Anda di halaman 1dari 2

PENGUCAPAN AWAM (PENTINGNYA SEORANG SAHABAT)

Semua orang ada kawan. Dalam zaman sekarang, kawan bukan sahaja yang bertemu secara
bersemuka tetapi ada juga istilah kawan online, iaitu kawan-kawan yang dikenali di atas talian
sahaja. Berjumpa pun tidak pernah tetapi apabila berbual di talian, sembangnya rancak seolah-
olah sudah lama kenal. Pernah juga dengar ada orang berkata, saya tidak ada kawan.
Betulkah? Bolehkah seseorang menjalani kehidupan tanpa kawan-kawan di sisi?

Kawan…radar komunikasinya mungkin hanya berputar tentang perkara-perkara yang mudah


dan menyenangkan. Bicara soal aktiviti seharian, hobi di masa lapang, diskusi tentang sesuatu
produk di pasaran dan sebagainya. Kalau sahabat bagaimana pula? Sudah tentunya topik
perbualannya lebih serius, matang dan beranalisis. Orang kata sahabat adalah orang yang
sanggup bersama sewaktu susah dan senang. Adakala sahabat ini datang dari kalangan ahli
keluarga sendiri ataupun yang mempunyai pertalian darah dan ada juga yang langsung tidak
mempunyai ikatan kekeluargaan tetapi perhatiannya melebihi saudara sendiri.

Paling beruntung adalah memiliki sahabat sejati iaitu yang akan sentiasa membantu walau kita
berada dalam situasi yang bagaimana sekali pun. Sahabat sejati inilah yang sukar dicari.
Sahabat sejati adalah individu yang mampu memahami diri kita sama ada ketika tenang
mahupun beremosi, sabar dengan karenah kita dan yang paling penting adalah bersahabat
dengan kita dengan perasaan yang telus

Biasanya, alam persekolahanlah yang membawa ikatan persahabatan. Cuma sama ada ia akan
berakhir apabila tamat tempoh persekolahan atau berterusan hingga ke alam dewasa. Saling
memaklumkan sudah mendirikan rumahtangga, sudah ada anak berapa orang, saling bertemu
ketika perayaan dan berhubung melalui telefon atau apa sahaja medium perhubungan yang
serba canggih pada masa kini; facebook, instagram mahupun whatsapp.

Kecanggihan teknologi masa kini telah memperkenalkan grup di dalam whatsapp. Tidak kiralah
grup rakan sepejabat, kawasan perumahan mahupun alumni kolej atau fakulti. Tidak dapat
dinafikan medium inilah yang paling popular dan berkesan untuk menyampaikan maklumat.
Malah, kawan-kawan yang sudah lama hilang dapat dikesan dan dimasukkan sekali di dalam
grup tersebut.

Pentingkah mempunyai sahabat? Jawapannya sudah tentu, ya. Dunia perhubungan itu luas.
Dunia kita bukan hanya setakat dengan ahli keluarga walapun ada orang menganggap isteri
atau suami, ibu atau bapa sebagai sahabat sejati mereka, tempat meluahkan segala rasa.
Namun, jangan lupa sebaik-baik tempat mengadu adalah Allah SWT.
Kenapa kita perlukan sahabat? Sahabatlah yang akan memberi perhatian terhadap kehidupan
kita. Mereka mengambil tahu tentang kesihatan, emosi, fizikal, kerjaya, keluarga dan seputar
kehidupan yang kita lalui. Mereka menunjukkan keprihatinan dan membantu sekiranya kita
memerlukan pertolongan mereka. Sahabat jugalah yang akan menitipkan doa buat
kesejahteraan kita walau di mana kita berada terutama sekali apabila kita berada dalam
kesusahan. Andai kita berada dalam kesakitan, merekalah antara penawar mujarab dengan
gurauan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Islam sendiri menggalakkan untuk kita menjalinkan persahabatan dengan sesiapa sahaja
asalkan kita tahu menjaga batasan persahabatan dan memilih sahabat yang baik yang boleh
melorongkan kita ke arah kebaikan iaitu yang mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya.

Nabi Muhammad SAW pernah mengibaratkan ikatan persahabatan antara dua orang muslim
dengan kedua belah tangan. Baginda tidak menggunakan perumpamaan lain kerana jalinan
hubungan antara kedua-dua tangan sangat tepat untuk dijadikan ibarat dalam menggambarkan
tentang hubungan sesama manusia. Kita boleh melihat bagaimana kedua belah tangan saling
membantu satu sama lain dalam usaha mencapai sesuatu tujuan. Kedua-duanya bersatu
menjadi satu untuk mencapai tujuan yang sama. Sebagai contoh, ketika mengangkat kotak
yang berat dan besar. Bukankah kedua-dua belah tangan memerlukan antara satu sama lain?

Ikatan persahabatan terjalin atas paksi kasih sayang, saling mengambil berat dan memberi
perhatian di saat susah dan senang. Sekian lama bersahabat, sudah tentu masing-masing
sudah memahami sikap dan perangai sahabat sendiri. Ada masa kita boleh bertelagah atau
berselisih pendapat tetapi itu adalah rencah yang memberi kemanisan dalam persabahatan.
Sahabat yang baik sahabat yang mampu menegur kita saat kita melakukan kesilapan. Juga
mampu memberi pandangan dan nasihat yang wajar. Sebab itu, mereka penting dan sebagai
hamba Allah kita disaran untuk menjaga ikatan tersebut dengan perasaan ikhlas, jujur dan
setia. Bukan untuk kepentingan sesuatu atau sebagainya.

Bersahabatlah kerana dunia kita tidak lengkap tanpa peneman-peneman yang setia ini.
Hubungilah mereka andai kita sudah melupakan mereka. Jalinkanlah ikatan yang murni dan
semoga Allah memelihara persahabatan tersebut sentiasa dalam lindungan-Nya. Dijauhkan
daripada fitnah dan sifat dengki yang mampu meleraikan ikatan itu.

Anda mungkin juga menyukai