Anda di halaman 1dari 5

Khutbah Jumaat: Ramadhan Menamatkan

Perhambaan Diri » Saifulislam.Com

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Malam ini kita akan menerima kunjungan bulan Ramadhan yang dinanti-nanti. Bulan yang menyediakan segala
kebaikan, dilimpahi dengan segala kemuliaan, dihiasi dengan segala ketaatan, bulan manusia membangunkan diri
mereka demi mengejar nilai TAQWA, sebagaimana yang dipesankan saban minggu di atas mimbar Jumaat ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas
umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”

Namun tidak semua manusia dengan mudah, dapat memahami apa yang dikehendaki oleh Allah melalui ibadah ini.

Sejarah mencatat, pada tahun 1961 umat Islam digemparkan apabila Presiden Tunisia pertama, Habib Bourguiba, telah
mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan
Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama
anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai
dengan mesej, “kami memaksudkan apa yang kami kata!”

Alasan Habib Bourguiba menghalang puasa di bulan Ramadhan itu ialah, puasa mengurangkan produktiviti negara!
Apa pendirian kita?

Apakah kita bercita-cita untuk melihat ada pemimpin negara ini yang menjejaki polisi Habib Bourguiba? Naudhubillah
min Dzaalik!

Kita mungkin marah dengan Habib Bourguiba. Pandangannya itu amat bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah
Rasulullah s.a.w. Malah ia menyalahi seluruh catatan sejarah umat Islam. Apakah Habib Bourguiba tidak tahu, bahawa
di bulan puasa itulah, umat Islam mencapai kemenangan di dalam Perang Badar? Kota Mekah dibebaskan di bulan
Ramadhan. Ketibaan Islam di Andalus dan mengasaskan pemerintahan Islam 700 tahun, berlaku di bulan Ramadhan.
Peperangan Ain Jalut yang menumpaskan pengganas Tatar berlaku di bulan Ramadhan. Pembebasan bumi Palestin
oleh Salahuddin al-Ayyubi juga berlaku di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan yang hebat bagi umat
Islam.

Apakah Habib Bourguiba buta sejarah?

Beliau mungkin buta sejarah. Beliau juga mungkin tidak buta sejarah. Namun apa yang penting ialah, ia adalah
SEJARAH. Ia buat semasa. Ia bukan kita. Ia adalah sejarah.

Bagaimana pula dengan apa yang ada di depan mata?

Lupakan seketika Tunisia. Lihat sahaja budaya kita di Malaysia. Apakah kita hebat di bulan Ramadhan? Apakah kita
produktif di bulan Ramadhan? Di bulan Ramadhan, mesyuarat sangat sukar untuk dijayakan kerana semua orang
kebuntuan idea, menguap dan tumpul kepala di dalamnya. Di bulan Ramadhan, kita tangguhkan projek-projek penting
ke lepas raya. Jika di bulan lain kita habis bekerja pada jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4
petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan.

Tidakkah semua itu mengiyakan apa yang didakwa oleh Habib Bourguiba? Tidakkah semua itu petanda bahawa kita
memang tidak produktif di bulan Ramadhan? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.

Namun, silapnya Habib Bourguiba itu adalah pada kedunguannya menyalahkan puasa dan Islam. Suatu pemikiran
yang cacat.

Jika anda melihat sebuah kereta Mercedez terbengkalai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan
menyalahkan syarikat Mercedez dan teknologinya? Mustahil. Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez.
Sebaliknya kita akan tunding kesalahan itu kepada pemandunya. Setelah diberi Mercedez, masih boleh melanggar
tiang lampu. Tetapi bagaimana pula dengan Islam dan Muslim? Mengapakah kelemahan umat Islam, kecacatan umat
Islam, justeru Islam yang dipersalahkan?

Sidang Jumaat sekalian.

Jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, buktikanlah ia. Jangan bergantung hanya kepada hujah kata-
kata bersandarkan al-Quran, Sunnah dan Sejarah semata-mata. Sebaliknya buktikan dengan perbuatan, Ramadhan
menambah kualiti diri, bukannya mengundang malas, lesu dan hilang produktiviti.

Kaum Muslimin, rahimakumullaah,

Telah diriwayatkan, tatkala tibanya bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w akan mengingatkan para sahabat telah erti dan
nilai bulan yang mulia ini. Semuanya adalah untuk mengingatkan kita agar mengambil peluang yang diberikan oleh
Allah ini. Misalnya di dalam sepotong hadith, Baginda s.a.w. bersabda:
Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang
difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim
ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang
terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith
riwayat al-Nasaai]

Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu,
lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi
mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita
memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.

Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.

Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya
dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita
langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah,
tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka. Maka
sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah. Semoga Allah melindungi kita
daripada kedegilan dan kesombongan yang membinasakan itu.

Sidang Jumaat sekalian,

Apakah sebenarnya yang ada pada ibadah puasa di bulan Ramadhan, sehingga ia dijanjikan dengan sebuah kehebatan?

Jika seorang itu tidak makan kerana tiada makanan, keadaan itu tidak akan mendidik dirinya dengan sebarang nilai
pendidikan. Jika seseorang itu tidak minum kerana tiada minuman, keadaan itu tidak akan melatihnya dengan sebarang
nilai latihan. Tetapi jika seseorang itu ada segalanya untuk dimakan, namun beliau memilih untuk tidak makan kerana
mahu mematuhi Allah SWT, maka di situlah datangnya nilai Tarbiyah.

Kita belajar untuk berkata TIDAK, kepada sesetengah keinginan dan kemahuan diri, kerana mahu mentaati Allah,
itulah sebuah LATIHAN. Ramadhan melatih kita untuk mempunyai kekuatan mengawal keinginan dan kemahuan,
supaya kita tidak terus terbelenggu menjadi hamba kepada hawa nafsu dan diri sendiri.

Tidakkah kita ingat, kepada peringatan Allah SWT di dalam al-Quran:

Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang disembah? Lalu dia
disesatkan oleh Allah dalam keadaan dirinya berilmu dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta
diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya
sesudah? Oleh itu, mengapa tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyyah : 23]

Seorang manusia menyembah Tuhan palsu tanpa perlu menyembah berhala. Dia mengambil Tuhan palsu dalam
hidupnya apabila hawa nafsunya sendiri diutamakan, membelakangi perintah dan suruhan Allah SWT. Apabila
manusia menjadi hamba kepada dirinya sendiri, dia menjadi sesat walaupun berilmu. Malah sesatnya menebal hingga
menutup mata, telinga dan hatinya daripada peringatan. Semua itu berlaku apabila seorang manusia tidak mampu
berkata TIDAK kepada kemahuan-kemahuan diri, sebaliknya sentiasa mengikut perasaan dan kata nafsu dalam
kehidupan.
Alangkah besarnya bencana manusia seperti ini.

Justeru Allah datangkan Ramadhan dan ibadah puasa, agar manusia belajar mengawal diri. Belajar untuk mampu
berkata TIDAK kepada sebahagian kehendak diri yang diciptakan Allah kita ini ada kecenderungan kepada kebaikan
dan ada kecenderungan kepada kejahatan.

Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW:

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat
memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]

Pandangan ramai mungkin melihat juara gusti sebagai orang yang gagah.

Tetapi Rasulullah SAW menegaskan bahawa, kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal
dirinya, terutamanya ketika marah. Manusia yang gagah atau lemah, mudah tertonjol warna sebenarnya ketika marah.
Seorang juara gusti tidak mampu menyelamatkan rumahtangganya, apabila gagal menahan marah. Seorang billionaire
yang mampu membeli apa sahaja, gagal menyelamatkan perniagaannya apabila hilang pertimbangan ketika marah.

Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal
diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah.

Kerana itulah di bulan Ramadhan, selain latihan mengawal diri daripada makan dan minum, Islam juga datangkan
beberapa siri latihan lain untuk mengukuhkan proses ini.

Sabda Nabi SAW:

Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri
dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka
berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

Kawal diri dari makan dan minum. Kawal diri dari larut dalam perkara yang sia-sia. Kawal diri dari kelakuan dan
percakapan sumbang dan lucah. Jika dicela, dimaki hamun atau diperbodohkan, secara khusus di bulan Ramadhan ini,
jangan dibalas provokasi itu, sebaliknya kawallah diri. Nyatakan, “aku berpuasa”. Ia bukan suatu kekalahan apabila
tidak membalas. Tetapi ia adalah suatu latihan untuk meningkatkan daya mampu mengawal diri dan berkata TIDAK
kepada perkara-perkara yang mengundang mudharat dan kerugian.

Sidang Jumaat sekalian,

Ambillah ini sebagai suatu proses yang dilatih secara tubi.

Semasa membeli di Bazar Ramadhan, semasa membeli barangan untuk sambutan Aidilfitri, pastikan kita peka kepada
proses mengawal diri ini. Belajarlah untuk berkata tidak.

Semoga dengan daya mengawal diri yang baik, kuranglah penceraian yang berpunca dari suami isteri yang hilang
kawalan diri, kuranglah rasuah daripada berlaku ketika pekerja kurang daya mengawal diri, kuranglah sambutan
terhadap hiburan melampau tatkala masyarakat kurang mampu mengawal hawa nafsu dan kehendak diri. Semoga
dengan daya mengawal diri yang baik, bercambah-cambahlah kebaikan dalam hidup kita semua, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan
jazakumulaahu khair al-jazaa'

© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)


Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat
non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com
hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan
berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk
pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi,
rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Related posts:

1. Khutbah: Kemerdekaan Diri di Aidilfitri FORMAT PDF UNTUK CETAKAN KHATIB Allah Maha Besar, Allah Maha...
2. KHUTBAH JUMAAT: Sinergi Memanfaatkan Perbezaan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Ketika berdepan dengan
ujian dan...
3. KHUTBAH JUMAAT: Kita Diuji Dengan Pilihan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Apa yang membezakan manusia dan...
4. KHUTBAH JUMAAT: Beruntunglah Insan Yang Dagang Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Abu Hurairah r.a.
meriwayatkan, bahawa...
5. Khutbah Jumaat: Takut Yang Sudah Tercabut Itu Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Sifat takut, adalah salah satu...

Anda mungkin juga menyukai