Anda di halaman 1dari 2

Peranan Ibu Bapa Dalam Mengatasi Masalah Remaja

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan
peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai
golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Masalah
sosial adalah suatu ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan atau masyarakat, yang
membahayakan kehidupan kelompok sosial. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang
diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan
vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.
Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga
institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi
keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku
Syurgaku yang menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk
memastikan keutuhan institusi keluarga diadakan secara besar-besaran. Oleh itu, ibu bapa
perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam
gejala sosial.
Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anakanak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu
menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak
dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk
mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai
kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu
sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada
hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti
riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan
angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa
anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.
Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya
mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang seorang ayah dan ibu.
Peranan utama ibu bapa untuk mengatasi masalah remaja ialah memberi didikan
agama kepada anak-anak. Agama merupakan senjata ampuh yang mampu membantu
mereka menangkis segala anasir yang bersifat negatif. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
haruslah memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak dari kecil ibarat melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Kendatipun, ibu bapa yang memberi anak-anak dengan
cahaya keimanan yang cukup akan melahirkan adiwangsa yang soleh dan solehah. Di
samping itu, ada juga keluarga yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai
kerohanian. Menurut pakar motivasi, Dato Dr. Fadzillah Kamsah mengatakan bahawa ibu
bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri mereka kerana itu
merupakan benteng untuk mereka menempuh arus modenisasi kini. Tuntasnya, ibu bapa
hendaklah membuka fikiran seluas padang pasir dan agar hati seputih salju bahawa agama
merupakan senjata ampuh untuk mengelakkan modal insan terjerumus ke dalam kancah
masalah sosial pada masa kini.
Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anakanak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa
kesemasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk
mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya,
ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru.
Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama
untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak
mereka tidaklah Bagai me ncurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada
penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih

baik daripada mengubati. Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anakanak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan
wang ringgit.
Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka . Ibu
bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana
segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah
laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai
tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak
mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa
perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka
tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat.
Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini,
golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan
seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan
mereka.
Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam
mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik
anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang
bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang
berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita
berubah, sebelum padi di tangan menjadi lalang dan ayam ditambat disambar helang,
ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

Anda mungkin juga menyukai