Anda di halaman 1dari 2

Lampiran 1

Obses Kurus
Oleh Suzan Ahmad
2011/09/18

SEPERTI anoreksia, masalah bulimia atau bulimia
nervosa juga antara masalah kesihatan akibat
tabiat makan yang bercelaru. Pesakit bulimia akan
makan makanan kegemaran dalam jumlah banyak
dan kemudian memuntahkannya semula.

Malangnya, bukan saja makanan tetapi asid perut
turut dimuntahkan bagi memastikan tiada makanan
tersisa. Lazimnya penghidapnya bertindak menjolok
anak tekak atau menggunakan pelbagai cara
seperti julap dan diuretik (buang air besar atau
kecil). Ini dilakukan kerana terlalu ingin
mengurangkan berat badan dan pada masa sama
masih boleh memakan makanan kegemaran
mereka.

Menurut Perunding Psikiatri & Hipnoterapi Klinikal
Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal
Abdul Rahman, bulimia ada beberapa kriteria
seperti episod makan berulang-ulang dan
berlebihan daripada biasa, dalam jangkamasa
singkat).

Kedua, timbul rasa menyesal selepas makan yang
membawa kepada perbuatan memuntahkan semula
makanan dengan menjolok anak tekak dan
melakukan senaman keterlaluan dan juga berpuasa
secara keterlaluan.

Ketiga, pesakit bulimia menilai diri, kehidupan dan
kecantikan diri hanya berasaskan kepada
penampilan, berat badan dan makanan. Mereka
hanya memikirkan cara bagaimana untuk
mengurangkan berat badan kerana di fikiran diri
sentiasa gemuk dan tidak menarik. Keempat, aktiviti
harian terganggu kerana gaya hidup yang terlalu
berahsia, suka menghilangkan diri kerana mahu
memuntahkan makanan menyebabkan mereka
kurang bersosial dan kurang berkawan. Malah
pesakit ini sanggup mengubah dan menyesuaikan
gaya hidup mengikut tabiatnya yang suka
memuntahkan makanan, jelas Daniel ketika
ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pesakit bulimia boleh dikenali kerana
tabiat pemakanan yang celaru memberi kesan
paling jelas pada gigi dan mulut. Akibat kerap
muntah, berlaku hakisan pada enamel gigi,
kerosakan gigi dan jangkitan pada gusi. Tabiat
kerap muntah juga menyebabkan berlakunya
ketidakseimbangan garam dalam tubuh (elektrolit).
Ia boleh menyebabkan kekejangan dan degupan
jantung yang tidak teratur.

Bulimia akan memberi kesan buruk kepada seluruh
tubuh seperti tidak datang haid, cenderung untuk
sembelit dan dehidrasi akibat penyalahgunaan
diuretik dan laksatif, tinggi kalori dan nutrien dari
makanan seperti kek, kuih muih, ais krim dan
makanan segera. Kulit kering dan berkedut,
kekurangan zat, rambut dan kuku mudah pecah.
Malah kekurangan mineral dan vitamin juga boleh
menyebabkan penyakit kronik seperti kegagalan
buah pinggang.

Seperti masalah psikologikal lain, bulimia tidak
disebabkan oleh satu faktor sebaliknya gandingan
beberapa faktor termasuk budaya penjenamaan
sosial yang sering dipaparkan media cetak dan
elektronik seperti tubuh langsing dan kulit cerah
yang dilabelkan sempurna dan ideal.

Ia membawa pula kepada faktor pencetus yang
kerap menimpa peragawati, model dan artis
ternama. Ini termasuklah remaja yang baru
memasuki usia akil baligh yang sangat rapuh jati
diri dan masih mencari identiti. Bayangkan apa
kesan komen bersahaja ibu, bapa, rakan atau
saudara seperti peha awak besarlah, atau muka
awak bulatlah. ke atas mereka.

Faktor memudaratkan iaitu gemuk adalah hodoh
dan kurus adalah cantik, faktor genetik dan faktor
gangguan imej tubuh (lebih kepada anoreksia) juga
memberikan kesan psikologi kepada pesakit.

Jika dibandingkan dengan aneroksia (pesakit
mengelak dari menjamah makanan) bulimia lebih
mudah untuk dipulihkan. Pakar psikologi bukan saja
perlu menjalankan terapi kepada pesakit tetapi
keluarga pesakit juga perlu diberi pengetahuan dan
disedarkan mengenai masalah mental yang dilalui
pesakit dan bagaimana untuk menghadapinya.

Merawat pesakit bulimia adalah usaha bersama
pelbagai pihak. Pakar perlu meyakinkan pesakit
bahawa dia perlu percaya, sanggup bekerjasama
dan bersifat terbuka untuk pulih sepenuhnya kerana
banyak pembaharuan dan perubahan yang perlu
dilakukan membabitkan gaya hidup pesakit dan
keluarga. Motivasi pesakit perlu dibangunkan
kerana untuk pulih ia masih bergantung kepada
disiplin dan kekuatan dalaman pesakit

Pesakit bulimia terlalu tertekan dan sangat
beremosi, jadi mengikut fasa tertentu kami
mengajar mereka teknik untuk membina harga diri,
bertenang, menilai semula cara senaman mereka
dan mengubahsuai cara mereka bersenam selepas
mengenalpasti masalah psikologikal lain seperti
depresi, kegelisahan dan tahap penyalahgunaan
bahan diuretik dan julap.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Obs
eskurus/Article/index





Lampiran 2

Gangguan Pemakanan Masalah Mental
Oleh Noor Fazrina Kamal
28/05/2013

Perunding psikiatri dari Hospital Gleneagles, Kuala
Lumpur, Dr. Nor Hamidah berkata, jumlah
pesakit anorexia nervosa (anorexia) dan bulimia
nervosa (bulimia)di Malaysia tidak seteruk di negara
seperti Amerika Syarikat, namun angkanya semakin
meningkat tahun demi tahun.

"Walaupun Malaysia dikatakan antara negara yang
kadar obesitinya tinggi, tetapi kes bulimia dan
anorexia menjadi satu senario membimbangkan,"
jelas beliau ketika sesi penerangan tentang
anorexia dan bulimia di hospital tersebut baru-baru
ini.

Dr. Hamidah menerangkan anorexia dan bulimia
sebenar boleh dianggap sebagai penyakit yang
membabitkan gangguan tingkah laku pemakanan
seseorang.

"Anorexia nervosa dinamakan pada tahun 1868
oleh doktor William Gull. Masalah ini terjadi apabila
seseorang itu mula mengehadkan dirinya kepada
pemakanan.

"Malah pesakit juga mempunyai cara khusus dalam
memilih makanan. Mereka begitu teliti pada
pemakanan yang mengandungi minyak, lemak dan
tidak sesekali memilih makanan bergula yang
selalunya terdapat dalam manisan," jelas Dr. Nor
Hamidah.

Ini merupakan satu simptom penyakit psikiatri dan
dinilai apabila seseorang itu mengalami penurunan
berat badan yang ketara (sekurang-kurangnya 15
peratus daripada berat badan asal). Golongan ini
juga begitu takutkan obesiti dan kenaikan berat
badan.

"Bagi wanita yang mengalaminya, mereka
ketiadaan sekurang-kurangnya tiga kitaran haid
berturut-turut. Pola diet mereka makin hari makin
minimum hingga jadi pembenci makanan dan
sering menyalahgunakan ubat julap," ujar beliau.
Menurut Dr. Nor Hamidah, menerusi statistik yang
diperoleh, seramai 0.37-4.06 daripada 100,000
penduduk negara ini mengalami gangguan
pemakanan ini dalam setahun.

Daripada jumlah tersebut, satu hingga dua peratus
adalah dalam kalangan remaja di sekolah dan
pelajar universiti.

"Jangan terkejut kerana lima hingga 10 peratus
daripada jumlah penghidap penyakit gangguan
pemakanan ini adalah lelaki.

"Selain itu, golongan yang biasa terkena gangguan
pemakanan ini adalah mereka yang datang
daripada kelas atasan," ujarnya.
Dr. Nor Hamidah juga memberitahu
penyakit anorexia juga tidak mustahil berulang
dalam sejarah keluarga.

"Faktor genetik juga memainkan peranan apabila
kajian Theander pada tahun 1970 mendapati enam
hingga 10 peratus dalam saudara perempuan bagi
pesakit anorexia.

"Selain itu, faktor pekerjaan juga memainkan
peranan terutama apabila tugasan mereka seperti
sebagai model atau penari balet, menuntut mereka
untuk sentiasa langsing dan kurus," katanya.

Apa yang dimaksudkan oleh Dr. Hamidah dengan
penyakit adalah merujuk kepada sejenis gangguan
psikiatri apabila individu terbabit mula menyekat
makanan pada dirinya.

"Pesakit anorexia adakalanya boleh menjadi
simptom pesakit bulimia kerana mereka boleh
memuntahkan semula makanan yang telah
dimakan.

"Simptom psikiatri menjadi lebih bahaya apabila
pesakit mula mengasingkan diri daripada bersosial,
timbul tanda-tanda kemurungan, gejala cemas dan
menjadi sangat obses.

"Pesakit bulimia juga akan menjurus kepada
simptom gangguan psikiatri seperti kemurungan,
cemas, impulsif, konflik seksual dan gangguan
dalam keintiman. Gangguan ini memang boleh
menjadi keterlaluan disertai dengan gangguan
panik serta gangguan keresahan.

"Jangan ingat hanya gangguan psikiatri saja boleh
berlaku. Pesakit anorexia dan bulimia turut
berhadapan dengan pelbagai komplikasi fizikal
seperti dehidrasi, ketidakseimbangan elektrolit,
kompromi jantung dengan pelbagai aritmia,
gangguan motiliti gastro usus, masalah buah
pinggang, kemandulan, kelahiran pra-matang,
komplikasi peri-natal lain, hipotermia dan
sebagainya.

"Paling menyedihkan pesakit juga boleh
berhadapan dengan serangan jantung lalu terus
mengakibatkan kematian," ujarnya.

Beliau turut memberitahu, pada satu kajian yang
dilakukan oleh Theander (1985), mendapati
bahawa gangguan pemakanan yang berterusan
selama beberapa tahun telah mengakibatkan 18
peratus pesakit gangguan pemakanan ini mati
akibat bunuh diri.

Sumber:
http://www.utusan.net.my/utusan/Kesihatan/201
30528/kn_01/Gangguan-pemakanan-masalah-
mental

Anda mungkin juga menyukai