Anda di halaman 1dari 3

Sakit gangguan spiritual

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN


SOALAN: Teman saya mengajar sama sekolah, duduk di meja sebelah saya, mengalami sakit
hampir dua tahun, sakit yang begitu terganggu. Beliau selalu bercuti dan tidak dapat
menumpukan pengajaran sepenuhnya. Ada kalanya dia ketawa dan senyum bersendirian,
seumpama ada kawan dilayan bercakap di sebelahnya. Dalam waktu lain, ia kelihatan
termenung berpanjangan, yang berakhir dengan juraian air mata.
Saya memang tidak percaya tentang sakit yang dikaitkan dengan sihir, tetapi apabila teman
ini tidak pulih dalam jangka masa yang begitu lama, padahal hospital menyatakan dia tidak
sakit, tidak mengalami masalah tekanan, stres, depres dan sebagainya, pemikiran saya beralih
kepada punca lain, yang sukar untuk dianalisis. Adakah sakit seperti ini pernah berlaku di
zaman Rasulullah s.a.w.?
Taruna
Jawapan: Penyakit terbahagi kepada dua, iaitu fizikal dan spiritual. Bagi sistem perubatan
moden, masyarakat Barat yang bersifat biology orientation menganggap bahawa penyakit,
sama ada berbentuk fizikal atau spiritual merupakan satu tahap nyata atau tersembunyi pada
spiritual dan jiwa yang merosakkan kesejahteraan diri seseorang.
Sakit demam juga dikatakan sebagai berpunca daripada faktor-faktor ketegangan,
ketidakseimbangan, kecederaan ataupun kerosakan yang dialami oleh pesakit.
Sakit boleh berlaku akibat agen parasit kuman dan sebagainya seperti yang dikemukakan oleh
model fisiologik, manakala histeria pula dikatakan berpunca daripada pelbagai faktor, sebagai
adaptasi tekanan emosi dalam bentuk fizikal dan didefinisikan sebagai satu reaksi terhadap
tekanan yang dialami. Histeria ataupun gangguan mental juga dikatakan sebagai salah satu
jalan yang dipilih bagi melegakan tekanan mental dan jiwa yang ditanggung.
Ia juga boleh terjadi akibat adanya masalah-masalah lama yang mengganggu kesejahteraan
jiwa dan mental. Segala-galanya terus terpendam dalam jiwa, minda dan mental, lalu
akhirnya mencetuskan tingkah laku histerikal.
Walaupun demikian, biarpun punca-punca histeria yang dijelaskan itu benar dan boleh
berlaku, namun terdapat banyak mangsa histeria yang tidak mempunyai latar belakang yang
berkaitan dengan faktor-faktor atau punca-punca yang dikemukakan. Hal demikian
membuktikan tentang adanya satu faktor lain, selain faktor-faktor yang dijelaskan
menyebabkan tercetusnya kelakuan histerikal.
Gangguan seperti ini juga sering berlaku pada waktu-waktu tertentu, ketika peperiksaan
hampir tiba, ketika diadakan pendidikan jasmani, selepas latihan sukan dan sebagainya
seperti yang berlaku di sekolah-sekolah.
Manakala mereka yang terlibat pula kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita, sama ada
pelajar ataupun pekerja kilang. Ini membuktikan bahawa histeria mudah berlaku di kalangan
mereka yang lemah semangat ataupun tidak mempunyai kekuatan roh, yang mengalami

depresi emosi dan mental. Kaum wanita adalah golongan yang dianggap mempunyai lemah
semangat berbanding dengan kaum lelaki.
Histeria ataupun gangguan mental juga boleh tercetus hasil gabungan faktor-faktor fizikal dan
ghaib, faktor fizikal dan mental atau gabungan ketiga-tiganya.
Dalam surah al-Baqarah: 275 terdapat firman Allah yang bermaksud: Orang yang makan riba
tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran penyakit
gila.
Menurut al-Qurtubi, ayat ini merupakan salah satu dalil tentang kesilapan mereka yang
mengingkari adanya rasukan jin-jin. Mereka beranggapan rasukan itu hanya tindak balas
semula jadi, manakala syaitan tidak berupaya merasuk tubuh manusia.
Al-Hafiz Ibn Kathir pula mentafsirkan bahawa mereka yang melibatkan diri dengan sistem
riba tidak berasa tenang. Keadaan mereka seperti orang yang kena rasuk dan selalu meracau.
Satu keadaan yang keji lagi buruk. Menurut Al-Alusi pula, perkataan al- masa yang
terdapat dalam surah al-Baqarah: 275 bermaksud gila.
Dinamakan demikian kerana syaitan itu apabila merasuk dan menguasai tubuh manusia itu
akan bertindak atau mengganggu yang boleh menyebabkan mangsanya sasau (gila) atau
mencetus perilaku histerikal.
Ibn Masud ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya yang bermaksud: Apabila
Rasulullah bersembahyang, baginda membaca: Wahai Tuhanku aku berlindung kepada-Mu
daripada kejahatan syaitan yang direjam, juga daripada rasukan, daripada godaan dan
disihirkan.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan disahkan sahih serta dipersetujui oleh AdzDzahabiy. Turut diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tarmiziy dan An-Nasaiy daripada hadis Abi
Said Al-Khudriy.
Rasukan adalah salah satu jenis penyakit gila yang boleh menjejaskan kehidupan seseorang
insan. Namun begitu apabila si mangsa pulih, keadaannya akan pulih seperti sediakala sama
seperti orang yang bangkit daripada tidur atau sedar daripada mabuk.
Hadis ini boleh dijadikan dalil ataupun hujah wujudnya penyakit akibat rasukan jin terhadap
manusia. Rasulullah membaca doa perlindungan (yang bermaksud di atas) untuk
mengelakkan daripada terkena penyakit tersebut.
Abi Al-Yasar meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berdoa dengan doa yang bermaksud:
Ya Allah, Aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kerana tua, daripada ditimpa
keburukan, kecelakaan, kedukaan, kebakaran serta lemas. Aku juga berlindung kepada-Mu
daripada dirasuk syaitan di saat- saat menghadapi kematian. Lindungilah akan daku daripada
ditikam curi (dibunuh), ketika berjihad di jalan-Mu. Dan aku berlindung dengan- Mu
daripada mati dipatuk binatang bisa maksud hadis riwayat Abu Daud dan Am-Nasaiy.
Safiyyah binti Huyyai berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya syaitan itu mampu bergerak dalam tubuh anak adam melalui saluran-saluran
darah Muttafaq alayh.

Ubai Ibnu Kaab pernah berkata: Ketika aku sedang bersama-sama Rasulullah seorang
Badui telah datang menemui baginda lalu berkata:
Wahai Nabi Allah, aku mempunyai seorang saudara yang sedang dihidapi penyakit.
Rasulullah bertanya apa sakitnya. Lelaki tadi menyatakan:
Dia terkena sakit sasau. Lalu baginda menyuruhnya agar membawakan saudaranya itu
menemui baginda.
Pesakit dibawa menghadap dan duduk di hadapan nabi. Baginda telah berdoa memohon
kesembuhan bagi pesakit tadi, lalu dengan izin Allah, sembuh.
Peristiwa-peristiwa seperti ini banyak tercatat dalam hadis-hadis, membuktikan bahawa sakit
seperti ini sememangnya wujud dan pernah berlaku di zaman Rasulullah juga pada zaman
sahabat.
Pemahaman atau keyakinan seseorang terhadap punca penyakit itu bergantung kepada ilmu
yang dimiliki dan pengalaman yang diharungi. Jelasnya, penyakit sama ada berpunca
daripada gangguan fizikal atau spiritual, ia tetap mengganggu kesejahteraan seseorang.
Kemudahan teknologi moden berupaya mengatasi masalah yang berkaitan gangguan fizikal,
iaitu dengan adanya hospital, klinik- klinik dan sebagainya yang dikaitkan dengan kepakaran
bidang masing-masing. Sakit gangguan spiritul pula dikaitkan dengan mereka yang terlibat
dengan rawatan tradisional, juga mereka yang arif tentang agama.
Sering berlaku sakit yang berkaitan fizikal, dibawa bertemu dengan mereka yang terlibat
dengan rawatan tradisional dikatakan berpunca daripada gangguan, sihir, saka, penunggu dan
sebagainya, yang menyebabkan kecelaruan di mana dalam keadaan tertentu usaha-usaha
penyembuhan itu melalui laluan yang begitu panjang menyebabkan penyakit menjadi lebih
serius dan sukar untuk diselamatkan.

Anda mungkin juga menyukai