Anda di halaman 1dari 3

Konsep pemikiran adalah proses membina ilmu dan kefahaman yang melibatkan

aktiviti mental dalam otak manusia. Semasa berfikir, otak manusia akan bertindak dengan
usaha memahami rancangan luar yang diterima melalui deria, membentuk konsep,
membuat tafsiran dan tindak balas berdasarkan pengalaman yang sedia ada dalam ingatan.
Teori dan definisi pemikiran yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi, terutamanya
sejak kurun ke-20, adalah dihuraikan secara ringkas seperti yang berikut.

Menurut Dewey (1910) menghuraikan pemikiran sebagai aktiviti mental dalam
sesuatu proses untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Guilford (1967) pula
berpendapat pemikiran merupakan sesuatu jenis kebolehan atau keupayaan. Ia mempunyai
pelbagai kemahiran berfikir. Dari Teori Roger Sperry (1970) menghuraikan fungsi otak kiri
manusia yang berfikir secara kritis dan otak kanannya berfikir secara kreatif. William W.
Wilen (1994) pula mentafsirkan pemikiran sebagai proses dalaman yang pantas, sama ada
secara sedar atau tidak sedar terhadap rangsangan luar yang diterima melalui deria. Di
dalam proses dalaman ini, data baru akan disimpan melalui cara pemadanan, perbandingan
dan klasifikasi dengan maklumat atau pengetahuan yang sedia ada dalam ingatan.

Menurut pandangan Islam, berfikir ialah fungsi akal yang mengawal tenaga supaya
otak manusia dapat bekerja dan beroperasi. Tenaga ini diperolehi melalui tafakur
(merenung). Berdasarkan pandangan dan definisi yang telah dinyatakan, konsep pemikiran
boleh dirumuskan iaitu pemikiran adakah sesuatu proses yang menggunakan minda untuk
mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu keraguan atau masalah yang timbul
dengan menggunakan pelbagai cara, membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi
yang logikal dan munasabah terhadap proses yang dialami. Pemikiran merupakan proses
yang menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah. Proses ini melibatkan aktiviti-
aktiviti menyusun idea-idea atau perkara-perkara yang tersembunyi, membuat kesimpulan
untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran baru yang boleh digunakan untuk penyelesaian
masalah yang kian mencabar.

Pemikiran kritis berlaku dalam situasi yang memerlukan seseorang membuat
keputusan berdasarkan analisis serta penilaiannya terhadap masalah yang dihadapinya. Ia
adalah satu bentuk pemikiran yang jelas dan bijak dan melibatkan beberapa kemahiran
seperti kemahiran membuat pemerhatian, penilaian dan pertimbangan. Selain itu, pemikiran
kritis juga melibatkan kebolehan menganalisis nilai sesuatu idea, data atau maklumat bagi
tujuan pemahaman yang jelas dan munasabah terhadap sesuatu perkara ataupun idea. Ia
juga boleh dirujuk sebagai satu bentuk pemikiran reflektif.

Pemikiran kritis membenarkan murid-murid mengenalpasti isu-isu yang tidak selari
dengan struktur skema (cara melihat dunia mengikut pengalaman yang lepas) dan
mencari cara- cara untuk mengubahsuai skema untuk memasukkan maklumat baru atau
menolak sesuatu maklumat melalui proses penaakulan. Ciri-ciri murid yang berfikir secara
kritis adalah membina kemahiran pemikiran dan penaakulan yang diperlukan untuk menilai
maklumat menyelesaikan masalah, menunjukkan pemikiran kritis dan analitikal melalui
cabaran aktif dan penglibatan dalam kurikulum, boleh menganalisa hujah,menjana tafsiran,
mengenal dan menilai tanggapan dan pandangan mereka sendiri dan orang lain.

Guru-guru boleh menerap kemahiran pemikiran kritis di kalangan murid seperti
menggunakan strategi berpusatkan murid, mengurus fakta secara sistematik dan tersusun,
memberi soalan- soalan yang lebih sukar kepada murid yang bijak, menggalakkan
perbincangan dan aktiviti menyelsaikan masalah, mengarah murid-murid membanding isi-isi
yang kuat dan lemah dan mengarah murid-murid membuat pertalian yang signifikan serta
mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam dunia sebenar. Pemikiran kritis juga
memerlukan individu berfikir secara sempurna. Apa yang dimaksudkan sempurna adalah
melihat idea ataupun isu itu secara meneyeluruh yang memerlukan penelitian menyeluruh
pada idea atau perkara supaya dapat memperolehi kesimpulan atau hujah yang bernas.

Pemikiran kreatif ialah satu jenis pemikiran di mana seseorang dapat memikirkan
pelbagai idea baru yang belum difikirkan oleh orang lain untuk menyelesaikan sesuatu
masalah. Seorang guru yang cekap harus menjana pemikiran kreatif di kalangan murid-
muridnya dengan memberikan peneguhan positif dalam bentuk ganjaran dan hadiah apabila
murid-muridnya mengeluarkan idea yang unik dan kreatif.

Guru-guru boleh menyemai kemahiran berfikir secara kreatif dengan cara-cara
seperti melatih murid-murid dengan mengemukakan soalan-soalan terbuka dan relevan,
guru mengemukakan soalan mengikut darjah soalan yang diberikan, soalan latihan yang
diberikan bermula dengan soalan mudah dan berakhir dengan soalan sukar, menyediakan
soalan lisan secara spontan, guru-guru mesti memupuk semangat ingin tahu dan pemikiran
murid dengan soalan yang unik, murid mempunyai kemahiran berfikir di luar kotak dan guru-
guru perle memperkenalkan strategi pengajaran seperti penyoalan dan penyelesaian
masalah agar menjana pemikirna kreatif.

Seorang guru perlu menjalankan lebih banyak aktiviti dan strategi pengajaran dan
pembelajaran seperti inkuiri penemuan dan kaedah penyelesaian masalah untuk menjana
pemikiran kreatif. Selain itu, banyakkan soalan terbuka di dalam bilik darjah dan menerima
pelbagai jawapan yanh betul asalkan ia logik dan munasabah. Guru-guru harus
memperbanyakkan aktiviti yang menjurus kepada aktiviti sumbangsaran, perbahasan dan
debat agar murid-murid dapat melibatkan diri dalam perbincangan intelektual.

Kita akan menjadi pemikir yang baik apabila kita sedar akan pemikiran kit adan
berusaha berfikir dengan lebih teliti dan bertanggungjawab terhadap proses pemikiran kita.
Kemahiran berfikir amat diperlukan bagi merealisasikan Wawasan 2020 dan hasrat negara.
Kejayaan dan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kebijaksanaan dan kekuatan
minda yang dimiliki oleh rakyatnya.

Kemahiran berfikir amat penting kerana keputusan yang baik adalah hasil daripada
proses pemikiran yang baik. Pemikir yang baik perlu menyedari dia sedang berfikir dan
sedang menggunakan segala kemahiran-kemahiran berfikir yang diperlukan bagi membuat
keputusan yang baik. Latihan berfikir amat diperlukan dalam usaha mencapai hasrat
falsafah pendidikan negara iaitu membentuk insan seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Kemahiran ini dapat melatih murid membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah dewasa ini dengan bijak dengan cara menggabungkan segala
pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berfikir yang diajar atau diperoleh.

Kemahiran berfikir juga melahirkan individu yang lebih berfikiran terbuka,
berkeyakinan serta berani menyuarakan pendapat dan pandangan serta dapat
menghasilkan idea yang bernas seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Tidak
dapat dinafikan maklumat adalah sumber pengetahuan kepada daya fikir dan dengan
ledakan teknologi maklumat ini, guru bukanlah sumber utama pengetahuan kerana
pembelajara lebih berbentuk mencapah. Gabungan dariapda dua unsur ini iaitu teknologi
dan kemahiran berfikir akan melahirkan murid yang kreatif dan kritis.

Anda mungkin juga menyukai