Anda di halaman 1dari 3

HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat
bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah
Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah.
Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

(Surah Al-Ra‘ad: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah
dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti
zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan
menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang
daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan
kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan
ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya
sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat
mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka
yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya
ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan
siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan
kepadaNyalah kami beribadat”.

(Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan
sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka
merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-
orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum
dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tafsirnya :

“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh
Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan
Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.
(Surah Yunus: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.

(Hadis riwayat Muslim )

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan
menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-
Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair
yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi
kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-
ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau
membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram;
kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima
ajaran dan rahmat Allah”.

(Surah Al-Zumar: 23)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang
apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka
jualah mereka berserah”.

(Surah Al-Anfaal: 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-
orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan
sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan
kepadanya”.

(Surah Al-Hajj: 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa,
lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu
hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan
sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih
dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dengan
sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang
maksudnya :

"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku
adalah sembahyang”.

(Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Anda mungkin juga menyukai