Anda di halaman 1dari 9

Layang-layang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Lompat ke: pandu arah, cari
Untuk kegunaan lain, sila lihat Layang-layang (nyahkekaburan).
Permainan layang-layang, juga dikenali dengan nama wau merupakan satu aktiviti
menerbangkan layang-layang tersebut di udara. Perkataan wau dikatakan berasal dari
perkataan kerajaan Melayu Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan,
Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat
dan selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan
menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-
layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja. Selain itu kemunculan nama wau juga
dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke
udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi "wau" secara
berirama.
Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur. Permainan wau
juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur
dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.
Isi kandungan
1 Sejarah wau
o 1.1 Di Malaysia
o 1.2 Mitos permainan wau
2 Jenis wau
3 Cara bermain
4 Menghasilkan wau
5 Perincian wau
o 5.1 Teknik pembuatan wau tradisional
5.1.1 Petua dan pantang larang pemilihan buluh
5.1.2 Penyimpanan buluh
5.1.3 Meraut buluh
5.1.4 Membuat bingkai
5.1.5 Mengukur, melukis dan menyobek corak
5.1.6 Memasang jambul atau rambu
5.1.7 Memasang belalai
5.1.8 Memasang busur
6 Rujukan
7 Sumber
8 Pautan luar
Sejarah wau
Di Malaysia
Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan. tarikh serta asal-
usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia
berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta ciri wau di Malaysia mempunyai
persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China.
Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar.
[perlu rujukan]

Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur
kebudayaan dari negara China memandangkan hubungan Malaysia-China telah berlangsung
sejak zaman Greek lagi.
Kemungkinan juga perkataan wau datangnya daripada perkataan Cina Hokkien (Fujian). Kata
untuk wau dalam dialek Hokkien ialah 'ao' di utara Malaysia.
Pada masa dahulu, orang-orang Melayu di Singapura turut menggunakan layang-layang bagi
menangkap ikan.
[1]

Mitos permainan wau
Mengikut satu cerita, wau itu pada awalnya adalah permainan tanpa nama. Permainan yang
dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat dari daun tertentu yang diikat pada tulang
belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat-urat daun nenas. Wau
dimainkan di tempat yang berangin. Satu waktu, permainan tanpa nama itu putus talinya, dan
anak itu pun menangis wa,wa,wa,wa, maka, menurut yang empunya cerita, lahirlah
perkataan "Wau".
Mengikut asal usul yang lain, yang lebih dekat dengan mitos, ia bermula apabila Dewi Dewa
Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang tembuni Dewa Muda ke laut. Maka
Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan merasa tidak selesa duduk di kayangan,
lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda
terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang
dinamakan Awang si Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan
rangka Wau untuk Dewa Muda.
Untuk menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk
dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan
tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Bila Wau ini
dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam. Dari bunyi busur
itulah wujudnya nama "Wau". Mengikut asal usul ini juga, wau yang tidak ada busur atau
busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam dipanggil "layang-layang".
Mengikut asal usul yang lain pula, wau wujud dari semangat padi. Pada satu hari, seorang
petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan seorang anak
perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap hari membawakan
minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di tempat dia bermain di rumah padi,
yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu di hati isteri. Anak perempuan itu dipukul
oleh si isteri lantas melarikan diri dari rumah petani tersebut menghala angina barat.
Berikutan dengan kejadian itu, padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang
penyakit. Mengikut nujum, anak perempuan yang dihalau tadi adalah semangat padi. Untuk
memohon maaf, petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan sekarang ini dan
dinaikkan setelah menuai.
Mengikut asal usul yang lain, Wau Bulan lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar
Srivijaya oleh Dewa Muda. Setelah kemangkatan pembina Empayar Srivijaya iaitu Sri
Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar yang meliputi seluruh Asia Tenggara ini mulai
berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu Medang Bhumi.
Di awal abad ke-8 muncul seorang tokoh, iaitu cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama
Jaya Sinha. Beliau mempunyai berbagai gelaran, antaranya Sabjaya atau Sanjaya Putera, Inu
Dewa, Seri Panji, Mahisa Kelana Seri Panji, Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya dan
Hyang Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda.
Dewa Muda telah mengadakan beberapa serangan untuk menyatukan kembali Empayar
Srivijaya.
Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia
pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau lembaga wau bulan yang
baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya atau Asia
Tenggara itu.Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun
713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang
Empayar Srivijaya dikenali sebagai Sejagat Tanah Jawa.
Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung
yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut Nabi
Mahlail Alaihissalam antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama
Mahalelselt. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar Burung Petala Indera. Jadi, kepala Wau
Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya, dan memberi erti asas
kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.
Dikisahkan bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang
melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar
Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja-Laos-
Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke
Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara dua belas ragam bererti dua
belas suku terdapat di dua belas daerah/negeri tersebut tadi.
Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan
Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit
penuh dilambangkan sebagai negara pusat atau kawasan pusat pemerimtahan yang
dinamakan Nusa Kencana-Kawasan Emas dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian
bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan Nusantara-
Kawasan yang dirantai oleh laut-laut.
Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan
tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh
satu pentadbiran pusat.
Dalam asal usul yang lain pula, wau dinyatakan berasal dari Kembayat Negara di zaman Siti
Zubaidah dan wau ini bernama Wau Lenggang Kembayat. Wau inilah yang dinaikkan oleh
Pembina Empayar Srivijaya iaitu Dewa Muda. Bentuknya tidaklah seperti Wau Bulan seperti
yang dinyatakan dalam asal usul di atas. Wau Lenggang Kembayat ini bentukya seperti Wau
Ikan yang wujudnya sekarang ini.
Banyak lagi terdapat asal usul wau, tetapi hampir semuanya menyerupai asal usul yang telah
dicatat.
Jenis wau


Wau bulan.
Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya wau burung, wau pari, wau katak,
wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau
barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan.
1. Wau barat
2. Wau bayan
3. Wau bulan
4. Wau burung
5. Wau jala budi
6. Wau katak
7. Wau kucing
8. Wau lenggang kebayan
9. Wau merak
10. Wau pari
11. Wau sewah
Cara bermain
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau
dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali
akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah
wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang
dihias berwarna-warni.
Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu tetapi
layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan
juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang
yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua
utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di
Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
Menghasilkan wau
Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh
untuk dijadikan rangka, mengimbangkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau
tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih
besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk
serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan
berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan
warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih
yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi
dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan
diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung
apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah
direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju
diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi
wau - Teraju Tiga.
Perincian wau
Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau,
busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.
Teknik pembuatan wau tradisional
Antara bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam
daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah
wau.
Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk
menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah,
kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau
yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu
dipilih dengan lebih teliti.
Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang
dan menyimpan buluh tersebut.
Petua dan pantang larang pemilihan buluh
1. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak
atau dusun.
2. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
3. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai
banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
4. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai
semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
5. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti
di waktu tengahari.
6. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
7. Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
8. Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
9. Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah
ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, Wahai Sang Bubuk,
hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku wat kelik ni ialah hak aku, mu tok sah ikut
akulah, mu make hok sini.
Penyimpanan buluh
Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka
wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada
dilangkah manusia.
Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat
ialah :-
1. Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
2. Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam.
3. Menyalai kepingan buluh pada bara api.
Meraut buluh
Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas
dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat
bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi
memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada
kesilapan.
Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan
sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan
semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5
sentimeter.
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan
di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk
memudahkan ia dibentuk.
Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula
dengan kertas pasir.
Membuat bingkai
Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas
sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut
ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang
belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap
perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh.
Rangka bingkai wau kemudian akan diikat:
1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian
tersebut.
2. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu.
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang.
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian
tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap.
6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut
membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan
buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah
pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan
keluasan kepala wau.
7. Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada
kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.
Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil tanah akan dipasang pada wau.
Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal
dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah:
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari
rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk V.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.
Mengukur, melukis dan menyobek corak
Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut
unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat:
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan
mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula,
corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak
asas bagi wau.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu
gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk
elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap.
Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya
diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas
berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada
bahagian tepinya sahaja.
Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan.
Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu
kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang
tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran
sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang
mempunyai sehingga lapan warna.
Memasang jambul atau rambu
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Jambu biasanya diperbuat daripada kertas crepe yang dipotong dengan gunting secara
memanjang untuk membentuk rambu.
Memasang belalai
Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.
Memasang busur
Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri
daripada empat komponen iaitu bok, daun ibus, inas dan buluh penyepit.
1. Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau.
2. Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian
bunyi yang dikehendaki.
3. Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua
sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur.
4. Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau
dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang
nilon.
Rujukan
1. Malay magic: an introduction to the folklore and popular religion of the ... By
Walter William Skeat
Sumber
Pogadaev, Victor. "Svetly Mesyatz-Zmei Kruzhitsa" (My Lord Moon Kite) -
Vostochnaya Kollektsia (Oriental Collection). M.: Russian State Library. N 4 (38),
2009, 129-134. ISSN 16817559
Pautan luar

Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Layang-layang
Perpustakaan Negara malaysia - Wau.
Khusus Sejarah PMR 2008 Wau.
(Inggeris) Malaysian National Wau Competition - Pasir Gudang 2001
Keluaran 14 - Layang-Layang Tradisional

Anda mungkin juga menyukai