Anda di halaman 1dari 1

Perbezaan Akhlak, Moral dan Etika

Akhlak secara umumnya ialah sistem atau tingkah laku manusia yang bersumberkan kepada asas wahyu atau syarak.
Sementara itu, etika ialah sistem tingkah laku manusia bersumberkan selain daripada wahyu iaitu bersumberkan falsafah. Tingkah
laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau jahat pula dinamakan moral.
Akhlak merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir dan batin manusia, manakala moral ialah satu sistem yang
menilai tindakan zahir manusia sahaja. Akhlak juga mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan
manusia dengan Pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain. Moral pula hanya mencakupi pemikiran,
perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan manusia sahaja. Nilai-nilai yang terdapat dalam akhlak bersifat
mutlak, sempurna dan tetap manakala nilai-nilai moral bersifat relatif, subjektif dan sementara.
Contoh bagi membezakan akhlak dan moral mengikut perspektif Islam ialah dari segi pemakaian, pemakaian bagi
seseorang muslim mengikut Islam mestilah menutup aurat dan jika individu muslim tersebut tidak menutup aurat, mereka dikatakan
tidak berakhlak kerana telah melanggar ajaran yang ditetapkan tetapi mengikut pandangan moral jika seseorang itu mendedahkan
aurat tetapi masih mempunyai perlakuan yang baik, mereka masih dianggap bermoral.
Moral merupakan sebahagian daripada etika. Masalah etika adalah berkaitan dengan sesuatu yang membuahkan hasil
yang salah atau sesuatu yang tidak adil. Ruang lingkup perbincangan etika adalah lebih luas berbanding dengan moral. Fokus etika
lebih luas mencakupi estetika, etika profesional, tingkah laku dan logik. Etika mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan
manusia bagi menyediakan prinsip tanggungjawab dan menilai tindakan yang berkaitan dengan kemanusiaan. Moral pula merujuk
kepada cara berfikir, bertindak dan bagaimana mereka harus bertindak, manakala etika adalah falsafah moral berkaitan dengan
masalah betul atau salah. Contohnya adalah seperti penggodaman atau hack. Permasalahan ini bukan masalah berkaitan etika
tetapi adalah kesalahan moral untuk mendapatkan capaian yang tidak mendapat kebenaran.

Anda mungkin juga menyukai