Anda di halaman 1dari 11

ZABA

LATAR BELAKANG Za'ba (ZAINAL ABIDIN BIN AHMAD ) merupakan seorang ahli bahasa yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu. Dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan, beliau telah khatam Al-Quran ketika berusia tujuh tahun, menghafal Surah Yassin dan berzanji. Za'ba mulai bersekolah ketika berusia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir. Tidak lama selepas itu, Za'ba bertukar ke Sekolah Melayu Linggi untuk pengajian Arab dan Islam lanjut. Pada 1915, Za'ba berjaya tamat (Senior Cambridge), menjadi pemuda Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menamatkan tingkatan satu ke Senior Cambridge dalam tempoh enam tahun. Za'ba mulai menulis dengan serius ketika berkhidmat sebagai guru sandaran di Johor Bahru pada tahun 1916. Rencana pertamanya berjudul "Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling" telah diterbitkan dua kali oleh Utusan Melayu. Kelebihan Za'ba adalah keupayaannya mengabung kesemua aspek dari bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan, dan politik dalam penulisannya. Dia turut tekun menulis mengenai kemunduran orang Melayu yang menjadikan kerajaan koloni British syak. Sungguhpun aktiviti penulisannya ditahan, dia kekal aktif. Ketika berkhidmat di Kolej Latihan Sultan Idris, Za'ba memusatkan usahanya menggabung tatabahasa Arab dan Inggeris ke dalam Bahasa Melayu dang menggunakan aturan tatabahasa tersebut dalam penerbitan buku teks sekolah dan bahan bacaan umum. Perkhawinan pertamanya pada 1917 tidak kekal tetapi dia mempunyai anak perempuan yang dibesarkannya. Za'ba kemudiannya berkahwin dengan Fatimah Umar. Za'ba meneruskan kerjaya penulisannya dengan menulis semula penulisan rencana keugamaannya untuk diterbitkan sebagai buku. Usaha pertamanya, Umbi Kemajuan diterbitkan pada 1932.

Za'ba turut aktif dalam khidmat masyarakat. Ini termasuk menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya pada 1937, dan pada 1945 sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor. Pada tahun 1946, di kongres menentang pembentukan Malayan Union, dia dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagi

Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO dan pada tahun yang sama dia menamatkan kerjaya politiknya selepas Piagam UMNO diterima dan diluluskan. Pada tahun 1947, dia mula berkhidmat sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London. Di bersara daripada perkhidmatan kerajaan ketika berusia 55 tahun. Khidmat Za'ba masih diperlukan dan pada tahun 1953 dia dilantik sebagai pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu (Malay Study Department (JPM)) di Universiti Malaya, Singapore. Bersama dengan Ungku Aziz, dia mengatur pembentukan pertubuhan bahasa pelajar dan dua tahun kemudian pembentukan Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya. Za'ba memduduki peperiksaan akhir kursus luar Universiti London dan menerima Master of Arts Second Class (Lower) ketika berusia 59 tahun. Za'ba menerima gelaran Pendeta sacara rasmi, dalam bentuk songkok pada 1956 dalam Kongres Penulisan dan Bahasa Melayu Ketiga di Johor Bahru. Semua titik peluh yang Za'ba curahkan kedalam hasil kerjanya adalah kerana dia mahu meletakkan bahasa Malay diperdana tanpa meminta penghormatan.

SUMBANGAN ZABA DALAM PENDIDIKAN Zaba ( Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad ) diiktiraf oleh masyarakat dan negara Malaysia, khususnya dan Alam Melayu, umumnya sebagai tokoh cendekiawan yang cukup berwibawa. Beliau pemikir dan pencetus beberapa gagasan besar dalam pelbagai bidang agama, ekonomi, bahasa, sastera, politik, pendidikan, dan kebudayaan sebagai suatu keseluruhan yang menandai tamadun Melayu. Dalam bidang agama, beliau dapat digolongkan sebagai cendekiawan yang mendukung gerakan islah. Dalam bidang politik barangkali ada yang tidak tahu bahawa beliau penggerak aktif dalam menyatukan orang Melayu untuk menolak gagasan Malayan Union kerajaan Inggeris.

Daripada sekian banyak bidang uang diceburinya, bidang bahasalah yang tampaknya paling banyak dipertalikan orang dengan ketokohan dan sumbangannya. Sehingga kini nama Zaba seakan-akan bersinonim dengan bahasa Melayu. Hal ini tidak menghairankan kerana memang Zabalah yang meletakkan asas sistem bahasa Melayu baharu, baik dalam bidang ejaan mahupun tatabahasa Melayu. Zabalah yang menandai awal babak perkembangan ilmu bahasa atau linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920-an, sezaman dengan tokoh linguistik Amerika yang cukup berpengaruh dalam dunia linguistik Barat pada satu waktu dahulu, iaitu Leonard Bloomfield.

Taraf Zaba sebagai perintis bahasa Melayu baharu diungkapkan dengan menarik sekali oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam pidato umum pengurniaan ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Zaba oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973 dengan kata-kata Karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerang suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini! Seorang sarjana besar dari Indonesia Prof. Dr. Harimurti Kridalaksana (1986) mengangkat Zaba sebagai Bapa Tata Bahasa Tradisional Melayu Malaysia, setaraf dengan

Sasrasoeganda yang digelar Bapa Tata Bahasa Tradisional Indonesia. Pengangkatan taraf itu berasaskan pada pengaruh tatabahasa yang disusun oleh Zaba yang cukup luas dalam sistem pendidikan di negara ini.

Prof. Dr. Asmah Haji Omar (1975), dengan berasaskan peranan buku tatabahasa karangan zaba yang dijadikan buku pegangan dalam sistem pendidikan di negara ini, menganggap buku Pelita Bahasa Melayu sebagai bible bagi guru-guru bahasa Melayu.

Menurut Prof. Asmah lagi, sehingga tahun 1968 semua buku teks bahasa Melayu yang digunakan di sekolah disusun dengan berasaskan buku tatabahasa Zaba. Hal ini bererti bahawa pengaruh Zaba melampaui tempoh paling tidak 30 tahun dalam perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Malah sesudah munculnya pelbagai aliran linguistik dalam percubaan menganalisis jalan bahasa Melayu ketika ini, tatabahasa yang disusun oleh Zaba masih tetap dirujuki. Sering juga kedengaran kata-kata sebilangan sarjana linguistik sendiri bahawa setengah-setengah konsep yang diperkatakan kini sebenarnya telah sedia ada dalam buku Zaba tetapi tidak disedari oleh setengah-setengah ahli linguistik moden yang kadang-kadang tidak suka menoleh ke belakang untuk mengambil manfaat daripada hasil kerja orang terdahulu. Sebahagian analisis Zaba yang ternyata masih dapat dijadikan sandaran untuk analisis bahasa Melayu kini telah saya kemukakan dalam kertas kerja yang berjudul Penyusunan Tata Bahasa Melayu di Malaysia : Dari Pelita Bahasa Melayu ke Tatabahasa Dewan untuk Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di Universiti Malaya pada tahun 1989.

Sebelum terbitnya Pelita Bahasa Melayu dalam tiga penggal ( pada tahun 2000 buku tersebut telah diterbitkan semula dalam edisi ejaan baharu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ), Zaba sebenarnya telah menghasilkan buku Ilmu Bahasa Melayu pada tahun 1926 dan 1927. Buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I yang terbit pada tahun 1940 telah mula ditulis pada tahun 1934 dan 11 bab selesai pada tahun 1936. Pelita Bahasa Melayu Penggal II pula siap ditulis pada tahun 1942 tetapi ditangguhkan penerbitannya ke tahun 1946 sesudah dibaiki dan disemak. Setahun kemudian terbit pula Pelita Bahasa Melayu Penggal III. Ketiga-tiga buku beliau inilah yang menjulang namanya sebagai pengasas bahasa Melayu baharu. Maka memang kena pada tempatnya beliau dianugerahi gelar Pendeta dalam Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956.

Keunggulan Zaba terletak pada kekuatan dan ketajaman intuisi serta pemerhatiannya terhadap sistem bahasa Melayu. Walaupun beliau tidak terdedah secara formal dalam disiplin linguistik, khususnya linguistik moden, analisis yang dihasilkannya membuktikan bahawa gagasan-gagasan penting dalam bidang ilmu itu ada dalam intuisinya. Apatah dihairankan kerana segala gagasan yang dikemukakan oleh ahli-ahli linguistik ternama di Barat itu pun sebenarnya hasil renungan dan pemikiran mereka juga. Dan kita di Alam Melayu ternyata memiliki pemikir yang setanding dengan sarjana di Barat. Pada saat istilah fonologi belum dikenal orang di negara in pada tahun 1930-an, Zaba telah mengemukakannya lewat analisisnya tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Orang yang tidak memiliki intuisi tentang fonologi tidak mungkin dapat mengetengahkan analisis sistem ejaan sesuatu bahasa, kerana ejaan atau huruf merupakan lambang atau gambaran sistem bunyi bahasa.

Prof. Asmah Haji Omar (1976) dapat mengesan beberapa prinsip fonologi yang melandasi analisis Zaba tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah :

a. Keutamaan ucapan di atas tulisan (kewujudan bunyi mendahului tulisan) Maka sungguhpun ada beberapa banyak bangsa seperti Semang, Sakai dan sebagainya yang tiada mengerti pada jalan tulis-menulis tetapi sekaliannya bangsa-bangsa itu tahu juga bersuara dan bercakap. ( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 3 ) b. Huruf sebagai lambang untuk bunyi Manusia itu tatkala bertambah-tambah majunya dapatlah ia merupakan tiap-tiap suatu bunyi yang disebutnya itu dengan suatu gambar gunanya untuk menampakkan percakapan itu kepada mata, supaya dapat difahamkan dengan dipandang sahaja oleh orang yang tiada mendengar seperti orang yang jauh jarak tempatnya atau masanya daripada orang yang punya percakapan itu. ( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 5 ) c. Hubungan antara fikiran dengan mekanisme bahasa ...Bunyi itu masuk ke telinga mereka langsung terus kepada otaknya. Maka dengan serta-merta otak itu mengenal akan dia dan mengerti akan maksudnya. Begitulah juga pada segala bunyi-bunyi lain yang ada bermakna bagi orang yang punya bahasa itu. ( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 1 2 )

Dalam mengemukakan sistem ejaan bagi bahasa Melayu, Zaba turut memperlihatkan ketajaman intuisinya tentang konsep-konsep fonetik, walaupun dengan cara yang cukup sederhana. Zaba sudah memperkenalkan adanya perbedaan bunyi vokal ( yang diistilahkannya sebagai huruf saksi ) dan bunyi konsonan ( yang diistilahkannya sebagai huruf benar ). Tentang huruf ( sebenarnya bunyi ) saksi, Zaba mengenal pasti adanya bunyi vokal sempit atau tinggi ( seperti bunyi u dan i ). Zaba menggolongkan bunyi a, e, o sebagai bunyi kasar dan e pepet, e, u sebagai bunyi halus.

Demikian juga Zaba telah mengetengahkan konsep diftong dan vokal rangap ( istilah beliau bunyi berkait rapat dan bunyi berkait renggang ), ciri suprasegmental ( seperti kepanjangan bunyi ) yang menurutnya bukan sifat bahasa Melayu, dan keharmonian vokal. Tentang keharmonian vokal yang menjadi asas pengejaan kata dua suku kata dan lebih, prinsip Zaba berdasar pada keselarasan vokal halus lawan halus dan vokal kasar lawan kasar. Katanya :

Pakailah saksi halus di hujung jika bunyi yang dahulunya halus, dan pakailah saksi kasar di hujung jika bunyi yang dahulunya kasar. ( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab V, pecahan 54 )

Analisis Zaba yang cukup berpengaruh dalam menentukan jalan bahasa Melayu ialah dalam bidang tatabahasa. Analisis beliau tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis Zaba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu istilah-istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional.

Dalam membicarakan kata, Zaba menggolongkan kata kepada lima golongan yang utama, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan. Setiap golonga utama itu dipecah-pecahkan kepada subgolongan. Misalnya di bawah nama ada nama betul dan ganti nama. Di bawah kedua-duanya ada pula pecahan yang lebih kecil, iaitu nama am atau nama nika dan nama khas. Tentang perbuatan pula, dipecahkannya golongan itu kepada perbuatan melampau dan perbuatan tidak melampau, yang kini kita kenal sebagai kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Antara gagasan Zaba yang menarik tentang perbuatan yang dapat menduduki fungsi nama, iaitu yang disebutnya perbuatan nama dan nama perbuatan. Jelas bahawa hal yang kini dibincangkan oleh ahli linguistik moden sebagai bentuk nominal telah dibincangkan jauh lebih awal oleh Zaba.

Tentang sifat pula, Zaba membahaginya kepada sifat nama dan sifat kata. Yang pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang kedua merujuk kepada adverba. Dalam keriuhan perancang bahasa dan pengguna bahasa mendapati tiadanya golongan kata adverba dalam Tatabahasa Dewan, maka sekali lagi tatabahasa yang disusun Zaba dirujuki untuk mengambil keputusan memasukkan golongan kata itu dalam edisi baharu buku tatabahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu. Tentang kata sendi pula, Zabalah yang meletakkan asas penggunaan kata sendi yang tepat, misalnya antara pada dengan di, ke dengan kepada, dari dengan daripada, dan yang lain. Hingga kini ketetapan yang dibuat Zaba itu menjadi pegangan pendidik dan pelajar serta masyarakat umum.

Analisis Zaba tentang ayat bahasa Melayu berkisar di sekitar ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait, dan ayat bercampur. Penggolongan ayat sedemikian tidak jauh berbeda dengan yang berlaku dalam bahasa-bahasa lain, dan hal ini memenuhi salah satu ciri asas kesejagatan bahasa. Ayat selapis merujuk kepada konsep ayat tunggal, iaitu ayat ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Ayat berlapis samalah dengan ayat gabungan, sementara ayat berkait ialah padanan istilah bagi ayat pancangan walaupun konsep ayat berkait Zaba lebih banyak berkaitan dengan ayat pancangan keterangan sahaja. Ayat bercampur samalah dengan ayat campuran, iaitu ayat yang terdiri daripada pelbagai binaan ayat. Jelaslah bahawa analisis ayat atau sintaksis yang terdapat dalam buku-buku tatabahasa kini masih tetap berasas pada analisis yang dibuat oleh Zaba. Yang membezakannya hanya soal istilah dan kerangka pendekatannya sahaja. Sebagai contoh, sementara Zaba menggunakan pendekatan tradisional, Tatabahasa Dewan, khususnya dalam aspek sintaksis, disusun berasaskan pendekatan transformasi generatif.

Jenis-jenis ayat yang terbahagi kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan pun telah dianalisis oleh Zaba. Demikian juga ragam ayat yang dikenal sebagai ayat aktif dan ayat pasif telah digarap oleh Zaba dengan istilah ayat bangun membuat dan ayat bangun kena buat. Kajian yang saya lakukan menunjukkan bahawa rumus-rumus ayat pasif bahasa Melayu yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana linguistik moden tidak ada perbezaannya sama sekali dengan yang telah dikemukakan oleh Zaba lebih setengah abad yang silam.

Selain berjasa besar dalam meletakkan asas sistem bahasa Melayu dalam bidang ejaan dan tatabahasa, Zaba berjasa besar juga dalam mengetengahkan ilmu retorik. Karyanya Ilmu Mengarang Melayu yang mula terbit pada tahun 1934 telah dicetak ulang sebanyak enam kali dalam edisi Jawi sehingga tahun 1956 dan terbit pula dalam edisi Rumi ( dengan pindaan dan pembaikan ) pada tahun 1962. Buku tersebut memberikan pedoman yang cukup praktis dalam kerja karang-mengarang, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi. Prof. Dr. Hashim Awang dalam kertas kerjanya Retorika Melayu dari Tanggapan Zaba untuk Kongres Bahasa Melayu Sedunia ( 21 25 Ogos 1995 ) mengangkat Zaba sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Kata beliau, buku Ilmu Mengarang Melayu Zaba mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Zaba itu.

Pembicaraan tentang pemikiran dan kesarjanaan Zaba tidak mungkin terungkapkan dalam kertas kerja sesederhana ini. Kajian yang mendalam lagi analitis dan kritis diperlukan untuk menghargai jasa dan sumbangan Zaba dalam bidang bahasa dan persuratan. Usahlah kita sekadar mengagumi Ferdinand de Saussure, Leonard Bloomfield, Noam A. Chomsky, M. A. K. Halliday, John Lyons, dan yang lain dari dunia barat sehingga lupa akan kehebatan Zaba dalam meletakkan asas perkembangan ilmu bahasa atau linguistik di Malaysia dan di Alam Melayu. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Zaba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu. Demikian juga, usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Zaba yang bersifat muzium tokoh seakan-akan muzium Hemingway di England itu akan dapat mengabadikan sumbangan Zaba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini.

PENGIKTIRAFAN YANG DIBERIKAN KEPADA ZABA

Anda mungkin juga menyukai