Anda di halaman 1dari 6

Tokoh-tokoh Pendidik Negara

Tokoh-tokoh Pendidik Negara


Pendita Zaba, tokoh bahasa dan pemikir Melayu

Za'ba (Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Nama sebenarnya ialah
Zainal Abidin bin Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas,
Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan. Ibunya Intan Awaluddin berketurunan Minangkabau.
Ayahnya yang berketurunan Bugis Linggi merupakan orang yang berharta, berpengetahuan
agama, dan satu-satunya penduduk di kampung itu yang tahu membaca dan menulis Jawi.

Pendidikan Awal
Pendidikan awal Za'ba bermula di rumahnya sendiri, termasuk pelajaran asas agama dan
tulis-menulis (Jawi). Pada bulan Julai 1907, Za'ba belajar di Sekolah Melayu di Batu Kikir
dan kemudiannya dia bersekolah di Linggi. Di samping meneruskan pendidikan sekolah
Melayu pada waktu pagi, Za'ba belajar agama dan nahu bahasa Arab di Masjid Linggi pada
waktu petang daripada Abas bin Zakaria, ulama terkenal di Negeri Sembilan. Za'ba muncul
sebagai pelajar sekolah Melayu terbaik dalam peperiksaan Darjah Lima, semasa di Linggi.
Za'ba juga menduduki peperiksaan untuk menjadi guru atau untuk memasuki
sekolah Inggeris seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar, dan sekolah Inggeris di Seremban.
Dia muncul sebagai pelajar terbaik daripada 265 orang calon. Pada mulanya Za'ba memilih
untuk menjadi guru, tetapi akhirnya dia memilih memasuki sekolah Inggeris, iaitu St. Paul's
Institution, Seremban. Di sini dia belajar selama enam tahun (1910-1915), sehingga
memperoleh sijil Senior Cambridge. Dia banyak menerima hadiah kerana kecemerlangan
pencapaiannya, dan akhirnya muncul sebagai anak Melayu Negeri Sembilan yang pertama
berjaya dalam peperiksaan tersebut.

Sumbangan Zaba
Za'ba ditawarkan bekerja sebagai guru sementara di sekolahnya, dan selepas itu dia
memasuki perkhidmatan perguruan di English College, Johor Bharu (Jun 1916-September
1918). Dia pernah menjadi guru di Maktab Melayu Kuala Kangsar (Oktober 1918-April
1923), dan pada peringkat inilah Za'ba lulus peperiksaan ikhtisas perguruan (Normal Class,
pada tahun 1921); penterjemah di Pejabat Pengarah Sekolah-Sekolah Negeri-Negeri Selat

dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur (Mei 1923-Mac 1924), dan Maktab
Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (April 1924-September 1939). Kemudian dan
menjadi penterjemah dan juruhebah di Pejabat Penerangan Singapura serta menjadi
penyelenggara buku pendidikan Melayu di Jabatan Pelajaran Singapura (Oktober 1939Januari 1941).
Semasa pendudukan Jepun menduduki Tanah Melayu, Za'ba berkhidmat sebagai
ketua pengarang dan penterjemah berita Radio Jepun, serta menyelenggarakan penerbitan
buku bagi jabatan Pelajaran dan Agama, Bunkyo-ka (Mac 1942-Julai 1945). Selepas perang
dunia kedua tamat, Za'ba bertugas sebagai penterjemah di Mahkamah
Tinggi dalam Pentadbiran Tentera British di Kuala Lumpur (September 1945-Julai
1946); kemudian kembali ke jawatan lamanya sebagai penterjemah kanan bahasa Melayu
dan pengarang buku teks di Pejabat pelajaran, Kuala Lumpur (Ogos 1946-Ogos 1947);
pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies
(SOAS), Universiti London (September 1947-hingga bersara pada September
1950). Pada tahun 1953, Za'ba menjadi pensyarah kanan merangkap Ketua Jabatan
Pengajian Melayu yang pertama di Universiti Malaya, Singapura (April 1953-Januari 1959).
Semasa di University of London, Za'ba memperoleh Sarjana Muda Sastera (1953).
Za'ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an
lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun, Za'ba bergiat secara aktif dalam
bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan sosial serta politik tanah air. Za'ba
merupakan penulis rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih, sama ada dalam
bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang
bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik.
Kegiatan penulisannya sentiasa dibendung oleh kerajaan kolonial British, terutama
sepanjang dia berada di MPSI. Walau bagaimanapun, dia tetap aktif dan banyak tenaganya
ditumpukan ke arah penerbitan buku sekolah dan buku bacaan umum di Biro
Penterjemahan (pejabat Karang Mengarang) MPSI, selain memberi perhatian yang khusus
dan lebih serius kepada usaha untuk memajukan bahasa Melayu.

Karya-karya dan hasil penulisan


Beberapa buah buku penting tentang tatabahasa telah dihasilkannya yang digunakan di
maktab dan institusi pengajian pada masa itu, bagi mengisi kekosongan yang wujud. Antara
karyanya ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan Jawi (1929), Pelita Mengarang,

Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu: Jawi-Rumi (1938), dan tiga jilid dalam
siri Pelita bahasa Melayu (1940, 1946 dan 1949).
Dia juga terlibat secara aktif dalam gerakan pembaharuan Islam dan menghasilkan
beberapa buku tentang agama Islam. Antaranya ialah Falsafah Takdir (1932), Pendapatan
Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934), dan Asuhan
Budi Menerusi Islam (1958). Buku kedua Za'ba itu telah diharamkan pengedarannya di
negeri Perak oleh pihak berkuasa pada zaman tersebut.
Sumbangan Politik
Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Za'ba bergiat aktif dalam pertubuhan politik tanah air.
Dia menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS) menggantikan Tengku Ismail.
Dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya yang
berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946, yang kemudian melahirkan Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu (UMNO). Pada tahun 1956, Za'ba mengetuai satu lagi kongres yang penting
bagi bangsa Melayu.
Kali ini ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga, dan pada akhir kongres
ini Za'ba dianugerahi gelaran "Pendeta". Ini dilakukan kerana mengenang jasanya yang
tidak terhingga dalam bidang bahasa. Walaupun penglibatannya dalam bidang-bidang lain
tidak boleh diperkecil, tetapi sumbangan dan tulisannya dalam bidang bahasa yang paling
menonjol. Dalam pendahuluan Pelita Bahasa Melayu Penggal I misalnya, dia mencatatkan
kegigihannya menerapkan nahu Arab dan Inggeris kepada bahasa Melayu. Dengan itu dia
menjadi sarjana Melayu yang pertama menghasilkan huraian tatabahasa Melayu yang
lengkap dan mendalam.
Atas segala khidmatnya Za'ba telah diberikan beberapa anugerah dan ijazah
kehormat, iaitu Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya (1959), Ijazah
Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (1973), dan darjah
Panglima Mangku Negara (P.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan
Sri (1962).
Za'ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 di Petaling Jaya.

Aminuddin Baki, Bapa Pendidikan Malaysia

Aminuddin Baki (6 Januari 1926 - 25 Disember 1965) ialah "Bapa Pendidikan Malaysia"
serta bekas Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah
Pendidikan) yang paling muda ketika berusia 36 tahun. Beliau mempertingkatkan mutu
pelajaran di negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Laporan
Pendidikan Razak pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960.
Banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya.

Kehidupan Awal
Dilahirkan di sebuah kampung di Chemor, Perak 1926, Aminuddin memulakan pendidikan
awalnya di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Selepas lulus peperiksaan darjah
lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang
merupakan sekolah Inggeris yang terbaik di Ipoh ketika itu. Beliau tamat persekolahan
menengahnya pada tahun 1941.

Pada sekitar tahun 1945, Aminuddin mula menunjukkan minat dalam persatuan
pelajar ketika berasa amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang
ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur, walaupun persatuan
itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada
Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946, dengan tujuan
menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Aminuddin dilantik sebagai
setiausaha dan kemudian, menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di
Perak pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada
Oktober 1947, Aminuddin diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles, kini merupakan
sebahagian Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Pada masa ini, UMNO yang telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan
Union menggalakkan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar untuk berusaha ke arah
pencapaian matlamat mereka. Oleh itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil
keputusan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah
bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu
terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun pada tahun 1949, Aminuddin terpaksa menghentikan kegiatan


persatuan pelajarnya kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu,
beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh. Semasa di universiti, Aminuddin
berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman, beliau mendaftar sebagai guru
sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu dari tahun 1949
hingga 1951. Pada tahun 1950, beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik
sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama, beliau lulus peperiksaan
Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan
Kepujian.

Sumbangan
Selepas menamatkan pelajarannya pada tahun 1951, Aminuddin kembali ke Perak dan
menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah untuk sebentar waktu dan
kemudian, berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952. Selepas itu, beliau
melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London
dengan Biasiswa Ratu dan meninggalkan Pulau Pinang menaiki kapal pada 12 Julai 1952.

Aminuddin memperoleh Ijazah Sarjana Kaedah-kaedah dalam bidang pendidikan


pada bulan Julai 1953. Selepas pulang ke tanah air, beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di
Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Beliau memperkenalkan Sejarah Islam
kepada pelajar tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955,
Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960,
beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul
Rahman Talib.

Ketika berusia 36 tahun, Aminuddin dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan


Selangor pada 1962, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua Penasihat Pendidikan
Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan). Pada masa yang sama, beliau
aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan AlRahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau juga mewujudkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Aminuddin menubuhkan
Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963.
Beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan
berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural
Organization (UNESCO)

Aminuddin Baki meninggal dunia pada tahun 1965 ketika berusia 39 tahun kerana
diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang.

Anda mungkin juga menyukai