Anda di halaman 1dari 2

ARKIB : 08/10/2012

Membetulkan persepsi konsep sekolah asrama


SEORANG pakar akademik pendidikan, John Beamish daripada Linden Boarding Schools
menyarankan agar konsep sekolah berasrama di negara ini dinilai dengan skop yang lebih luas
dan berhenti mengaitkannya dengan tanggapan lapuk.
Menurutnya, gambaran tradisi yang mengaitkan sekolah berasrama dengan aktiviti buli perlu
dikikis dan masyarakat perlu menilai kewujudan sekolah berasrama dari sudut positif.
''Imej sekolah berasrama yang digambarkan sebagai tempat pelajar dibuli oleh pelajar senior
perlu dibetulkan kerana aktiviti ini suatu kegiatan yang tidak baik dan perlu dihapuskan,"
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya, biarpun gejala buli sering berlaku di sekolah asrama namun keistimewaan dan kebaikan
konsep sekolah berasrama tidak harus dipinggirkan malah perlu dipermoden.
''Apa yang harus dilakukan sekarang adalah kita perlu melakukan perubahan yang lebih moden
terhadap sistem sekolah berasrama agar tidak lagi dilihat sebagai satu perkara tradisi.
''Hakikatnya, konsep sekolah berasrama ini banyak kebaikan berbanding keburukan jika kita
melihat skop pelaksanaannya secara lebih luas," katanya.
Malah, tegasnya, kajian turut membuktikan pelajar yang tinggal dalam persekitaran sekolah
berasrama lebih berdisiplin dan berwawasan tinggi.
Selain itu, ujar beliau, konsep sekolah berasrama sering disalah ertikan dengan menganggap
kemudahan itu disediakan khusus untuk membantu membaiki masalah disiplin di kalangan
pelajar bermasalah.
''Hakikatnya, banyak kelebihan jika membesarkan anak-anak di sekolah berasrama selain
anggapan hanya untuk memisahkan hubungan anak dan ibu bapa serta menekankan konsep
memaksa pelajar mencapai keputusan peperiksaan cemerlang," tegasnya.
Namun, kata beliau, konsep pendidikan sekolah berasrama banyak mengkhususkan kepada
'kehidupan untuk belajar' dalam kehidupan harian dan menjadikan pembelajaran sebagai
budaya hidup.
''Sekolah berasrama membentuk kehidupan pelajar menjadi lebih baik malah mereka yang
pernah mengikuti pembelajaran di sekolah asrama mengakui sanggup mengulangi pembelajaran
secara sekolah berasrama," kata beliau.
Pada perkembangan yang sama, Beamish memberitahu, pihaknya berhasrat menganjurkan
persidangan pameran menggabungkan beberapa sekolah berasrama berprestij di seluruh dunia
November depan di Kuala Lumpur.
Negara yang akan terlibat dalam persidangan itu ialah Kanada, Jordan, Sweden, Switzerland dan
Jerman.
Antara objektif utama penganjuran termasuklah menyedarkan masyarakat umum mengenai
konsep modenisasi yang perlu diterap dalam penambahbaikan konsep sekolah berasrama.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121008/pe_02/Membetulkan-persepsikonsep-sekolah-asrama#ixzz353jIOlKz


Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai