Anda di halaman 1dari 23

PENGHARGAAN

Pertama sekali, ribuan terima kasih diucapkan kepada setiap pihak yang membantu saya
menyiapkan kerja kursus yang telah diusahakan selama ini bertajuk Sejarah Perkembagan
Bahasa Melayu, Perkamusan dan Terjemahan yang berkod BMM 3123. Saya juga bersyukur
kepada Tuhan kerana dapat menyempurnakan kerja kursus ini dengan lancar dan berjaya.

Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada individu penting yang banyak membantu
saya sepanjang menyiapkan kerja kursus ini. Pertama sekali, ribuan terima kasih kepada
Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Puan Gertrude Jock kerana beliau telah
banyak memberikan semangat dan bimbingan kepada semua pelajar.

Seterusnya, setinggi- tinggi penghargaan akan saya berikan kepada kedua-dua ibu
bapa saya kerana mengizinkan saya menceburi bidang perguruan ini seterusnya memberi restu
untuk saya menimba ilmu di Institut Pendidikan Guru ini. Jasa dan pengorbanan ayah dan ibu
tidak akan saya lupakan selagi saya masih bernafas di bumi Tuhan ini.

Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Cik Kalthom Binti Samiain
kerana telah memberi tunjuk ajar dan pedoman untuk saya menyiapkan tugasan ini. Tanpa
tunjuk ajar dari beliau tentu saya tidak dapat menyiapkan tugasan ini dengan baik dan
sempurna. Dengan itu, saya amat menghargai jasa beliau kerana memberikan bimbingan,
sokongan dan nasihat yang amat berguna untuk kerja kursus serta membantu saya dari
semasa susah dan senang. Jasa beliau akan saya kenang ke akhir hayat.

Di samping itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan - rakan yang banyak
membantu dan turut berkolaborasi untuk menyiapkan tugasan ini. Terima kasih juga diucapkan
kepada sesiapa sahaja yang menghulurkan bantuan sehingga tugasan ini dapat disiapkan. .

Sekian, terima kasih.

1
SENARAI KANDUNGAN

BIL. TAJUK MUKA HALAMAN


i Penghargaan 1

1.0 Pengenalan 3

2.0 Penulisan Akademik 4

2.1 Isu dan Cabaran Dalam memartabatkan Bahasa Melayu

2.1.1 Kedudukan Bahasa Inggeris

2.1.2 Persepsi Masyarakat dan Sikap Penutur

2.1.3 Bahasa Rojak

2.1.4 Bahasa Melayu dalam Pendidikan

2.2 Keadah- kaedah Memartabatkan Bahasa Melayu 14

2.2.1 Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan

Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)


3.0 Rumusan 20

4.0 Rujukan 21

1.0 PENGENALAN

Dalam Forum Cabaran Bahasa Kebangsaan Dalam Era Globalisasi 2015, Presiden Persatuan
Penterjemah Malaysia, Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan pernah menyatakan bahawa era

2
kegemilangan empayar Melaka menyaksikan bahasa Melayu berada di puncaknya dan diiktiraf
sebagai bahasa ilmu dan digunakan secara meluas bukan sahaja dalam aktiviti perdagangan
malah sebagai bahasa diplomasi, bahasa undang-undang dan pengajian Islam. Bagaimanapun,
zaman penjajahan Inggeris menjadi faktor utama yang mendatangkan pengaruh besar terhadap
bahasa Melayu di mana beransur-ansur malap apabila penjajah mula memperkenalkan bahasa
Inggeris dalam semua urusan di Tanah Melayu. Pada ketika itu juga, bahasa Melayu hanya
digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah Melayu dengan cabang ilmunya yang cukup
terhad. Hal ini berlaku kerana penjajah merancang menutup kemungkinan anak watan dapat
muncul sebagai generasi bangsa yang berupaya membebaskan tanah airnya daripada
cengkaman penjajah. Kemerosotan itu berlarutan hingga kini apabila menempuh era
globalisasi. Suatu cabaran yang getir bagi kembali ke puncak kegemilangan

A. Aziz Deraman (2007) menjelaskan bahawa abad ke-21 yang dikenali sebagai era
globalisasi merupakan abad yang mencabar kesinambungan, kewujudan dan kegemilangan
sesebuah peradaban bangsa-bangsa di dunia. Asakan gelombang globalisasi, liberalisasi dan
pengaruh pascamodenisme sering kali dikaitkan dengan kukuh atau lupusnya sesuatu bahasa,
tradisi persuratan dan budayanya. Dalam konteks bahasa dan persuratan Melayu, pelbagai
cabaran dijangka akan dihadapi. Pada abad ini, diramalkan 10 peratus bahasa akan mengalami
kepupusannya. Buktinya, dunia yang memiliki kira-kira 6000 bahasa sejak awalnya, kini tinggal
600 bahasa sahaja menurut kajian oleh Abdul Aziz Bari (2015).

Dunia pada era globalisasi ini memperlihatkan perkembangan ilmu yang begitu pantas.
Kemajuan dalam teknologi maklumat memberi kesan secara langsung atau tidak langsung
dalam kehidupan dan sistem pendidikan. Perubahan demi perubahan yang berlaku itu turut
membawa bersama isu dan cabaran terhadap kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia. Pelbagai
isu dan cabaran yang dihadapi oleh para guru Bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan
potensi berbahasa seiring dengan perkembangan dunia semasa.

Maka, perbincangan ini akan ditumpukan kepada isu dan cabaran dalam
memartabatkan bahasa Melayu pada abad ke-21 dan cara menangani masalah ini agar
halangan- halangan tersebut tidak membantut perkembangan bahasa Melayu pada masa akan
datang.

2.0 PENULISAN AKADEMIK

3
Tidak dapat menafikan bahawa peranan bahasa Melayu ialah asas pembinaan negara dan
kebudayaan masyarakat melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Memartabatkan
bahasa Melayu bermaksud meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya dan
sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama
pendidikan. Tujuan utama memartabatkan bahasa Melayu adalah untuk menjadikan bahasa
Melayu sebaagai alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah
membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1 Malaysia.

Faktor bahasa ternyata menyumbang dalam pembinaan negara melalui penggubalan


Dasar Bahasa Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu
menjadi lambang kewujudan suatu bangsa dan menjadi bahasa perpaduan rakyat. Sebagai
bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi wasilah pembangunan negara apabila berperanan
sebagai sarana komunikasi pentadbiran dan pengurusan dalam pelbagai urusan rasmi. Sebagai
bahasa pengantar ilmu dan pendidikan pula, bahasa Melayu menjadi sarana pemerolehan dan
pengembangan ilmu dalam kalangan masyarakat, suatu syarat tegaknya sesuatu tamadun.
Peranan bahasa dalam pembinaan negara dibantu pula dengan sektor pendidikan yang secara
langsung merealisasikan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Sebelum bahasa Melayu berkembang, kita perlu mengetahui dan memahami sejarah
perkembangan bahasa Melayu. Secara ringkasnya, bangsa Melayu berasal daripada kelompok
Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunan di China yang
kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya
menduduki wilayah Asia Tenggara menurut catatan Umar Junus (1984). Gelombang pertama
dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun sebelum masihi. Golongan
kedua disebut Melayu Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500 sebelum Masihi. Bertitik
tolak dari sinilah bahasa Deutro dipisahkan kepada banyak sub-golongannya. Ahli bahasa telah
membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama termasuklah bahasa
Melayu kuno, klasik dan moden. Rajah di bawah menunjukkan evolusi perkembangan bahasa
Melayu dengan lebih mendalam dan tahap- tahap perkembangan bahasa Melayu dengan ciri-
cirinya yang tersendiri.

Rajah 1 : Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu


Asal- Usul Bahasa Melayu

4
Bahasa
Kepulauan
Bahasa -bahasa Austris
Melayu

Berasal daripada Bahasa


Bahasa Cabang
Austronesia Austroasia Austronesia
Polinesia
Gelombang Pertama- Melayu Tibet-
Bahasa
Proto (2500SM) China
Melanesia

Gelombang Kedua- Melayu


Deutro (1500SM)

Wujudnya bahasa Melayu

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Klasik Bahasa Melayu Moden

Tulisan Jawi Bermula pada abad ke-19


Dipengaruhi oleh Beralih kepada
digunakan dan oleh Abdullah Munsyi
bahasa Sanskrit dan bahasa Melayu
agama Hindu Klasik disebabkan bertambahnya
pengaruh agama perbendaharaan Sifatnya yang dikatakan
Islam kata. agak menyimpang
Bersifat sederhana dan dengan bentuk bahasa
mudah menerima pengaruh Melayu klasik
Kegemilangan bahasa Melayu
luar di samping tidak terikat
dibahagikan kepada 3 zaman iaitu
kepada susun lapis
zaman kerajaan Melayu Melaka,
masyarakat. Bahasa Melayu dijadikan
Acheh dan Johor- Riau
sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan bahasa
Dijadikan lingua franca dan Merosot apabila kedatangan pengantar dalam Laporan
bahasa
2.1 pentadbiran penjajah
ISU DAN CABARAN DALAM Eropah dan keruntuhanBAHASARazak
MEMARTABATKAN MELAYU
1956
Kesultanan Melayu Melaka

5
Isu dan Cabaran Dalam
Memartabatkan Bahasa Melayu

Kedudukan Bahasa Persepsi Masyarakat Bahasa Bahasa Melayu dalam


Inggeris dan Sikap Penutur Rojak Pendidikan

Kita menyedari hakikat bahawa abad ke-21 ialah abad globalisasi, yakni kemajuan sains
dan teknologi serta kemajuan teknologi maklumat yang cepat pacuannya hinggakan bahasa
Melayu terasa terpinggir dalam perlumbaan tersebut. Secara keseluruhannya, dominasi bahasa
Inggeris dan persepsi masyarakat terhadap bahasa Melayu menyebabkan bahasa ini
mengalami pengurangan fungsinya dalam banyak bidang. Ini ditambah pula dengan kurangnya
pembudayaan bahasa Melayu dan lunturnya rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan
sebagai asas jati diri menyebabkan bahasa itu terpinggir daripada arus pemodenan. Jelasnya,
bagi bahasa Melayu dimartabatkan dalam pelbagai bidang bukanlah sesuatu yang mudah untuk
dilakukan sekalipun tidak mustahil dijayakan. Impian inilah antara matlamat perjuangan yang
masih belum selesai walaupun negara sudah lama mencapai kemerdekaan. (Utusan Online,
2014)

2.1.1 Kedudukan Bahasa Inggeris

Rozali Bin Rajab (2011) memperkatakan bahawa abad ke-21 memang membawa
cabaran kepada bahasa Melayu dari segi persaingan dengan bahasa Inggeris disebabkan
segenap masyarakat dunia sedang mengalami suatu transformasi yang amat ketara. Jeniri
Aman (2009) menjelaskan keadaan ini bagaikan sebuah reformasi budaya sedunia yang
mempengaruhi segenap lapisan masyarakat. Perubahan dalam kehendak dan pemikiran
masyarakat amat jelas. Kita hidup dalam arus 'globalisasi' yang begitu banyak digembar-
gemburkan oleh dunia Barat. Dengan demikian, bahasa Inggeris menjadi bahasa global dan
boleh dikatakan lingua franca dalam konteks ini menurut Kamal Shukri Abdullah Sani (2007)
yang mana seiring dengan kedudukan bahasa Melayu di rantau ini. Persoalan pokoknya ialah
kemahuan masyarakat penutur itu sendiri. Apa yang berlaku hari ini ialah masyarakat
dimomokkan dengan istilah globalisasi dan keagungan bahasa Inggeris hinggakan kita tidak
yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan;

6
hanya senang dengan nostalgia bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca
tetapi kini tidak lagi. (Hashim Hj. Musa, 2009).

Secara umumnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kedudukan bahasa


Melayu tergugat dan perlu diatasi dengan segera. Pertama, kenyataan yang menyatakan
bahawa penguasaan bahasa Inggeris sangat penting untuk menyediakan seseorang pelajar
untuk menyumbang kepada pembinaan negara peringkat tinggi sebagai seorang birokrat,
teknokrat atau profesyen-profesyen lain (Asmah Hj.Omar, 2003). Buktinya, Siti Rosnah Haji
Ahmad. (2011) menjalankan kajian yang menunjukkan bahawa hampir 80% Institut Pengajian
Tinggi Awam atau Swasta (IPTA/ IPTS) menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
dalam proses penyampaian ilmu dan komunikasi seharian menurut Hashim Hj. Musa (2004).
Oleh itu, tahap penggunaan bahasa Melayu agak rendah dalam kalangan siswa yang sebagai
tiang negara pada masa yang akan datang mempercepat langkah kelenyapan bahasa rasmi ini.

Kedua, bahasa Inggeris menjadi bahasa komunikasi dalam kalangan kelas atasan dan
kelas menengah bagi bukan Melayu dan komunikasi akan dijalankan dalam bahasa Melayu
sekiranya ada orang Melayu dalam proses komunikasi tersebut (Asmah Hj.Omar, 2003). Hal ini
demikian kerana dilihat sebagai elemen peribumi yang mana berhubung dengan sesuatu
bangsa tertentu. Contohnya, kaum Cina dan India juga kurang menggunakan bahasa Melayu
dalam pertuturan seharian disebabkan terdapat tanggapan bahawa hanya bahasa Melayu
mewakili orang Melayu yang akan menggugat kedudukan bahasa ibunda seperti yang
dinyatakan oleh Kang Kok Sok (2015). Secara tidak langsungnya, tali silaturahim sukar
dijalinkan dan semagat 1 Malaysia sukar dicapai sekiranya terdapat tanggapan sebegini
terhadap bahasa Nelayu.

Ketiga, orang Melayu (golongan elit yang berpendidikan Barat) sendiri berasa lebih
selesa menggunakan bahasa Inggeris kerana tidak perlu memikirkan tentang penggunaan
sistem sapaan yang dikatakan ketat dalam bahasa Melayu (Asmah Hj.Omar, 2003). Generasi
muda bersifat terbuka dan lebih materialistik sehigga melupakan penghayatan kehalusan serta
estetika bahasa Melayu. Contohnya, masyarakat Barat hanya menggunakan 'uncle' dan 'aunty'
dalam sapaan yang mudah ialah antara sebab sistem pendidikan Barat digemari oleh ramai.
Lama- kelamaan, keindahan budi budaya dalam bahasa Melayu ditelan dan diganti dalam roda
masa ini.

Keempat, kurangnya bahan rujukan dan buku teks yang ditulis dalam bahasa Melayu
sama ada karya asli ataupun terjemahan (Hashim Hj. Musa, 2004:164). Contohnya, kita

7
terpaksa merujuk maklumat dalam bidang perubatan, teknologi, pendidikan dan sebagainya
dalam bahasa Inggeris yang mengakibatkan kemunduran bahasa Melayu. Kelima, penggunaan
yang meluas bahasa Inggeris dalam sektor swasta dan bidang perindustrian dan perdagangan
antarabangsa. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Hashim Bin Hj. Musa (2014), banyak istilah
dalam bidang profesional tidak dikembangkan dalam laras bahasa Melayu dan beranggapan
bahawa bahasa Melayu tidak bernilai ekonomi sehingga ia dipinggirkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan
liberalisasi menjadikan penggunaan bahasa Inggeris semakin penting dan tidak dapat dielakkan
oleh masyarakat dunia. Malaysia telah mendapat impak yang besar terutama dari segi
penggunaan bahasa teknologi maklumat. Menurut Roslina Abdul Wahid (2007), bahasa
teknologi maklumat yang paling dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Buktinya, era ICT telah
menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat
Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi
maklumat. Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan
kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini. Apatah lagi, negara Malaysia yang
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Perlu diakui bahawa bahasa
Melayu masih lagi muda atau setahun jagung dari sudut peristilahan sains dan teknologi
berbanding dengan bahasa Inggeris. Buktinya, banyak istilah Sains dan bidang yang lain
dipinjam terus dari bahasa Inggeris seperti kajian yang dijalankan oleh Siti Rosnah Haji Ahmad.
(2011).

2.1.2 Persepsi Masyarakat dan Sikap Penutur

Dalam abad ke-21, sikap penutur atau masyarakat amat penting dalam penggunaan
bahasa ibunda. Sekiranya sikap penutur tiada kesungguhan atau perasaan malu menebal
dalam diri penutur kerana menggunakan bahasa ibunda, sudah pasti bahasa ibunda akan
terkubur mengikut pendapat Awang Sariyan (1988).

Oleh yang demikian, bagi bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap
yang dipegang oleh penuturnya. Jadi, abad ke-21 telah memperlihatkan kelemahan terhadap
sikap penutur yang tidak mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan mereka. Hal ini
disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih selesa bercakap bahasa
Inggeris dibuktikan dalam kajian Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Akibatnya, mereka yang
tidak mahu menggunakannya telah membentuk satu sikap tidak kisah terhadap bahasa
ibunda.

8
Lagipun, Zaitul Azmz Zainon Hamzah (2006) berpendapat bahawa sikap masyarakat
terhadap bahasa Melayu telah menyebabkan kesukaran untuk meletakkan bahasa Melayu di
persada antarabangsa. Ketidakyakinan terhadap bahasa ibunda berkembang menjadi bahasa
ilmu dan bahasa antarabangsa dalam kalangan penutur bahasa Melayu mengakibatkan bahasa
Melayu terus tercicir dalam persaingan dengan bahasa- bahasa lain di dunia. Kajian telah
menunjukkan bahawa penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam
pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu. (Prof Awang
Sariyan, 2004)

Buktinya, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan


bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004 membuat kenyataan
bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan
dan iklan. Kenyataan sedemikian yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut
mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa
Melayu. Maka, bertitik tolak dari sinilah bahasa Melayu mengalami kemunduran dan kelunturan
akibat daripada sikap masyarakat dan penutur yang diperkatakan oleh Prof Awang Sariyan
(2004).

Lagipun, Asmah Haji Omar (2012) berpendapat bahawa terdapat dalam beberapa
kalangan, termasuk pemimpin juga menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam
perbualan dengan tujuan supaya orang menganggapnya berpendidikan tinggi. Penutur bahasa
Melayu lebih senang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin
menjadi ancaman terhadap kemurnian bahasa Melayu. Mereka menganggap bahasa Melayu
tidak setanding dengan bahasa Inggeris dan akhirnya mula meminggirkan bahasa Melayu
secara perlahan-lahan.

Secara amnya, bahasa Melayu terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar.
Mekanisme penahanan atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita
sekalipun agama itu tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis.
(Ismail Hussein, 2011). Apabila bahasa berubah dan diubah, soalan yang muncul ialah Siapa
yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah
sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk
melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing.

9
Sebaliknya, mereka mungkin beranggapan bahawa dengan menyelitkan perkataan Inggeris di
celah-celah ayat bahasa Melayu akan meninggikan imej mereka walaupun ini tentunya berupa
pendekatan bersifat hipokrit dan boleh mencapai kepuasan berkomunikasi; atau mungkin
asuhan bahasa Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap.

Maka, Awang Sariyan (2004) dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang
Jasa Asraf memperkatakan bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada
sikap yang dipegang oleh penuturnya. Jadi, yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat
kepentingannya dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Namun, ini
bukanlah alasan untuk meminggirkan bahasa kebangsaan kita sehingga terlalu mengagung-
agungkan bahasa- bahasa yang lain.

2.1.3 Bahasa Rojak

Belakangan ini, beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan dengan


penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan
bahasa Melayu dari segi pertuturan, ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya yang
dibincangkan dalam Dewan Bahasa (2015). Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang
paling teruk berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu trend atau
ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu singkat. Senario ini cukup
membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan bahasa
Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi. (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain, 2012)

Roslina Abdul Karim (2011) menjelaskan bahawa kemerosotan dalam aspek mutu
bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap
bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks
bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa
basahan yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod,
bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan sebagainya dengan bahasa yang baku dalam
situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya
tinggi.

Faktor seterusnya yang menimbulkan masalah bahasa rojak ialah kebanjiran warga
asing ke dalam Malaysia telah mempengaruhi status dan jati diri Bahasa Melayu dalam
pertuturan dan penulisan bahasa seperti yang diketengahkan dalam Sinar Harian (2012).
Warga asing dari pelbagai negara seperti Bangladesh, Nepal, Thailand, Indonesia, India,

10
Pakistan dan Vietnam menggunakan bahasa pijin iaitu bahasa ciptaan yang dilahirkan oleh
apabila mereka berinteraksi sesama mereka dan dengan warga negara lain yang tinggal di
Malaysia. Jeniri Ahmad (2009) menyatakan bahawa apabila warga asing berkomunikasi dengan
warga asing yang lain, maka mereka akan menggunakan apa sahaja perkataan yang mereka
tahu dalam struktur ayat yang tidak betul bagi menyatakan maksud mereka. Di sinilah saat
bermulanya bahasa pijin dalam masyarakat Malaysia.

Hashim Musa (2004) menerangkan perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan
komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak. Manakala
golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup membahayakan dan boleh
merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat pada
abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit (Ismail Hussein, 2011). Bagi menghantar sms
kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan berlakulah kerancuan bahasa.
Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa (2009), kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang
tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah
dan sebagainya yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan
ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah.

Tambahan pula, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor
Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, penggunaan bahasa rojak dalam drama dan
filem tidak sesuai dari sudut penggunaan bahasa mahupun perkembangan bahasa kerana ia
tidak menggambarkan pemikiran yang jelas atau penguasaan bahasa yang tepat. (Sinar Harian,
2012). Penggunaan bahasa yang bercampur aduk tidak wajar kerana ia menggambarkan
penuturnya tidak berupaya menguasai bahasa walaupun ia tidak melunturkan bahasa
kebangsaan secara keseluruhan. Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung, sudah tentu
memberi impak atau cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa. Ini dicirikan
dengan penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris. Kelahiran
K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan
pemikiran manusia. Penggunaan bahasa Melayu dalam internet tidak seiring dengan
penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan bahasa Melayu dalam ruang
siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber
yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni bahasa Melayu internet
menurut pendapat Asmah Haji Omar (2012).

11
Sebagai contoh, terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka. Mengikut
Nik Safiah Karim (2004), ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli, iaitu satu ayat dalam satu
bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Antara contoh perkataan seperti ku cinta u,
akum (assalamualaikum), persal (mengapa), handphone saya rosak dan lain-lain. Fenomena
ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam bahasa
Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa bahasa Melayu dan
kelihatan janggal yang dibincangkan dalam Tatabahasa Dewan (2014). Inilah yang perlu
disedari oleh pengguna internet yang menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi
agar tidak menggunakan bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira soal peraturan yang
sedia ada.

Oleh itu, kerancuan bahasa Melayu abad ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh
merosakkan keteraturan, kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu kerana menjejas
sistem dan peraturannya yang menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Darwis
Harahap (2014) menerangkan bahawa hal ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi yang
akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan sedikit demi sedikit oleh pengguna
bahasanya.

2.1.4 Bahasa Melayu Dalam Pendidikan

A.Aziz Deraman (2007) menjelaskan bahawa perubahan demi perubahan yang berlaku
pada zaman ini turut membawa bersama isu dan cabaran terhadap pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh para
guru bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan potensi berbahasa seiring dengan
perkembangan dunia semasa di samping ia membantutkan langkah memartabatkan bahasa
kebangsaan kita secara tidak langsungnya.

Isu pengajaran bahasa Melayu juga sering dikaitkan dengan kekurangan guru opsyen
Bahasa Melayu. Akibatnya, guru besar atau pengetua terpaksa meminta guru bukan opsyen
untuk mengisi kekosongan ini. Dalam hal ini, Nik Safiah Karim (2008) berpendapat banyak guru
yang bukan sahaja tidak dapat mengajar bahasa Melayu dengan baik, tetapi penguasaan
bahasa Melayu mereka juga amat lemah. Jika ini berlaku, maka akan mewujudkan masalah
dalam melahirkan pelajar yang benar-benar berketerampilan dari aspek penguasaan
bahasanya. Lantaran itu, lahirlah masyarakat yang makin jahil tentang bahasa ibunda dan
bahasa kebangsaan sendiri.

12
Asmah Haji Omar (1991) menjelaskan bahawa masalah penguasaan bahasa Melayu
bukan perkara baru dalam masyarakat Malaysia yang bukan hanya berlaku dalam kalangan
masyarakat bukan Melayu, tetapi masyarakat Melayu sendiri banyak melakukan kesalahan
bahasa dan memandang enteng terhadap bahasa Melayu; baik dalam pertuturan mahupun
penulisan. Misalnya, bahasa Melayu yang digunakan oleh mereka dalam pertuturan harian
bukanlah sama dengan struktur bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa ilmu menurut
dapatan kajian Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain (2006). Jelaslah di sini bahawa
sebab bahasa Melayu sukar diperkasakan.

Selari dengan keperluan dan pewujudan suasana pembelajaran yang kondusif, bebanan
guru semakin berat ialah kebenaran yang tidak dapat dielakan. Pendekatan pengajaran dan
pembelajaran bahasa Melayu selalu merunsingkan guru untuk menarik minat murid
mempelajari bahasa ini selalu menghiasi dada akhbar Berita Harian (Julai, 2008) Biasanya,
murid beranggapan bahawa bahasa Melayu bosan dan sukar untuk menguasainya. Proses
pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kian mencabar kerana keperluan pelajar semakin
meningkat akibat daripada perkembangan pesat teknologi maya. Ketandusan idea untuk
mengajar dan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan membuatkan guru
mempercepat proses pengajaran tanpa mengira tahap penguasaan dan keperluan murid.
Dengan itu, murid mengusai bahasa Melayu untuk 'A' sahaja tetapi bukan betul- betul
menghayati kebudian bahasa Melayu. (Hashim Hj. Musa, 2009)

Kesimpulannya, faktor-faktor ini ditambah dengan cara pengajaran guru yang mendatar,
mengurangkan lagi minat dan sekali gus merendahkan peluang mencapai tahap penguasaan
yang baik dalam bahasa Melayu dalam kalangan mereka.

2.2 Kaedah- kaedah Memartabatkan Bahasa Melayu

Menguatkuasakan dasar dan akta bahasa


13
Kaedah- kaedah Pengayaan khazanah dan persuratan
Memartabatkan
Bahasa Melayu Usaha bersepadu daripada semua pihak

Pembudayaan BM melalui pendidikan

Peranan kerajaan dan guru

Menurut Awang Sariyan (1998) penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
pendidikan adalah bertujuan untuk memenuhi konsep dan peranan bahasa rasmi juga.
Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan
perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan
peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya sebagai langkah membina ketahanan jati
diri dan maruah bangsa dan negara.(Asmah Haji Omar, 2012)

Penegasan dan penguatkuasaan dasar bahasa perlulah berlaku secara bersepadu dan
kesinambungan. Pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas
kepada penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai akta seperti Akta Pertubuhan, Akta
Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang dan sebagainya agar bahasa
kebangsaan diteguhkan dan diseragamkan. Contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan
majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu selaras dengan
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Abdul Hamid
Mahmood (2007) mencadangkan semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang
terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan
dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan daripada pemimpin negara hingga penjawat awam
dan masyarakat umum.

Menurut Abdullah Hassan (2009), pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam
bahasa Melayu ialah antara usaha yang perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi
lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum
dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan
elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam
agenda pembangunan negara melalui Belanjawan Negara. Sebagai contoh, Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Negara, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia

14
(Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan
dan badan-badan lain digerakkan secara bersinergi agar untuk dapat benar-benar memenuhi
tanggungjawab sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok dewasa,
remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun elektronik di samping perlu ada dana
yang khusus untuk menjayakan agend memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.
(Hassan Ahmad, 2000)

Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua kementerian,


jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu dirancang untuk membudayakan atau
memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi. Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (2005)
menyetujukan langkah kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan
usaha positif yang dapat dimanfaatkan untuk turut membudayakan penggunaan bahasa yang
baik dan santun. Mudah-mudahan komponen bahasa Melayu tinggi dapat diintegrasikan
dalam pelaksanaan kempen tersebut. Konsep bahasa sebagai warisan tidak tampak atau
warisan tidak ketara sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005
perlu dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan perlu dimantapkan semula dari
peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang
lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun
bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting yang dikatakan oleh Awang Sariyan (2006).
Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam
proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan
oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak
Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta
Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana
serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan.
Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan.

Seperti mana yang dinyatakan dalam jurnal Datuk Awang Sariyan (2012), aspek yang
kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui
kegiatan pengajaran dan pembelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan
serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Penggubalan kurikulum bahasa Melayu yang
diimplementasikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Bin Abdul Razak selaku Perdana Menteri kita

15
adalah untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi
untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai
dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian. Dengan demikian diharapkan landaan
pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau
yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.

Tambahan pula, komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara
yang bersifat pembinaan sahsiah pada pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa
dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan
sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan
profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya. Maka, modul
bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan perlulah diadakan dan dipantau dari
semasa ke semasa bagi memastikan jabatan dan agensi kerajaan memasukkan modul bahasa,
penulisan dan persuratan dalam program kursus dalam perkhidmatan masing-masing.
(Persatuan Linguistik Malaysia, 2012)

Di samping itu, program pemerkasaan bahasa Melayu bertaraf kebangsaan dijalankan


secara berterusan yang mana melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta
perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program
pemerkasaan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang
dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta
hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan
pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa
dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi
khusus dalam bidang bahasa dan sastera.

Guru memainkan peranan besar dalam kejayaan pelaksanaan dan pembelajaran


bahasa Melayu. Seseorang guru perlu mempunyai pengetahuan yang mantap tentang teori,
pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu serta mampu
mengaplikasikannya dalam suasana yang sebenar di dalam kelas mengikut pendapat Nik
Safiah Karim (2006). Ini juga bermakna, seseorang guru tidak sahaja perlu mempunyai
pengetahuan yang cukup dalam aspek-aspek yang dinyatakan di atas, tetapi ilmu yang dimiliki
harus ditingkatkan dari semasa ke semasa. Bagi mencapai hasrat ini, pihak-pihak yang
berkenaan seperti Bahagian Pendidikan Guru, Pusat Perkembangan Kurikulum, Jabatan

16
Pendidikan dan institusi-institusi perguruan harus mengambil inisiatif untuk menjalankan
tindakan-tindakan yang sewajarnya. Sebagai contoh, guru-guru pelatih yang akan mengajar
bahasa Melayu perlu diberi latihan yang khusus dalam aspek tatabahasa semasa mengikuti
kursus pendidikan di Maktab Perguruan atau Fakulti Pendidikan.

Selain bahan-bahan pengajaran dan peranan guru, pelajar sendiri harus ada kesedaran
untuk memperbaiki penguasaan bahasa Melayu mereka melalui pembacaan. Pelajar-pelajar
digalakkan menambahkan pembacaan mereka, iaitu pembacaan bahan yang berbentuk ilmiah.
Tidak dapat dinafikan bahawa pembacaan ialah cara yang paling mudah untuk menguasai
sesuatu bahasa yang dikatakan oleh Kamal Shukri Abdullah Sani (2007). Media, baik media
cetak mahupun media elektronik perlu meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa
Melayu tinggi. Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena bahasa rojak,
slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial yang ada. Namun, dengan
mengupayakan penyajian program-program yang dapat memartabatkan bahasa Melayu tinggi,
bahasa Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi.

Kesimpulannya, kita perlulah menggalas tanggungjawab untuk memartabatkan dan


memelihara bahasa Melayu kerana bahasa itu akar, siapalah kita sekirannya kehilangan akar
kita sendiri.

2.2.1 Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu & Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)

Transformasi demi transformasi telah dijayakan oleh pihak kerajaan bagi memelihara
kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Pelestarian transformasi
tersebut telah diteruskan kesinambungannya oleh pihak kerajaan dengan memperkenalkan

17
satu lagi dasar bahasa yang baru pada tahun 2011 iaitu Dasar Memartabatkan Bahasa
Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI). MBMMBI
diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 setelah
mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya
di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu. (Utusan Harian, 2010)

Tujuan utama memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana bahasa Melayu


merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan
bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan bahasa itu sebagai
bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Dengan ini, guru memainkan peranan yang penting
dalam menjayakan dasar ini.

Antara peranannya ialah guru melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu Standard


Merentas Kurikulum seperti yang digariskan oleh dasar ini. Penggunaan sistem bahasa yang
betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Melayu. Guru juga harus
memantau penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar agar tidak menjejas standard dan
mutu Bahasa Melayu itu sendiri. Guru juga perlu komited dalam mengimplimentasikan TMK
dalam P&P. Selain itu, guru juga perlu menyedari bahawa diri mereka merupakan pemangkin
utama dalam setiap program pelaksanaan Dasar MBMMBI seperti penganjuran Program
bacaan yang kini memuatkan Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS), Buku
Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan program NILAM yang akan diteruskan.

Selain itu, Mok Soon Sang (2007) menggariskan kemahiran utama yang perlu dikuasai
oleh guru dalam P&P di bawah MBMMBI ialah aspek komunikasi. Komunikasi merupakan
tulang belakang kepada penyampaian pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang
juga dikenali sebagai komunikasi interpersonal. Guru berperanan untuk memantapkan kaedah
penyampaian dengan memaksimumkan penggunaan alat bantu mengajar. Mok Soon Sang
(2007) menegaskan guru perlu mengaplikasikan teknologi maklumat (ICT) di dalam bilik darjah
yang bertujuan meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan ICT.

Aktiviti pengajaran bahasa yang menarik dan efektif juga diperkenalkan melalui aspek
seni bahasa yang merangkumi berpantun, berlakon, bernyanyi dan sebagainya dalam dasar ini.
Clarke dan Cutler (1990) menyatakan keberkesanan pengajaran bergantung kepada
perancangan, pelaksanaan, penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Oleh itu,

18
mengenalpasti objektif pengajaran merupakan salah satu ciri kualiti pengajaran yang diperlukan
dalam perancangan. Cohn (1987) selanjutnya menyokong pendapat ini dengan menyatakan
guru harus membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif pengajarannya setelah selesai
melaksanakan pengajaran. Oleh itu guru harus mempunyai kemahiran dalam memilih strategi
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai bagi menjamin keberkesanan pengajaran.

Guru perlu bijak mengadaptasi teori kepada amali kerana ilmu yang diperoleh di sekolah
boleh digunapakai di alam realiti. Pemartabatan bahasa ibunda juga dapat menerap nilai
patriotik dalam diri setiap murid tentang kepentingan mendaulatkan bahasa Malaysia. Oleh
yang demikian, dapat dilihat bagaimana peranan seorang guru untuk membuka mata anak
didiknya melihat kepentingan dasar ini untuk jangka masa yang panjang mengikut pendapat
Awang Sariyan (2006). Dengan demikian, penyediaan sebuah portal yang akan diwujudkan
untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para
pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa Melayu untuk berbincang, mengkaji dan
mencari maklumat tentang Bahasa Melayu. Perkongsian dalam talian ini mampu merangsang
guru untuk bersikap lebih dinamik dan produktif kerana bukan sahaja menyumbang kepakaran
di sekolah malahan dapat berkongsi idea dan kemahiran dengan individu dalam profesion yang
sama di peringkat nasional. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013)

3.0 RUMUSAN

19
Usaha memartabatkan dan memerkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi dan bahasa ilmu hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu
dilaksanakan oleh semua peringkat warganegara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu merupakan salah satu kontrak sosial yang perlu
senantiasa dipertahankan dan ditingkatkan oleh segenap lapisan warganegara daripada
penggubal dasar kepada pelaksana dasar dan masyarakat awam.

Yang paling utama ialah ketekalan sikap dan pendirian para pemimpin negara agar
peranan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang pembinaan negara bangsa terus
ditingkatkan dan diperkukuh. Bahasa kebangsaan, yang diungkapkan oleh Perdana Menteri
Malaysia yang pertama, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera sebagai
roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan
dan kemajuan kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa
dan landasan budaya kita sendiri.

Di sini dapat menyimpulkan bahawa implementasi Dasar Memartabatkan Bahasa


Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) ini merupakan satu
perkara yang sangat kompleks. Warga pendidik pula dilihat bertindak sebagai agen utama yang
menjunjung dan memanifestasikan dasar ini di peringkat sekolah khususnya. Justeru itu,
menjadi kewajiapan kepada setiap warga pendidik untuk memahami peranan mereka secara
terperinci bagi merealisasikan dasar ini dengan jayanya.

Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang
yang penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuk bidang bahasa dan budaya.
Dalam konteks pembentukan jati diri dan citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat
endoglosia, iaitu berasaskan keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan
tamadun di negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan.

Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan industri
sementara mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa, terutama bahasa dan
budaya. Oleh itu, kerjasama antara semua kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor
swasta dan orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah
dalam bentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.

4.0 RUJUKAN

20
A.Aziz Deraman (2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka

Abdul Aziz Bari (2015). Menangani Masalah, Bahasa Kebangsaan Melalui Pemahaman
Perlembagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Hamid Mahmood (2007). Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: City Reprographic
Services.

Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (2005). Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur:
Persatuan Linguistik Malaysia dan Dawama.

Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd

Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain (2006). Sejarah bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd.

Abdullah Hassan (1999). Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. (1991). Bahasa Melayu abad ke-16: Satu analisis berdasarkan teks Melayu
Aqaid al-Nasafi. Kualau Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. (2003). Bahasa Malaysia Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Asmah Haji Omar. (2012). Aspek bahasa dan kajiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Awang Had Salleh. (1981). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan (2002). Prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan (2006). Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan (1998). Dipetik daripada Ensiklopedia kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. (2004). Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Clarke dan Cutler (1990). Teaching and Learning. UK: Mation Press.

Darwis Harahap (2014). Mutiara Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Bin Hj. Musa (2014). Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi
Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Hashim Hj. Musa. (2009). BBM 5203 Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti Putra
Malaysia..

21
Hashim Musa (2004). Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya

Hassan Ahmad (2000). Imbasan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Hussein (2011). Tamadun Melayu Menyongsong Abad Kedua Puluh Satu. Bangi:
Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia

Jeniri Aman (2009). Bahasa Negara dan Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu, Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur: PTS
Professional Publishing.

Nik Safiah Karim (2014). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kang Kok Sok. (2015). Gaya bahasa sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Mok Soon Sang. (2007). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Komponen 3: Profesional Keguruan)
Sekolah Rendah. Subang Jaya, Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd

Nik Safiah Karim (2006). Kuasa DBP Mengembalikan Upaya Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka

Nik Safiah Karim et al. (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Nik Safiah Karim (2004). Bahasa Melayu Sedekad Lalu: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Persatuan Linguistik Malaysia (2012). Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah
Kita.Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain (2012). Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa
Di Malaysia. Kuala Lumpur: Deawan Bahasa dan Pustaka.

Roslina Abdul Karim (2011). Bahasa dan Globalisasi : Cabaran Terhadap Perancangan Bahasa
Melayu. Serdang: UPM.

Roslina Abdul Wahid. (2007). Terminologi Dalam Perancangan Bahasa Melayu. Puchong,
Selangor: Scholar Press Sdn. Bhd

Shellabear, W.G. (1986). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Siti Rosnah Haji Ahmad. (2011). Bahasa Melayu An Introduction To Malay Language And
Culture. Kuala Lumpur: Golden Books Centre.

Umar Junus (1984). Sejarah Melayu Menemukan Diri Kembali. Petaling Jaya :Penerbitan Fajar
Bakti Sdn Bhd

Zaitul Azmz Zainon Hamzah (2006). Membudayakan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka

Internet :

22
Rozali Rejab (2011). Cabaran Bahasa Melayu. Dipetik daripada http://cikgu-
rozali.blogspot.my/2011/06/cabaran-bahasa-melayu.html pada 10 September 2016.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2011). Dasar MBMMBI. Diperoleh dari


http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/pekeliling/1313055000.pdf pada 9
September 2016

Kementerian Pelajaran Malaysia (2013). Peranan Guru dalam MBMMBI. Diperoleh dari
http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/ pada 10 September 2016.

Akhbar Online:

Rasdan Ahmad (2011). Kiasu Terhadap bahasa Melayu. Dipetik daripada


http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/kiasu-terhadap-bahasa-melayu-1.110695
pada 12 September 2016

Marhdi Mohd. (2012). Bahasa Rojak akan Tenggelamkan Bahasa Melayu. Dipetik daripada
http://www.sinarharian.com.my/bahasa-rojak-akan-tenggelamkan-bahasa-melayu-
1.98630 pada 12 September 2016

Awang Sariyan (2012). Memartabatkan Bahasa Melayu. Dipetik daripada


http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&se
c=Rencana&pg=re_01.htm pada 11 September 2016.

Mohd Isha Awang (2008). Isu dan Cabaran Bahasa Melayu dalam Pendidikan. Dipetik daripada
http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp11julai8.pdf pada 11 Spetember 2016.

Majalah:

Ahmad Mahdi (2015). Kedudukan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

23

Anda mungkin juga menyukai