Anda di halaman 1dari 2

Membezakan Bahasa Melayu Formal

dan Tidak Formal dalam Penulisan


Secara umumnya, terdapat perbezaan yang agak ketara antara penulisan
bahasa Melayu yang berbentuk formal dan tidak formal; namun, sebarang
perbezaan antara kedua-dua bentuk tersebut masih boleh dicam oleh rata-rata
penutur bahasa dengan mudah.
Penulisan berbentuk formal mementingkan penggunaan bahasa baku atau
bahasa Melayu standard. Penulisan berbentuk formal juga menitikberatkan
ketepatan ejaan berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu, serta
penggunaan imbuhan dan susunan ayat yang gramatis—biasanya menurut
panduan yang telah digariskan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
dalam buku Tatabahasa Dewan. Penulis juga digalakkan untuk membina lebih
banyak ayat pendek yang padat dengan isi kandungan.
Penggunaan perkataan atau istilah saduran yang dipinjam terus daripada
bahasa asing juga tidak digalakkan sekiranya terdapat pilihan perkataan yang
lebih sesuai. Antaranya ialah: belanjawan/bajet (bahasa Inggeris: budget),
yuran/fi  (bahasa Inggeris: fee), dan perbincangan/diskusi (bahasa
Inggeris: discussion.) Penggunaan singkatan dalam perkataan/frasa/ayat juga
akan dielakkan dalam gaya penulisan formal. Selain itu,
sebarang gelaran kehormat seperti Dato’, Datuk, Datuk Seri, dan Tan Sri  juga
biasanya akan digunakan dalam bentuk penuh. Penulisan bahan-
bahan berformat seperti surat kiriman rasmi, laporan, dan minit mesyuarat juga
perlu ditulis berdasarkan gaya bahasa dan formatnya yang tersendiri.
Gaya penulisan formal biasanya ditemui dalam dokumen-dokumen urusan
rasmi, penerbitan jabatan kerajaan, dan bahan-bahan pengajaran dan
pembelajaran (P&P) di sekolah-sekolah serta institut pengajian tinggi tempatan.
Ia juga biasa ditemui dalam kebanyakan media cetak dan eletronik terbitan arus
perdana yang bersifat umum seperti akhbar-akhbar harian (Berita Harian,
Utusan Malaysia), dan majalah-majalah ilmiah (Dewan Siswa, Dewan
Masyarakat.)
Penulisan berbentuk tidak formal pula tidak begitu menekankan penggunaan
bahasa baku. Aspek ketepatan ejaan, serta pengunaan imbuhan dan susunan
ayat yang gramatis juga kadangkala diabaikan, baik secara sengaja mahupun
tidak sengaja. Penulis juga memiliki lebih banyak kebebasan dari aspek
pemilihan perkataan, dan cenderung mengutamakan kreativiti daripada
ketepatan bahasa dalam pengolahan ayat. Selain daripada kekerapan
penggunaan perkataan atau istilah saduran yang lebih tinggi, terdapat juga
campur-aduk gaya bahasa pasar yang sering digunakan dalam perbualan
seharian dan dialek bahasa Melayu dari negeri-negeri lain yang memiliki kosa
kata masing-masing.
Selain surat tidak rasmi, penulisan tidak formal tidak terikat dengan mana-
mana format tertentu. Gaya penulisan tidak formal biasanya ditemui dengan
mudah dalam kebanyakan media cetak atau elektronik terbitan arus perdana
yang bersifat lebih santai dan memiliki kelompok sasaran tertentu (majalah
hiburan dan majalah remaja). Ia juga digunakan dalam kebanyakan bahan cetak
terbitan penerbit alternatif seperti Buku Fixi yang banyak menerbitkan novel
berkonsep urban dan kontemporari serta mengalih bahasa novel-novel laku
keras dunia. Sungguhpun penggunaan gaya bahasa tidak formal dalam bahan
cetak terbitan penerbit alternatif sering kali dikecam oleh pencinta bahasa atas
alasan ia merosakkan keaslian dan keindahan bahasa. Gaya bahasa yang
ditampilkan dalam bahan terbitan alternatif ini sebenarnya gambaran yang lebih
tepat berkenaan pengunaan seharian bahasa Melayu dalam kalangan
penuturnya.

Anda mungkin juga menyukai