Anda di halaman 1dari 12

Itulah detik-detik yang tidak dapat aku lupakan.

Aku menyesal dan memohon ampun


banyak-banyak daripada ibu. Aku sendiri tidak sedar sewaktu aku menjerit itu.
Barangkali niatku bukan kutujukan kepada ibu, tetapi kepada orang lain. Dan siapa
orang lain itu tidak pula dapat aku pastikan. Kalau tidak kepada ibu, kepada siapa lagi
kalau bukan kepada diri sendiri.
Hal itu menusuk masuk ke dalam diriku hinggalah ibu meninggal. Ibu meninggal
dengan aman damai. Tidak sedikit pun menempuh kerumitan. Malam itu kami sudah pun
berkumpul kerana ibu mulai memandang langit. Isteriku membaca Yasin. Aku duduk di
sisi ibu sambil berbisik ke telinganya tidak putus-putus agar ibu jangan lupakan Allah.
Ceper masih keruh airnya, tetapi masih sedikit-sedikit boleh mengalir meskipun
langkahnya lambat kalau dibandingkan dengan waktu ibu rancak melompat ke sana dan
berlari ke sini dulu. Waktu itu Ceper bukan main lagi cergasnya bagaikan hendak
bertanding dengan kecergasan ibu sendiri.
Tetapi semenjak ibu lumpuh dan kemudian ibu mati, Ceper langsung tidak berbusa
dan berombak lagi. Tebing-tebingnya pun tidak ditendang lagi. Lubuk-lubuknya pun tidak
dikorek lagi, kerana Ceper mulai kenyang sangat-sangat dengan serbaneka serdak yang
bersisa.
(Dipetik daripada Ibu dan Ceper)
i) Berikan dua bukti yang menunjukkan aku menyedari kesilapannya terhadap ibu.
- aku menyesal
- aku memohon ampun daripada ibu
(2 markah)
ii) Sekiranya anda ialah aku, nyatakan tiga cara yang boleh anda lakukan untuk
memulihara Sungai Ceper.
- gotong royong membersihkan sungai
- melapor kepada pihak berkuasa jika melihat orang membuang sampah
ke dalam sungai
- tidak membuang sampah ke dalam sungai
- tidak menyalurkan najis ke dalam sungai
(3 markah)
iii) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas
dan satu pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
Pengajaran daripada petikan
- kita mesti menyayangi ibu bapa aku dan isterinya menjaga ibu yang
lumpuh
- kita mesti menghargai sungai tidak membuang sampah ke dalam sungai
(2 markah)
Pengajaran daripada keseluruhan cerpen
- kita mesti berani menghadapi cabaran hidup ibu berani menentang banjir
untuk menyelamatkan padi
- kita mesti gigih bekerja ibu gigih mengerjakan sawah
- kita mesti bertanggungjawab menyara keluarga aku dan isteri bekerja
di sawah untuk menyara keluarga
- kita mesti sabar dalam menghadapi masalah keluarga ibu bersabar
dalam menghadapi karenah ayah yang leka dengan burung ketitir.
(2 markah)

Sebelum itu ibu tidak pernah berleter apa-apa, malah ibu bagaikan takut pada bapa
yang telah menjadi kaki burung ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan
bulat- bulat kepada ibu. Tetapi siang itu, sebelum bapa melangkah pergi bersama-sama
denak rajanya, ibu menjerit. Nyaring betul suara ibu.
Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak
masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!
Mungkin suara ibu macam suara air Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga
tanah-tanah, hingga terbongkah perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing.
Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang denaknya ke paku
di conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak baruh untuk menolong ibu yang
bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap. Tetapi bapa tidak boleh buat apa-apa
juga.
Himbauan air ceper kuat sangat sehingga bapa sendiri beberapa kali terkial-kial jatuh.
(Dipetik daripada Ibu dan Ceper)
i) Berikan dua perwatakan bapa menurut pandangan ibu.
- tidak sedar diri
- tidak bertanggungjawab

(2 markah)

ii) Pada pendapat anda, nyatakan tiga langkah yang boleh diambil untuk mengatasi
masalah banjir.
(3 markah)
- mengadakan kempen cintai sungai
- mendalamkan sungai supaya air sungai tidak melimpah
- mendenda orang ramai yang membuang sampah ke dalam sungai membina
penebat banjir
- membersihkan sungai daripada sampah sarap
- mengesyorkan pendidikan alam sekitar di sekolah
iii) Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu persoalan
lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
(4 markah)
Persoalan daripada petikan
- sikap tidak bertanggungjawab dalam keluarga - bapa tidak menjalankan tanggungjawab
sebagai ketua keluarga kerana asyik berdenak ketitir
- kesan bencana alam - masalah banjir memusnahkan tanaman padi hingga menyusahkan
penduduk kampung
(2 markah)
Persoalan daripada keseluruhan cerpen
- masalah pencemaran alam sekitar - sampah sarap dibuang ke dalam sungai
- kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar Sungai Ceper
tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah ke dalam sungai.
- kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam - kasih sayang aku kepada ibu dan
sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya.
- masalah kemiskinan penduduk kampung - penduduk kampung bergantung sepenuhnya
kepada air sungai untuk kegunaan harian.
- semangat kejiranan-bergotong royong ketika majlis kenduri
- peranan anak terhadap ibu bapa- anak menjaga ibu bapa yang sakit
(2 markah)

Pak Itam masih berdiri di pintu pagar menunggu tamu. Walaupun hari sudah tinggi,
tamu yang jauh masih tidak nampak muka. Tempat letak kereta hanya ada dua tiga buah.
Kereta yang lalu-lalang, bas dan teksi meluncur laju, tidak nampak oleh Pak Itam tandatanda akan berhenti. Di manakah jemputan yang lain? Di manakah budak-budak surat
khabar? Televisyen pun tidak ada. Yang datang hanya anak-anak Langat, itu kerana
adanya kumpulan Kopratasa.
Pak Itam tiba-tiba menjadi sayu. Terlalu cepat orang melupakan jasa dan
pengorbanan orang tua. Pak Itam bukan minta disanjung, Pak Itam bukan minta dihormati
tetapi sekadar ingin bersua muka. Pak Itam menarik sapu tangan dalam poket baju
Melayunya, terketar-ketar menyapu peluh yang mulai merintik di seluruh mukanya.
Tuk Mat yang ikut mengerumuni pentas, terpesona dengan persembahan Teater
Malini, cepat terasa. Dia terus mendapatkan Pak Itam yang masih tercegat di pintu pagar
menunggu tamu, tetapi tamu yang diharapkan tidak datang.
Saya dah jemput semuanya, pak, orang surat khabar dan pihak TV saya hantar
sendiri. Tuk Mat bersuara, ingin membela dirinya apabila melihat keredupan di wajah Pak
Itam.
(Dipetik daripada cerpen Memori Seorang Tua oleh Zahari Affandi ,dalam
Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)
i)

Mengapakah Pak Itam berasa sayu?


- orang melupakan jasa dan pengorbanannya kepada negara
[2 markah]
ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk meningkatkan kesedaran pelajar agar
tidak melupakan jasa pejuang tanah air?
- mengadakan pertandingan menulis esei / folio / buku skrap tentang tokoh
pejuang Negara
- mengadakan sambutan hari pahlawan di peringkat sekolah
- menamakan bilik-bilik khas / lorong / kelas dengan nama tokoh pejuang
[3 markah]
iii) Huraikan satu persoalan berdasarkan petikan di atas dan satu persoalan berdasarkan
keseluruhan cerpen.
Persoalan daripada petikan
- masyarakat yang tidak menghargai pejuang negara Pak Itam berasa sedih
kerana jasa dan pengorbanannya tidak dihargai.
(2 markah)
Persoalan daripada cerpen
- kesediaan menghadapi cabaran - Pak Itam terpaksa menempuh halangan
dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana
perjuangannya Pertentangan dengan dasar pemerintahan pada masa itu.
- tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa - Atas
dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia
ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak
menjadi hamba di negara sendiri.
- jati diri yang teguh - Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh
dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun. [2 markah]

Pak Itam mengiring langkah Tuk Mat yang bertubuh sasa itu dengan perasaan yang
penuh kesyukuran. Budi Tuk Mat bukan sedikit, kalaulah Tuk Mat tidak ada, hajat dan
niatnya sudah tentu tidak akan tercapai.
Kalau harapkan dia untuk menguruskan segala-segalanya, manakan terdaya.
Usahkan untuk ke sana ke mari, mahu mengheret punggung sendiri pun rasanya sudah
tidak terdaya. Tuk Mat dan keluarganya dirasakan sudah jadi bukan orang lain lagi.
Rogayahlah yang menjaganya. Halimah anak gadisnya, bersama-sama Rokiah, selang
berganti, menghantar nasi dan mengambil kain baju untuk dicuci. Yang memeningkan
kepala Pak Itam, apabila dibagi duit, baik Tuk Mat, isterinya, Halimah dan Rokiah
semuanya menolak. Moga-moga Tuhan sahaja yang akan membalas budi Tuk Mat
sekeluarga.
Selepas sembahyang asar, ketika Pak Itam menghulur kepala ke luar tingkap,
semua khemah sudah terdiri, kain belon yang berwarna-warni, biru, merah, kuning dan
hijau, semuanya ada lapan buah, beralun dan berombak ditiup angin petang.
Isa, Latif, dan Jali tersengih di bawah khemah dekat busut jantan yang dikelilingi
oleh rumpun pohon pisang lemak manis. Mereka berhenti rehat setelah habis menampal
dan menyusun atur segala potongan akhbar, majalah, buku-buku, dan gambar-gambar
Pak Itam untuk pameran.
(Dipetik daripada cerpen Memori Seorang Tua oleh Zahari Affandi ,
Dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)
i) Apakah pertolongan yang diberikan oleh keluarga Tuk Mat kepada Pak Itam.
- Rogayah menjaga Pak Itam
- Halimah dan Rokiah selang berganti menghantar nasi dan mengambil kain baju Pak
Itam untuk dicuci
[2 markah]
ii) Pada pendapat anda, apakah kebaikan amalan saling membantu dalam masyarakat?
- memudahkan sesuatu pekerjaan
- mewujudkan persefahaman antara satu sama lain / mengelakkan
persengketaan / - mewujudkan keharmonian dan toleransi dalam sesebuah
masyarakat / perpaduan
- menjimatkan masa, wang dan tenaga
[3 markah]
iii) Jelaskan satu perwatakan Tuk Mat berdasarkan petikan di atas dan satu perwatakan Tuk
Mat dalam keseluruhan cerpen.
Perwatakan daripada petikan
- Ikhlas memberi bantuan / Baik hati tidak menerima/menolak wang
daripada Pak Itam
(2 markah)
Perwatakan daripada keseluruhan
- rajin membantu menguruskan persiapan majlis ulang tahun kelahiran Pak Itam.
- seorang yang boleh diharap Pak Itam mengatakan bahawa Tuk Mat boleh
diharap berbanding Isa dan Latif dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
(2 markah]

Cekodok aje? Airnya pula macam air Sungai Kelang! rungut Israk bagaikan tuan
besar.
Abang ni macam perempuan. Cerewet tidak semena-mena. Makan sajalah! Atau
abang mati kebuluran. Asap kemarahan dilepaskan sedikit demi sedikit.
Buang masa saja tinggal di sini! Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telinga
Mikraj.
Bersarang perasaan geramnya di dalam hati apabila Israk beredar. Lagak Israk
menewaskan orang yang berlagak. Dia masih belum sedar daripada mimpinya. Agaknya
kalau ditimpa musibah baru dia akan sedar. Sudah terhantuk baru tengadah.
Israk menekan punat televisyen. Malangnya tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam
sahaja. Israk mencebik.
TV pun rosak! Sengaja ditinggikan suaranya seperti injak naik yang menaikkan jumlah
voltan arus yang mengalir.
Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4 m
x 6 m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar-mandir di situ. Bagaikan
cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah,
Kampung Sayong.
(Dipetik daripada cerpen Israk oleh Erda Roslan Khairi dalam
antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i)
Mengapakah Israk dikatakan cerewet?
- Merunggut kerana dihidangkan cekodok sahaja
- Tidak puas hati dengan air minumannya

[2 markah]

ii)
Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya kita menyesuaikan diri apabila berada
di tempat orang lain?
- Menghormati adat masyarakat setempat
- Rendah diri
- Mempelajari bahasa dan budaya
- Menghadiri / menyertai majlis-majlis yang diadakan
[3 markah]
iii)

Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu lagi daripada
keseluruhan cerpen.

Persoalan dalam petikan


- Soal ketidaksesuaian hidup di luar bandar Israk berasa tidak selesa
dengan keadaan hidup di rumah Wah.
- Soal keegoan anak muda Israk merungut dengan hidangan cekodok dan
air sewaktu berada di rumah Wah
[2 markah]
Persoalan daripada keseluruhan cerpen
- Soal jati diri Israk yang dibesarkan di Perth Australia tidak mempunyai jati
diri ketimuran kerana persekitaran dan cara dia dibesarkan / Mikraj kukuh
dan teguh jati dirinya dengan adat ketimuran
- Soal kasih sayang nenek terhadap cucunya Wah menyayangi Israk
walaupun cucunya itu amat ego dan melukakan hatinya.
[2 markah]

Israk memandang Mikraj, Mikraj tunduk. Israk bangun, Mikraj berundur.


Mengapa paksa aku? Aku bukannya nak jadi petani. Nanti aku bergelar ahli korporat.
Abang terlalu bangga, riak, ujub, sombong, bongkak, dan takbur! Kalau Allah tarik balik
rezeki tu, macam mana? Abang jadi apa? Ahli keparat? Andai kata negara memajukan
sektor pertanian, abang ke mana? Mungkin abang jadi ahli keparat yang memetik buahbuahan tempatan. Tak mustahil semua ini akan berlaku
Aku bukan kau. Kalau kau pergi, kau boleh cipta lima enam puisi. Tapi, kalau aku, ia
hanya membuang masa. Lebih baik aku duduk di rumah saja.
Abang mahu jadi teruna yoghurt? uji Mikraj.
Lebih baik daripada kau yang liar tu, sambung Israk membela diri sekali gus
menggelapkan lagi warna merah di jiwa Mikraj.
Kalau abang kata saya liar, abang tu lagi liar. Akar hati abang ke sana ke mari mencari
kesalahan orang. Pucuk hati abang pula menari tanda riak, ujub, sombong,
berlagak! Bom radang Ghaza dilepaskannya.
Hii, mengapa gaduh-gaduh ni! Adik-beradik tidak manis bertikam lidah. Kata orang tuatua carik-carik bulu ayam bercantum jua akhirnya. Tapi, kamu berdua ni bila nak
bercantum? Wah mula masuk campur.
(Dipetik daripada cerpen Israk oleh Erda Roslan Khairi dalam
antologi Harga Remaja, DBP)
i)
Mengapakah Mikraj menyatakan bahawa Israk seorang yang liar?
- Israk sentiasa mencari kesalahan orang lain
- Hati sanubari Israk menebal dengan keegoan / riak, ujub, sombong, berlagak
[2 markah]
ii)

Pada pendapat anda, apakah cara untuk melahirkan remaja yang memiliki
keteguhan jati diri?
- Mengikuti aktiviti persatuan belia
- Menyertai Program Latihan Khidmat Negara
- Menerapkan nilai-nilai murni
-Pegangan agama yang kukuh
[3 markah]

iii)

Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar
masyarakat lagi daripada keseluruhan cerpen.

Latar masyarakat dalam petikan


- Masyarakat bandar yang sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan di
kampung Israk merasakan ketidakselesaan sewaktu berada di rumah Wah
- Masyarakat yang sombong dan tinggi diri Israk sering bertikam lidah
dengan Mikraj kerana tidak biasa dengan keadaan di rumah Wah
[2 markah]
Latar masyarakat daripada keseluruhan cerpen
- Masyarakat yang menghormati orang tua Mikraj amat menghormati Wah
- Masyarakat yang bertanggungjawab Adam membiasakan anak-anaknya
dengan kehidupan di kampung agar mereka tidak sombong dan lupa diri
- Masyarakat penyayang Wah amat menyayangi cucu-cucunya
[2 markah]

Sebaik-baik duduk, sesuatu yang maha menyakitkan menyembur di bawah meja. Sebotol
asid yang terkuis kaki Um tumpah. Um menggelupur dan meraung kesakitan. Seisi
keluarga menjadi gempar, rutup dan ruwet.
Ibu yang sedih kian berasa tertekan dengan perbalahan anak-anak, menelan air
mata hiba. Ibu tidak pernah mendidik anak-anak berkelahi dan bermusuh-musuhan untuk
mendapatkan sesuatu. Angin sakit berbuku di hulu hati ibu. Kerana tidak tertanggung
dengan kesedihan yang dipendam, ibu kejang kaki tangan serta seluruh badan bahagian
kiri. Ibu diserang angin ahmar.
Us, Uk, Ul dan yang lain-lain menafikan apabila ditanya apakah mereka yang
bertanggungjawab meletakkan botol asid itu di bawah meja?
Um menuduh Uj yang mengkhianatinya kerana takutkan kekalahan. Sementara Uj
menuduh Um yang meletakkannya di situ dengan hasrat mencederakan Uj kerana tidak
mahu dikalahkan.
(Dipetik daripada cerpen Pemain Catur oleh Zaharah Nawawi
dalam Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i) Berdasarkan petikan, apakah kesan perbalahan anak-anak terhadap keadaan ibu?
- ibu sedih
- berasa tertekan dengan perbalahan anak-anak
- menelan air mata hiba
- ibu kejang kaki tangan serta seluruh badan bahagian kiri
(2 markah)
ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kita mewujudkan keharmonian dalam keluarga?
- Saling menghormati
- Saling memahami
- Saling mengasihi
- Bertolak ansur / bertoleransi
(3 markah)

iii) Huraikan satu persoalan dalam petikan di atas dan satu persoalan lain daripada
keseluruhan cerpen.
Persoalan daripada petikan
- perpecahan dalam keluarga Uj dan Um sanggup saling menuduh sesama
sendiri tentang orang yang meletakkan asid di bawah meja
- sikap mementingkan diri sendiri Sikap Uj dan Um yang tidak mahu
mengalah dan mahu menang menyebab mereka bertelagah. Sedangkan
hubungan mereka adalah sedarah iaitu adik-beradik.
[2 markah]
Persoalan daripada keseluruhan cerpen
- kepentingan sukan sukan catur boleh memperkenalkan nama atau
keturunan sesebuah keluarga
- kepentingan latihan dalam memantapkan sesuatu kemahiran Um dan Uj
berlatih bermain catur untuk memantapkan kemahiran dalam permainan
catur
- peranan anak dalam meneruskan legasi keluarga dalam sesuatu bidang
Uj menurunkan kemahiran bermain catur kepada Um supaya Um mampu
meneruskan kemasyhuran nama keluarga al-Hakam
(2 markah)

Kita ialah zuriat kebanggaan, kerana mampu meneruskan tradisi keluarga menjadi
pemain catur yang disegani. Uj memberi kuliah panjang kepada Um yang ketika itu masih
muda remaja.
Tapi Um tidak tahu apa-apa tentang catur. Um Cuma pandai main dam sedikitsedikit. Dam haji dan dam apit. Itu saja. Um merenung mata Uj yang tersorok di bawah
cermin hitam yang dipakai Uj siang malam.
Pandai main dam ialah permulaan kepada catur. Uj menentang mata muda
adiknya yang gemerlap dengan cahaya kepintaran.
Uj menggilap bakat Um dengan apa cara jua. Adik-adik lain tidak sesuai dengan
jiwa Uj. Yang dia nampak Um sahaja punya bakat anugerah alam semula jadi. Um akan
lebih mudah dibentuk. Tegal itu Uj hanya akan mengasuh Um. Diharap Um dapat menjadi
tonggak keluarga menggantikannya apabila dia tiada nanti. Adik-adik yang lain boleh saja
diketepikan. Um bertuah kerana diberi hak mutlak berbuat begitu. Itulah hak keistimewaan
Uj sebagai ketua keluarga yang dihormati.
Dipetik daripada cerpen Pemain Catur oleh Zaharah Nawawi dalam antologi
Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i) Kemukakan dua sebab Uj ingin menggilap bakat Um dalam permainan catur.
- Um mempunyai bakat semula jadi dalam permainan catur.
- Um juga mudah dibentuk / dilatih
(2 markah)
ii) Pada pendapat anda, nyatakan tiga usaha yang perlu diambil untuk menggalakkan lebih
ramai golongan remaja melibatkan diri dalam permainan catur.
- Sekolah menganjurkan lebih banyak pertandingan catur.
- kerajaan boleh mengadakan kempen berkaitan catur kepada masyarakat.
- Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dalam
permainan catur melalui sokongan dan galakan.
( 3 markah)
iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas
dan satu latar masyarakat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
Latar masyarakat dalam petikan
- masyarakat yang bercita-cita tinggi untuk menjulang kegemilangan keluarga
dalam permainan catur - Uj yang berusaha membimbing adiknya, Um untuk
menguasai permainan catur bagi menyambung tradisi kegemilangan
keluarga mereka dalam permainan catur.
- masyarakat yang berpecah-belah dalam keluarga akibat perbalahan
perbalahan antara Um dan Uj dalam permainan catur sehingga keluarga
mereka berpecah-belah.
- Masyarakat yang mahir dalam permainan catur - keluarga Uj.
- Masyarakat yang bangga dengan keturunan - Uj yang seringkali
menceritakan kehebatan keluarganya dalam permainan catur kepada Um.
(2 markah)

Dalam kesibukan dan kebisingan bunyi mesin tulis dan komputer bercampur baur
dengan deringan telefon dan suara manusia, seorang lelaki berjalan ke arahnya yang
sedang berdiri di samping Farid. Farid memang banyak mempunyai kawan kenalan di
sana. Berhenti di tiap-tiap meja. Menyapa dan bersalaman.
Ini Syahid, kata Farid memperkenalkan lelaki itu kepadanya.
Rasanya kita sudah pernah berjumpa, kata Syahid agak tidak malu apabila dia
menghulurkan tangan sebaik sahaja mereka diperkenalkan. Perasaannya tergugah sedikit.
Darah tersimbur naik ke mukanya. Seluruh kulit mukanya menjadi merah. Dia pun tiba-tiba
menjadi gugup. Di mana? Mahu sahaja dia percaya pada waktu itu bahawa Syahid ini
benar-benar penjelmaan daripada Hisyam. Aku tidak pernah bertemu dengan orang ini
sebelum ini, bawah sedarnya berbisik. Namanya, ya pernah aku dengar sebab selalu
disebut-sebut oleh Farid apabila sahaja makalahnya tersiar dalam surat khabar itu. Syahid
yang menolong menyiarkannya.
Nama Syahid juga selalu muncul dalam akhbar itu kerana rencana yang ditulisnya
di halaman rencana pengarang atau ada berita by line. Hanya dari situ sahajalah dia
mengetahui nama lelaki itu, tetapi berjumpa belum.

i)

(Dipetik daripada cerpen Mellisa oleh Abdullah Hussain dalam


antologi Harga Remaja, DBP)
Apakah reaksi Mellisa apabila Syahid memperkenalkan dirinya?
- perasaannya tergugah
- berasa malu / mukanya menjadi merah
- berasa gugup
(2 markah)

ii)
Pada pendapat anda, bagaimanakah seseorang harus menyesuaikan diri ketika
berada dalam sesuatu majlis?
- memberi salam / menyapa
- beradab sopan (pakaian, tutur kata, perbuatan)
- beramah mesra / berbual / bergaul
(3 markah)
iii)

Huraikan satu latar masyarakat dalam petikan dan satu latar masyarakat
daripada keseluruhan cerpen.
Latar masyarakat dalam petikan
- Masyarakat yang peramah. Contoh, Syahid menghulurkan tangan kepada
Mellisa sebaik sahaja diperkenalkan oleh Farid.
- Masyarakat penulis. Contoh, Syahid merupakan penulis rencana dalam
akhbar.
(2 markah)
Latar masyarakat daripada keseluruhan cerpen
- Masyarakat muda yang amat cinta akan negara. Contoh, Mellisa amat cinta
akan negara lebih-lebih lagi setelah mengetahui peristiwa yang
menyebabkan rusuhan kaum yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya
dahulu.
- Masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni. Contoh, Keluarga Mellisa
yang berketurunan Cina duduk sekampung dengan keluarga Hisyam
dengan aman dan damai sehinggalah peristiwa berdarah 13 Mei berlaku.
- Masyarakat pelajar yang gigih. Contoh, Mellisa amat tekun menyiapkan
tesisnya dengan membuat rujukan terperinci dengan menyemak pelbagai
dokumen, buku, akhbar dan majalah.
(2 markah)

Dia mulai suka dengan anak muda ini. Sifatnya yang terbuka itu menyenangkan
hatinya. Dia suka mendengar bicaranya. Suka melihat mimik mukanya. Suka melihat
senyumannya. Dia seperti Hisyam. Barangkali juga Syahid telah jatuh cinta kepadanya
dengan pertemuan pertama itu. Melihat gerak-gerinya yang agak kaku itu dia rasa yakin
tentang anggapannya. Dia rasa Syahid sedang berusaha sungguh-sungguh untuk memikat
perhatiannya. Ya, dia sudah terpikat pun dengan lelaki itu. Sebab itu tanpa banyak kerenah
dia menerima ajakannya untuk makan tengah hari pada Sabtu depan. Dia menolak ajakan
makan malam kerana terpaksa balik ke Seremban. Sebab itu jadual rutinnya pada tiap-tiap
hujung minggu. Rumahnya di Seremban. Ibu bapanya di sana.
Dalam perjalanan pulang dari pejabat surat khabar itu, dia mulai diam. Perasaannya
sedang bersimpang-siur. Dia cuba menilai kembali kisah pertemuannya dengan Syahid
sebentar tadi. Mengapa dia begitu lekas tertarik kepadanya? Adakah kerana dia serupa
dengan Hisyam?
(Dipetik daripada cerpen Mellisa oleh Abdullah Hussain dalam antologi
Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i)

Apakah sebab-sebab Mellisa menyukai Syahid?


- bersikap terbuka
- suka mendengar bicaranya.
- suka melihat mimik mukanya.
- suka melihat senyumannya.
- Syahid seperti Hisyam

( 2 markah)

ii)
Pada pendapat anda, apakah alasan-alasan untuk menolak ajakan daripada
seseorang yang tidak kita kenali?
- memerlukan masa untuk mengenalinya
- sibuk dengan urusan yang lebih penting
- takut difitnah / pandangan serong masyarakat
- bimbang akan keselamatan diri
(3 markah)
iii)

Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam cerpen ini dan satu daripada
keseluruhan cerpen.

Persoalan daripada petikan


- Sikap berhati-hati dalam perhubungan dengan orang lain. Contoh, Mellisa berhatihati dalam perkenalannya dengan Syahid.
(2 markah)
Persoalan daripada keseluruhan
- Persoalan pengorbanan diri untuk negara. Contoh, Mellisa sanggup
mengorbankan keperluan dirinya dengan meninggalkan orang yang dicintai
untuk menyahut panggilan mempertahankan negara.
- Persoalan persengketaan antara kaum. Contoh, Hasyim dan ibunya telah
menjadi mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei di Jalan Petaling semasa
dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di hadapan Stadium
Negara.

Ayah tidak boleh dipisahkan daripada samudera itu. Ayah ialah samudera.
Samudera ialah ayah. Mulut Mir terus sahaja terkumat-kamit.
Hakimah mengeluh. Dipeluknya bahu Mir. Ada kengiluan mengalir dalam diri. Mir
harus diselamatkan sebelum segala-galanya menjadi pudar. Mir sahabatnya yang baik.
Dan dia juga harus menjadi sahabat yang baik kepada Mir.
Siapa lagi yang ada di kampus hijau ini melainkan dia? Mir tidak ada orang lain lagi.
Ibu Mir tidak ada sebaik saja Mir dilahirkan. Mir cuma ada seorang ayah yang sudah tua.
Mir tidak memiliki apa-apa pun selain orang tua yang bersemangat waja itu. Mir tidak
ada setapak tanah pun miliknya yang sah. Benarlah. Mir kecawa.

Samudera itu juga terseksa seperti aku, Hakimah. Dia sakit. Dadanya bergelora. Dia
disakiti oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak berhati perut. Mereka
sengaja mahu melihat samudera menderita.
Mir menyeringai. Kemudian Mir memejamkan mata. Di dalamnya hanyut bayangan
ayah. Ayah menggawang-gawangkan pukatnya. Ayah mengacung-acungkan
pendayungnya.
Pembangunan mewah itu telah menciptakan pisau tajam yang membenam di dalam
dada ayah. Tajamnya melebihi dayung ayah yang saban waktu membelah
samudera.
(Dipetik daripada cerpen Biarkan Samudera oleh Raihanah Salleh dalam
antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i) Mengapakah Hakimah berasa perlu membantu Mir?
- Sahabat baik
- Mir tidak ada ibu
- Ayahnya sudah tua
- Tidak memiliki apa-apa harta / tidak ada setapak tanah pun miliknya yang sah
[2 markah]
ii)Pada pendapat anda, nyatakan tiga punca berlakunya pencemaran laut?
- Pembuangan sisa toksik kilang
- Tumpahan minyak dari kapal
- Pembuangan bahan sisa domestik
- Pembuangan sisa kotoran dari ladang ternakan
- Pembangunan di kawasan pesisir pantai.
[3 markah]
iii) Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan
daripada keseluruhan cerpen.
Persoalan daripada petikan
- Pencemaran laut laut sangat terseksa, menderita, sakit dan dadanya
bergelora kerana disakiti oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
- Sahabat yang sanggup berkorban dan bersama ketika susah dan senangHakimah adalah sahabat baik Amirah yang mengambil berat serta
berusaha untuk membantu Amirah yang mengalami penyakit kemurungan.
[2 markah]
Persoalan daripada keseluruhan cerpen
- Persoalan menghargai alam sekitar (laut) ayah Mir sangat menghargai
dan menyayangi laut sehingga tidak boleh dipisahkan dengan laut.
- Persoalan konflik jiwa yang dialami oleh remaja kesan daripada kesempitan
hidup mirah mengalami tekanan perasaan apabila memikirkan nasib
keluarganya yang hidup dalam kesempitan.
(2 markah)

Suara garau ayahkah yang menyentak lamunannya? Masih seperti dalam mimpi, Mir
bangun. Berdiri di tepi jendela dan merenung jauh. Melihat samudera yang sedang
bergelora ganas. Bergumpalan dan berteriakan. Pedih dan perit.
Ayah akur, Mir. Memang sudah suratan. Ayah akan habiskan sisa-sisa hidup ayah di sini.
Di rumah gantian ini. Cuma, apabila kau sudah lulus nanti, ayah mahu kaucarilah kerja
yang baik. Kemudian binalah mahligai sendiri. Hakmu sendiri. Ayah akan bahagia.
Mir tersendu kepiluan. Digagahi diri untuk menahan gelombang di dalam dada. Dia
mengeluh singkat, lantas memujuk diri. Digenggamnya hadiah pemberian Hakimah,
sahabatnya yang baik itu.
Ayah tidak mahu lagi membelah samudera itu? Bukankah samudera itu sering menantikan
ayah, pahlawan yang tangkas? Ombak laut yang bergulung-gulung itu, bukankah juga
sering menantikan lelaki yang berani seperti ayah? Menakluki dan menimba khazanahnya.
Namun, terus-menerus berterima kasih kepadanya tanpa mengkhianatinya. Samudera
terlalu lurus untuk dikhianati ya, ayah?
Ayah yakin samudera tetap akan terus bergelora meskipun dadanya sakit. Dia tetap
menyumbangkan baktinya walaupun ayah tidak lagi menemaninya. Cuma ayah harap,
engkaulah penerus dan pewaris untuk menjaga samudera itu, Mir. Jangan biarkan dadanya
sakit, biarkan ia terus berbakti, selama-lamanya.
(Dipetik daripada cerpen Biarkan Samudera oleh Raihanah Salleh
dalam Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i) Apakah harapan ayah Mir kepadanya setelah lulus nanti seperti yang terdapat dalam
petikan.
- Mencari kerja yang baik
- Membina mahligai sendiri
[2 markah]
ii) Pada pendapat anda, nyatakan tiga peranan anda untuk membahagiakan ibu bapa.
- Belajar bersungguh-sungguh
-Mencapai kejayaan dalam pelajaran
- Mendapat pekerjaan yang baik
- Menjadi anak yang baik
- Menjadi anak yang soleh
- Berbakti kepada agama, bangsa dan negara
[3 markah]
iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan satu pengajaran yang
terdapat dalam keseluruhan cerpen.
Pengajaran daripada petikan
- Kita hendaklah berusaha untuk memenuhi harapan ibu bapa - ayah
berharap agar Mir menjadi penerus dan pewaris untuk menjaga samudera.
- Kita mesti menghargai dan menjaga alam sekitar - ayah Mir amat
menghargai dan menjaga kebersihan laut yang telah banyak berjasa dalam
kehidupannya.
[2 markah]
Pengajaran daripada keseluruhan cerpen
- Kita perlu membantu rakan yang menghadapi masalah, contohnya,
Hakimah berusaha untuk membantu Amirah yang mengalami tekanan jiwa.
- Sebagai manusia, kita perlu berdoa serta berusaha untuk mengatasi konflik
yang dialami Amirah haruslah mendekatkan diri kepada Allah dan berdoa
agar jiwanya menjadi tenang.
(2 markah)

Anda mungkin juga menyukai