Anda di halaman 1dari 2

Langkah yang boleh diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu ialah dengan menggerakkan

usaha melalui media massa. Selain memikirkan aspek komersial, media massa mempunyai
tanggungjawab sosial bagi memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu. Media massa
memainkan peranannya yang terbaik dalam membantu memartabatkan bahasa Melayu di negara
ini dengan berfungsi sebagai pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur. Pihak pengamal
media seharusnya bertanggungjawab dalam merangka kerja dalam usaha memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa dunia setanding dengan bahasa Inggeris. Media elektronik misalnya,
boleh memperkasakan bahasa kita melalui iklan, rancangan televisyen, filem, siaran radio dan
sebagainya. Pihak media seharusnya mengutamakan sari kata bahasa Melayu untuk dipaparkan
bagi setiap cerita bukan berbahasa Melayu yang disiarkan. Usaha ini tidak patut dipandang
remeh kerana kitalah yang bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Pujian
dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus
menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang
mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita
kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun
usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu
ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.Media cetak pula,
haruslah melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Para membaca bukan sahaja
mendapat maklumat melalui akhbar, majalah, buku dan sebagainya tetapi boleh memantapkan
kemahiran penggunaan bahasa Melayu. Media siber juga memainkan peranan yang penting
dalam memartabatkan bahasa Melayu iaitu melalui media sosial, laman web, blog dan
sebagainya. Penggunaan bahasa rojak,slanga dan bahasa singkatan haruslah dikurangkan kerana
sedikit sebanyak telah merosakkan bahasa kita sendiri. Sebaiknya, penulisan dalam media ini
menggunakan bahasa Melayu yang betul agar maklumat yang tepat dapat disampaikan.

Peranan bahasa Melayu dalam pembangunan adalah, bahasa Melayu menjadi identiti dan simbol
negara kita, Malaysia pada peringkat antarabangsa. Sekiranya kita memperkenalkan bahasa
Melayu pada peringkat antarabangsa, nama Malaysia juga akan turut sama megah sama seperti
negara lain. Sebagai contoh, negara Jepun menggunakan bahasa Jepun sebagai identitinya,
bahasa Perancis bagi negara Perancis, bahasa Jerman bagi negara Jerman dan sebagainya.
Semangat untuk memperkenalkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa merupakan
kesinambungan sejarah kegemilangan bahasa Melayu yang telah terbina pada suatu ketika
dahulu. Bahasa Melayu yang indah ini mampu menarik minat rakyat negara lain mempelajarinya
dengan lebih mendalam. Walau bagaimanapun, kita haruslah peka dan memberi perhatian
terhadap pengajaran bahasa Melayu agar keindahan dan keasliannya sentiasa terpelihara.
Pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mudah-mudahan dapat beransur-ansur
meningkatkan peranan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Potensi besar bahasa Melayu
yang dapat dilihat ialah wujudnya pusat-pusat pengajian di seluruh dunia yang mengajarkan
bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah diajar di puluhan universiti di Eropah, Australia, New
Zealand, Amerika Utara, rantau Asia Tenggara, Asia Timur, dan Asia Utara. . Secara ringkasnya,
tanggunjawab kitalah untuk mempertahankan dan mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu.
Di samping memperkukuhkan kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu di peringkat
kebangsaan, usaha mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa juga perlu
dijadikan agenda yang berterusan untuk menaikkan nama Malaysia pada peringkat yang lebih
tinggi.

Anda mungkin juga menyukai