Anda di halaman 1dari 2

Setelah beberapa entry sebelum ini dalam junaidisite[dot]com bersifat sebagai entry yang

santai, kini junaidisite[dot]com kembali dengan satu topik yang hangat diperkatakan. Isu
kitar semula perlukan perhatian sewajarnya daripada kita sebagai masyarakat prihatin.
Sebagai seorang remaja yang cintakan keindahan alam, saya ingin menyarankan kepada
diri saya sendiri serta para pembaca sekalian agar sentiasa mengamalkan kitar semula
dalam apa jua situasi.

Pada kebiasaannya, kita hanya memandang remeh akan sampah yang kita buang setiap
hari. Tentu ada diantara kita yang berfikir kemana perginya sampah sarap yang kita
buang setiap hari dan apakah yang terjadi kepadanya sebaik sahaja ia dipungut oleh lori
sampah. Realitinya lori sampah tidak dapat menghapuskannya begitu sahaja. Untuk
pengetahuan anda, sampah-sampah tersebut akan diangkut ke tapak pelupusan sampah
yang berhampiran.

Namun begitu, kapasiti sebuah tapak pelupusan sampah di negara kita semakin terhad
dan tidak dapat menampung jumlah sampah yang terkumpul setiap hari. Pada masa yang
sama, negara kita terpaksa menghabiskan jutaan ringgit untuk mengangkut dan
melupuskan sampah yang terkumpul. Lebih membimbangkan kita lagi, kini timbul pula
rungutan tentang pencemaran, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan
isu-isu keselamatan yang berkaitan. Kini, sudah tiba masanya kita menangani masalah ini
sebelum terlewat. Ingatlah, fikir dulu sebelum buang! Jadikan amalan kitar semula
sebagai sebahagian hidup kita.

Konsep kitar semula. Apakah maksud di sebalik “Kitar Semula”? Proses kitar
semula ialah suatu proses yang melibatkan usaha memproses, mengumpul dan
menggunakan semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.

Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita. Pada masa ini terdapat kira-kira 230
tapak pelupusan sampah di negara kita, Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20
hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang oleh
masyarakat di sekitar kawasan tersebut. Sebaik sahaja sebuah tapak pelupusan sampah
dipenuhi sampah, tapak baru pula akan dibuka. Lambat laun, tapak-tapak ini akan
berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita. Adakah anda sanggup suatu hari
nanti duduk berjiran dengan tapak pelupusan sampah? Bagi saya, pada ketika itu sudah
pasti keselesaan seperti hari ini tidak dapat dirasai lagi.

Jika anda tertanya-tanya, apakah kepentingan kitar semula kepada masyarakat, tidak
terdaya rasanya saya untuk menaip kepentingan-kepentingan tersebut dalam satu artikel
sahaja. Namun begitu, anda tidak perlu berasa kecewa kerana junaidisite[dot]com dengan
rasa murah hati ingin berkongsi kepada anda beberapa kepentingan amalan kitar semula.

1. Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran

Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah
merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula
dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan
pencemaran udara.

2. Kitar semula untuk menjimatkan kos

Dalam masa jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan kos berbanding
dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah. Jika program kitar semula
bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya
akan memanfaatkan kita kerana caj untuk pelupusan sampah dapat dikurangkan.

3. Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita

Tentu ada dalam kalangan kita yang tetanya-tanya, bagaimana kitar semula boleh
menjimatkan sumber. Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang
sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia kini mengimport lebih daripada
25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi
menampung permintaan tempatan? Kita juga mengimport bahan baungan lain untuk
industri pengeluaran yang lain. Tidakkah lebih baik jika kita mengamalkan kitar semula?

4. Kitar semula untuk menjimatkan tenaga

Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah
bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang televisyen selama 3 jam.
Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan
sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

5. Kitar semula untuk menyelamatkan hutan

Untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang.
Tidakkah anda berasa simpati kepada alam semula jadi ciptaan Tuhan? Mengitar semula
kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara
hutan kerana ia merupakan sumber oksigen dan udara bersih. Junaidisite[dot]com
cintakan alam semula jadi!(tiada pokok yang ditebang dalam penghasilan entry ini)

Fakta yang saya gunakan adalah hasil cetusan idea utama daripada:
http://www.kpkt.gov.my/kitarsemula/Malay/Why_m.asp dan ditambah pula dengan
keberkesanan buah fikiran http://www.junaidisite.com

Anda mungkin juga menyukai