendapatkan perhatian dan kemesraan. Penuturnya hendak mengekalkan perhatian orang terhadapnya. Itulah sebabnya wanita lebih gemar menggunakannya. Penutur bahasa bualan menunjukkan penuturnya tidak mempunyai maklumat tepat dan kemahiran. Bahasa laporan dipanggil juga bahasa lelaki, dan bahasa bualan dipanggil bahasa wanita. Dapat kita lihat bahawa istilah bahasa lelaki dan bahasa wanita ini merujuk kepada gaya bahasa. Ada lelaki yang menggunakan bahasa bualan atau bahasa wanita, dan ada wanita yang menggunakan bahasa laporan atau bahasa lelaki. Lelaki

68

yang menggunakan bahasa bualan itu juga akan dianggap tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran.

Dalam dunia lelaki, bahasa digunakan untuk berunding bagi mencapai kuasa dan mempertahan diri daripada ditekan. Oleh sebab itu, dalam dunia perniagaan, bahasa lelaki atau bahasa laporan yang tepat digunakan. Bahasa wanita atau bahasa bualan yang mesra tidak digunakan. Ini bermakna wanita dalam dunia perniagaan perlu menguasai bahasa laporan untuk menjadikan berkesan. Menurut Wolfram (1967:76),

kaum wanita memperlihatkan tahap kepekaan yang lebih terhadap ciri-ciri bahasa yang diberi penilaian yang tinggi daripada lelaki, manakala menurut Labov (1990:205), kaum wanita secara konsisten lebih kerap menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang lebih mendekati bentuk-bentuk yang berprestij berbanding kaum lelaki. Malah, menurut beliau dalam keadaan stratafikasi sosiolinguistik yang mantap, kaum lelaki lebih banyak menggunakan bentuk-bentuk tidak baku berbanding dengan kaum

wanita(bahasadangender, On-line)

69

KESIMPULAN Oleh itu adalah jelas, bahasa dengan gender mempunyai perkaitan yang rapat. Bahasa yang digunakan oleh lelaki dan bahasa yang dituturkan oleh wanita adalah berbeza seperti yang telah dijelaskan dan unsur jantina telah menghasilkan variasi dalam bahasa atau mempengaruhi penggunaan bahasa. Perbezaan-perbezaan ini dapat dilihat dari segi linguistik iaitu fonologi, morfologi dan sintaksis. Selain itu faktor geografi, taraf sosioekonomi turut mempengaruhi gaya bahasa lelaki dan wanita. Kelainan gaya bahasa ini dapat membezakan antara peranan lelaki dan wanita dalam masyarakat.

70

RUMUSAN Bahasa merupakan cerminan sesuatu bangsa. Bagi mengidentitikan satu-satu bangsa, bahasa turut memainkan peranan yang utama dan mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Mana-mana negara di dunia sekalipun mempunyai identiti bangsa masing-masing serta mempunyai bahasa tertentu yang digunakan sebagai saluran untuk berkomunikasi. Melalui bahasa, identiti sesebuah negara itu dapat ditonjolkan. Penggunaan bahasa dalam sesebuah masyarakat memungkinkan masyarakat tersebut memilih perkataan-perkataan yang sesuai untuk diujarkan ketika berlangsungnya komunikasi. Pemilihan perkataan-perkataan yang sesuai penting bagi menimbulkan kesopanan dan kesantunan berbahasa serta kena dengan tempat dan situasinya. Kepincangan dalam pemilihan dan penggunaan kata yang sesuai akan menjadikan komunikasi tidak berjalan dengan lancar dan baik dan keadaan ini akan memungkinkan berlaku gangguan dalam perhubungan. Untuk menghasilkan komunikasi dua hala yang baik dan tidak terganggu, beberapa perkara perlu diambil kira. Unsur tabu yang terdapat dalam satu-satu masyarakat sebenarnya bertujuan untuk mewujudkan komunikasi yang lebih sopan dan santun. Unsur eufemisme juga mengambil kira kesantunan yang diperlukan ketika berbicara bagi menimbulkan keselesaan penutur dan orang yang dilawan tutur ketika

71

komunikasi berjalan. Unsur-unsur kesantunan bahasa yang diterima pakai dalam sesebuah masyarakat boleh menimbulkan masyarakat yang harmoni kerana

masing-masing tahu batas-batas perbualan antara satu sama lain. Dengan mengambil kira faktor gender, komunikasi dapat berjalan dengan lebih lancar lagi kerana penutur akan lebih memahami orang yang di lawan tutur. Jadi nilai sesuatu masyarakat

tersebut bergantung kepada anutan kefahaman mereka masing-masing terhadap batas-batas yang telah ditentukan atau digariskan berdasarkan budaya masing-masing. Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sudah tentu mempunyai kepelbagaian bahasa dan budaya. Kepelbagaian ini sudah tentu memberikan variasi dari segi sosiolinguistik dan sosiobudaya yang menarik.

72

RUJUKAN Abdul Sukor Shaari, Prof. Madya Dr. Nuraini Yusoff, Mohd Isha Awang. (2003). Bahasa Melayu Komunikasi. Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. Ahmad Khair. (2002). Ungkapan halus yang lebih halus. Dewan Bahasa 2 (5). Amat Juhari Moain. (1989). Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu: Suatu Analisis Sosiolinguistik.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Awang Sariyan. (2010). Santun Berbahasa.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Brown, R. & Levinson, S. (1978/1987). Politeness: some universals in language usage. Cambridge University Press. Darwis. (1996). Penghalus: kata-kata yang menyenangkan perasaan. Pelita Bahasa 8 (2). Darwis. (1997). Gaya bahasa halus. Pelita Bahasa 9 (8): 38-39. Esther Figueroa. (1994). Sosiolinguistic metatheory. British Library Catologing in Publication Data. Gumperz, J. (1982a). Discourse strategies. Cambridge: Cambridge Universiti Press. Gumperz, J. (1982b). Language and sosial identity. Cambrige: Cambrige University Press. Hassan Baseri. (1991). Kata pantang dan eufemisme dalam bahasa Melayu. Pelita Bahasa 3 (12): 46-47. Izani Hj Daud. (1997). Jantina dan Pengaruhnya dalam Penggunaan Bahasa. Pelita Bahasa, Januari. Lyons, J. (1994). Bahasa, Makna dan Konteks. DBP: Kuala Lumpur.

73

Marlyna Maros, Mohammad Fadzeli Jaafar, Maslida Yusof. (2013). Prinsip dan Aplikasi Kesantunan Berbahasa. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka. Marlyna Maros. (2011). Strategi Kesantunan Melayu dalam Membuat Teguran. Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa & Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jilid 3, 7-20. Mohamed, N. (1998). Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Malaysia. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Mohammad Fadzeli. (2000). Tradisi kesopanan dalam pantun Melayu. Jurnal Dewan Bahasa 44 (5): 616-622. Mohd Nezeli bin Ahmad. (2009). Prinsip Al-Quran Tentang Kesantunan Bahasa. Pelita Bahasa: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim. (1984). Sosiolinguistik Satu Pengenalan (Peter Trudgill, Terjemahan) Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Noresah Baharom et al. (Ed.). (2010).Kamus Dewan(edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Noriati A. Rashid. (2007). Kesantunan Orang Melayu Dalam Majlis Pertunangan.(Edisi Kedua).Tanjung Malim: Universiti Perguruan Sultan Idris). Omar, A. H. (2002). Setia dan Santun Bahasa. Tanjong Malim, Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saidatul Nornis. (2003). Kata makian Cina. Jurnal Dewan Bahasa 3 (3): 26-29. S.Nathesan. (1995). Beberapa persoalan penggunaan bahasa Melayu penyelesaiannya. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. dan

Zuraidah Jantan. (2009). Unsur Eufemisme dalam Novel Melayu: Satu Manifestasi Kesopanan Bahasa: Jurnal Aswara: m.s 137-159.
74

Bahasa dan Jantina, dari http://azamri.tripod.com/zt2223disk2/bahasa_dan_jantina.htm Bahasa dan Gender, Sebuah Kajian Sosiolinguistik, April 13, 2013, dari http://bahasadangender.blogspot.com/ Language and Gender, from http://en.wikipedia.org/wiki/Genderlect http://bmp6103.blogspot.com/2009/02/pemerolehan-bahasa.html Saturday, February 28, 2009. http://lamanartikel.dbp.my/?p=40 http://jurnalbahasa.dbp.my/wordpress/?p=447

75

Anda mungkin juga menyukai