Anda di halaman 1dari 2

NAMA: AUNI HADIFAH BINTI MOHD GHAZALI

KELAS: F1A
TARIKH: 16 SEPTEMBER 2021
Kemahiran bahasa boleh dijelaskan sebagai kebolehan seseorang dalam
berinteraksi antara satu sama lain dan berupaya mengutarakan pendapat yang tepat
dan efektif. Kemahiran bahasa vital kerana dapat memberi kesan yang positif kepada
masyarakat sesebuah negara. Kemahiran bahasa juga telah banyak membuktikan
bahawa masyarakat lebih maju apabila menggunakan bahasa dengan tepat.
Pada pendapat saya, kemahiran bahasa dapat memupuk budi bahasa antara
satu sama lain. Perkara ini sering dibincangkan kerana individu yang mahir berbahasa
dapat menjadi suri teladan yang baik kepada masyarakat. Pertuturan yang baik
semestinya menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan. Sebagai contoh, guru
mengajar murid- murid dengan tutur kata yang baik. Hal ini secara tidak langsung dapat
memupuk budi bahasa kepada murid-murid. Murid- murid akan terbiasa dengan
keadaan ataupun gaya pertuturan yang ditunjukkan oleh guru-guru setiap hari.
Kesannya, lahir masyarakat yang berbudi bahasa. Menurut seorang tokoh bahasa
tanah air, Abdullah Hassan mengatakan bahawa bahasa manusia sangat istimewa dan
khusus sifatnya sebagai alat perhubungan yang dapat memupuk budi bahasa.
Masyarakat yang mempunyai budi bahasa merupakan masyarakat yang berjaya. Oleh
itu, kita haruslah mengambil berat tentang kemahiran bahasa supaya dapat memupuk
budi bahasa dalam diri individu.
Seterusnya, kemahiran bahasa penting kepada setiap individu supaya dapat
memudahkan pembelajaran yang ingin disampaikan oleh para pendidik. Hal ini
demikian kerana, seseorang yang mahir dalam berbahasa lebih mudah untuk
menyampaikan sesuatu maklumat berbanding orang yang tidak mahir berbahasa.
Kemahiran bahasa yang disampaikan dengan baik dapat memudahkan seseorang
untuk memahami sesuatu konteks yang disampaikan. Menurut tokoh bahasa, Siti Hajar
Abdul Aziz (2011) dalam bukunya yang bertajuk Bahasa Melayu II menyatakan bahawa
kemahiran bahasa merupakan isu yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu di sekolah sejak dahulu lagi. Antara isu yang pernah diperkatakan
adalah berkenaan dengan terdapatnya sebilangan murid sekolah rendah yang masih
tidak menguasai kemahiran bahasa, khususnya kemahiran membaca dan kemahiran
menulis walaupun murid-murid tersebut telah menjalani sesi persekolahan selama
enam tahun. Murid juga dikatakan kurang mampu untuk bertutur dan menggunakan
bahasa dalam bentuk yang tersusun dan sempurna. Hal ini kerana kemahiran bahasa
kurang diberikan perhatian ketika di rumah lagi. Ibu bapa memainkan peranan kepada
cahaya mata supaya isu seperti ini tidak berulang lagi ketika pendidikan tidak formal di
rumah. Oleh itu, jelaslah bahawa kemahiran bahasa penting supaya memudahkan
pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Di samping itu, kemahiran bahasa sangat penting supaya dapat memberi
kefahaman yang jelas kepada penerima. Hal ini dapat memudahkan aktiviti seharian
sesuatu individu. Justeru, masyarakat yang mahir berbahasa semestinya tiada masalah
dalam berkomunikasi antara satu sama lain. Menurut Gumperz (1971), apa yang
dituturkan itu ialah bahan percakapan yang merupakan buah fikiran atau idea atau
huraian sesuatu situasi atau perlakuan sosial yang diceritakan. Pendengar akan
memahami perkara yang dilafazkan berdasarkan struktur ujaran yang teratur itu.
Pandangan tokoh ini menyatakan bahawa seseorang individu yang mempunyai
kemahiran bertutur dengan berkesan akan dapat menyampaikan buah fikiran, idea,
pandangan terhadap sesuatu perkara atau sesuatu maklumat dengan berkesan kepada
orang di sekelingnya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, kemahiran bahasa sangat
penting dalam kehidupan.
Selain itu, kemahiran bahasa amat dititikberatkan terhadap setiap individu
supaya dapat memudahkan proses komunikasi yang berkesan. Hal ini demikian kerana,
individu tersebut dapat menyampaikan maklumat secara tepat. Penerima mudah
memahami sesuatu arahan atau cadangan yang diberikan oleh oleh penerima. Tokoh
bahasa, Asmah Haji Omar yang telah menerbitkan beberapa buah buku seperti Susur
Galur Bahasa Melayu dan Kaedah Penyelidikan Bahasa di Lapangan mengatakan
bahawa kemahiran bahasa penting untuk berkomunikasi secara berkesan. Tambahan
beliau, apabila bahasa menjalankan fungsi berfikir, penutur pula bertindak sebagai
pemerhati dan penyerap apa- apa yang sedang berlaku di sekeliling. Oleh itu, kita
hendaklah mengasah kemahiran bahasa supaya dapat memudahkan proses
komunikasi dengan lancar.
Kesimpulannya, kemahiran bahasa bukanlah sesuatu perkara yang sukar untuk
dipraktikkan dalam kehidupan setiap individu. Perkara ini sebenarnya boleh diasah jika
individu tersebut sedar akan kepentingan kemahiran bahasa. Peribahasa mengatakan
tepuk dada, tanya selera akan perkara yang kita perlu terapkan dalam diri. Kemahiran
bahasa sangat penting bagi memudahkan aktiviti kehidupan seharian. Komunikasi yang
berkesan sering dikaitkan dengan kemahiran bahasa. Oleh itu, setiap individu haruslah
mengambil berat tentang kepentingan kemahiran bahasa supaya dapat mempraktikkan
dalam kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai