Anda di halaman 1dari 12

WAU Wau

by adminseni

Sejarah wau di Malaysia Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan. tarikh serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta ciri wau di Malaysia mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China. Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar. Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsurunsur kebudayaan dari negara China. Mitos permainan wau Mengikut satu cerita, wau itu pada awalnya adalah permainan tanpa nama. Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat dari daun tertentu yang diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat-urat daun nenas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Satu waktu, permainan tanpa nama itu putus talinya, dan anak itu pun menangis

wa,wa,wa,wa, maka, menurut yang empunya cerita, lahirlah perkataan "Wau". Mengikut asal usul yang lain, yang lebih dekat dengan mitos, ia bermula apabila Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang tembuni Dewa Muda ke laut. Maka Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan merasa tidak selesa duduk di kayangan, lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang dinamakan Awang si Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan rangka Wau untuk Dewa Muda. Untuk menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Bila Wau ini dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam. Dari bunyi busur itulah wujudnya nama "Wau". Mengikut asal usul ini juga, wau yang tidak ada busur atau busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam dipanggil "layanglayang". Mengikut asal usul yang lain pula, wau wujud dari semangat padi. Pada satu hari, seorang petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan seorang anak perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap hari membawakan minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di tempat dia bermain di rumah padi, yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu di hati isteri. Anak perempuan itu dipukul oleh si isteri lantas melarikan diri dari rumah petani tersebut menghala angina barat. Berikutan dengan kejadian itu, padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang penyakit. Mengikut nujum, anak perempuan yang dihalau tadi adalah semangat padi. Untuk memohon maaf, petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan sekarang ini dan dinaikkan setelah menuai. Mengikut asal usul yang lain, Wau Bulan lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar Srivijaya oleh Dewa Muda. Setelah kemangkatan pembina Empayar Srivijaya iaitu Sri Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar yang meliputi

seluruh Asia Tenggara ini mulai berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu Medang Bhumi. Di awal abad ke-8 muncul seorang tokoh, iaitu cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha. Beliau mempunyai berbagai gelaran, antaranya Sabjaya atau Sanjaya Putera, Inu Dewa, Seri Panji, Mahisa Kelana Seri Panji, Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya dan Hyang Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda. Dewa Muda telah mengadakan beberapa serangan untuk menyatukan kembali Empayar Srivijaya. Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau lembaga wau bulan yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya atau Asia Tenggara itu.Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai Sejagat Tanah Jawa. Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut Nabi Mahlail Alaihissalam antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama Mahalelselt. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar Burung Petala Indera. Jadi, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya, dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini. Dikisahkan bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja-Laos-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara dua belas ragam bererti dua belas suku terdapat di dua belas daerah/negeri tersebut tadi. Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai negara pusat atau

kawasan pusat pemerimtahan yang dinamakan Nusa Kencana-Kawasan Emas dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan NusantaraKawasan yang dirantai oleh laut-laut. Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat. Dalam asal usul yang lain pula, wau dinyatakan berasal dari Kembayat Negara di zaman Siti Zubaidah dan wau ini bernama Wau Lenggang Kembayat. Wau inilah yang dinaikkan oleh Pembina Empayar Srivijaya iaitu Dewa Muda. Bentuknya tidaklah seperti Wau Bulan seperti yang dinyatakan dalam asal usul di atas. Wau Lenggang Kembayat ini bentukya seperti Wau Ikan yang wujudnya sekarang ini. Banyak lagi terdapat asal usul wau, tetapi hampir semuanya menyerupai asal usul yang telah dicatat. Jenis wau

Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Cara bermain Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarnawarni. Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.

Menghasilkan wau Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbangkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya. Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan. Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau -Teraju Tiga. Perincian wau

Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau. Teknik pembuatan wau tradisional

Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau. Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti. Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut. Petua dan pantang larang pemilihan buluh Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai

semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu tengahari. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya. Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga. Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, Wahai Sang Bubuk, hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku wat kelik ni ialah hak aku, mu tok sah ikut akulah, mu make hok sini. Penyimpanan buluh Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia. Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut. Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam. Menyalai kepingan buluh pada bara api. Meraut buluh Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan. Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan

semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk. Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir. Membuat bingkai Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh. Rangka bingkai wau kemudian akan diikat: Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau. Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang. Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil tanah akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat

utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah: Ukur kertas dengan saiz bingkai. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk V. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji. Mengukur, melukis dan menyobek corak Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat: Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau. Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal

kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna. Memasang jambul atau rambu Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau. Jambu biasanya diperbuat daripada kertas crepe yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu. Memasang belalai Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau. Memasang busur Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri daripada empat komponen iaitu bok, daun ibus, inas dan buluh penyepit. Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau. Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian bunyi yang dikehendaki. Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur. Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang nilon. Promosi Kini pelbagai cara kerajaan Malaysia mempromosikan produk kraftradisional Malaysia kepada dunia, antaranya dengan mengadakan pertandingan wau antarabangsa, pameran kraftangan ke luar negara dan sebagainya. Terdapat juga syarikat-syarikat besar seperti MAS menggunakan motif wau bulan pada lambang syarikat penerbangan utama Malaysia itu. Secara tidak langsung ia juga mempromosikan wau bulan kepada dunia.

Anda mungkin juga menyukai