Anda di halaman 1dari 14

Journal of Applied Research in Education, Vol 15, No.1 & 2, 2011, pp.

29-42

Penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan


naratif pelajar prauniversiti di Brunei Darussalam
Yahya Othman *
Universiti Brunei Darussalam
Nurliham Haji Tuah
Maktab Duli Pengiran Muda Al- Muhtadee Billah

Abstrak
Kajian ini meneliti penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif pelajar
prauniversiti. Kajian secara analisis teks ini memfokuskan aspek penggunaan gaya bahasa
perbandingan yang kurang diberikan perhatian oleh pelajar semasa menulis karangan. Hal ini
menyebabkan kualiti penulisan dari segi nilai estetika kurang wujud dalam teks yang dihasilkan.
Untuk tujuan kajian ini, sampel kajian terdiri daripada 40 pelajar prauniversiti di sebuah pusat
tingkatan enam di Brunei Darussalam dilibatkan. Data berdasarkan hasil penulisan karangan
pelajar dianalisis dengan mengkategorikan aspek gaya bahasa yang dikenal pasti. Dapatan
menunjukkan terdapat variasi dalam penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif.
Gaya bahasa yang sering digunakan oleh pelajar dikategorikan sebagai simile, hiperbola,
metafora, personafikasi, eufemisme, dan litotes. Walau bagaimanapun, penggunaan gaya
bahasa dalam penulisan karangan sampel kajian masih kurang digunakan. Di samping itu,
terdapat sampel kajian yang tidak mahir dalam menggunakan gaya bahasa perbandingan bagi
menyatakan maksud yang tersirat. Berdasarkan temu bual, sampel menunjukkan kurang
memberi perhatian aspek gaya bahasa dalam penulisan karangan mereka.
Kata kunci: gaya bahasa, karangan naratif

* Hubungi penulis.
E-mel: yahya.othman@ubd.edu.bn

ISSN 1996-9945
Sultan Hassanal Bolkiah Institute of Education
Universiti Brunei Darussalam

30

Pengenalan
Latar belakang kajian
Gaya bahasa merupakan ungkapan kata-kata yang melibatkan pengolahan idea (Ismail Ahmad,
1992; 2002) dan tidak hanya dibatasi oleh tatabahasa. Dalam keadaan tertentu, bentuk dan jenis
penulisan mempengaruhi gaya yang perlu digunakan dalam penulisan tersebut. Bagi menghasilkan
penulisan karangan jenis naratif yang baik, pelajar bukan sahaja dituntut untuk mengolah sesuatu
cerita dalam bentuk penulisan, malah mampu menerbitkan ayat-ayat serta ungkapan yang
menggunakan perkataan dalam gaya bahasa yang indah dan menarik. Di samping itu, aspek susunan
urutan cerita dan kerelevanan peristiwa juga akan menjamin kejelasan cerita dalam karangan jenis
naratif dalam pembentukan sebuah wacana. Penulisan karangan memerlukan kreativiti bagi
menghasilkan nilai estetika serta menggunakan gaya bahasa yang tersendiri.
Menurut Kamsiah Abdullah (1993:484), antara subkemahiran yang perlu ada dalam penulisan
karangan ialah kebolehan menulis mengikut isi dan topik yang sesuai, isi yang mencukupi, idea yang
segar dan asli, menjalin perenggan dengan baik, pengenalan yang jelas, gaya bahasa yang berkesan
dan penutup yang kemas. Oleh itu, keberkesanan dalam penulisan karangan bentuk naratif yang baik
memerlukan kemahiran menulis yang mampu menggabungkan kebolehan mengolah isi, bahasa dan
susunan organisasi yang mantap di samping penggunaan gaya bahasa yang bersesuaian.
Kamus Linguistik (1997:83) mendefinisikan gaya bahasa sebagai penggunaan bahasa seseorang
dalam pertuturan atau penulisan dengan penggunaan ragam tertentu dalam bahasa tulisan secara
sengaja untuk menimbulkan kesan tertentu atau ciri penggunaan bahasa sekelompok penulis.
Kridalaksana (1984:57) pula menjelaskan gaya bahasa ialah pemanfaatan atas kekayaan bahasa oleh
seseorang dalam bertutur atau menulis. Maksud lain ialah pemakaian ragam tertentu untuk
memperoleh efek-efek tertentu.
Bagi maksud gaya bahasa, Umar Junus (2010) menghuraikannya sebagai cara menyatakan sesuatu
yang lain daripada biasa tanpa kelainan makna. Bagi Rahman Shaari (1993) pula, gaya bahasa
terhasil melalui tulisan. Jika penulis tidak mampu memilih cara yang sesuai untuk menyampaikan
fikirannya, maka karya itu dikategorikan sebagai tidak bergaya. Menurut beliau lagi, adalah mustahil
seseorang itu menulis sebuah karangan tidak menggunakan ayat transformasi.
Maniyamin Hj Ibrahim (2006:38) pula menjelaskan bahawa gaya bahasa terbit daripada usaha penulis
memanipulasi bahasa yang sedia ada. Tujuan manipulasi bahasa dilakukan adalah untuk mencari
perkataan atau ungkapan atau frasa yang serasi dengan mesej di samping menghasilkan keindahan
bunyi perkataan atau ungkapan atau frasa dalam karya dan menimbulkan kesegaran dan keberkesanan
karya kepada pembaca atau pendengar.

Permasalahan Kajian
Kajian berkaitan gaya bahasa sangat kurang dilakukan di Brunei Darusssalam. Penulisan bentuk
ini kebanyakannya dilakukan terhadap karya sastera seperti yang dilakukan oleh Chong Ah Fok
(1997) dan Rozaiman Makmun (2011). Chong Ah Fok telah mengkaji gaya bahasa aliran yang
terkandung di dalam majalah Bahana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei sekitar bulan Januari
dan April 1993. Dapatan kajian beliau menunjukkan penulis Brunei kebanyakannya menulis
berdasarkan pengalaman dan terpengaruh dengan gaya bahasa penulis Malaysia, Singapura dan
Indonesia. Manakala Rozaiman Makmun (2011) pula menyatakan, di Brunei wujud jurang
pandangan antara pengkaji gaya bahasa iaitu ahli linguistik dan sasterawan. Keadaan menjadi lebih
teruk apabila kefahaman terhadap gaya bahasa menjadi masalah dalam menghasilkan karya yang
bermutu.
Pelajar sekolah juga berhadapan dengan masalah menggunakan gaya bahasa yang betul semasa
menuliskan karangan. Dalam hal ini, kajian berkaitan gaya bahasa dalam penulisan karangan dalam
kalangan pelajar sekolah menengah di Brunei telah dilakukan oleh Noni Rita Hj Japah (2007). Beliau

Yahya O. & Nurliham H. T.

31

mendapati hanya 10 sampel (13%) yang menggunakan unsur gaya bahasa yang meliputi
perumpamaan dan hiperbola dalam karangan mereka. Unsur gaya bahasa masih terhad
penggunaannya dalam penulisan karangan pelajar. Oleh itu, kajian ini sesuai dijalankan berdasarkan
justifikasi dari segi kualiti dan kuantiti penulisan karangan yang menggunakan gaya bahasa
perbandingan.
Dalam konteks penulisan karangan di sekolah, penggunaan gaya bahasa diberikan perhatian. Bagi
kebanyakan penulisan karangan berbentuk imaginatif, pelajar digalakkan menggunakan gaya bahasa
yang mampu memberikan daya tarikan kepada pembaca. Hal ini disebabkan gaya bahasa adalah unsur
yang perlu wujud dalam penulisan jika aspek keindahan bahasa ingin diberikan tumpuan dalam
penulisan. Penulisan karya kreatif sering dikaitkan dengan gaya bahasa yang ditandai dengan
penggunaan gaya bahasa yang bersesuaian dengan karya yang ditulis. Oleh itu, penggunaan gaya
bahasa yang sesuai mampu memberikan kesan kepada pembaca.
Bagi pelajar prauniversiti di Brunei, terutamanya yang mengambil kertas Bahasa Melayu,
pencapaian dalam penulisan karangan dinilai dari segi kemampuan mengolah isi karangan dengan
kemas, di samping teliti dan kreatif menggunakan gaya bahasa. Bagi mereka, menulis karangan
berbentuk fakta memerlukan ketajaman minda untuk mengemukakan fakta serta mampu mengolah
fakta sebaik mungkin. Namun bagi penulisan karangan berbentuk naratif, pelajar memerlukan bukan
sahaja olahan plot atau penceritaan yang baik tetapi keupayaan menggunakan gaya bahasa yang dapat
memantapkan lagi mutu penulisan.
Sehubungan itu, karangan ialah wadah yang paling sesuai untuk menilai penggunaan gaya bahasa
dalam penulisan. Melalui penulisan karangan, penelitian berkaitan gaya bahasa dapat dilakukan
dengan mudah kerana data dapat dianalisis berdasarkan sumber primer. Walau bagaimanapun,
masalah yang sering wujud dalam penulisan karangan naratif ialah pelajar kurang menggunakan
unsur gaya bahasa. Kelemahan ini boleh memberi gambaran terhadap mutu penulisan karangan
pelajar yang kurang dari segi nilai estetika dan keragaman bahasa.

Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti unsur-unsur gaya bahasa dalam penulisan karangan
naratif pelajar prauniversiti, dan mengenal pasti kekerapan penggunaan gaya bahasa dalam penulisan
karangan naratif pelajar prauniversiti

Kepentingan kajian
Kajian berkaitan penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan jenis naratif amat kurang
dijalankan di Brunei Darussalam. Maka kajian ini diharapkan dapat membantu guru dan pelajar
terutamanya pada peringkat prauniversiti. Penulisan yang menggunakan gaya bahasa perbandingan
juga dapat menjamin wujudnya nilai estetik dalam penulisan pelajar. Walaupun pelajar memilih tajuk
karangan berbentuk naratif, namun olahan yang dilakukan tidak menggambarkan mereka memahami
penggunaan gaya tersebut secara berkesan. Bagi pihak guru pula kajian ini diharapkan mampu
memberikan gambaran pencapaian dan tahap kemahiran pelajar menggunakan gaya bahasa
perbandingan di dalam penulisan karangan mereka. Melaluinya juga guru dapat membuat persediaan
yang lebih baik semasa mengajarkan karangan bentuk ini.

32

Tinjauan literatur
Teori Wacana
Menurut Asmah Haji Omar (2006), teori wacana ialah lanjutan teori lambang yang dipelopori oleh
Ferdinand de Sausssure pada tahun 1916. Saussure menyatakan lambang terdiri daripada signifiant
dan signifi. Signifiant ialah imej bunyi yang termasuk di dalamnya imej grafik, manakala signifi
pula adalah konsep yang berkembang menjadi makna. Menurut Asmah lagi, kedua-dua maksud
tersebut menghasilkan kata yang khusus pada rujukan benda yang dirujuk oleh kata. Dalam teori
lambang, kedua-dua lambang tersebut saling memerlukan dan memiliki fungsi tertentu.
Jika dikaitkan dengan penulisan karangan jenis naratif, wacana yang dihasilkan akan memberi
makna jika kata yang dipilih dapat menyatakan sesuatu lambang mengikut kesesuaian. Untuk
menjamin hasil penulisan yang lebih berkesan teori wacana yang menggabungkan antara imej dan
makna kata dianggap sesuai digunakan dalam kajian ini dengan mengambil kira keperluan
meletakkan sesuatu kata yang mampu menggambarkan makna yang lebih tepat. Dengan cara ini,
mutu penulisan akan lebih bermutu di samping pemilihan kata yang mengandungi aspek gaya bahasa
dapat pula meletakkan nilai estetik dalam penulisan pelajar.
Wacana ialah satuan bahasa yang lengkap dan direalisasikan dalam bentuk karangan yang mantap
(Kridalaksana dalam Tarigan, 1984). Maka dalam penulisan karangan naratif, kesatuan idea yang
ingin dipaparkan dalam teks bukan saja perlu terbentuk dalam kesatuan idea, tetapi juga merangkumi
ciri gaya bahasa yang berfungsi mengukuhkan lagi teks karangan tersebut.
Dalam konteks penulisan karangan, keupayaan penulis mengolah, menyusun perenggan serta
menggunakan gaya bahasa yang sesuai dengan tajuk yang dibincangkan membantu terbinanya
wacana yang baik. Di samping itu, wacana yang baik juga mementingkan pemilihan perkataan yang
sesuai, mampu memberi makna yang tepat di samping memiliki nilai keindahan terutamanya bagi
karya naratif. Oleh itu, penggunaan gaya bahasa dapat membantu penulisan karangan terutamanya
jenis naratif.

Jenis gaya bahasa dalam penulisan


Keris Mas (1990:113) mengkategorikan gaya bahasa kiasan kepada 11 jenis, iaitu simpulan
bahasa, peribahasa, perumpamaan, perbilangan, metafora, simile, personafikasi, alegori, fable, alusi,
sindiran dan ironi.
Gorys Keraf (1985:112-145) telah memperbincangkan jenis-jenis gaya bahasa dengan sangat
terperinchi dalam bukunya Diksi dan Gaya Bahasa. Beliau juga menyenaraikan bahasa kiasan yang
terdiri daripada simile, metafora, alegori, alusi, personafikasi, eponym, epitet, sinekdoki,
metonimia,antonomasia, hipalase, ironi, sinis, sakasme, satire, innuendo, antifrasis dan paronomasia.
Beliau menyenaraikan jenis gaya bahasa tersebut dalam golongan gaya bahasa berdasarkan tiada
makna.
Dalam konteks bahasa kiasan, Pradopo (1993:61-78) menyenaraikan perbandingan, metafora,
perumpamaan, epos, alegori, personafikasi, metonomia dan sinekdoki. Walau bagaimanapun, Rahman
Shaari (1993) pula tidak menetapkan pembahagian gaya bahasa kiasan kepada beberapa jenis. Beliau
hanya membandingkan antara satu gaya bahasa kiasan dengan gaya bahasa kiasan yang lain.
Contohnya metafora dan personafikasi (1993:1), sinekdoki dan metonimi (1993:12), ironi dan
paradoks dalam puisi (1993:17), eufeisme dan litotes (1993:44), bahasa bombastik dan hiperbola
(1993:49) dan gaya yang tidak bergaya (1993:83).
Dalam analisis kajian ini penelitian jenis-jenis gaya bahasa kiasan dan bukan kiasan yang
berdasarkan ilmu linguistik, bersifat kesusasteraan dan popular sahaja yang akan dikemukakan oleh
penulis. Gaya bahasa kiasan perbandingan tersebut ialah metafora, personafikasi, simile, hiperbola,
dan gaya bahasa bukan kiasan seperti eufemisme, litotes, dan gaya yang tidak bergaya.

Yahya O. & Nurliham H. T.

33

Kajian berkaitan
Bagi kajian yang berkaitan karangan, Noni Ratina Hj Jahpar (2007:100) telah menganalisis
karangan naratif pelajar menengah empat di Sekolah Menengah Jamalul Alam, Brunei Darussalam.
Dalam kajian tersebut, beliau meminta sampel yang berjumlah 50 orang pelajar untuk menulis dua
jenis karangan, iaitu karangan naratif menyambung cerita (KNMC) dan karangan naratif bertajuk
(KNB). Beliau meneliti perbezaan plot cerita dari segi konflik, klimaks, peleraian, urutan plot cerita,
teknik penceritaan, gaya bahasa dan stereotaip. Hasil dapatan menunjukkan sejumlah 33 sampel
(66%) telah menghasilkan plot cerita karangan naratif yang berbeza. Namun daripada penulisan
kedua-dua jenis karangan tersebut menunjukkan bahawa penggunaan teknik penceritaan sering
digunakan. Penggunaan gaya bahasa adalah pada tahap sangat kurang memuaskan dan sampel belum
menguasai kemahiran tersebut dengan baik. Dapatan tentang gaya bahasa juga menunjukkan hanya
sepuluh sampel (13%) menggunakan gaya bahasa perumpamaan dan hiperbola sahaja dalam karangan
mereka. Selebihnya tiada unsur gaya bahasa yang digunakan di dalam karangan mereka.
Di samping itu, Mohd Sofri Hj Md Said (1990:48) melakukan analisis tentang gaya bahasa puisi
lima orang penyair dalam antologi puisi Lagu Hari Depan. Beliau telah membahagikan kepada dua
unsur gaya bahasa yang utama iaitu, unsur perulangan dan unsur diksi (pemilihan kata-kata).
Berdasarkan dapatan beliau membahagikan unsur-unsur perulangan dalam puisi-puisi lima orang
penyair ini kepada dua bahagian kecil, iaitu unsur perulangan pada bunyi dan perkataan. Hasil
dapatan pada unsur perulangan pada bunyi dibahagikan kepada tiga, iaitu homoioteleuton, asonansi
dan aliterasi. Manakala unsur perulangan pada perkataan pula dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu
paralelisme, simplok dan responsif. Gaya bahasa perbandingan pula yang didapati oleh pengkaji
dalam puisi lima orang penyair ini ialah simile, metafora, personifikasi dan simbolik.
Dalam analisis terhadap gaya bahasa karya sastera novel dan sajak, Rahman Shaari (1993:143154) menganalisis gaya bahasa novel Tok Guru, novel Konserto Terakhir dan sajak-sajak T. Alias
Taib, Marzuki Ali, Puzi Hadi, Usman Awang, Amir Hamzah dan Baha Zain. Menurut beliau, penyairpenyair ini sangat mengambil berat soal teknik dan gaya, dan mereka telah berjaya memaparkan gaya
yang memuaskan.
Manakala bagi kajian gaya bahasa dalam penulisan novel, Mohd Azhar Su (2005) mengkaji gaya
bahasa dalam novel remaja karya Khairuddin Ayip iaitu Guruku Ibuku Jua, Bukan Untukku, Songket
Berbenang Emas, Sayangnya Jauh Di Kota, Jalan Masih Berliku dan Teguh. Kajian yang dijalankan
adalah berdasarkan analisis, perbincangan dan penilaian gaya bahasa. Kajian dijalankan melalui
kaedah penyelidikan kepustakaan untuk mendapat bahan, maklumat, keterangan dan penyataan.
Tinjauan terhadap kajian tentang gaya bahasa yang pernah dilakukan bertujuan untuk menganalisis
aspek pendekatan yang sering digunakan dalam kajian yang berkaitan. Hasil kajian mendapati novel
remaja karya Khairuddin Ayip mempunyai ciri keindahan universal dari segi gaya bahasa, nilai
intelek dan nilai etika. Penulis menggunakan secara maksimum kesemua aspek gaya bahasa untuk
mengolah dan menjalin cerita terutama dalam pelukisan jiwa, perasaan, suasana atau latar dengan
menggunakan bahasa asing, kata pinjaman, dialek, bombastik dan apostrophe, gaya bahasa
perulangan, perbandingan dan pertentangan untuk mencernakan novel remaja tersebut. Penemuan ini
dapat mencerminkan kemantapan serta kematangan novelis tersebut. Keseluruhannya, penulis berjaya
mengeksploitasi sepenuhnya gaya bahasa untuk menyampaikan pemikiran dan gagasan ke arah
wawasan pembinaan dan penyatuan golongan remaja.
Dalam kajiannya terhadap gaya bahasa yang terkandung di dalam novel Sumbangsih Seni,
Rozaiman Makmun (2011) telah mengaitkan gaya bahasa yang dikaji dengan aspek gaya bahasa
berdasarkan aliran sastera dan bukan dikaitkan dengan gaya bahasa yang dianuti pengarang. Antara
gaya bahasa yang dapat dikenal pasti dalam novel tersebut adalah berasaskan gaya bahasa aliran
pascamoden dan aliran gaya bahasa aliran romantis. Novel tersebut juga bukan menggambarkan gaya
idiosinkrasi peribadi pengarang. Hal ini terbukti melalui penggunaan kedua-dua aliran pasca moden
dan romantisisme yang diusahakan dengan sengaja oleh pengarang. Gaya peribadi pengarang
mungkin terdapat dalam karya sasteranya yang lain dan tidak digunakan dalam novel ini. Oleh itu,

34

penulis berpeluang untuk menggunakan gaya bahasa yang disukai semasa proses penulisan kreatif
bagi memastikan karya mereka mengandungi nilai estetik

Metodologi
Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan menggunakan kaedah analisis
teks karangan pelajar sebagai sumber data utama. Sebanyak 40 pelajar prauniversiti (enam atas) di
Brunei Darussalam dipilih sebagai sampel kajian. Sampel dipilih dengan rawak mudah berdasarkan
senarai pelajar yang disediakan oleh pihak pentadbiran pusat tingkatan enam yang dipilih. Mereka
diminta menuliskan sebuah karangan berbentuk naratif jenis menyambungkan cerita. Taklimat
berkaitan penggunaan gaya bahasa diberikan sebelum aktiviti menulis karangan dimulakan. Masa
yang diberikan untuk menulis karangan (500 patah perkataan) tersebut adalah selama satu jam. Bagi
mendapatkan data berkaitan dengan minat pelajar terhadap penulisan karangan, pengkaji
menggunakan borang soal selidik yang diedarkan selepas aktiviti menulis karangan.
Setiap karangan diperiksa dan dianalisis untuk mengenal pasti unsur gaya bahasa yang digunakan
oleh sampel kajian. Pengkaji akan menyenaraikan semua unsur gaya bahasa yang dikenal pasti dan
mengkategorikan mengikut aspek gaya bahasa seperti yang dinyatakan oleh Rahman Shaari (1993).
Statistik berbentuk peratusan digunakan untuk menyatakan kekerapan penggunaan unsur gaya bahasa
dalam penulisan karangan.

Dapatan kajian dan perbincangan


Jenis-Jenis gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif
Gaya bahasa melibatkan diksi (pemilihan kata) dan pembentukan ayat. Bahasa yang ditulis
menjadi bergaya atau mempunyai gaya tertentu dan pengarang perlu menggunakan pelbagai jenis
gaya bahasa dalam proses penulisannya. Perbincangan berikutnya adalah hasil analisis teks penulisan
karangan pelajar dengan analisis berdasarkan gaya bahasa.
Simile
Berdasarkan data kajian, sampel menggunakan gaya bahasa perbandingan simile dalam 27 ayat
dalam karangan naratif yang ditulis. Sejumlah 19 sampel (47%) menggunakan unsur gaya bahasa
perbandingan tersebut dalam penulisan karangan naratif mereka. Contoh-contoh gaya bahasa
perbandingan simile yang digunakan dalam ayat (Singkatan S adalah untuk sampel kajian):
i. bagai/bagaikan;
aku ditatang bagai minyak yang penuh. (S4)
aku bagai tunggul di rumahku sendiri. (S5)
Bagai jatuh ditimpa tangga tetapi masalah terus melanda diriku. (S8)
Aku ditinggal pergi bagai bunga yang hilang madu dihirup oleh sang kumbang dan aku terkulai
layu. (S11)
Dalam keadaanku bagai nyawa di hujung pedang (S28)
bagaikan angin yang menyapa dingin. (S17)
Keseorangan di bilik bagaikan penjara ini (S31)
ii. seperti;
Kini hidupku seperti bola yang bergolek dengan tidak ada arah yang dituju. (S7)
tidak lagi seperti seorang Islam yang sentiasa takutkan agamanya (S7)
aku bebas seperti burung. (S8)

Yahya O. & Nurliham H. T.

35

aku seperti terkena renjetan elektrik. (S12)


Aku merasa diriku seperti sudah jatuh ditimpa tangga. (S12)
Aku seperti sudah jatuh ditimpa tangga. (S14)
Sekarang mereka seperti bumi yang tak pernah dan tak akan terjangkau tingginya langit. (S20)
seperti seekor umang yang menyarungi apa sahaja bekas kosong. (S20)
aku berasa seperti berada di ambang maut menunggu ajal ku tiba. (S24)
Linangan air mata habis bertaburan seperti alam yang dilanda rebut taufan yang hanya menunggu
saat penghabisan. (S28)
sepertianak emas. (S33)
Kini hidupku seperti kapal layar yang terombang ambing di tengah lautan tanpa ada tujuan
hendak dituju.
(S38)
iii. umpama;
Kini hidupku umpama layang-layang yang terputus talinya. (S9)
iv. bak;
Bak kata pepatah Melayu, biar putih tulang, jangan putih mata. (S12, S14)
Ibu berasa dadanya sakit bak kata tercucuk sembilu. (S16)
bak kata pepatah nasi telah menjadi bubur (S30)
bak kata pepatah kesilapan itulah pembukaan jalan bagi setiap kejayaan. (S32)
v. ibarat;
Kewujudanku ibarat embun di waktu pagi bila matahari terik keringlah ia. (S28)
nasib keluargaku ibarat kais pagi makan pagi itu, ku tepis semua rasa malu itu. (S29)
Bahasa perbandingan jenis ini digunakan seperti (12 ayat), bagai (tujuh ayat), umpama (satu ayat),
umpama (lima ayat), dan ibarat (tujuh ayat). Analisis teks menunjukkan 47 peratus sampel kajian
menggunakan gaya bahasa bandingan simile dan merupakan kekerapan tertinggi dari segi
penggunaannya dalam ayat. Jenis gaya bahasa perbandingan ini selalu digunakan oleh pelajar kerana
mereka telah biasa dengan peribahasa Melayu yang telah mereka pelajari dan mudah pula diingati
seperti bagai jatuh ditimpa tangga, nasi telah menjadi bubur, seperti anak emas dan sebagainya.
Simile dalam ayat ditandai dengan penggunaan kata-kata perbandingan. Kata-kata perbandingan
tersebut seperti bak, laksana, umpama, seperti, bagai, bagaikan, ibarat, tamsil dan seumpamanya.
Simile dikenali juga sebagai perbandingan dan bersifat eksplisit. Simile menyamakan sesuatu objek
sama ada perkara, hal atau situasi yang lain dengan menggunakan kata-kata perbandingan (Pradopo,
1993:62). Rahman Shaari (2001:90) mendefinisikan simile sebagai bahasa perbandingan yang
menggunakan kata bandingan, iaitu bagai, seperti, macam, bak dan lain-lain.
Hiperbola
Menurut Kamus Linguistik (1997:92) hiperbola adalah bahasa kiasan yang membesar-besarkan
kebenaran sesuatu, misalnya dalam ayat kami memohon ribuan maaf. Kridalaksana (1984:66)
menyatakan hiperbola adalah melebih-lebihkan sesuatu, misalnya ayat saya mengucapkan beribu-ribu
terima kasih. Rahman Shaari (1993:51)pula menyatakan hiperbola sebagai kiasan yang terdiri
daripada ungkapan yang berlebih-lebihan. Gambaran yang dilukiskan dalam hiperbola tidak menepati
realiti, tetapi mengandung nilai estetika. Contoh yang beliau berikan dalam novel Ranjau Sepanjang
Jalan karya Shahnon Ahmad menunjukkan gambaran banyaknya burung tiak dan ketam yang
mengancam kehidupan Lahuma sebagai petani. Dalam ayat Burung tiak datang sehingga terlindung
pemandangan di angkasa dan ketam pula berkawah-kawah banyaknya, gambaran tersebut ternyata
berlebih-lebihan.
Setelah meneliti data kajian, didapati gaya bahasa bandingan hiperbola juga digunakan di dalam
penulisan karangan naratif. Dapatan menunjukkan terdapat 6 ayat jenis hiperbola terdapat dalam
karangan pelajar. Sejumlah 3 sampel (7%) telah menggunakan jenis gaya bahasa bandingan

36

hiperbola di dalam penulisan karangan naratif mereka. Di bawah ini disenaraikan contoh-contoh
jenis gaya bahasa hiperbola tersebut:
i. Dia hanya mampu mempersembahkan air matanya kepadaku dan (S7)
Cuma air mata yang hanya dapatku persembahkan (S7)
Air matanya mengalir dari matanya yang sudah tenat menanggung berat kesedihan yang sudah
terkumpul. (S10)
Aku hanya mampu mengalirkan air mata yang sia-sia. (S10)
wajah ayah muncul di dua bebola mataku ini. (S20)
Air mataku mengalir dengan deras (S20)
Sampel 7 telah mengulang ayat yang sama pada perenggan yang berbeza. Di dalam ayat pertama,
sampel telah menggunakan ayat aktif dan pada ayat kedua sampel telah memindahkan ayat tersebut
menjadi ayat pasif. Perkataan air mata berfungsi sebagai objek dalam ayat berkenaan. Sampel juga
menggunakan perkataan mata untuk melebih-lebihkan kata ini seperti contoh-contoh yang
disenaraikan di atas. Seolah-olah salah satu anggota tubuh badan seperti mata menjadi perbandingan
dan dilebih-lebihkan. Hal ini juga dilakukan oleh S10 yang menggunakan kata perbandingan mata
untuk menggambarkan secara berlebihan perasaan yang ditanggung.
Kecenderungan sampel menggunakan jenis gaya bahasa bandingan hiperbola juga meningkatkan
kesan di hati pembaca. Walau bagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan jenis gaya bahasa
hiperbola sukar untuk dibina apatah lagi gambaran yang dilukis tidak menepati realiti. Ini adalah
kerana untuk membina kata yang melebih-lebihkan dari segi maksud memerlukan bahasa yang kreatif
dan mahir dalam penulisan.
Walau bagaimanapun, bagi gaya bahasa hiperbola didapati sampel kajian agak kurang
menggunakannya di dalam penulisan karangan. Sampel kajian perlu lebih kreatif dalam mengolah
ayat-ayat yang mengandungi gaya bahasa hiperbola. Hasilnya tahap penggunaan bahasa estetik
menjadikan penulisan karangan naratif mereka kurang bermutu dan kurang kreatif.
Metafora
Metafora ialah sejenis bahasa figuratif. Metafora adalah pemakaian kata atau ungkapan lain
untuk objek atau konsep lain berdasarkan kiasan atau persamaan ( Kridalaksana, 1984:123).
Rahman Shaari (2001:58) mendefinisikan metafora sebagai penggunaan kata yang menerbitkan
makna yang lain daripada makna tersurat. Sesuatu objek diberikan sifat secara perbandingan atau
secara kiasan. Misalnya, jika disebut api, semua orang memahaminya, iaitu nyalaan panas yang
membakar dan disebut mata fahamlah orang bahawa itu ialah anggota tubuh manusia yang
digunakan untuk melihat. Bentuk metafora akan terhasil apabila api dan mata disebut seperti, di
matanya ada api.
Daripada analisis yang dijalankan, ternyata bahawa penggunaan jenis gaya bahasa metafora juga
wujud dan kerap digunakan dalam penulisan karangan naratif pelajar. Data menunjukkan kedua-dua
jenis metafora iaitu metafora yang tidak memerlukan kata-kata perbandingan seperti, bagaikan,
laksana, bak dan bagai dan jenis metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak telah
digunakan di dalam data kajian. Hasil dapatan menunjukkan 29 ayat metafora wujud dalam data
kajian. Sejumlah 21 sampel (52%) telah menggunakan gaya bahasa metafora di dalam penulisan
karangan naratif mereka. Terdapat sebelas sampel (27%) yang menggunakan jenis metafora yang
tidak memerlukan kata-kata perbandingan dan sepuluh sampel (25%) yang menggunakan jenis
metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak. Metafora nasi sudah menjadi bubur
digunakan dengan agak meluas dalam penulisan (enam ayat). Manakala S22 dapat mengungkapkan
dua ayat menggunakan metafora. Contoh-contoh bagi kedua-dua jenis metafora dapat dilihat di
bawah ini:

Yahya O. & Nurliham H. T.

i.

37

Metafora yang tidak memerlukan kata-kata bandingan


hampir pupus ditelan zaman. (S5)
nasi sudah menjadi bubur. (S12, S14, S16, S18, S20 & S30)
dara hingusan (S19)
kacang lupakan kulit. (S22)
usaha tangga kejayaan. (S22)
Jangan diikut-ikutkan hati, malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan (S25)
alah bias, tegal biasa. (S27)

ii. Metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak


aku lebih mengejar kesenangan dunia (S4)
ingin mengubati luka di dadanya. (S5)
Semuanya telah tertimbus di dalam mindaku. (S6)
Aku hanya mengikut kata hati. (S8)
Hatiku sangat remuk. (S8)
cinta mati. (S11)
Hanya cinta monyet di usia remaja. (S11)
menikmati ketenangan (S12)
Aku hanya dibaluti rasa menyesal yang tidak terhingga. (S12)
Aku dibaluti perasaan kesal yang tidak terhingga. (S14)
Karmella bergerak malas menuju ke jendela. (S17)
namun suaranya mampu mengatasi suara gajah tetapi hatinya sungguh baik. (S20)
Sebelum gunung merapi meledak (S20)
berhenti jadi obor-obor cik abang (S20)
belajar tinggi-tinggi setinggi gunung Everest. (S25)
memperlihatkan gigi mereka yang besarnya seperti biji timun. (S25)
Aku melemparkan senyuman (S25)
Terdapat 17 ayat yang mengandungi metafora jenis dapat dikesan digunakan oleh sampel yang
tidak memerlukan kata-kata bandingan dan metafora yang menggabungkan unsur konkrit. Dapatan
kajian menunjukkan, terdapat ayat jenis metafora yang tidak memerlukan kata-kata bandingan, dan
sampel tidak menuliskan kata-kata bandingan seperti, bagai, bak di dalam penulisan karangan
mereka. Peribahasa nasi sudah menjadi bubu kerap digunakan oleh sampel iaitu sebanyak 6 kali dan
digunakan oleh sampel-sampel yang berbeza. Hal ini berkemungkinan disebabkan tajuk ujian
karangan naratif ini ada relevannya dengan peribahasa nasi sudah menjadi bubur tetapi
dibincangkan dengan cara yang berbeza.
Penggunaan terbanyak adalah bagi gaya bahasa metafora. Hal ini disebabkan metafora agak
mudah digunakan dan mereka telah biasa dengan gaya bahasa ini terutama dalam puisi. Hal yang
sama juga terjadi kepada penggunaan gaya bahasa simile yang digunakan hampir 47 peratus sampel
kajian. Gaya bahasa ini banyak digunakan di dalam perumpamaan yang sering mereka gunakan
dalam peribahasa atau perumpamaan.
Personifikasi
Menurut Kridalaksana (1984:154), personifikasi adalah penggambaran sesuatu yang mati seolaholah hidup, misalnya dalam kalimat daun melambai-lambai. Rahman Shaari (2001:73), pula
mendefinisikan personifikasi sebagai pemberian sifat manusia kepada objek-objek atau konsepkonsep bukan hidupan. Cara membentuk personifikasi sama dengan pembentukan metafora.
Perbezaan antara kedua-duanya terletak pada sifat manusia. Jika sifat objek dalam metafora
digantikan dengan sifat manusia, maka yang terbentuk adalah personifikasi. Contoh personifikasi
ialah di dada malam, membunuh kesedihan, jantung kota dan seumpamanya.
Berdasarkan dapatan kajian, sebanyak 14 ayat personifikasi wujud dalam karangan sampel.
Sejumlah 11 sampel (27%) telah menggunakan unsur gaya bahasa personifikasi dalam penulisan

38

karangan naratif mereka. Perhatikan contoh-contoh kewujudan jenis gaya bahasa personifikasi dalam
ayat berikut:
Hatiku pun menangis dengan semua ini (S5)
sembahyang adalah tiang agamaku (S6)
seakan menyelubungi kehidupanku dan menghantui perasaanku (S7)
S5 telah menggambarkan hatinya seolah-olah menangis dengan penderitaan yang dirasainya dan
ingin lebih memperjelaskan kepada pembaca tentang perasaan dirinya. S6 pula menekankan bahawa
sembahyang berdiri teguh yang patut dilaksanakan oleh umat Islam dan menjadi tuntutan agama. S7
pula menggambarkan kehidupannya dan perasaan yang ditanggungnya sentiasa dibayangi oleh
bayangan yang menakutkan seperti hantu. Sampel-sampel ini menggunakan bahasa yang kreatif
dengan mengaitkan penggunaan sudut pandangan orang pertama, ku. Penggunaan bahasa
perbandingan ini memudahkan sampel meluahkan perasaan atau menyampaikan mesej secara
berkesan. Di bawah adalah contoh-contoh penggunaan personifikasi dalam ayat;
Rasa kesal sudah tidak lagi bertanam disanubariku. (S7)
Kini hidupku yang sebatang kara kurasakan (S8)
Angin sepoi-sepoi bahasa (S12)
hatiku berbunga-bunga (S13)
bunyi cengkerik memecah keheningan malam (S14)
Berdasarkan contoh ayat-ayat tersebut, perasaan kesal yang dialami oleh S7 sentiasa ada dalam
dirinya. Perkataan bertanam sudah tumbuh dalam sanubari dirinya. S8 menggambarkan hidupnya
yang keseorangan seperti sebatang kara. Angin digambarkan berkata-kata dan berbahasa yang cuba
digayakan bahasanya oleh S12 dan S13 menunjukkan perasaan hatinya yang terlalu ceria dan
digambarkan berbunga-bunga. Manakala S14 menggambarkan malam yang sunyi menjadi terang
dengan bunyi cengkerik.
Pusaranya akan menjadi tempat mengubat rindu. (S14)
melangkah kaki ke menara gading. (S17)
sehingga membuahkan bibit-bibit cinta di antara mereka. (S17)
cita-citaku sehingga ke menara gading. (S18)
Telefon bimbitku berdering memecah suasana sepi dan sunyi itu. (S26)
menyelami dasar lautan hati ... (S28)
Berdasarkan contoh penggunaan personifikasi dalan ayat di atas, S14 menggambarkan pusara atau
kubur orang yang dicintainya sebagai tempat mengubat kerinduan dan mengingati orang yang
disayanginya. S17 dan S18 menggambarkan cita-cita yang tinggi untuk melanjutkan pelajarannya
hingga ke peringkat universiti dan beliau juga menggambarkan kepada pembaca tentang cintanya
yang baru bermula setelah berkenalan dengan gadis itu. S26 pula menggambarkan pada malam yang
sunyi suasana menjadi terang dengan bunyi telefon bimbit. S28 juga menggambarkan hatinya seperti
dasar lautan yang perlu diselami perasaannya.
Eufemisme
Istilah lain bagi eufemisme ialah kiasan halus. Kamus Linguistik (1997:69) mendefinisikan
eufemisme sebagai penggantian ungkapan yang kurang baik dari segi konotasi dengan ungkapan yang
lebih halus. Contohnya pembantu rumah untuk amah atau orang gaji (kiasan halus). Rahman Shaari
(2001:29) mendefinisikan eufemisme adalah penggunaan kata-kata tertentu yang tidak tepat untuk
menggantikan kata-kata yang dianggap kasar, keras atau menyakitkan. Perkataan seperti meniduri
untuk melakukan hubungan seks, berbadan dua untuk bunting dan meninggal untuk mati

Yahya O. & Nurliham H. T.

39

ialah contoh eufemisme. Tujuannya adalah supaya konsep atau hal tertentu sampai ke pemahaman
pendengar (atau pembaca), tetapi tidak menyinggung perasaan.
Peribahasa nyiur ditebuk tupai yang ditujukan kepada gadis yang kehilangan daranya, sama ada
dirogol atau melakukan hubungan seks atau kerelaan, bukanlah eufemisme kerana dengan peribahasa
itu masyarakat tidak memperhalus peristiwa yang menimpa si gadis. Ayat Saya hendak ke belakang
adalah eufemisme bagi maksud hendak ke tandas untuk buang air. Buang air itu sendiri ialah
eufemisme yang membawa maksud buang air kecil dan buang air besar.
Dapatan kajian menunjukkan gaya bahasa eufemisme juga wujud dalam penulisan karangan
naratif pelajar prauniversiti sebanyak 15 ayat. Sejumlah 12 sampel (30%) telah menggunakan unsur
eufemisme dalam penulisan karangan naratif mereka. Contoh-contoh unsur eufemisme dalam
karangan pelajar dinyatakan di dalam jadual 1.

Jadual 1
Contoh-contoh unsur eufemisme dalam penulisan karangan
Sampel
Unsur eufemisme
S4 & S5
Mengandung
S5
Sekujur tubuh kecil yang kaku
S6
Terlanjur
S12
gulung tikar
S16
Ibuku telah meninggal dunia
S20
menghadap pusara ayah dan bonda
S22
mendirikan rumahtangga yang bahagia
S30
sekujur tubuh terlentang di ruang tamu
S30
duniaku tiba-tiba gelap
S31
makanan air tangan ibuku
S32 & S37
cahaya mata
S32
berumah tangga
S33
Perempuan panggilan
S11
Mahkota yang sepatutnya ku pertahan telah
dijajah

Maksud
Hamil
Mayat kanak-kanak
Melakukan hubungan seks
Bankrap
Mati
Kubur
Kahwin
Mayat
Pengsan
Masakan yang dibuat oleh ibu
Anak
Kahwin
Pelacur
Perawan

Dapatan kajian menunjukkan 70 peratus sampel perempuan telah menggunakan unsur ini. Hal ini
menunjukkan sampel perempuan berhati-hati dalam penulisan mereka agar bahasa yang digunakan
halus dengan ungkapan yang lembut. Berdasarkan dapatan borang soal selidik, Sampel perempuan
(65%) menunjukkan minat menggunakan unsur-unsur gaya bahasa. Rahman Shaari (1993:45)
menjelaskan bahawa kemahiran penggunaan eufemisme adalah salah satu tanda yang membuktikan
bahawa seseorang itu mahir berbahasa.
Rumusan daripada hasil dapatan kajian menunjukkan tidak semua jenis gaya bahasa wujud dalam
karangan naratif pelajar-pelajar. Berdasarkan analisis data yang dijalankan, jenis gaya bahasa
perbandingan, iaitu metafora didapati mendominasi keseluruhan penulisan sampel karangan naratif
yang dikaji dengan kekerapan tertinggi (52%). Gaya bahasa perbandingan simile juga kerap
digunakan oleh 19 sampel (47%). Sebaliknya unsur gaya bahasa perbandingan hiperbola kurang
digunakan dalam karangan naratif pelajar, iaitu hanya 7 peratus sahaja. Manakala unsur gaya bahasa
perbandingan personifikasi hanya digunakan oleh 11 sampel atau 27 peratus sahaja. Dapatan juga
menunjukkan wujudnya unsur gaya bahasa eufemisme dalam karangan naratif pelajar (30%). Jadual
2 menunjukkan penggunaan jenis-jenis gaya bahasa perbandingan dalam karangan pelajar yang
dikaji.

40

Jadual 2
Penggunaan jenis gaya bahasa perbandingan dalam karangan naratif pelajar
Bil.
Gaya bahasa perbandingan
Peratus (%)
1.
Simile
47
2.
Metafora
52
3.
Hiperbola
7
4.
Personifikasi
27
5.
Eufemisme
30

Penggunaan unsur gaya bahasa berdasarkan jantina dan minat pelajar


Berdasarkan soal selidik sampel kajian, penggunaan unsur gaya bahasa pelajar perempuan adalah
lebih tinggi (64%) berbanding pelajar lelaki. Pelajar perempuan mengutamakan dan mengambil berat
tentang arahan soalan yang diberikan berbanding pelajar lelaki. Dari segi minat pula, pelajar
perempuan (55%) lebih meminati penulisan karangan naratif dan puisi berbanding pelajar lelaki.
Manakala dalam memahami penggunaan unsur-unsur gaya bahasa, pelajar lelaki dan perempuan
(20%) tidak menggunakan unsur-unsur gaya bahasa dalam penulisan karangan dan puisi kerana
mereka tidak faham.
Penulisan yang dianggap gaya yang tidak bergaya ditemui dalam penulisan karangan naratif
iaitu (27%). Sehubungan dengan itu, dapatan menunjukkan sampel kajian lelaki (20%) menulis
menggunakan gaya bahasa tersebut. Ini adalah memandangkan peribadi sampel kajian lelaki yang
tidak mengambil berat dengan penulisan mereka dan menganggap tidak penting. Manakala bagi
sampel kajian perempuan hanya didapati 15 peratus sahaja daripada segi penggunaannya.
Berdasarkan dapatan kajian menunjukkan bahawa jenis gaya bahasa perbandingan hiperbola dan
personafikasi yang kurang ditonjolkan oleh sampel kajian. Hasil soal selidik, 37 peratus sampel tidak
berminat dalam penulisan karangan naratif dan kurang mengetahui tentang unsur-unsur gaya bahasa.
Hasilnya tahap bahasa penulisan mereka kurang bermutu dan kurang kreatif. Gaya yang tidak bergaya
atau tidak adanya gaya bahasa didapati wujud di dalam karangan naratif mereka.
Kajian juga mendapati unsur eufemisme telah wujud dalam penulisan karangan naratif mereka.
Hasil soal selidik kajian, 70 peratus sampel perempuan telah menggunakan unsur ini . Hal ini juga
menunjukkan pelajar perempuan memang menggunakan kata-kata halus dalam pengucapan mereka
berbanding lelaki. Dapatan juga menunjukkan, sampel perempuan berhati-hati di dalam penulisan
mereka agar bahasa yang digunakan menjadi halus dengan ungkapan yang lembut. 65 peratus sampel
kajian juga menunjukkan minat dalam penggunaan unsur-unsur gaya bahasa. Dalam hal ini, menurut
Rahman Shaari (1993:45) kemahiran penggunaan eufemisme adalah salah satu tanda yang
membuktikan bahawa seseorang itu mahir berbahasa.
Bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian, unsur gaya bahasa harus wujud dalam penulisan karangan
naratif pelajar menengah enam atas kerana mereka telah mempunyai asas dalam gaya bahasa
penulisan di menengah enam bawah lagi. Kenyataan ini telah dinyatakan sendiri oleh guru-guru yang
mengajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, hasil temu bual dengan
guru-guru adalah seperti berikut;
Guru A : Saya tidak faham mengapa pelajar-pelajar masih tidak memahami jenis-jenis gaya
bahasa. Mereka telah diajarkan pada peringkat menengah enam bawah lagi dan tidak ada
alasan merek mengetahuinya.
Guru B : Setiap sesi pengajaran karangan, kami sebagai guru bahasa Melayu
menekankan aspek gaya bahasa sama ada dalam penulisan karangan atau puisi.

akan

Berdasarkan dapatan kajian melalui soal selidik, 10 peratus sampel tidak berminat dengan
penulisan karangan naratif dan mereka tidak cenderung dalam bidang penulisan naratif.

Yahya O. & Nurliham H. T.

41

Kesimpulan, implikasi kajian dan cadangan


Kesimpulannya, sampel kajian masih belum begitu mahir dalam menggunakan gaya bahasa yang
melambangkan nilai estetik dalam penulisan karangan mereka. Kurangnya penggunaan gaya bahasa
perbandingan dalam karangan jenis naratif sering ditemui dalam penulisan yang bercorak kreatif.
Dalam konteks pelajar prauniversiti, kelemahan ini sepatutnya tidak wujud jika pelajar mampu
berfikiran secara kreatif dalam mengolah idea dalam gaya bahasa yang telah pernah mereka pelajari.
Mereka telah mempunyai asas dalam gaya bahasa penulisan di menengah enam bawah lagi.
Implikasi kajian ini terhadap kurikulum adalah wujudnya keperluan dan kepentingan mengajarkan
aspek gaya bahasa dalam penulisan karangan tahap prauniversiti. Penggunaan gaya bahasa dalam
karangan naratif dapat meningkatkan lagi mutu penulisan pelajar. Implikasi kajian terhadap amalan
pedagogi menunjukkan pengajaran menulis karangan menggunakan gaya bahasa yang betul dapat
memudahkan pelajar menulis karangan. Di samping itu, kajian ini juga dapat memberi ruang kepada
pendidik bahasa meningkatkan mutu pengajaran menulis karangan naratif. Untuk tujuan tersebut,
aspek latihan guru bahasa perlu memberi penekanan kepada penguasaan menulis karangan naratif.
Implikasi kajian ini juga memerlukan guru bahasa memiliki kemahiran menulis yang baik agar
mereka dapat menunjukkan model penulisan yang baik kepada pelajar.
Berdasarkan dapatan kajian, beberapa cadangan boleh dikemukakan untuk tujuan memperbaiki
mutu penulisan karangan naratif pelajar. Pertama, pendedahan secara spesifik perlu diberikan kepada
pelajar kerana maklumat umum tentang penulisan tidak membantu mereka dapat menulis dengan
baik. Untuk tujuan tersebut guru Bahasa Melayu perlu memberikan maklumat berkaitan penggunaan
bahasa perbandingan dengan menggunakan teknik dan kaedah mengajar yang lebih sesuai. Guru
boleh memberikan senarai gaya bahasa yang boleh digunakan semasa menulis sesebuah karangan.
Walau bagaimanapun, pelajar perlulah memahami maksud dan jenis gaya bahasa terlebih dahulu
sebelum menggunakan dalam penulisan mereka. Cadangan lain adalah dengan memantapkan
penguasaan guru dalam mengajarkan gaya bahasa dalam penulisan karangan. Mereka perlu diberikan
latihan dalaman tentang kaedah mengajarkan karangan naratif. Disebabkan karangan naratif
memerlukan idea yang kreatif, maka unsur kreativiti dalam penulisan juga perlu diberi keutamaan
dalan proses latihan. Oleh itu, pelajar perlu didedahkan cara menulis karangan naratif menerusi
latihan yang secara sistematik dan model penulisan yang sesuai.

Rujukan
Asmah Haji Omar (2006). Panduan wacana akademik: Teori dan penerapan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chong Ah Fok (1997). Gaya aliran: Cerpen-cerpen di majalah Bahana Januari-April 1993. Bahana,
1, 12-18.
Gorys Keraf (1981). Diksi dan gaya bahasa. Jakarta: Nusa Indah.
Ismail Ahmad (1992). Keterampilan menulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Ahmad (2002). Penulisan saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Linguistik (1997). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris Mas (1988). Perbincangan gaya bahasa sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kridalaksana, Harimurti (1984). Kamus linguistik (Edisi kedua). Jakarta: Penerbit PT Gramedia.
Kamsiah H. Abdullah (1993). Karangan naratif dan laporan-satu kajian tentang matlamat fungsional
dan prestasi murid-murid sekolah menengah di Singapura. Jurnal Dewan Bahasa.37(6),484-493.
Maniyamin Haji Ibrahim (2006). Gaya bahasa kiasan penggunaan dan keberkesanan-nya dalam
sajak. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
Mohd Azhar Su (2005). Gaya bahasa dalam novel remaja Khairuddin Ayip. Tesis Masters, Universiti
Putra Malaysia.

42

Mohd. Sofri bin Haji Md Said (1990). Gaya bahasa lima orang penyair dalam antologi puisi Lagu
Hari Depan. Latihan IlmiahSarjana Muda Pendidikan. Universiti Brunei Darussalam.
Noni Ratina bte Haji Japah (2007). Analisis karangan naratif bagi pelajar menengah atas: Satu
kajian. Tesis Sarjana. FASS. Universiti Brunei Darussalam.
Rachmat Djoko Prodopo (1995). Beberapa teori sastera, metode kritik dan penerapannya.
Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Rahman Shaari (1993). Memahami gaya bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari (2001). Bimbingan istilah sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications Sdn. Bhd.
Rozaiman Makmun (2011). Stilistik: Manipulasi gaya bahasa aliran. Brunei Darussalam: Dewan
Bahasa Dn Pustaka Brunei.
Tarigan, Henry Guntur (1985). Pengajaran Gaya Bahasa. Bandung: Penerbit Angkasa Bandung.
Tarigan, Henry Guntur (1995). Pengajaran wacana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Umar Junus (1989). Stilistik satu pengantar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Umar Junus (2010). Gaya bahasa sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Biodata
Dr Hj Yahya bin Hj Othman bertugas sebagai pensyarah kanan di Institut Pendidikan Sultan
Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam. Bidang pengkhususan ialah pendidikan Bahasa
Melayu.
Nurliham Hj Tuah bertugas sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Maktab Duli Pengiran AlMuhtadee Billah, Brunei Darussalam.

Anda mungkin juga menyukai